Categories
RENCANA WAWANCARA

‘Kopi Teduh’ inspirasi TikTok, rasa setanding jenama terkenal

KOTA BHARU, 8 FEB: Walaupun hanya berbumbungkan langit dan di bawah teduhan sebatang pokok, gerai Kopi Teduh di sini menyajikan kopi yang mempunyai aroma dan rasa yang setanding dengan jenama terkenal.

Pemilik gerai Siti Nurashakila Zakari, 24, berkata ilham untuk mengusahakan ‘kopi tepi jalan’ itu timbul apabila beliau sering menonton video mengenai perniagaan seumpama itu di media sosial, khususnya aplikasi TikTok.

Katanya, kebanyakan video tersebut dimuat naik netizen dari Indonesia dan Thailand yang menunjukkan masyarakat di sana berniaga kopi yang hanya dibru di atas motosikal.

Menyifatkan perniagaan itu ringkas dan mudah, beliau bersama rakan karibnya Intan Zulsyawani Zulkifli, 24, tekad mengaplikasikan perniagaan berkonsep sama di sini, sejak akhir tahun lepas.

“Ia juga tidak memerlukan modal yang besar dan kafe (premis), iaitu kami memulakan dengan modal sekitar RM5,000 sahaja,” katanya ketika ditemui Bernama di gerai mereka di Taman Maju di sini.

Beliau berkata trend perniagaan kopi jalanan itu juga masih kurang popular di Kelantan, sekali gus dapat memberi inspirasi kepada anak muda di negeri ini, bahawa mereka juga dapat berniaga walaupun tidak mempunyai modal besar.

Bercerita lanjut, mahasiswa tahun akhir Kejuruteraan Elektronik Universiti Multimedia itu berkata YouTube menjadi ‘guru’ yang mengajar pelbagai resipi sehingga beliau dan Intan Zulsyawani berjaya menghasilkan lebih 17 jenis minuman berasaskan kopi dan bukan kopi.

Pengusaha kopi yang juga rakan karib sejak di bangku sekolah Siti Nurashakila Zakaria, 24, (kiri) dan Intan Zulsyawani Zulkifli, 24, sedang menyiapkan minuman yang dipesan pelanggan ketika ditemui di gerai Kopi Teduh di Taman Maju, Kota Bharu pada 8 Februari 2022. Foto BERNAMA

Katanya, bagi mencipta kelainan, mereka memilih kaedah tradisional untuk mengekalkan aroma wangi kopi iaitu dengan menggunakan alat pembru biji kopi Moka Pot.

Malah, katanya, tidak ramai yang mampu menggunakan alat itu kerana cara penggunaannya yang agak rumit, namun berbaloi kerana dapat mengekalkan rasa ‘not’ kopi yang memikat hati penggemar minuman itu.

Menurut Siti Nurashakila, mereka menggunakan biji kopi berkualiti tinggi iaitu jenis Arabica dari Brazil yang diperoleh daripada pembekal tempatan.

Katanya, antara yang sering menjadi pilihan pelanggan adalah minuman Mesir Kuno Latte yang mengetengahkan rasa kayu manis, selain Nissey Kerek Latte yang menggunakan manisan nira kelapa.

Siti Nurashakila berkata antara cabaran yang dihadapi bersama Intan Zulsyawani, yang juga pelajar tahun kedua Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kewartawanan) Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, adalah pada hari hujan iaitu mereka terpaksa memakai baju hujan, selain kurang jualan.

“Walaupun berdepan cabaran terutama ketika musim hujan mahupun ketika ribut, sehingga ada membuatkan khemah kami tercabut, namun ia tidak mematahkan semangat saya dan Intan Zulsyawani untuk meneruskan perniagaan dengan berkonsepkan teduhan secara semula jadi ini,” katanya yang meraih hasil jualan hampir RM1,000 sehari.

Beliau juga bersyukur kerana dengan adanya pelbagai medium media sosial, mereka dapat mempromosikan Kopi Teduh secara lebih meluas, antaranya menerusi laman Instagram yang kini mempunyai hampir 6,000 pengikut.

