Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar kematian akibat tibi meningkat, kesan wabak Covid-19

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Kadar kematian akibat Tuberkulosis (tibi – penyakit batuk kering) di Malaysia meningkat lima peratus dan pengesanan kes menurun sebanyak 10 peratus tahun lepas berbanding 2019, berikutan kesan kemunculan pandemik Covid-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata disebabkan persamaan tertentu dalam sifat kedua-dua penyakit berjangkit ini, ia membawa kepada kemunculan beberapa akibat yang tidak dapat dielakkan.

Menurutnya semasa langkah-langkah bagi membendung wabak itu mengalihkan sumber dan memberi kesan kepada perkhidmatan rawatan penting tibi dalam negara, langkah-langkah seperti memakai topeng muka, penjarakan fizikal, mengelakkan tempat yang sesak dan meningkatkan kesedaran kebersihan dan membantu mengurangkan penyebaran kuman tibi, katanya.

Beliau berkata demikian dalam nota intervensi di mesyuarat The Regional Committee Meeting Sesi ke-72 bagi Pasifik barat (RCM72), yang berlangsung di Himeji, Jepun semalam.

Beliau berkata Malaysia sangat berhati-hati dalam memastikan bahawa kemajuan yang dicapai dalam penjagaan dan pencegahan tibi tidak dibantutkan oleh pandemik Covid-19 dan telah memperkenalkan pendekatan norma baharu terutamanya dalam mengesan dan merawat pesakit tibi.

“Perundingan maya dan Terapi Pemerhatian Terus (DOT) telah diamalkan sejak permulaan pandemik, dan ujian serentak bagi tibi dan Covid-19 digalakkan dengan mengambil kira persamaan simptom,” katanya, sambil menambah aktiviti capaian dijalankan dengan menyasarkan kumpulan berisiko tinggi dan kawasan hotspot untuk tibi.

Khairy berkata penyakit itu kekal menjadi kebimbangan utama kesihatan awam utama di negara ini dengan kadar pemberitahuan tibi (kes tibi baharu dan berulang dimaklumkan pada tahun tertentu) sebanyak 72 bagi setiap 100,000 penduduk dan kadar kematian 7.1 bagi setiap 100,000 penduduk tahun lepas.

Beliau berkata Malaysia melaporkan sekitar 20 hingga 21 peratus jangkitan tibi tersembunyi setiap tahun, yang mempunyai potensi risiko untuk beralih kepada tibi aktif pada tahun-tahun berikutnya, namun pengambilan langkah-langkah rawatan pencegahan tibi masih perlahan, iaitu sekitar 60 peratus untuk 2020.

“Drug resistant tibi (DRTB) berterusan dan mengancam keselamatan kesihatan kita. Malaysia akan terus memperkukuh saringan tibi terpendam dan akan terus menyediakan Terapi Pencegahan Tibi (TPT) dan memastikan DRTB dikenal pasti dan dirawat dengan sewajarnya,” katanya.

Khairy berkata Malaysia komited sepenuhnya untuk mencapai sasaran menamatkan tibi menjelang 2035 dan telah membangunkan Pelan Strategik Nasional untuk Menamatkan Tibi (2021-2030) selaras dengan strategi yang dicadangkan oleh Pejabat Serantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Dunia (WPRO).

“Sehubungan itu, Malaysia menyokong Rangka Kerja Serantau Pasifik Barat untuk Menamatkan Tibi (2021-2030),” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB hasrat perluas SELangkah jejak kontak tibi, denggi

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri bercadang memperluas penggunaan aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) bagi mengesan lokasi wabak dan kontak pesakit tibi serta denggi.

Dato’ Menteri Besar berkata sistem yang dibangunkan untuk menjejak kontak Covid-19 wajar ditambah baik bagi membantu Jabatan Kesihatan Negeri mencegah penyakit lain.

“Kes denggi dan tibi agak membimbangkan di Selangor, jadi kita boleh mempertimbang guna SELangkah bagi mengatasi penularan penyakit lain.

“Aplikasi ini terbukti banyak membantu kita mengesan kontak Covid-19, mungkin selepas ini kita boleh luaskan lagi penggunaannya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi berhubung kos membangunkan SELangkah serta keberkesanannya membantu mencegah penularan Covid-19.

Aplikasi SELangkah diperkenal pada 4 Mei dilengkapi ciri peta dan semakan premis yang membolehkan pengguna mengetahui tarikh sanitasi bagi memastikan kunjungan mereka selamat.

Categories
EXCO SELANGOR

Lebih 2,000 jalani rawatan tibi melalui bantuan RM800

KLANG, 29 FEB: Lebih 2,000 pesakit tuberkulosis (tibi) kini menjalani rawatan penuh selama enam bulan melalui insentif Kerajaan Selangor dengan RM800 seorang, kata EXCO Kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2020 bagi mendapatkan rawatan penyakit terbabit.

Katanya, beliau menggalakkan orang ramai ambil peluang ini bagi memastikan kesihatan orang sekeliling terpelihara kerana tibi mampu merebak.

“Kematian berpunca tibi amat tinggi jumlahnya jika dibandingkan denggi tetapi kematiannya bukan dalam kadar segera, ia berlaku secara perlahan-lahan. Sebab itu pentingnya rawatan dari awal,” katanya selepas merasmikan Karnival 3W (Kesihatan, Kebajikan, Wanita) di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas, di sini hari ini.

Insentif itu bagi meringankan beban kos rawatan yang ditanggung selain memastikan pesakit melengkapkan semua sesi rawatan di hospital.

Pesakit boleh mendapatkan borang permohonan insentif itu di hospital dan klinik kerajaan atau pusat khidmat masyarakat.

Bayaran insentif dibuat menerusi tiga transaksi iaitu RM200 bagi dua bulan pertama, RM200 (dua bulan seterusnya) dan RM400 sehingga selesai rawatan.