Categories
AGENDA NASIONAL

Pemilihan timbalan speaker Dewan Rakyat ditangguh lagi

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Usul pemilihan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang dijadualkan hari ini sekali lagi ditangguhkan.

Usul penangguhan tersebut dibuat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mencadangkan usul yang berada di perkara nombor 1 dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini, ditangguh ke persidangan akan datang.

“Bahawa menurut Peraturan Mesyuarat 90 (2) dengan persetujuan Tuan Yang Dipertua, saya mengemukakan usul untuk menghentikan kuat kuasa Aturan Mesyuarat 6 iaitu bagi menangguhkan pemilihan timbalan speaker ke mesyuarat kedua yang akan datang,” katanya.

Usul itu kemudian dipersetujui secara sebulat suara oleh ahli dewan.

Pada 23 Ogos tahun lepas, Azalina melepaskan jawatan itu, namun tetap menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sementara, sepanjang tempoh persidangan itu berlangsung.

Ketika persidangan pada 25 Oktober, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ditangguhkan ke persidangan akan datang.

Menurut Wan Junaidi, usul perkara itu pada asalnya disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat yang lepas tetapi ditangguhkan bagi membolehkan pindaan Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan dibuat untuk menambah jumlah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada dua kepada tiga orang.

Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Dewan Rakyat hendaklah dari semasa ke semasa memilih dua orang Timbalan Yang Dipertua daripada kalangan Ahli Dewan Rakyat.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pinda perlembagaan lantik pembangkang jadi timbalan speaker Dewan Rakyat

SHAH ALAM, 14 SEPT: Kerajaan akan meminda Perkara 57 Perlembagaan Persekutuan untuk menambah jawatan timbalan yang dipertua Dewan Rakyat kepada tiga dengan satu daripadanya diisi wakil pembangkang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata atas sebab itu kerajaan memohon pemilihan timbalan yang dipertua baharu yang sepatutnya diadakan hari ini ditangguhkan.

Menurut Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, penangguhan itu bagi membolehkan kerajaan meminda Perkara 57(1)(b) untuk memilih tiga timbalan yang dipertua berbanding dua pada masa ini.

“Walaupun dalam perlembagaan tidak tetapkan siapa menjadi timbalan kerana dipilih ahli Dewan Rakyat, maka kita akan buat peraturan seorang daripada tiga disandang wakil pembangkang.

“Saya sudah berbincang dengan Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) supaya pindaan ini dibawa pada sidang ini untuk bacaan kali pertama dan dilulus Oktober depan,” katanya.

Usul menangguhkan pemilihan itu yang dibawa oleh Wan Junaidi diluluskan Dewan Rakyat selepas mendapat sokongan majoriti ahli dewan.

Satu daripada dua jawatan timbalan yang dipertua Dewan Rakyat kosong susulan peletakan jawatan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said pada 23 Ogos lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Usul pilih timbalan speaker baharu antara fokus Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Pemilihan timbalan yang dipertua Dewan Rakyat yang baharu adalah antara tumpuan persidangan Parlimen hari ini.

Pemilihan jawatan yang dikosongkan Datuk Seri Azalina Othman Said itu mendahului senarai usul Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul pada persidangan Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang berlangsung selama 17 hari mulai semalam.

Usul itu dibuat susulan Azalina yang merupakan ahli parlimen Pengerang, meletak jawatan pada 23 Ogos.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon pada Ahad memaklumkan kepada Bernama, nama calon daripada blok pembangkang dan kerajaan telah diterima dan sekiranya terdapat lebih daripada seorang calon, undi belah bahagian akan dijalankan.

Setakat ini dua nama disebut-sebut bakal dicalonkan iaitu Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan yang merupakan calon blok kerajaan dan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming calon Pakatan Harapan (PH).

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat yang bermula 10 pagi itu, akan dimulakan dengan sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri disusuli sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan sebelum diteruskan dengan usul menjunjung kasih dan perbahasan Titah Diraja.

Persoalan sama ada kerajaan akan menyemak semula dasar program “Malaysia My Second Home” (MM2H) dan industri ekonomi berkaitan terhadap syarat-syarat baharu program itu, merupakan antara tumpuan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri.

