Categories
AGENDA NASIONAL

400 tiket hari pertama Kejohanan Badminton Asia habis dijual

SHAH ALAM, 14 FEB: Sebanyak 400 tiket perlawanan hari pertama Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 esok habis dijual kurang dari 10 minit.

Setiausaha jawatankuasa penganjur Mohamad Nizam Marjugi berkata tiket dijual dalam talian pada 12 tengah hari tadi dan semua habis ditempah sembilan minit kemudian.

“200 tiket perlawanan sesi petang terjual dalam tempoh enam minit manakala penjualan semua 200 tiket sesi pagi selesai pada 12.09 tengah hari.

“Tempoh singkat (penjualan) ini bukti ramai yang mahu menyaksikan perlawanan namun kita terikat dengan tatacara operasi piawai (SOP) susulan peningkatan kes Covid-19 ketika ini,” katanya kepada SelangorKini.

Sebelum ini penganjur merancang untuk membenarkan kehadiran 1,000 penonton di gelanggang perlawanan.

Sementara itu Mohamad Nizam yang juga pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berkata jualan tiket setiap sesi dibuka sehari sebelum pertandingan menerusi https://selangorbatc2022.com bermula 12 tengah hari hingga 11.59 malam.

“Tiket perlu dibawa bersama kad pengenalan atau passport sebagai bukti pembelian. Pembeli harus imbas aplikasi MySejahtera, memakai pelitup muka dan jaga penjarakan fizikal.

“Hanya penonton lengkap vaksinasi dibenarkan masuk dan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dilarang,” katanya.

Selangor buat julung kali menjadi tuan rumah BATC 2022 sehingga Ahad ini yang diselaraskan MSN Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia.

Selain Malaysia, negara lain yang turut bertanding ialah Indonesia, India, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan Kazakhstan.

Categories
AGENDA SUKANKINI

MFL: Kenaikan harga tiket Liga-M tidak dapat dielak

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak menghalang mana-mana pasukan menaikkan harga tiket perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) meskipun terdapat saranan supaya ia dikekalkan berikutan situasi semasa pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata kenaikan itu disebabkan faktor peningkatan kos yang bakal ditanggung pasukan apabila kehadiran penyokong ke stadium dibenarkan bermula 1 April ini.

Beliau berkata perbelanjaan pasukan akan meningkat apabila perlu menambah jumlah petugas di stadium selain menyediakan pelbagai kemudahan diperlukan sebagai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi memelihara konsep gelembung sukan.

Selain daripada itu, beliau berkata kelab bola sepak perlu menampung kos penyediaan kemudahan seperti cecair pembasmi kuman dan alat pengimbas suhu.

Harga barang pun naik pada masa ini, jadi saya rasa harga tiket pun akan naik, tidak dapat dielakkan. Apa yang penting peminat menyokong sebab apa dibelanjakan adalah untuk pasukan dan secara tidak langsung membantu pasukan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada masa sama, Ab Ghani berkata MFL telah meminta vendor tiket perlawanan Liga-M untuk menyediakan petugas serta kemudahan seperti pengimbas kod respons pantas di setiap stadium sebagai usaha meringankan beban pasukan.

“Perkara ini sedang diteliti, saya percaya vendor tiket dilantik MFL akan menyediakan kemudahan tersebut, jadi tidak perlu untuk pasukan berbelanja untuk perkara itu atau menanggung apa-apa lagi kos,” katanya.

Isnin lepas, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyarankan harga tiket Liga-M dikekalkan seperti sedia ada, namun menyerahkan kepada MFL selaku badan pentadir Liga-M untuk mengadakan perbincangan berhubung perubahan itu.

“Saya sendiri menyokong saranan itu kerana ia penting memandangkan keadaan ekonomi hari ini, tetapi apabila saya melihat kepada keadaan pasukan ketika ini, mereka perlu menaikkan harga tiket atas sebab-sebab tertentu,” kata Ab Ghani.

Dalam pada itu, Ab Ghani berkata beliau akan meminta semua pasukan untuk menghantar cadangan kenaikan harga tiket masing-masing untuk diteliti MFL terlebih dahulu.

Media sebelum ini melaporkan penyokong kemungkinan terpaksa menanggung kenaikan harga tiket perlawanan pada kadar sekitar RM5 hingga RM10 selepas dibenarkan kembali menyaksikan perlawanan di stadium bermula bulan depan.

Ia selepas beberapa pasukan Liga-M memberi bayangan bagi menaikkan sedikit harga tiket perlawanan daripada kebiasaan dalam menampung kos tambahan untuk mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Beli tiket bas secara online, kekang isu ulat tiket

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 MEI: Bagi mengekang isu ulat tiket di Terminal Bas Seksyen 17, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan sistem pembelian tiket bas dalam talian.

Timbalan Datuk Bandar, Mohd Rashidi Ruslan berkata, penumpang yang mahu menaiki bas perlu menukar tiket yang dibeli atas talian itu di kaunter terminal berkenaan.

“Penumpang bas akan dicaj sebanyak RM1 bagi mencetak tiket itu. Hanya pemegang tiket saja yang boleh masuk selepas mereka mengimbas kod bar tiket.

“Kita percaya hanya dengan langkah ini saja isu ulat tiket di terminal bas ini akan dapat diatasi sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis MBSA di Dewan Perbandaran, Wisma MBSA, di sini.

Pada masa sama, katanya, MBSA akan membina parkir bertingkat yang mampu memuatkan 300 kenderaan pada hujung tahun ini.

“Kita akui tempat parkir tidak mencukupi terutamanya ketika musim perayaan. Buat masa ini kita menggunakan anggota RELA dan penguatkuasa MBSA untuk mengawal aliran trafik.

“Selain itu, MBSA sudah menyediakan tempat khas berhampiran terminal yang boleh menempatkan 11 bas dalam satu-satu masa,” katanya.

Selain itu, Mohd Rashid berkata, MBSA sedang mengumpul maklum balas orang awam yang menggunakan kemudahan di terminal berkenaan.

“MBSA merupakan satu-satunya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menguruskan operasi terminal bas di negara ini.

“Oleh itu, MBSA bertanggungjawab sediakan kemudahan terbaik kepada pengguna,” katanya.

Categories
NASIONAL

Masih ada 87,000 tiket bas di TBS

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 JUN: Masih terdapat kira-kira 87,000 tiket bas ekspres di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) bagi warga kota pulang beraya khususnya untuk perjalanan ke utara.

Bagaimanapun, Pengurusan Kanan Operasi TBS, Faizal Redza Redzuan berkata, tiket bas ke pantai timur sudah habis dijual.

Sebanyak 192,000 tiket disediakan bagi sambutan Aidilfitri kali ini untuk perjalanan dari 12 hingga 19 Jun ini, katanya dipetik BERNAMA.

“Tiket yang paling banyak terjual ialah, pada 13 Jun ini. TBS sentiasa memantau dan bekerjasama dengan pihak operator bas untuk menambah perjalanan jika permintaan terhadap tiket masih tinggi,” katanya.

Kaunter tiket di TBS beroperasi 24 jam dan selain 12 mesin layan diri yang disediakan di situ orang ramai juga boleh membuat pembelian dalam talian menerusi www.tbs.com.my.