Categories
AGENDA NASIONAL

Tian Chua tidak pernah hilang kelayakan bertanding

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua tidak pernah hilang kelayakan bertanding dalam pilihan raya.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas membenarkan saman pemula difailkan Tian Chua selaku pemohon terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku defendan tunggal dalam saman itu.

Mariana dalam penghakimannya berkata mahkamah bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur dan Shah Alam yang memutuskan bahawa kelayakan dan hak pemohon (Tian Chua) untuk bertanding tidak terjejas oleh hukuman denda RM2,000 yang dikenakan terhadapnya.

Menurut Mariana, seseorang ahli Parlimen hanya akan hilang hak dan kelayakan untuk bertanding sekiranya didenda RM2,001 dan ke atas.

Hakim Mariana membuat keputusan itu di dalam kamarnya hari ini dan perkara tersebut disahkan oleh Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad bertindak bagi pihak SPR.

Sementara itu, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Tian Chua memberitahu pemberita bahawa mahkamah membenarkan saman anak guamnya selepas mendapati keputusan SPR menolak pencalonan Tian Chua tidak sah dari segi undang-undang berdasarkan keputusan yang telah dibuat oleh dua Mahkamah Tinggi sebelum ini.

“Mahkamah juga memutuskan adalah tidak adil dan tidak munasabah untuk SPR menolak pencalonan Tian Chua,” katanya.

Tian Chua pula berkata kelayakannya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sepatutnya tidak dinafikan oleh SPR dan dengan keputusan hari ini, beliau berjaya mengekalkan statusnya sebagai seorang yang bebas untuk bertanding.

Pada 26 April lepas, Tian Chua memfailkan saman pemula bagi memohon deklarasi bahawa beliau adalah seorang yang layak untuk bertanding dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga memohon deklarasi bahawa adalah tidak adil untuk menafikan kelayakan dan haknya untuk bertanding dalam pilihan raya.

Berdasarkan afidavit sokongan, Tian Chua berkata keputusan kesnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam yang menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap dua tuduhan dihadapinya, menjelaskan bahawa kelayakan dan haknya untuk bertanding tidak terjejas oleh hukuman tersebut.

Tian Chua berkata, bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia juga membuat pengumuman bahawa kedudukannya sebagai Ahli Parlimen terus kekal dan tidak mendapat sebarang bantahan berhubung perkara itu.

Tian Chua mendakwa pernah menjadi calon, bertanding dan menang serta menjadi Ahli Parlimen pada PRU ke-13 tanpa sebarang bantahan tetapi pegawai pilihan raya gagal mengambil kira semua fakta dan menyebabkan pencalonannya ditolak ketika PRU ke-14.

Sebelum ini, dua Mahkamah Tinggi itu, menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadapnya, masing masing atas kesalahan menghina pegawai polis dan menganggu penjawat awam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Nasib Tian Chua tanding pilihan raya diketahui 6 November

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 6 November untuk keputusan permohonan bekas Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang atau Tian Chua berhubung kelayakannya untuk bertanding dalam pilihan raya.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya menetapkan tarikh itu dalam kamarnya selepas mendengar hujahan peguam Datuk Gurdial Singh Nijal yang mewakili Tian Chua, 56, selaku pemohon manakala Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad dan Maisarah Juhari bertindak bagi pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang merupakan responden.

Ketika ditemui media di luar mahkamah, Tian Chua berkata keputusan permohonannya akan dibuat pada 6 November, pukul 2.30 petang.

Pada 26 April lalu, Tian Chua memfailkan saman pemula bagi memohon deklarasi bahawa beliau adalah seorang yang layak untuk bertanding dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil.

Tian Chua juga memohon deklarasi bahawa tidak adil untuk menafikan kelayakan dan haknya untuk bertanding dalam pilihan raya.

Berdasarkan afidavit sokongan, Tian Chua mendakwa dia layak bertanding mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, keputusan kesnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam yang menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap dua tuduhan, menjelaskan bahawa kelayakan dan haknya untuk bertanding tidak terjejas oleh hukuman terbabit.

Tian Chua berkata bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia juga membuat pengumuman bahawa kedudukannya sebagai ahli Parlimen terus kekal dan tidak mendapat sebarang bantahan berhubung perkara itu.

Tian Chua mendakwa pernah menjadi calon, bertanding dan menang serta menjadi ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 tanpa sebarang bantahan.

Berdasarkan afidavit sokongan, Tian Chua mendakwa pegawai pilihan raya gagal mengambil kira semua fakta dan menyebabkan pencalonannya ditolak ketika Pilihan Raya Umum ke-14.

Sebelum ini, dua Mahkamah Tinggi itu, menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadapnya, masing masing atas kesalahan menghina pegawai polis dan menganggu penjawat awam.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Saran tunggu dua tahun untuk jadi pemimpin

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 NOV: Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua menyaran parti itu menetapkan syarat supaya individu yang baru menyertai parti itu menunggu sekurang-kurangnya dua tahun untuk menjadi pemimpin.