Turut dibangkitkan adalah soalan berkaitan sasaran kerajaan bagi mencapai tahap penyediaan katil hospital yang lebih tinggi untuk kemudahan kesihatan lebih selesa dan mengenai kadar pengangguran rakyat sehingga Ogos tahun ini.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada Selasa adalah mesyuarat pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Istiadat pembukaan Parlimen yang berlangsung semalam disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Parlimen sedia bersidang secara maya, belum ada tarikh

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Parlimen mempunyai kelengkapan yang mencukupi untuk melaksanakan persidangan Dewan Rakyat secara hibrid pada bila-bila masa, jika diperlukan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, pihak Parlimen juga dalam proses perolehan untuk menambah bahagian teknikal lain yang diperlukan.

“Sudah pasti cukup bersedia dan kelengkapan yang ada adalah mencukupi, kita sedang melakukan penambahan bagi melaksanakannya (persidangan secara hibrid),” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata, sehingga kini belum ada tarikh tertentu untuk Dewan Rakyat bersidang dan ia akan mengikut Peraturan Mesyuarat, yang menetapkan keperluan memberi notis 28 hari sebelum persidangan bermula.

“Kita serah kepada hemat Ketua Majlis untuk pelaksanaan berikutnya,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan persidangan Parlimen secara hibrid adalah norma baharu dan tidak mustahil serta akan menjadi sejarah kepada Malaysia, ketika berdepan pandemik Covid-19.

“Ia juga adalah cabaran baharu kepada Speaker, apabila kita akan berhadapan dengan ‘monitor-monitor’ untuk melihat Ahli-ahli Parlimen,” katanya.

Mohd Rashid berkata, sekiranya berlaku persidangan Dewan Rakyat secara hibrid, terdapat beberapa peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang perlu dipinda, contohnya proses undian, dan semua pindaan yang diperlukan akan dimasukkan sebagai satu Senarai Tambahan (Addendum) kepada Peraturan Mesyuarat sedia ada.

“Satu contoh lagi, Parlimen melihat kepada Perlembagaan Persekutuan Perkara 62 Tatacara Parlimen.

“Pada 62(5) ada disebut Ahli-ahli yang tidak hadir di dalam sesuatu Majlis Parlimen tidaklah dibenarkan mengundi. Tetapi ia dibaca juga pada 62(1) iaitu tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini dan peruntukan undang-undang persekutuan, setiap Majlis Parlimen hendaklah mengawal selia tatacaranya sendiri,” katanya.

Ditanya bilangan Ahli Parlimen yang perlu hadir secara bersemuka di Dewan Rakyat sekiranya pindaan dilakukan, Mohd Rashid berkata bilangan minimum untuk cukup korum bersidang ialah 26 Ahli Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Dewan Rakyat (dengan petua Speaker) pernah membuat ketetapan sehingga 80 maksimum (keberadaan di dalam Dewan Rakyat) tetapi jumlah sebenar dan kaedah masih diperhalusi di peringkat akhir.

-BERNAMA

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Timbalan speaker puji idea ADN Muda, ada potensi dibawa ke sidang DNS

SHAH ALAM, 4 OKT: Idea dilontarkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda sangat menakjubkan dan berpotensi diketengah wakil rakyat ke sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), kata timbalan speakernya .

Hasnul Baharuddin berkata mereka bijak mencari dan mengeluarkan fakta khususnya berkaitan isu semasa serta menjadikan cara penyampaian lebih menarik.

“Kualiti (penyampaian) peserta ADN Muda cukup memberangsangkan malah mereka berani memberikan hujah yang baharu dan bernas dengan menggunakan kemahiran serta ilmu dimiliki.

“Saya percaya, usul ini sedikit sebanyak membantu ADN Selangor sedia ada untuk mencari jalan penyelesaian tuntas terhadap isu mendesak di negeri ini seperti (isu) air,” katanya ditemui selepas Program ADN Muda Virtual di Dewan Annex semalam.

Beliau yang juga ADN Morib berkata individu terlibat juga wajar diberi ruang dan peluang untuk merasai pengalaman berbahas di DNS pada masa akan datang.

“Program ini sebenarnya dimulakan sejak 2014 lagi dan kali ini kita menggunakan pendekatan secara maya bagi mengurangkan penglibatan ramai pihak susulan pandemik Covid-19.

