Categories
AGENDA NASIONAL

Orang ramai hadir sambut Hari Kemerdekaan di Putrajaya, SOP ketat

PUTRAJAYA, 31 OGOS: Disambut dalam persekitaran norma baharu ekoran pandemik Covid-19 buat tahun kedua, sambutan Hari Kebangsaan 2021 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya tetap menyerlahkan jiwa patriotisme yang jitu dalam semangat Keluarga Malaysia.

Atur cara dan persembahan yang sarat dengan elemen patriotisme disusun rapi agar bersesuaian dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta boleh ditonton secara fizikal oleh hadirin yang terhad atau diikuti secara langsung melalui kaca televisyen atau secara maya.

Dengan ketibaan tetamu di Dataran Pahlawan Negara termasuk menteri-menteri Kabinet berlatar belakangkan pelbagai lagu patrotik,  klip video Keluarga Malaysia yang menampilkan lirik ciptaan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa turut ditayangkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyertai sambutan tersebut yang bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ secara maya kerana menjalani kuarantin kendiri bermula semalam (30 Ogos) setelah disahkan kontak rapat pesakit Covid-19.

Atur cara bermula pukul 8 pagi dalam cuaca baik dengan matahari yang menyinar setelah hujan dinihari berhenti di Putrajaya kira-kira 7 pagi, dengan tiga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menaikkan Jalur Gemilang diiringi lagu Negaraku.

Ismail Sabri dan isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dalam siaran secara maya turut dilihat berdiri ketika lagu Negaraku berkumandang.

Usai acara tersebut, ikrar Rukun Negara dibacakan dengan diakhiri laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali yang disempurnakan oleh tujuh petugas barisan hadapan.

Ia diketuai wakil dari Kementerian Pendidikan iaitu Luqman AlHakim Mohd Tamyes selain anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Agenda sambutan diteruskan dengan persembahan pancaragam gabungan drum line ATM yang disertai 60 anggota daripada TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Darat Malaysia.

Selain memainkan beberapa lagu patriotik dan menampilkan seni taekwando tempur tanpa senjata, kumpulan pancaragam yang diketuai Staf Sarjan Mad Zain Medol itu turut menampilkan aksi faktor ‘wow’ iaitu persembahan semburan api dengan menyembur minyak tanah dari mulut ke arah nyalaan api kecil bagi menghasilkan bulatan api besar.

Sejurus tamat aksi mendebarkan itu, persembahan kawad senyap oleh 60 anggota TLDM dipimpin Laskar Kanan PAP Mohd Helmi Masuhudi dan disusuli dengan persembahan pancaragam gabungan badan beruniform yang dipimpin Mejar Mohd Rizal Mohd Nor.

Pancaragam gabungan badan beruniform itu yang disertai 80 anggota ATM, PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, APM, JBPM dan RELA bergabung tenaga dalam menyampaikan persembahan pelbagai irama lagu patriotik.

Kemuncak tarikan persembahan sempena Hari Kebangsaan 2021 ialah pertunjukan udara oleh aset-aset TUDM dengan deruman enjin pesawat pejuang menggegarkan ruang udara Putrajaya dan para tetamu yang hadir kelihatan mendongak untuk merakamkan pertunjukan formasi pesawat di ruang angkasa.

Formasi penerbangan pesawat pejuang membabitkan Sukhoi Su-30MKM, F/A 18D Hornet dan BAE Hawk 108 diketuai oleh Lt Kol Mohd Norazan Othman, yang sempat bersiaran secara langsung dari dalam pesawat sebelum melakukan aksi udara itu.

Pertunjukan udara itu menarik minat penduduk Putrajaya untuk ke kawasan lapang seperti Dataran Putra dengan tahap kepatuhan SOP serta tidak melakukan perkumpulan untuk menyaksikan formasi pesawat tersebut.

Acara diakhiri dengan tayangan lagu Menang Bersama yang dinyanyikan artis Faizal Tahir hasil ciptaan Pengarah Muzik Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) Datuk Mokhzani Ismail, dan sebelum meninggalkan majlis para tetamu mengibarkan bendera Malaysia dengan diiringi lagu Jalur Gemilang.

