Categories
NASIONAL

Azmin: Kenyataan Takiyuddin tidak bertanggungjawab

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Kenyataan setiausaha agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang mempersoalkan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim sesuai menjadi perdana menteri kerana berstatus banduan, disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kenyataan itu juga adalah tidak adil kerana presiden PKR itu telah menerima pengampunan diraja.

“Umum sedia maklum bahawa pertuduhan terhadap Datuk Seri Anwar sejak 1998 itu merupakan pertuduhan politik yang akhirnya membawa kepada pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Kita mungkin mempunyai pandangan politik berbeza tetapi kita harus berpegang kepada fakta dan kenyataan bahawa kemelut ini telah diselesaikan dengan baik demi kepentingan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di sini hari ini.

Ketika berucap pada kempen PRK Sandakan Rabu lalu, Takiyuddin mempersoalkan sama ada rakyat mahu seorang bekas banduan seperti Anwar sebagai perdana menteri.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin mengingatkan PAS untuk menyelesaikan masalah dalaman parti itu tanpa mengaitkannya dengan pihak lain, termasuk isu kartel dedak yang didedahkan baru-baru ini.

“Saya bukan ahli PAS. Saya tidak terlibat dengan apa yang berlaku dalam PAS. Saya kira itu masalah dalaman mereka dan mereka perlu selesaikan.

“Saya lihat kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) menyatakan beliau tidak memberi restu, jadi kalau ayah tak memberi restu kepada anak, saya tak fahamlah. Kena selesaikan cara mereka,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Zaharudin yang juga bekas anggota Majlis Syura Ulama PAS mendedahkan wujudnya ‘kartel dedak’ dipercayai merujuk kepada kumpulan dalam parti itu yang didakwa menerima dana daripada UMNO.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Jangan terpengaruh propaganda UMNO

OLEH NORHAYATI UMOR

SEMENYIH, 28 FEB: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mahu semua pihak supaya tidak terpengaruh dengan propaganda meraih simpati yang dibuat UMNO.

Katanya, hal itu kerana tindakan terbabit dilihat sengaja digunakan untuk menakutkan pengundi, di Semenyih khususnya.

“Jangan terpengaruh dengan mereka. Bossku (Najib) datang naik teksi, bawa motosikal dan basikal. Jangan lupa dulu dia naik ‘private’ jet.

“Jangan terpengaruh apa yang kita lihat. Jangan lupa semua masalah negara dari dia kita yang tanggung.

“Mahu takutkan orang Melayu sebab di Semenyih ada 68 peratus Melayu, mereka kerjasama dengan PAS, cakap jangan undi Pakatan Harapan (PAKATAN) nanti DAP yang ‘control’,” katanya yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Beliau berkata demikian pada ceramah Rapat Rakyat, di Pusat Daerah Mengundi, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, katanya, kenyataan berbaur hasutan bahawa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan mengendalikan Tabung Haji dan menyebabkan hilang subsidi menunaikan haji tidak benar.

Katanya, kerajaan tidak akan sesekali mengkhianati umat Islam yang mahu menunaikan haji setiap tahun.

“Jangan lupa, Tabung Haji hilang RM4 bilion, itu siapa punya kerja? Pemimpin UMNO. Kenapa curi duit tapi salahkan PAKATAN?

“Begitu juga dengan FELDA. Siapa yang curi? Pemimpin UMNO…tadi selama lima jam saya bermesyuarat bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan isu FELDA ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Semenyih pesat membangun di bawah PAKATAN – Azmin

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEMENYIH, 25 FEB: Terletak di pinggir bandar bukanlah alasan buat Kerajaan Negeri untuk mengabaikan Semenyih, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Mohamed Azmin Ali.

Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, sebaliknya sumber kekayaan ekonomi Selangor tetap disalurkan kepada segenap negeri itu tanpa mengira kampung mahupun bandar.