Sementara itu, seorang pelanggan tetap, Ahmad Faris Ruslan, 26, dari Pasir Mas berkata, kopi dari gerai itu menjadi pilihannya sejak dua bulan lalu kerana harganya yang murah, iaitu RM4 hingga RM8 secawan, tetapi mempunyai keenakan yang setanding dengan kopi dari jenama terkenal, selain suasana gerai yang sesuai untuk bersantai bersama rakan-rakan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

TikTok antara platform Media Selangor promosi aktiviti ADN

SHAH ALAM, 1 DIS: Aplikasi TikTok antara medium digunakan Media Selangor bagi melaporkan aktiviti terkini wakil rakyat negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan berita disiarkan di YouTube SelangorTV turut diterbit semula dalam pelbagai format di Facebook, Instagram dan Twitter.

Beliau menjelaskan media rasmi Kerajaan Negeri itu juga menyediakan kumpulan WhatsApp bagi berkongsi maklumat bersama pegawai pejabat Dewan Undangan Negeri.

“Sebagai media rasmi, Media Selangor berperanan sebagai penyambung antara Ahli Dewan Negeri (ADN) dan rakyat. Platform digital pula menyediakan liputan ADN melalui pelbagai segmen,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Balakong Wong Siew Kii yang diwakili ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berhubung rancangan mengeratkan kerjasama antara Media Selangor dengan ADN.

Amirudin berkata berita berkait aktiviti dan usaha wakil rakyat menyelesaikan isu setempat turut dilapor setiap hari di portal empat edisi iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

“Misalnya, Selangorkini berbahasa Melayu memuatkan sekurang-kurangnya lapan foto ADN dan berita tujuh lagi wakil rakyat setiap minggu bergilir-gilir.

“Sementara tiga edisi lain mempunyai ruangan khas wawancara dan foto khidmat wakil rakyat di Selangor,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

TikTok jadi platform masyarakat timba ilmu

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Penggunaan aplikasi TikTok sebagai satu ruang perkongsian pelbagai ilmu bukan sahaja memanfaatkan golongan pelajar tetapi juga masyarakat umum yang berbilang kaum tanpa mengira usia dan latar belakang.

Tambahan pula, setiap kandungan video menampilkan kaedah pembelajaran ringkas yang kreatif, padat dengan fakta penting untuk dipelajari dan dihayati sehingga menarik perhatian pengguna TikTok sekali gus berjaya memasuki FYP (For Your Page) iaitu halaman yang mengandungi video dan kandungan viral di platform berkenaan.

Guru bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan Long Ghafar 2, Kota Bharu, Kelantan, Ahmad Shahrul Azhan Ibrahim, 45, berpendapat kandungan video singkat dengan durasi maksimum tiga minit sangat membantu dalam menyampaikan maklumat agar lebih mudah difahami.

“Tujuan saya untuk berkongsi ilmu secara santai. Atas sebab itu, saya biasanya hanya buat video dalam tempoh 30 hingga 60 saat agar audiens tidak mudah rasa jemu dan bosan sekali gus mudah diterima,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang dikenali sebagai Sir Asai dalam kalangan pengguna TikTok memanfaatkan platform itu dengan mengajar bahasa Inggeris melalui perkongsian pelbagai tips dari segi tatabahasa, sebutan dan cara membina ayat dengan melibatkan penyertaan daripada pelajarnya.

“Kadang-kadang ada orang tidak suka belajar dengan cara formal, lagi-lagi bahasa Inggeris. Jadi apabila menggunakan pendekatan ini, secara tidak sedar kita semua belajar melalui penyampaian daripada video itu,” katanya yang mengumpul lebih 447,000 pengikut di TikTok.

Justeru, pemegang Sarjana Pendidikan dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Universiti Exeter, United Kingdom itu berharap perkongsian tersebut dapat memberi ilmu kepada mereka yang menonton sekali gus membantu masyarakat menjadi lebih yakin untuk bertutur dalam bahasa kedua itu.