“Selepas ini kita akan cuba berikan masa sekurang-kurangnya dua atau tiga bulan kepada peserta untuk membuat persiapan mengikut isu semasa,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Timbalan Speaker DNS baharu diumum 13 Julai – MB

PETALING JAYA, 4 JULAI: Timbalan Speaker baharu bagi Dewan Negeri Selangor (DNS) diumum pada 13 Julai ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pengumuman itu dibuat ketika sesi pembukaan Sidang DNS serta menegaskan lantikan tidak dibuat mengikut gender mahupun kaum.

“Pemilihan ini dibuat selepas kita mengadakan perbincangan teliti dengan pimpinan tertinggi Kerajaan Selangor, perempuan atau lelaki yang dilantik, itu bukan isunya.

“Begitu juga kita tidak membuat lantikan mengikut kaum tertentu,” katanya selepas Program Team Selangor (TS) Cares di Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Shatiri Mansor dan Pegawai Penyelaras TS, Ahmad Bakrin Sofawi Abu Bakar.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pejabat DNS belum terima surat letak jawatan timbalan speaker

SHAH ALAM, 14 JUN: Pejabat Dewan Negeri Selangor (DNS) belum menerima surat peletakan jawatan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa selaku timbalan speaker, kata Ng Suee Lim.

Beliau berkata berkata surat itu mungkin diserahkan Dr Daroyah Alwi dalam masa terdekat selepas mengumumkan keluar KEADILAN semalam.

“Saya menghormati keputusannya dan merakamkan ucapan penghargaan kerana selama ini memberikan kerjasama serta komitmen yang baik bagi melicinkan perjalanan sidang dewan yang beliau kendalikan,” kata Speaker DNS kepada SelangorKini.

Katanya, pengganti kekosongan jawatan itu akan dilantik Kerajaan Negeri pada hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijadualkan berlangsung pada 13 Jun.

Sidang DNS kali ini dijangka berlangsung selama dua minggu sehingga 24 Julai.

Sebelum itu, Pengerusi KEADILAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari mengecam keras tindakan Dr Daroyah keluar dari parti dan menganggapnya sebagai pengkhianatan kepada rakyat.

Susulan itu, Dato’ Menteri Besar mengecam Dr Daroyah kerana mengkhianati mandat rakyat dan menggesa beliau mengosongkan kerusi berkenaan.

Categories
SELANGOR

Timbalan Speaker baharu diumum sebelum Mac

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 10 DIS: Kerusi Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) akan diisi pada Persidangan DNS pertama tahun hadapan yang dijangka diadakan Mac 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau akan mendapat persetujuan dengan kepimpinan parti peringkat negeri dan pusat sebelum memutuskannya.

“Mohd Khairuddin meletakkan jawatan sebagai Timbalan Speaker pada Jumaat lalu selepas menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Speaker dan akan diisi pada hari pertama persidangan dewan bulan Mac ketika dewan mula bersidang nanti.

“Lama lagi, pada masa ini mimpi (calon) belum dapat lagi tetapi kalau ikut tradisinya ini memang kerusi KEADILAN dan saya harus mendapat persetujuan kepimpinan negeri dan juga pusat terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor di Balairung Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Ketika mengulas pembahagian portfolio, Amirudin berkata, Mohd Khairuddin akan menyandang portfolio Pembangunan Generasi Muda dan Sukan serta Pembangunan Modal Insan.

Sementara itu, portfolio Pendidikan dan Hal Ehwal Agama Islam pula akan diterajui Amirudin sendiri.

“Saya hanya menambah Agama Islam dan Pendidikan di mana saya akan melantik seorang atau dua pembantu EXCO yang akan diumumkan nanti untuk membantu melaksanakan tugas dalam institusi agama Islam di Selangor kerana ia memerlukan kerap turun ke padang,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman hari ini mengangkat sumpah sebagai EXCO yang baru bagi menggantikan Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin yang meninggal dunia, pada 2 Ogos lalu.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Junjung titah nasihat Sultan, DNS mercu tanda demokrasi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 JUL: Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Sue Lim dan Timbalan Speaker, Mohd Khairuddin Othman menjunjung titah nasihat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya menjaga imej Dewan Negeri Selangor (DNS) sebagai mercu tanda demokrasi.

Sue Lim berkata, baginda sangat prihatin terhadap perkembangan DNS yang menjadi contoh kepada dewan-dewan lain di negara ini.

“Suasana mengadap berlangsung dalam suasana ceria, baginda sangat gembira dan prihatin terhadap perkembangan DNS yang selama ini menjadi mercu tanda demokrasi.