“Ketika mula mentadbir Selangor pada 2008 pada waktu itu kita bukan hanya mahu majukan bandar besar seperti Subang sahaja, sebaliknya tetap membela masyarakat di Semenyih dan membuat perubahan dengan pembangunan kemajuan di sini.

“Ini kerana orang kampung juga berhak mendapat pembelaan dan jika dilihat pada hari ini, Gombak pun tidak semaju seperti Semenyih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Ceramah Rapat Rakyat Semenyih bertempat di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi BERSATU Selangor, Dato’ Abdul Rashid Asari.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga mantan Dato’ Menteri Besar berkata, kemajuan yang semakin pesat dikecapi Semenyih turut mengejutkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, perkara terbabit turut diperkatakan Dr Mahathir ketika mesyuarat bersama ahli kabinet di Putrajaya.

“Oleh sebab itu selepas kita mengambil alih Selangor daripada Barisan Nasional, cukup dalam tempoh empat tahun Selangor sudahpun kaya walaupun pada ketika itu saya ‘diserang’ setiap malam.

“Puan yang datang minggu ini kononnya naik teksi dan motor tetapi ketika orang Semenyih susah dulu, mereka lupa sehingga naik jet peribadi.

“Saya yakin penduduk Semenyih akan membuat pilihan tepat dengan mengundi Calon Pakatan harapam, Muhammad Aiman Zainali bagi pilihan raya kecil kali ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

Najib bukan ‘bossku’ tapi ‘pencuriku’

OLEH NORHAYATI UMOR

SEMENYIH, 13 FEB: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dianggap bukan seorang ‘hero’ kerana menanguhkan perbicaraannya dalam kes membabitkan pecah amanah, menyalahguna kedudukan dan pengubahan wang haram.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohammed Azmin Ali berkata, ‘bossku’ tidak seharusnya menangguhkan kes jika beliau benar yakin tidak bersalah.

“Hanya sekarang dia menunggang basikal, makan roti canai, pakai kain sarung walaupun salah dan naik teksi. (Sebelum ini) pergi Cameron Highland, sekarang saya nak lihat beliau cuba di Semenyih pula.

“Orang Melayu di Semenyih tidak sama seperti di Cameron Highlands. Mereka bukan Melayu Pekan. Itulah sebabnya saya mahu lihat jika ‘bossku’ datang ke sini atau tidak,” katanya pada Majlis
Pelancaran Bilik Gerakan Wanita, di Beranang, malam tadi.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu turut menyifatkan Najib bukan bos tetapi pencuri dan mahu rakyat melihat siapa pengkhianat dalam kalangan orang Melayu sendiri.

“Jika parti itu, ahli dan pimpinannya jujur, kami akan menyokong mereka tetapi jika pemimpin itu seorang kleptokrat, adakah kita menyokongnya? Jika beliau pencuri, kami menyokongnya? Jika pemimpin rasuah, beliau bos kita?

“Jawapannya tidak! Pada saya, beliau bukan ‘bossku’ tetapi ‘pencuriku’. Saya akan tunggu kamu di Semenyih, saya akan mengejar kamu dan menangkap kamu dan mendedahkan kamu sebagai pencuri di negara ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa semua jemaah menteri supaya bekerja kuat dan memastikan amanah rakyat dipikul dengan sebaiknya.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) terutama di Selangor tidak mencuri tanah atau hasil balak, sebaliknya membina rumah mampu milik untuk rakyat.

“Enam hari sebelum Allahyarham Bakthiar Mohd Noor meninggal dunia, saya dan beliau dipanggil untuk merasmikan rumah mampu milik di sini kerana pada 2015 ketika menjadi Dato’ Menteri Besar, saya meletakkan batu asas.

“Saya mahu tauke besar jangan buat rumah mahal. Nak bina rumah mahal kena ada rumah murah. Bossku berani tak cakap dengan tauke? UMNO kalau letak batu asas sampai jadi batu nisan. Hospital Pendang tiga kali Najib letak batu asas tapi sampai sekarang yang ada hanya batu nisan.