Turut senada, Muhammad Syahmi Azizi, 29, yang sering memuat naik kandungan video berkaitan bahan dan fakta sejarah di akaun TikToknya @sirsyahmi92 menerusi penggunaan gambar dan bahasa yang mudah difahami.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Geologi dari Universiti Malaya itu mahu pengguna di platform berkenaan khususnya golongan muda agar lebih celik sejarah sekali gus membantu meningkatkan ilmu pengetahuan dalam kalangan masyarakat.

“Acap kali saya dengar orang kata belajar sejarah itu bosan, sedangkan ia ilmu yang amat penting untuk difahami dan dihayati. Lagipun, saya menggunakan konsep lebih santai agar mereka senang faham.

“Tujuan saya hanya satu, mahu warganet ‘jatuh cinta’ dengan sejarah dan bila itu berlaku mereka sendiri akan mencari maklumat mengenai sesuatu perkara. Contohnya, sejarah negara kita sendiri yang kaya dengan pelbagai cerita menarik,” katanya yang berhasrat turun padang melakukan eksperimen sosial mengenai perkara tersebut sebagai kelainan dalam kandungan videonya.

Bahkan, Muhammad Syahmi yang mempunyai lebih 538,000 pengikut di TikTok, percaya dengan mempelajari sejarah dapat membantu melancarkan usaha perpaduan kaum sekali gus menyemai semangat cintakan tanah air.

Ammar Hamizan Muhammad Balyan, 24, pula mengambil inisiatif untuk mengajar teknik melukis di akaun TikToknya, @amamijan selepas menerima banyak permintaan dalam kalangan pengikutnya di Instagram.

Pelajar tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menganggap perkongsiannya itu bertujuan untuk menarik perhatian warganet yang ingin berjinak-jinak melukis.

“Pada saya, sesiapa pun boleh melukis, tak ada bakat pun tak apa, asalkan ada minat yang mendalam dan bersedia untuk belajar benda baharu. Jadi, bila kita fokus dan melukis dengan bersungguh-sungguh pasti lukisan itu akan menjadi,” katanya yang menjadikan melukis sebagai hobi sedari kecil.

Malah, melalui gayanya yang bersahaja selain diselitkan dengan aksi humor, tidak hairanlah anak kelahiran Klang, Selangor itu berjaya mengumpul lebih 900,000 pengikut di TikTok.

– BERNAMA

Categories
PERSONALITI RENCANA

Watak Cik Yah beri teguran ‘mak-mak’ melalui TikTok

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Lazimnya, teguran dan nasihat daripada seorang ibu adalah yang terbaik dalam mendidik anak-anak supaya mereka menjadi insan berguna suatu hari nanti.

Bukan menidakkan peranan bapa namun mungkin disebabkan naluri keibuan yang lebih lembut dan memahami membuatkan golongan hawa itu lebih dekat dengan si anak.

Mengambil kira faktor itu, Amar Reza Zainalabidin, 27, mencipta karakter Cik Yah melalui aplikasi animoji yang digambarkan sebagai seorang ibu berusia 55 tahun sebagai cara menyampaikan mesej, informasi, maklumat serta pengajaran kepada masyarakat melalui medium media sosial.

“Saya gambarkan Cik Yah adalah seorang ibu kepada tiga anak iaitu Sepul, Dayah dan Faiz serta merupakan pengerusi Persatuan Bini-Bini Tak Berlaki dan menetap di Kampung Gajah Termenung.

“Jadinya, apabila seorang ibu atau lebih tua yang dikatakan ‘lebih banyak makan garam’ menegur, ia tidak menjadi masalah besar berbanding watak orang muda yang lebih mudah dipertikaikan,” katanya kepada Bernama.

Cik Yah yang mempunyai 145,000 pengikut di TikTok dan 52,000 pengikut di Instagram mula dikenali selepas beberapa episod videonya seperti ‘Mak-mak Bila Kejut Bangun Sahur’, ‘Mak-mak Bila Naik Kereta’, ‘Mak-mak Bila Tetamu Nak Datang’ dan ‘Makcik-makcik Bila Pergi Majlis’ tular menerusi media sosial sejak dimuat naik pada Mac lepas.

Antara paling mencuri tumpuan adalah kandungan video berdurasi 5 minit 8 saat yang memaparkan telatah Cik Yah dengan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai Bantuan Geran Khas Prihatin (GKP 4.0) yang berjaya menarik lebih 35,000 tontonan sejak dimuat naik menerusi Instagram pada 21 Sept lepas.

Amar Reza yang juga pelakon suara Cik Yah berkata hampir 50 peratus karakter Cik Yah yang dilakonkan semula itu menyerupai gaya ibunya, Hanizah Abdul Hamid, 50, sekali gus menjadikannya sebagai pusat rujukan utama dan nasihat dalam setiap cerita.

“Saya suka memerhati, jadi, setiap video saya akan dinilai terlebih dahulu oleh ibu sebelum dimuat naik ke media sosial. Biasanya, ibu akan beri pendapat apa perlu ditambah baik dari sudut pandangan seorang ibu dan wanita yang berusia.

“Sebabnya, saya sebagai orang muda masih belum mencapai fasa mereka dan hanya melakonkan semula. Saya tidak mahu karakter itu dilihat sangat ‘plastik’, keterlaluan atau tidak kena dengan gaya mak-mak,” katanya yang mengalami batuk hampir dua bulan gara-gara menghasilkan suara Cik Yah.

Bercerita lanjut, pensyarah Komunikasi dan Seni Persembahan di Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing itu berkata karakter Cik Yah juga tidak ketinggalan menerima kecaman hebat daripada warganet gara-gara sikapnya yang sinis dan menjengkelkan serta bersuara lantang.

“Ketika awal-awal Cik Yah muncul di TikTok, karakternya bersifat mencemuh seni namun itu juga yang menjadikannya cepat dikenali. Niat saya hanyalah untuk menyampaikan mesej dan pengajaran tetapi disalah erti.

“Situasi itu menyebabkan Cik Yah dimarah dan dikritik selain turut diugut bunuh serta disimbah asid sehingga memberi kesan kepada tahap kesihatan mental saya,” katanya yang enggan mengaku kalah dan menyifatkannya sebagai asam garam yang perlu dilalui.

Tambah Amar Reza, setiap video yang dihasilkan mengambil masa satu hingga tiga hari untuk disiapkan dan setiap idea ditonjolkan berdasarkan situasi semasa yang berlaku dalam masyarakat sekeliling.

Dalam pada itu, anak kelahiran Kuala Lumpur itu berharap Cik Yah akan menjadi satu watak yang dikenali sepertimana karakter animasi lain pada masa akan datang.

“Saya berharap ada pihak dapat membantu saya mengembangkan animoji Cik Yah dalam menjadi siri animasi yang berfokus kepada golongan remaja dan dewasa serta terus kekal relevan,” katanya yang turut menerima permintaan daripada pihak swasta dan badan bukan kerajaan dalam menghasilkan video kempen kesedaran.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

ATM ‘haram’ TikTok

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 JUL: Kementerian Pertahanan Malaysia mengharamkan semua anggotanya memuat naik video melalui aplikasi TikTok dengan berpakaian uniform berkuatkuasa hari ini.

Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui kenyataan berkata, pihaknya mendapati penggunaan aplikasi TikTok menjadi semakin tular dalam kalangan warga ATM.

“Ia dilihat menjejaskan mutu perkhidmatan ATM dan oleh itu, adalah diingatkan bahawa di bawah Perintah Am ATM Bil 3/2013 : Garis Panduan Media Sosial ATM, warga ATM bertanggungjawab mematuhi tatacara dan kriteria semasa memuat naik kandungan ke media sosial.

“Antaranya ialah tidak menjejaskan imej ATM, kedua, tidak mempunyai niat secara sengaja atau tidak bagi mengaibkan individu ataupun kumpulan tertentu dan terakhir ialah tidak memuat naik gambar yang melambangkan anda sebagai tentera,” katanya.

COOC dalam kenyataan sama turut mengingatkan anggotanya bahawa mereka bukanlah artis dan menjadi bahan publisiti murahan.

“Berhenti memalukan diri sendiri dan ATM,” demikian tegas kenyataan tersebut.