Categories
AGENDA NASIONAL

Mazlan Lazim dilantik timbalan ketua polis negara

PUTRAJAYA, 25 JUN: Datuk Seri Mazlan Lazim dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa hari ini, umum Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Mazlan, 59, yang sebelum perlantikan terkini adalah Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, mengisi kekosongan jawatan Timbalan Ketua Polis Negara yang ditinggalkan oleh Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani selepas dilantik sebagai Ketua Polis Negara Mei lepas.

Hamzah berkata pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dengan nasihat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

“Bagi pihak kerajaan, setinggi-tinggi terima kasih diucapkan kepada Yang di-Pertuan Agong atas perkenan baginda terhadap pelantikan ini.

“Tahniah dan syabas kepada Mazlan kerana dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Polis Negara,” katanya pada sidang media di sini hari ini. Turut hadir Acryl Sani.

Dilahirkan di Kuala Kedah, Mazlan memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi Sumber.

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Kelantan sebelum dilantik mengetuai kontinjen itu, Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Polis Kuala Lumpur.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Acryl Sani dilantik pemangku timbalan ketua polis negara

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai pemangku timbalan ketua polis negara berkuat kuasa hari ini.

Acryl Sani menggantikan Datuk Mazlan Mansor yang bersara wajib bermula esok.

Majlis serah terima tugas jawatan nombor dua tertinggi dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berlangsung di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab PDRM di Cheras dekat sini hari ini, disaksikan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Acryl Sani berpengalaman luas dalam bidang kepolisan dan pernah mengetuai beberapa jabatan di Bukit Aman antaranya Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Jabatan Sumber Strategik serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).

Sementara itu, Abdul Hamid menjelaskan Acryl Sani dilantik untuk memangku sementara menunggu surat perkenan pelantikan beliau daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis berkenaan, Abdul Hamid berkata dua jawatan tertinggi dalam PDRM memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum pelantikan boleh disahkan.

“Saya tidak boleh mendahului Seri Paduka kerana itulah Acryl Sani dilantik memangku jawatan berkenaan (Timbalan Ketua Polis Negara) terlebih dahulu,” katanya.

Mengulas pelantikan itu, Abdul Hamid berkata Acryl Sani mempunyai pengalaman yang cukup luas selain mencatat banyak kejayaan sepanjang perkhidmatannya termasuk dalam membanteras kegiatan penyeludupan.

Kejayaan-kejayaan ini katanya telah menyelamatkan negara daripada kerugian berbilion ringgit.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

KDN bincang calon Ketua Polis Negara, Timbalan dalam masa terdekat

SEMENYIH, 9 FEB: Senarai calon bagi mengisi jawatan ketua polis negara dan timbalannya akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, satu perbincangan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan dibuat bagi memilih calon untuk kedua-dua jawatan penting badan keselamatan negara itu.

“Kita akan putuskan nanti pengganti bagi kedua-dua jawatan penting dalam (pasukan) polis. Insya-Allah saya akan berbincang dengan Perdana Menteri (Dr Mahathir) dan akan diputuskan dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang media, di sini hari ini, lapor BERNAMA.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mempengerusikan mesyuarat bersama Jawatankuasa BERSATU Hulu Langat dan ketua kampung serta menziarahi keluarga mantan Anggota Dewan Negeri (ADN) Semenyih, Allahyarham Bahtiar Mohd Nor.

Sebelum ini, dilaporkan kontrak perkhidmatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Timbalannya, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim akan tamat pada Mei ini.

Sementara itu, ditanya tentang isu gejala dadah ketika ini, Muhyiddin secara peribadi mengakui masalah terbabit semakin membimbangkan.

“Trend dadah membimbangkan kerana ada dadah jenis baharu dan sudah tersebar luas serta membabitkan orang awam serta golongan bawah umur 18 tahun.

“Bagaimanapun, KDN (Kementerian Dalam Negeri) bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mempunyai rancangan khusus yang berterusan untuk menangani masalah itu,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan sebanyak 115,000 kes dadah dikesan bagi tempoh 2014 hingga tahun lalu dengan 3.2 peratus atau 3,680 kes membabitkan golongan bawah 18 tahun.

Categories
NASIONAL

Najib bakal hadapi 21 pertuduhan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 SEPT: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bakal menghadapi 21 pertuduhan membabitkan AS$681 juta (RM2.8 bilion), kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Beliau berkata, sembilan dan lima pertuduhan masing-masing membabitkan penerimaan wang haram dan penggunaan wang haram.

Manakala, katanya, tujuh pertuduhan lagi membabitkan pemindahan wang haram ke entiti lain.

“Tangkapan dan pertuduhan ini dilakukan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Noor Rashid berkata, Najib akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur jam 3 petang ini, untuk proses pertuduhan oleh Timbalan Pendakwa Raya mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahkan untuk menahan bekas Perdana Menteri itu di perkarangan ibu pejabat Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman di Menara KPJ, di sini, hari ini selepas sahaja mendapat persetujuan Jabatan Peguam Negara.

Terdahulu, Najib dibawa ke ibu pejabat AMLA bagi dirakam percakapannya berhubung siasatan mengikut Seksyen 4(1) AMLATFA 2001.

Kehadiran Najib ke ibu pejabat itu bertujuan membantu siasatan oleh pihak polis yang bekerjasama dengan pasukan penyiasat SPRM berhubung siasatan kes sama.