“Kita buat rumah mampu milik dengan harga RM100,000. Bossku boleh buat? Tengok Pekan ada rumah mampu milik? Tak ada…,”katanya.

Categories
NASIONAL

Azmin nafi khabar angin bakal dipecat KEADILAN

OLEH AFIX REDZUAN

SEPANG, 12 FEB: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan kononnya beliau akan dipecat daripada parti, seperti yang tersebar.

Katanya, penggunaan laman sosial secara meluas pada masa kini memudahkan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan berita tidak benar.

“Banyak sangat khabar angin kerana ada pihak tidak bertanggungjawab, jadi untuk menyelesaikan masalah ini jangan kita mudah percaya dengan khabar angin.

“Sekarang dengan teknologi baharu seperti media sosial, terlalu mudah pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu,” katanya.

Khabar angin yang mendakwa Mohamed Azmin bakal dipecat daripada KEADILAN tersebar dan tular di media sosial malam tadi, termasuk melalui Facebook serta Twitter.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan dari mana khabar angin itu muncul kerana kebanyakan hantaran di media sosial sering menyebarkan dakwaan tanpa sumber sahih.

Categories
SELANGOR

Azmin yakin PAKATAN kekal di Semenyih

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 9 FEB: Pakatan Harapan (PAKATAN) diyakini mampu mengekalkan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih meskipun wujud kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia dilihat berdasarkan prestasi cemerlang ditunjukkan PAKATAN sepanjang beliau memegang jawatan Dato’ Menteri Besar di Selangor.

Katanya, beberapa perkara berbangkit di kawasan berkenaan menjadi isu utama untuk ditangani PAKATAN demi meneruskan kemenangan parti itu.

“Ini masa untuk kita kembali dan terus bersama rakyat bagi memastikan sokongan pengundi berpihak kepada kita.

“Pembangkang mahu bentuk kerjasama, itu adalah tanggungjawab dan cadangan strategi mereka.

“PAKATAN sudah membuktikan bahawa pembangunan di Selangor memberi manfaat kepada semua rakyatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Hi Tea Pimpinan KEADILAN Bersama Srikandi KEADILAN, di Hotel Empire, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor, Amirudin Shari; Timbalan Ketua Wanita KEADILAN, Dr Daroyah Alwi; Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Elizabeth Wong.

Pada masa sama, Mohamed Azmin menyatakan komitmen untuk berkampung di Semenyih bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PAKATAN.

“Saya sudah sihat, badan saya bertambah ringan, jadi mudah untuk saya bergerak.

“Semenyih adalah sebahagian dari Selangor dan Selangor tetap di hati saya,” katanya.

Pilihan Raya Kecil DUN Semenyih akan diadakan pada 2 Mac ini berikutan kematian penyandangnya dari PAKATAN, Mohd Bakhtiar Mohd Nor, 11 Januari lalu.

Categories
NASIONAL

Terjemah laungan reformasi dalam pembangunan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 NOV: Laungan ‘Reformasi’ bukan hanya dilaung sebagai slogan, sebaliknya perlu
diterjemahkan dalam agenda pembangunan.

Justeru, Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kabinet Menteri perlu memastikan tindakan itu dilaksana dan diteruskan.

“Amanah sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi menggubal Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) berjaya menterjemahkan agenda reformasi itu.

“Kita mahu mengembalikan Malaysia menjadi Harimau Asia yang berwibawa, kerajaan dipertahankan, urus tadbir baik dan menentang rasuah habis-habisan.

“Dalam rangka lawatan kerja saya ke negara luar, mereka percaya dan meletakkan harapan tinggi bahawa Malaysia akan mengangkat ekonomi rantau asia kerana Pakatan Harapan mula melaksanakan agenda reformasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan sempena Kongres Nasional KEADILAN ke-13, di IDCC, di sini.