“Ia juga menjadi teladan negeri lain sejak 2008 setelah melalui proses reformasi di bawah Dato’ Speaker ketika itu, Dato’ Teng Chang Kim dan selepas itu disusuli dengan Hannah Yeoh.

“Sekarang tiba pula giliran saya dan berharap dapat meneruskan kecemerlangan ini bagi memastikan DNS lain daripada yang lain,” katanya selepas sembah mengadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan di sini, semalam.

Sue Lim berkata, dalam pertemuan berlangsung selama kira-kira satu jam 30 minit itu, baginda turut bertitah supaya kekecohan yang berlaku di Dewan Parlimen baru-baru ini dijadikan iktibar dan perjalanan persidangan hendaklah dikendalikan dengan mengikuti Prosedur Piawaian Operasi (SOP), tertib dan terkawal sejajar dengan kemuliaan DNS.

Katanya, baginda juga menitahkan supaya semua Ahli Dewan Negeri (ADN) mematuhi kod etika pakaian ketika berada di DNS nanti.

“Saya dan timbalan saya sangat banyak menerima nasihat dan kami terima dengan hati terbuka dalam memastikan DNS terus bertenaga, berada di hadapan sebagai peneraju dewan di seluruh negara sebagai dewan yang demokratik, terbuka, dinamik dan berinovasi,” katanya lagi.

Sementara itu, Mohd Khairuddin pula berkata, beliau akan memegang teguh titah amanat baginda yang mahukan supaya piawaian tinggi DNS dikekalkan dan tidak membelakangkan peraturan dewan.

Katanya, baginda juga menitahkan supaya pemimpin masyarakat khasnya Ahli Dewan Negeri ADN supaya tidak melupakan fakta sejarah bagi membentuk Selangor yang lebih baik di masa hadapan.

“Ini termasuk menyuburkan lagi keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat yang menuntut semua ADN tanpa mengira parti harus menjadi contoh teladan yang baik kepada rakyat.

“Bagaimana kita mahu menunjukkan contoh teladan yang baik jika sikap kita di dalam dewan tidak menghormati kemuliaan dewan itu sendiri,” katanya.

Katanya lagi, setiap ADN harus ingat bahawa tingkah laku mereka sepanjang Persidangan DNS berlangsung dapat disaksikan rakyat secara langsung menerusi TV Selangor khasnya.

“Kita kena jaga tingkah laku kita kerana ribuan rakyat memerhatikan dan menilai setiap tingkah laku kita dalam dewan termasuklah anak-anak kita,” katanya.

Categories
SELANGOR

DNS jatuh hukuman pencelaan pertama

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 APR: Dewan Negeri Selangor (DNS) buat pertama kalinya, menjatuhkan hukuman berbentuk pencelaan (admonishment), terhadap Ahli Dewan Negeri (ADN) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, hari ini.

Hukuman dibacakan Timbalan Speaker, Shafie Ngah dengan Mat Nadzari diarahkan berdiri di hadapan DNS.

“Berdasarkan penyata Jawatankuasa Hak dan Kebebasan diluluskan dewan, Yang Berhormat didapati bersalah dan akan dihukum melalui pencelaan atau ‘admonishment’ di dewan ini,” katanya di DNS, di sini.

Terdahulu, lebih lima wakil rakyat menyertai perbahasan usul dibentang ADN Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar yang mengesyorkan supaya hukuman berbentuk pencelaan dikenakan terhadap Mat Nadzari.

Selain Xavier, jawatankuasa berkenaan turut dipengerusikan Speaker DNS, Hannah Yeoh dan dianggotai Dr Yaakob Sapari, Hasnul Baharuddin, Mohd Haslin Hassan, Tiew Way Keng dan Datuk Johan Abdul Aziz.

Ketika membacakan hukuman, Shafie turut memberikan beberapa teguran termasuk tuntutan berfikir dan mengkaji sebelum membuat ucapan.

“Yang Berhormat juga diingatkan agar jangan berprasangka buruk apatah lagi apabila melibatkan institusi beraja.

“Pejabat Speaker juga menyediakan unit penyelidik yang boleh membantu ADN membuat kajian berkenaan hal ehwal perbahasan DNS.

“Amat aneh dan mengecewakan Yang Berhormat memilih untuk tidak membuat kajian komprehensif mahupun menggunakan kemudahan disediakan ini,” katanya.