Beliau berkata, perkara berkenaan perlu dinyatakan dalam perlembagaan parti.

“Kita mesti menetapkannya dalam perlembagaan. Mereka yang mempunyai cita-cita dan bermimpi untuk memegang jawatan dalam parti, perlu tunggu.

“Tempoh dua tahun itu tidak panjang, Sekiranya kita menunggu 20 tahun untuk memegang jawatan, ahli baharu, dua tahun tidak lama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan di Kongres Nasional KEADILAN ke 13 yang bertemakan yang bertemakan Memaknai Demokrasi, Menterjemah Reformasi, di IDCC, di sini.

Pada masa sama, Tian Chua turut mencadangkan setiap dibenarkan mengundi selepas setahun menjadi ahli parti.

Beliau turut mahu satu peperiksaan kepada ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti berkenaan, dilakukan.

“Kita juga mungkin boleh mengadakan peperiksaan bagi mereka yang mempunyai cita-cita menjadi ahli MPP dan bertanding. Mungkin melalui peperiksaan kami boleh menganugerahkan sijil,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Letak Prabakaran, tak mahu BN menang mudah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

AMPANG, 5 MEI: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyambut baik penyertaan calon bebas, P. Prabakaran yang menggunakan simbol kunci untuk bertanding di kerusi P.115 Batu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata, pembabitan calon muda dengan itu penting bagi memastikan Parlimen Batu kekal bersama Pakatan Harapan (HARAPAN), sekali gus meranapkan impian Barisan Nasional (BN) merampas kerusi terbabit.

Katanya, keputusan itu juga bagi memastikan BN tidak menang secara mudah di Batu.

“Yang pasti, kita tidak mahu BN menang mudah di Batu kerana Tian Chua telah dinafikan haknya untuk bertanding pada pilihanraya kali ini.

“Kita tiada pilihan lain untuk memastikan Batu kekal bersama PAKATAN, melainkan dengan meletakkan calon yang boleh mewakili suara rakyat,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas program Sarapan Pagi, di Tasek Tambahan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin menyifatkan kepimpinan BN sememangnya gagal untuk mendengar keluhan dan membawa suara rakyat.

“Jadi, atas sebab apa rakyat perlu undi dan sokong BN kalau suara rakyat pun mereka tak boleh bawa,” katanya.

Keputusan meletakkan Prabakaran di Parlimen Batu dibuat setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan calon PAKATAN, Tian Chua bagi menyemak semula keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kelayakannya sebagai calon kawasan berkenaan.

Categories
NASIONAL

MB: Tindakan sekat Tian Chua cemar demokrasi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

GOMBAK, 28 APR: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang enggan menerima pencalonan Tian Chua untuk bertanding di Parlimen Batu disifatkan sebagai mencemarkan demokrasi Malaysia.

Dato Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau amat kesal dan kecewa dengan tindakan SPR yang enggan menerima pencalonan Tian Chua itu.

“Tindakan SPR itu tidak berasas dan mencemarkan proses demokrasi di Malaysia. Saya mengutuk sekeras-kerasnya layanan SPR terhadap saudara Tian Chua pada penamaan calon hari ini,” katanya.

Mohamed Azmin, yang juga Timbalan Presiden KEADILAN berkata, keputusan pegawai SPR adalah menghina keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Karim Abdul Rahman pada 2 Mac 2018 yang mengurangkan hukuman denda saudara Tian Chua kepada RM2,000.

“Keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada 30 Jun 2011 bahawa Tian Chua layak sebagai ahli Parlimen walaupun dikenakan denda RM2,000. Ini bermakna, Tian Chua layak bertanding sebagai calon Batu dalam PRU14.

“Saya menyeru semua pihak supaya membantah tindakan SPR yang menganiaya Tian Chua dengan memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada Pakatan Harapan.

“Hanya dengan undi, kebobrokan sebegini dapat dihentikan demi masa depan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Tian Chua lapor polis, SPR didakwa hina mahkamah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SENTUL, 28 APR : Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghina keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang sepatutnya membenarkan beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU14), ini.

Beliau berkata, tindakan itu menimbulkan persoalan utama terhadap kredibiliti suruhanjaya itu dalam mengurus sistem pilihan raya adil di negara ini.

Tegas Tian, isu penolakan pencalonan sepatutnya tidak timbul memandangkan beliau pernah menghadapi situasi hampir sama pada PRU lalu, namun masih dibenarkan bertanding sebagai calon.

“Bagaimana sebuah agensi yang sama membuat dua keputusan yang berbeza pada pilihan raya sama membabitkan isu yang sama sebelum ini?