Antara kenamaan yang hadir secara fizikal di Dataran Pahlawan ialah menteri-menteri kanan iaitu  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Fadillah Yusof, Datuk Dr Radzi Jidin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Tayangan secara langsung sambutan yang disiarkan di semua stesen televisyen tempatan, Facebook Live Merdeka360 dan Facebook Live Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengaplikasikan teknologi ‘Mix Reality’ iaitu gabungan penerbitan secara fizikal, teknologi AR (Augmented Reality) serta XR (Extended Reality), yang berbentuk interaktif dan berteknologi tinggi.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan mahu tentera laut terus berperanan sebagai barisan hadapan

SHAH ALAM, 27 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor mahu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus berperanan sebagai barisan hadapan bagi mempertahankan kedaulatan negara.

Selangor Royal Office menerusi kenyataan di Facebook berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mahu anggota beruniform itu terus mengawal perairan negara daripada sebarang ancaman luar.

“Sebagai Kapten Yang Dipertua TLDM, baginda menyeru warga ‘the navy people’ kekal fokus dengan tanggungjawab masing-masing dan terus memiliki semangat juang tinggi dalam melaksanakan tugas yang murni ini,” tulisnya.

Baginda bertitah demikian sempena sambutan Hari Tentera Laut ke-87 yang mengangkat tema ‘TLDM Siaga Kedaulatan Terpelihara’.

Sultan Sharafuddin turut berkenan menzahirkan ucapan terima kasih kepada anggota beruniform itu yang sentiasa komited dan bangga ketika berkhidmat selain menghargai kesetiaan mereka yang tidak terhingga.

Categories
AGENDA GLOBAL

TLDM bantu cari kapal selam TNI Indonesia

JAKARTA, 22 APRIL: Malaysia akan turut membantu Indonesia dalam pencarian kapal selam milik Angkatan Laut Tentera Indonesia (TNI), KRI Nanggala 402, yang terputus hubungan dan hilang di perairan utara Pulau Bali.

Ketua Pusat Penerangan TNI Mejar Jen. Achmad Riad berkata kapal Tentera Laut Diraja Malaysia, Mega Bakti dijangka tiba pada 26 April ini bagi bersama-sama mengesan kapal selam berkenaan.

“Bantuan daripada pihak ketiga (negara luar dalam operasi mencari kapal selama itu), antaranya dari Singapura, berupa kapal Swift Rescue, kapal ini adalah kapal penyelamat kapal selam yang mengalami kendala (masalah) di bawah air. Swift Rescue dijangka tiba di lokasi pada 24 April. (manakala) Malaysia, kapal Rescue Mega Bakti, akan tiba pada 26 April,” katanya pada sidang media secara hibrid di Bali hari ini.

Selain itu, beliau berkata tujuh negara lain iaitu Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, Turki, India dan Australia juga menawarkan bantuan dalam pencarian kapal selam tersebut yang terputus hubungan selepas melakukan latihan penembakan torpedo semalam.

“Kedudukan terakhir ialah 23 batu di utara Pulau Bali. Kronologi kejadian ialah pada 3.46 pagi, KRI Nanggala melaksanakan penyelaman, kemudian pada 4 pagi bersiap sedia untuk melakukan penembakan torpedo, pada 4.25 pagi selepas arahan kebenaran penembakan diberikan, komunikasi dengan Nanggala telah terputus,” katanya.

– BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

Penyelam TLDM bantu cari nelayan hilang di Pantai Batu Laut

SHAH ALAM, 10 OKT: Misi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan yang dikhuatiri lemas di Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat diteruskan menggunakan kepakaran pasukan penyelam dasar laut Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Cadangan menggunakan kepakaran penyelam TLDM dikemukakan Jabatan Bomba dan Penyelamat kerana keadaan dasar laut yang keruh membataskan pemandangan penyelamat,” kata Borhan Aman Shah kepada SelangorKini.

Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat berkata operasi kini masuk hari ketiga dan pasukan penyelamat semalam berjaya menemui tali dipercayai masih sangkut pada serpihan bot yang pecah.

Beliau berkata tali sampan itu berjaya ditarik dan ada peralatan menangkap ikan namun terlalu pendek serta tidak ditarik menggunakan enjin kerana bimbang akan putus.