Mohamed Azmin berkata, sebagai parti terbesar dalam kabinet, isu perumahan dan kesihatan antaranya diberi perhatian serta menjamin keadilan sosial dalam masyarakat.

“Begitu juga sebagai parti reformasi. Mahu prinsip agama dipertahankan, tolak fahaman agama yang radikal dan tunjukkan bagaimana KEADILAN boleh memimpin kaum yang pelbagai ini dengan rencam,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Isu e-Undi kerana masih baru, kaji penambahbaikan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 NOV: Isu berbangkit dalam proses undian sistem e-Undi merupakan perkara normal memandangkan kali pertama ia dilaksanakan.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, KEADILAN akan mengkaji untuk penambahbaikan sistem terbabit.

“Sebagai sistem baru tentu banyak kelemahan tetapi saya ucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) kerana sedaya upaya melaksanakan dengan baik dan kita sedia menambah baik sistem ini di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kongres Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dan Wanita KEADILAN 2018 di IDCC di sini, hari ini.

Katanya, pada pemilihan kali ini JPP berjaya mengendalikan kira-kira 150,000 anggota parti itu membuat pilihan masing-masing.

Sebelum ketibaan Mohamed Azmin disambut meriah dengan paluan gendang dan beberapa pengiring berbusana lengkap pendekar Melayu.

Beliau diiringi Ketua AMK sesi 2014-2018, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Wanita KEADILAN (2014-2018), Zuraida Kamaruddin.

Turut hadir pada acara perasmian itu, Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Ketua baru kedua-dua sayap parti itu akan diumumkan secara rasmi dalam kongres masing-masing pada esok hari.

Categories
NASIONAL

Reformasi kini berada pada era pelaksanaan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 NOV: Selaras dengan KEADILAN yang kini berada dalam era pelaksanaan reformasi, ahli parti itu dituntut melakukan anjakan minda.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana reformasi bukan lagi sekadar slogan, sebaliknya agenda pembangunan negara.

Katanya, anjakan minda untuk memiliki pemikiran positif dan mencari penyelesaian kepada permasalahan perlu dilakukan.

“Ahli KEADILAN dan reformis yang mencetuskan pembaharuan dan reformasi harus mengambil iktibar. Anak Muda dan Wanita KEADILAN menggalas tanggungjawab besar menggilap idealisme dan mewarisi sebuah perjuangan rakyat yang luhur.

“Filasuf Karl Popper menegaskan: ‘All life is problem solving’. Maka, kita jangan membuang masa untuk berleter mengenai masalah.

“Peradaban manusia hanya akan maju dengan menyelesaikan masalah. Begitu juga dengan KEADILAN dan Pakatan Harapan. Kita akan maju dengan menyelesaikan masalah rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar di Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan AMK dan Wanita 2018, di IDCC, di sini.

Hadir sama, Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin; Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Ketua Wanita, Haniza Talha.

Mohamed Azmin berkata, pentadbiran Malaysia Baharu mengambil langkah tegas melaksanakan reformasi institusi sekali gus, cita-cita itu terpahat dalam dokumen Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini.

“Pentadbiran Malaysia Baharu mengambil langkah-langkah tegas melaksanakan reformasi institusi.

“Selepas 20 tahun kita memperjuangkan reformasi, cita-cita itu kini terpahat dalam dokumen Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Azmin nafi umum menang Timbalan Presiden, media salah lapor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 NOV: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menafikan beliau membuat pengumuman akan kemenangannya terlebih dahulu.

Sebaliknya, beliau hanya menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada anggota parti yang berjaya meneruskan agenda reformasi tulen.

“Itu sebab media yang beri laporan tidak tepat. Saya tidak pernah mengatakan saya menang sehingga Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) mengumumkan secara rasmi.

“Ada pihak tersilap membuat laporan. Saya maafkan tetapi saya harap lain kali berhati-hati kerana saya tetap mematuhi peraturan parti,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan AMK dan Wanita 2018, di IDCC, di sini.

