Categories
NASIONAL

Kalimah Allah: Mahkamah Persekutuan tolak rayuan gereja

PUTRAJAYA, 23 JUN: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Gereja Katolik untuk mendapat kebenaran merayu berhubung penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan The Herald.

Keputusan itu dibuat Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang mengetuai panel tujuh hakim dalam kes itu.

Empat daripada tujuh panel hakim yang bersidang menolak permohonan gereja untuk membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah sebelum ini yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan The Herald versi bahasa Melayu.

heraldMereka adalah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif; Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Suriyadi Halim Omar.

Hakim lain adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zainun Ali dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha.

Memetik laporan The Rakyat Post, Arifin berkata, Mahkamah Tinggi tidak sepatutnya membenarkan permohonan dibuat Gereja Katolik kerana keputusan Mahkamah Rayuan adalah tepat.

Sementara itu, portal Malaysiakini pula melaporkan Hakim Zainun berpendapat timbul hujah bahawa terdapat kekeliruan dalam keputusan Mahkamah Rayuan.

Katanya, ia berikutan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Zawawi Salleh bahawa “Allah” bukan sebahagian daripada fahaman Kristian.

Terdahulu, Majalah The Herald mengemukakan rayuan terhadap keputusan Menteri Dalam Negeri yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan itu.

Categories
NASIONAL

Perbalahan agama perlu selesai cara ilmiah

Oleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 6 JAN: Pakatan Rakyat (PR) berpendirian isu Kalimah Allah yang kembali menjadi bualan hangat perlu diselesaikan secara ilmiah bukan melalui demonstrasi.

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Dr Muhammad Nor Manuty, berkata pemahaman peserta demonstrasi juga dipersoal kerana isu itu sudah dijelaskan dalam Al-Quran sendiri.

Hal itu kerana jika pendekatan demostrasi dijadikan solusi keadaan akan menjadi lebih hangat dan mampu mengundang perbalahan serta pertumpahan darah.

Nur-Manuty“Ini persoalan ilmu. Dengan demostrasi tidak selesai kerana ia sekadar emosi sahaja dan mesti diselesaikan secara ilmiah.

“Kita hidup dalam masyarakat majmuk dan masalah itu perlu diadakan diskusi secara terbuka atau tertutup. Sudah pasti akan mengambil masa tetapi itu adalah pendekatan terbaik,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu menghormati setiap agama dengan budaya penduduk berbilang kaum.

Katanya, pendekatan demostrasi berterusan boleh menimbulkan ketakutan orang bukan Islam terhadap Islam, sekali gus menjejaskan imej agama itu.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kayat, berkata terpulang kepada Umno untuk melakukan demonstrasi kerana perkara berkenaan adalah hak masing-masing sebagai negara demokrasi.

Suhaizan-KaiatNamun, beliau menegaskan, isu sensitif berkenaan perlu diperkatakan secara berhati-hati kerana boleh membawa kepada perselisihan agama.

“Perkara berkenaan agama memerlukan kefahaman semua pihak. Kefahaman boleh diperoleh melalui wacana antara satu sama lain,” katanya.

Bekas Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju, Shahbudin Husin dalam tulisan beliau di shahbudindotcom.blogspot.com menyatakan Umno sepatutnya berdemo di depan pejabat Perdana Menteri atau Seri Perdana kerana lokasi itu bersarang punca masalah.

“Jika tidak cukup, boleh berdemonstasi di depan pejabat KDN atau di depan rumah menterinya yang turut mempunyai saham dalam masalah yang berlaku ini,” katanya.

Pada 5 Januari lalu, satu badan bukan kerajaan (NGO) mendesak Ketua Pengarang The Herald Lawrence Andrew memohon maaf dengan tindakan beliau mempertahankan penggunaan nama Allah dalam penerbitan itu walaupun pihak berkuasa agama menghalang tindakan terbabit mengikut titah Sultan Selangor.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga menyerbu premis Persatuan Bible Malaysidan merampas kitab Injil bahasa Melayu serta Iban yang menggunakan perkataan Allah, pada 1 Januari lalu.

-NFN-