“Saya khuatir mangsa tersangkut di dasar laut bersama sampan dan enjin sekali kerana sampannya pecah,” kata EXCO Kerajaan Negeri itu.

Sebelum ini tular video di laman sosial seorang individu diselamatkan beberapa nelayan selepas ditemui terapung di Pantai Batu Laut.

Individu berkenaan yang merupakan anak mangsa kini sedang dirawat di Hospital Banting.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada dokumen jejas operasi TLDM bocor di web gelap

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Dokumen Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang didakwa dipaparkan di laman sesawang gelap (dark web) seperti laporan media asing semalam, tidak melibatkan dokumen berdarjah yang boleh menjejaskan kesiagaan dan operasi TLDM.

Cawangan Komunikasi Strategik Markas TLDM dalam satu kenyataan berkata pihaknya mengambil maklum perkara berkenaan dan akan menyiasat punca serta sumber ketirisan maklumat itu.

“Sehingga kini sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) TLDM dalam keadaan utuh di bawah pemantauan Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC), Markas Angkatan Tentera Malaysia (MATM).

“TLDM memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat,” menurut kenyataan itu.

Semalam, satu artikel yang dikeluarkan media asing ‘The Straits Times Singapura’ bertajuk “Malaysian navy papers put up on Dark Web” tular di media sosial.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TLDM guna elemen 6D halang pencerobohan, jenayah

DI ATAS KAPAL KD LEKIU, 7 JUN: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengetengahkan konsep 6D ke dalam elemen cegah rintang dalam mengekang pencerobohan bot pendatang tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan.

Konsep 6D berkenaan adalah Pencegahan (Deter), Pengesanan (Detect), Penghindaran (Deny), Pelencongan (Detour), Penahanan (Detain) dan Pengusiran (Deportation).

Pegawai Memerintah Kapal Diraja (KD) Lekiu Kpt Shaiful Nizam Abdul Manan berkata konsep 6D berkenaan dilaksanakan menerusi atur gerak aset TLDM, KD Lekiu dan helikopter Super Lynx.

Beliau berkata demikian kepada Bernama yang mengikuti Op Benteng bagi mengawasi perairan di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di sekitar perairan Selat Melaka Utara.

Menerusi pelaksanaan bersepadu antara agensi operasi benteng (Op benteng) turut menggunakan pendekatan konsep 6D yang diaplikasikan dalam elemen cegah rentang aset-aset milik TLDM.

“Konsep berkenaan dilihat mampu diterap sesuai dengan kemampuan serta keupayaan kapal perang milik TLDM dalam menghadapi ancaman luar.

“Keupayaan khusus daripada segi sensor di atas kapal ini juga mampu melaksanakan pengawasan dalam mengekang unsur-unsur pendatang tanpa izin daripada menghampiri perairan wilayah maritim negara,” katanya.

Shaiful Nizam turut mengambil contoh penggunaan helikopter Super Lynx pada 16 April lepas apabila TLDM bersama tentera udara berjaya memintas 200 pendatang tanpa izin daripada menceroboh masuk ke perairan negara.

“Penggunaan Super Lynx berjaya menghindari bot pendatang tanpa izin daripada memasuki perairan Selat Melaka Utara negara dan dengan itu kami juga mampu mengelakkan sebarang cubaan pendaratan bot-bot ini sekali gus mengiringi mereka keluar dari perairan negara,” katanya.

Pada 16 April, Bernama melaporkan kira-kira 200 pendatang tanpa izin etnik Rohingya menyeludup masuk ke negara ini menerusi perairan Langkawi berjaya dipatahkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

LCS Maharaja Lela dijangka ditauliah pada 2021

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Kapal tempur pesisir pantai (LCS) pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), LCS Maharaja Lela dijangka ditauliahkan pada 2021, kata Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany.

“Lagi dua tahun, yang lain akan diterima dan ditauliahkan secara berperingkat selepas itu,“ katanya ketika ditanya berkenaan perkembangan LCS selepas menghadiri program Derma Darah sempena sambutan Hari TLDM Ke-85 di Kem Kementah di sini, hari ini.