Terdahulu, Mohamed Azmin dikatakan mengumumkan kemenangannya itu dilaman Twitternya.

Ia dibuat berdasarkan keputusan tidak rasmi yang dikumpul sejak hari pertama pemilihan parti itu melibatkan kesemua negeri.

Keputusan tidak rasmi itu turut mengambil kira hasil pengundian di Cabang Julau, Sarawak yang digantung oleh JPP KEADILAN akibat sistem pengundian elektronik digodam.

Categories
NASIONAL

Azmin mahu ahli parti kukuhkan perpaduan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 NOV: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyeru semua ahli parti supaya memberi tumpuan memperkukuhkan perpaduan parti selepas pemilihan berakhir.

Katanya, hal itu kerana perpaduan dalaman yang utuh menjadi benteng kepada ancaman luar.

Beliau turut memetik kata-kata bekas Perdana Menteri Britain, Sir Winston Churchill, yang mengingatkan semua bahawa apabila tiada musuh dalaman, musuh di luar tidak akan mampu mencederakan mereka.

“Saya ingin mengucapkan syabas kepada lebih 150,000 ahli Keadilan yang melaksanakan tanggungjawab demokrasi untuk memilih kepemimpinan parti baru-baru ini.

“Proses ini meletihkan kerana ia adalah satu proses pemilihan yang paling lama dalam dunia dan satu maraton.

“Pimpinan dan calon-calon yang menawarkan khidmat untuk berbakti kepada perjuangan bertebaran di seluruh pelusuk negara dari Sungai Petani ke Johor Bahru, Gombak ke Pandan dan merentasi Laut Cina Selatan untuk berkampung di Tawau, Pensiangan dan Julau,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar di Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan AMK dan Wanita 2018, di IDCC, di sini.

Hadir sama, Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin; Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Ketua Wanita, Haniza Talha.

Mohamad Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, semangat yang ditunjukkan semua ahli parti perlu diteruskan bagi mengukuhkan perjuangan parti, lebih lagi dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak tidak lama lagi.

“KEADILAN bukan sekadar mahu mengekalkan kemenangan parti itu di Ba’kelalan, Kerian dan Batu Lintang, tetapi juga menambah majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

“Saya ingin mengajak saudara saudari, selesai kongres mari kita berkampung semula di Sarawak kerana saya lihat rakyat Sarawak sedang menanti kehadiran KEADILAN untuk membawa perubahan dalam Pilihan Raya di negeri,” katanya.

Categories
NASIONAL

Heret dalang politik wang ke SPRM

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 NOV: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berharap dalang yang mengamalkan politik wang dalam pemilihan parti diheret ke muka pengadilan

Bercakap dalam satu majlis bersama anggota parti di Kuching Sarawak semalam, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menahan dan menyiasat aduan yang sudah dilaporkan.

“Saya mahu SPRM teruskan siasatan bukan sahaja melihat kepada siapa yang terbabit tetapi siasat siapa dalang untuk dihadapkan ke muka pengadilan, jangan runtuhkan apa yang kita bina selama 20 tahun.

“Jangan kerana kerakusan nak letakkan anak kamu, nak letak pakcik kamu, nak letak bapa saudara kamu, nak letak bapa kamu, kamu hina anggota yang lama berjuang menegakkan keadilan di bumi Kenyalang,” katanya.

Sebelum ini terdapat dakwaan wujudnya politik wang membabitkan pihak tertentu bagi meraih undi dalam Pemilihan KEADILAN 2018.

Ia turut disusuli dengan beberapa aduan berhubung senarai daftar pemilih anggota parti serta penagguhan proses pengundian, di beberapa cabang.

Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menghina aggota lama parti yang sudah lama berjuang sejak 20 tahun lalu.

Selain itu, beliau turut menggesa anggota parti untuk keluar menjalankan tanggungjawab dalam pemilihan parti, hujung minggu ini.