Pada 1 November 2016, Mat Nadzari ketika berucap di DNS antara lain berkata terdapat sebahagian komponen pentadbiran negeri berniat untuk tidak mengiktiraf Raja Berperlembagaan.

Berdasarkan kenyataan itu, pada 10 November 2016, ADN Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Khim membawa usul untuk merujuk Mat Nadzari ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.

-nR-

Categories
SELANGOR

ADUN: Cukuplah Timbalan Speaker yang ada

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 2 DIS: Timbalan Pesuruhjaya PAS I, Sallehen Mukhyi menyifatkan tiada keperluan bagi Kerajaan Negeri untuk melantik Timbalan Speaker II dari DAP bagi Dewan Negeri Selangor (DNS).

Beliau berkata, jawatan Timbalan Speaker yang disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi, Mohd Shafie Ngah daripada PAS sudah cukup memadai dan efektif untuk membantu Speaker ketika sidang dewan.

dns“Cukuplah yang ada, keperluan Timbalan Speaker hanya waktu bersidang sahaja. Yang ada pun sudah cukup efektif, tak perlu seorang lagi,” katanya di sidang DNS, hari ini.

Sallehen (PAS-Sabak) turut berpandangan, peruntukan untuk membayar gaji Timbalan Speaker II itu lebih baik dimanfaatkan kepada rakyat, bahkan tiada perbincangan dibuat bersama DAP berhubung pelantikan baru jawatan berkenaan.

“Kita bukan nak sangat jawatan, perlu nisbah 4:4:4 sebab itu jawatan Timbalan Speaker diberikan kepada PAS. Cukup dengan keputusan yang dibuat Dato’Menteri Besar, kita nak berkhidmat kepada rakyat, bukan polemik terhadap jawatan.

“Jika layan, rakyat akan ingat kita gila jawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, adalah lebih baik Kerajaan Negeri mengekalkan hanya satu jawatan Timbalan Speaker sahaja buat masa ini.

nik nazmiKatanya, tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa negeri yang mempunyai dua Timbalan Speaker, namun beliau berpendapat sistem yang diamalkan di Selangor sudah cukup baik.

“Isu berkenaan tidak perlu timbul berikutan Kerajaan Negeri tidak pernah berbincang mengenai perkara itu. Jika ada keperluan itu, saya rasa kita tidak perlu tukar sistem sedia ada,” katanya.

Beliau yang juga bekas Timbalan Speaker turut menafikan Dato’ Menteri Besar pernah menjanjikan jawatan itu kepada DAP, sebaliknya dakwaan parti itu bahawa sokongan padu DAP ketika krisis Dato’Menteri Besar adalah berdasarkan prinsip Pakatan Rakyat (PR).

“Pada kita, daripada awal isu ini adalah soal prinsip sokongan tersebut. Waktu itu sokongan kepada PKR untuk kerusi Dato’ Menteri Besar datang daripada semua iaitu PAS dan DAP.

“Mungkin pada waktu itu isu soal calon, namun kerusi MB untuk PKR tidak pernah dibangkitkan sebelum ini. Saya tidak tahu yang selebihnya bagaimana,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

PAS: Calon Timbalan Speaker DNS ‘seorang peguam’

Oleh: Naeem Raffi

SHAH ALAM, 10 NOV: PAS Selangor hari ini mengesahkan mereka akan menghantar seorang calon bagi mengisi jawatan timbalan speaker bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad berkata calon berkenaan telah menerima pencalonannya dan bakal diundi ketika sidang DUN 24 November depan.

dnsBagaimanapun, pihaknya enggan mendedahkan calon berkenaan dan hanya membayangkan calon berkenaan adalah seorang peguam.

“Calon telah terima (pencalonan itu), saya juga telah menandatangani pencalonan dan keputusannya terpulang kepada Dewan (DNS).

“Pencalonan ditutup hari ini dan calonnya seorang peguam,” katanya.

Iskandar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor di Bangunan SUK di sini, hari ini.

Perkara tersebut turut disahkan Dato’ Menteri Besar , Mohamed Azmin Ali dan beliau berkata pencalonan itu ditutup hari ini.

Kerusi Timbalan Speaker DUN Selangor kosong berikutan penyandangnya Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, meletakkan jawatan bagi membolehkan beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco).

EZY