“Dalam kes terdahulu (PRU13) lalu, saya juga menghadapi tuduhan dan dakwaan denda RM2,000 oleh mahkamah, tetapi masih dibolehkan bertanding.

“Tetapi untuk proses pencalonan tahun ini, mengapa SPR menafikan hak pencalonan saya walaupun denda dalam kes baru-baru ini juga adalah kurang di bawah kadar RM2,000.

“Tindakan penolakan ini jelas satu penghinaan kepada mahkamah yang sepatutnya membenarkan saya untuk bertanding sebagai calon,” katanya.

Lebih mengecewakan kata Tian, SPR gagal memberikan penjelasan menyeluruh berhubung keputusan penolakan itu.

“Saya telah berbincang bersama peguam dan pimpinan parti untuk mengemukakan bantahan dan inkuiri baru.

“Kita berharap SPR lebih bersifat telus, seterusnya Pengerusi SPR boleh memberikan penjelasan lanjut berhubung keputusan penolakan ini,” tegasnya.

Awal pagi ini, Tian Chua yang sepatutnya bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PAKATAN) atas tiket KEADILAN bagi kerusi Parlimen Batu, Kuala Lumpur.

Difahamkan penolakan dibuat SPR berkait kes Mahkamah Tinggi Shah Alam, melibatkan denda RM2,000 atas kesalahan menghina polis.

Tian sebelum ini menjadi wakil rakyat bagi tempoh dua penggal selepas berjaya menewaskan calon Barisan Nasional pada dua pilihan raya lalu.

Terdahulu, Tian ditemui pemberita selepas hadir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Sentul, petang ini.

=EZY=

 

Categories
NASIONAL

Dr Wan Azizah sedih Tian Chua tak layak bertanding

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 28 APR: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melahirkan rasa sedih apabila Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua tidak dibenarkan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) kali ini.

Katanya, sebelum ini pemilihan Tian Chua sebagai calon di Parlimen Batu sudahpun dipilih dengan baik oleh barisan kepimpinan parti.

“Saya terkejut dan amat bersedih kerana KEADILAN tidak dapat bertanding di situ,” katanya ditemui selepas diumumkan sebagai calon Parlimen Pandan di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pagi tadi.

Tian Chua tidak dapat mempertahankan kerusi Parlimen Batu pada PRU14 selepas pegawai pengurus pilihan raya membatalkan kertas pencalonannya.

Pegawai pengurus pilihan raya, Anwar Mohd Zain membuat keputusan itu berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 Mac lalu yang mengekalkan sabitan bersalah terhadapnya atas tuduhan menghina kehormatan seorang anggota polis, walaupun mengurangkan hukuman denda kepada RM2,000.

Tian Chua mengecam keputusan itu dan mendakwa ia sebagai taktik kotor untuk menghalang kemenangan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Keputusan itu bertentangan dengan pegawai pengurus pilihan raya pada PRU 2013 yang membenarkan Tian Chua bertanding walaupun ketika itu beliau disabitkan bersalah untuk satu kes mahkamah lain dan juga dikenakan denda RM2,000.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Tak gusar jika tak dicalonkan, Tian Chua utamakan perpaduan parti

KUALA LUMPUR, 22 APR: Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menyerahkan kedudukan kerusi ditandingi beliau dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kepada pucuk kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Tian Chua berkata, hal ini berikutan beliau mengutamakan perpaduan di kalangan ahli dan pemimpin parti bagi memastikan KEADILAN kekal fokus dalam berhadapan cabaran Barisan Nasional (BN) dalam PRU-14 nanti.

“Saya tiada masalah tidak dinamakan sebagai calon Batu. Saya serahkan kepada pimpinan untuk memutuskan jika mereka mahu tempatkan saya di kawasan lain.

“Saya juga tiada masalah tidak bertanding dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya pada sidang media yang diadakan di Restoran D’boom Boom di sini, hari ini.

Bagaimanapun jelasnya, kepimpinan KEADILAN haruslah lebih berhati-hati dalam pemilihan calon pilihan raya.

=EZY=

 

Categories
NASIONAL

Persempadanan semula hanya boleh diluluskan secara sembrono

 

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Cadangan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak dapat diluluskan di Parlimen apabila proses bantahan di mahkamah oleh Kerajaan Selangor masih berjalan.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, beliau tidak menolak kemungkinan Umno dan Barisan Nasional (BN) membawa dan meluluskan usul persempadanan baru ini secara sembrono.

“Saya tidak jelas apa yang akan berlaku pada persidangan parlimen kali ini kerana kalau mengikut prosedur persempadanan semula, prosesnya belum selesai di Selangor.

“Jadi, untuk meluluskan di Parlimen ini, kalau kerajaan ikut peraturan dan susunan betul tidak akan dapat dilakukan tetapi kerajaan mungkin mengambil jalan pintas dan melanggari prosedur sepatutnya dan meluluskan secara sembrono,” kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu.

