Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : 3 juta rekod tanah ganti sistem fail elak penipuan

MB_yellow

SHAH ALAM 20 OKT : Kerajaan Selangor berjaya merekodkan sejumlah tiga juta fail pemilikan tanah di negeri itu kepada sistem digital berkomputer bagi memastikan sistem penyimpanan dan pencarian yang lebih efektif.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata melalui kaedah ‘Bank Tanah’ itu masalah kehilangan dan kesukaran mencari fail hak milik tanah dapat diatasi malahan kini dapat mencarinya dengan pantas dan tepat.

Abdul Khalid berkata, sistem itu yang dilaksanakan sejak setahun lepas juga turut membantu Kerajaan Negeri mengenal pasti tanah yang dimiliki dan juga merancang pembangunan tanah dengan lebih baik.

“Sekarang kita dapat mengetahui jumlah sebenar tanah yang dimiliki Kerajaan Negeri yang sebelum ini tidak diketahui,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Konvensyen Tanah dan Perbandaran Kebangsaan yang diadakan di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini.

MB_yellow 2

Abdul Khalid berkata, pengurusan tanah menggunakan amalan sistem fail diubah kerana tidak menguntungkan rakyat dan membuka ruang berlakunya penipuan.

“Fail sebanyak tiga juta itu sudah diletakkan di Stadium Shah Alam, jadi hilang fail sudah tidak ada dan kita dapat tahu lebih cekap.

“Kita terbuka dan telus dalam isu pemilikan tanah. Semua orang berhak tahu siapa pemilik tanah. Kerana itu rekod pemilikan tanah sangat penting,” kata beliau.

Kira-kira 300 orang hadir dalam konvensyen itu yang turut dihadiri Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar dan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad.