Categories
AGENDA NASIONAL

Pengeluar arak mohon tempoh seminggu tukar nama ‘Timah’

PUTRAJAYA, 28 OKT: Syarikat pengeluar minuman beralkohol tempatan jenama ‘Timah’ mempertimbangkan untuk menukar nama dan imej pada label produk arak keluaran mereka, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Perkara itu dinyatakan dalam satu mesyuarat yang dipengerusikannya secara hibrid semalam melibatkan beberapa menteri dan wakil syarikat pengeluar minuman tersebut iaitu Winepak Corporation (M) Sdn Bhd.

Turut serta dalam mesyuarat berkenaan ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.

“Melalui perbincangan yang telah diadakan, syarikat Winepark telah memohon tempoh satu minggu untuk berbincang dengan pemegang saham dan lembaga pengarah mereka bagi menukar nama dan imej pada label produk arak keluaran mereka,” kata Nanta dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau pertemuan secara hibrid itu diadakan dalam suasana harmoni dengan menghayati konsep Keluarga Malaysia bagi mencapai satu kesepakatan demi kebaikan negara.

Nanta berkata kerajaan mengambil maklum dan prihatin terhadap isu jenama ‘Timah’ itu yang dibincangkan di platform media sosial sejak ia dilancarkan awal bulan ini.

Isu arak mengguna pakai jenama ‘Timah’ menimbulkan kontroversi kerana didakwa tidak menjaga sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.

Pada 18 Okt lepas, Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor dilaporkan menggesa kerajaan supaya mengarahkan syarikat pengeluar minuman beralkohol untuk segera menukar jenama ‘Timah’ berserta gambar pada botol yang digunakan, demi memelihara suasana harmoni di antara pelbagai kaum di negara ini.

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Kementerian Kesihatan pada 22 Okt pula memaklumkan syarikat pengeluar minuman itu tidak memohon sebarang khidmat nasihat label daripada pihaknya serta menegaskan bahawa BKKM tidak memberi apa-apa kelulusan berkaitan pelabelan.

Menurut Nanta pertemuan secara hibrid semalam dibuat susulan pertemuan pertama yang telah diadakan antara syarikat Winepak bersama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada 25 Okt lepas.

– BERNAMA