Beliau demikian kepada SelangorKini selepas menghadiri Istiadat Pembukaan Penggal Keenam Majlis Parlimen Yang Ke-13 2018 di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Jelasnya, selain membahaskan isu berkaitan persempadanan semula, persidangan kali ini juga bakal menjadi medan bagi rakyat menyaksikan pertembungan terakhir untuk Pakatan Harapan (Pakatan) dan Barisan Nasional (BN) membahaskan dasar masing-masing.

“Rakyat akan membuat pelbagai penilaian mana pihak yang paling sesuai untuk memimpin negara ke arah Malaysia yang lebih saksama dan makmur,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Negara hancur jika Najib kekal

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 JAN: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kononnya negara akan hancur jika rakyat menukar kerajaan dibidas Pakatan Harapan (Pakatan).

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua sebaliknya berkata, negara di bawah pentadbiran Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) semakin menuju kehancuran dan perlu diselamatkan dengan menukar kerajaan dipimpin Pakatan.

“Rekod yang ada cukup membuktikan negara hancur jika Najib kekal,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, kenyataan Najib itu sebenarnya merupakan percubaan menakut-nakutkan rakyat dengan menggambarkan akan berlaku suasana tidak aman dan harmoni jika Umno-BN disingkirkan daripada tampuk pentadbiran, di Putrajaya.

Tian berkata, menukar kerajaan korup bukan sahaja dituntut, malah merupakan tanda demokrasi dan kestabilan sistem politik.

“Peralihan kuasa politik juga menjadi amalan biasa di kebanyakan negara seluruh dunia sebagai tanda demokrasi dan kestabilan sistem politik,” katanya.

Categories
NASIONAL

Peguam AS harap bertemu PM dan TPM bincang bebas Anwar

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 11 DIS: Penasihat Undang-undang Antarabangsa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kimberley Motley berharap dapat bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menyampaikan mesej keperluan pembebasan serta merta dengan tanpa syarat kepada Anwar.

Peguam hak asasi berpengkalan di Amerika Syarikat (AS) yang tiba di Kuala Lumpur pagi tadi itu berkata, pembebasan serta merta itu diperlukan ekoran keadaan kesihatan Anwar yang memerlukan rawatan lebih sesuai tanpa sebarang sekatan.

“Beliau sudah dipenjarakan selama 34 bulan dan hanya enam bulan sahaja lagi untuk dibebaskan dan saya akan meminta Kerajaan Malaysia memberikan pembebasan tanpa syarat serta merta memandangkan keadaan kesihatan Anwar yang memerlukan rawatan khusus,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di sini, hari ini.

Jelasnya, sebelum itu beliau sudah menghantar surat kepada Najib dan Ahmad Zahid untuk membolehkan pertemuan yang dijangka bakal disertai Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad itu diadakan esok.

Katanya, pembebasan Anwar sangat penting bagi mendapatkan rawatan bersesuaian dengan keperluan pemulihannya.

Sementara itu, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dalam sidang media sama berkata, Anwar yang lebih sebulan menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur wajar dibebaskan untuk dapatkan rawatan pemulihan lebih sempurna berbanding dibawa semula ke Penjara Sungai Buloh.

“Anwar hanya tinggal enam bulan tempoh hukuman tetapi di penjara kemudahan sangat terhad, Anwar tidak boleh berjalan seperti yang disarankan Doktor,” katanya.

Pada 22 September lalu, konvoi kenderaan yang membawa Anwar untuk menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) terbabit dalam kemalangan di Saujana Utama, Sungai Buloh, hari ini.

Kemalangan itu menyebabkan Anwar terpaksa menjalani pembedahan pada bulan lalu.

Categories
NASIONAL

Wan Azizah, Mohamed Azmin sambut pembebasan Tian Chua

 

SHAH ALAM, 27 OKT: Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dibebaskan pagi ini selepas menjalani hukuman penjara selama sebulan di Penjara Kajang.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara pemimpin KEADILAN yang hadir menyambut pembebasan Tian Chua.

Dalam kesempatan itu, Mohamed Azmin memeluk Tian Chua diiringi laungan ‘hidup Tian Chua’ dari penyokong KEADILAN.

Naib presiden PKR itu berkata, beliau dikejutkan dari tidur oleh pegawai penjara Kajang pada pukul 5 pagi sebelum dibebaskan pada jam 7 pagi tadi.

Terdahulu, Tian Chua didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 23 Januari 2014 kerana enggan mematuhi arahan polis agar meninggalkan kawasan Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak pada 2.30 petang 29 April 2012, sehari selepas perhimpunan BERSIH3.0.

Mahkamah menjatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000.

Tian Chua telah menarik balik rayuan terakhirnya berhubung sabitan itu dan menjalani hukuman penjara.