Pada 31 Oktober lalu, media melaporkan penyerahan LCS pertama milik TLDM yang dijadualkan tahun ini ditangguhkan susulan pembinanya, Boustead Naval Shipyard (BNS) masih menunggu komponen penting daripada sebuah syarikat di Amerika Syarikat dan ia dijangka tiba pada penghujung tahun ini.

Ini sekali gus mengakibatkan kapal berkenaan tidak dapat terlibat dalam Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019 baru-baru ini.

TLDM sebelum ini dilaporkan akan menerima enam LCS secara berperingkat mulai pertengahan tahun ini.

LCS dibina dengan keupayaan peperangan empat dimensi bagi mengatasi ancaman elektronik, udara, darat dan air serta dilengkapi sistem pengurusan peperangan terkini dan mampu menampung sehingga 118 anak kapal selain sebuah helikopter dan pasukan khas.

Mengulas mengenai program derma darah yang dilakukan setiap tahun itu, beliau berkata ia merupakan tanggungjawab sosial TLDM kepada masyarakat.

“Pada tahun lalu, di sini sahaja (Kuala Lumpur) 350 orang penderma dan tahun ini kita jangka cuba mengatasi bilangan tersebut, harap melebihi daripada 400 penderma,” kata Mohd Reza.

Beliau berkata program berkenaan turut berlangsung di pangkalan TLDM yang lain antaranya di Lumut, Kuantan dan Kota Kinabalu. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

TLDM sedia gerak aset ke Sulawesi, Indonesia

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedia menggerakkan aset pasukan bagi bantuan misi kemanusiaan di Palu, Sulawesi, Indonesia sekiranya diperlukan, kata Panglimanya Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Beliau berkata Kapal Auksiliari Tun Azizan (KA TAZ) sudah bersedia di perairan negara untuk digerakkan pada bila-bila masa.

“Setakat ini, kita sudah menyediakan kapal Tun Azizan dan berada dalam keadaan siap siaga dalam tempoh 24 jam untuk digerakkan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pemakaian Pangkat Anggota Lain-lain Pangkat (LLP) TLDM, di KD Sri Gombak di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini TLDM masih belum menerima permohonan daripada negara jiran itu untuk tujuan berkenaan.

Setakat ini, pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merupakan antara pesawat antarabangsa yang berjaya menghantar bantuan terus ke Palu dari Pangkalan Udara Halim Perdana Kusuma Jakarta manakala pesawat C130H milik TUDM pula dari Balikpapan.

Terdahulu pada majis berkenaan, 28 anggota TLDM daripada pelbagai bidang dan kepakaran menerima kenaikan pangkat masing-masing sebagai penghargaan terhadap tanggungjawab yang dilaksanakan dalam perkhidmatan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

TLDM tawar program MBA kepada pegawai

NASIONAL 23 JUN: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini menyediakan peluang bagi pengajian Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) secara sambilan kepada pegawai TLDM menerusi program khas dengan kerjasama beberapa universiti tempatan.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata program pengajian itu bertujuan menyediakan peluang kepada pegawai TLDM meningkatkan pengetahuan dan tahap pencapaian akademik untuk dimanfaatkan semasa berkhidmat atau setelah besara.

“Ia juga ke arah menghasilkan pemimpin yang berfikiran strategik dan inovatif,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata program MBA itu memakan masa 18 bulan dengan kos pengajian yang menarik bagi penuntut.

“Saya amat yakin pegawai TLDM yang menyertai pengajian MBA ini mampu meningkatkan ilmu pengetahuan dan keyakinan diri mereka dalam menghasilkan prestasi dan kualiti kerja yang tinggi,” katanya.

TLDM menerima tawaran penyediaan pakej pengajian itu daripada beberapa universiti awam dan swasta, dan kini dalam peringkat akhir memilih pakej terbaik untuk ditawarkan kepada pegawai TLDM yang berminat di empat lokasi utama iaitu Kuala Lumpur, Lumut, Kuantan dan Kota Kinabalu.

Program pengajian itu satu inisiatif TLDM yang dikenali sebagai ‘KEEL’ (Knowledge Empowerment through Enhancement Learning), selaras dengan maksud perkataan itu iaitu tulang belakang kapal – menandakan bahagian penting kepada sesuatu struktur atau organisasi.

“Saya amat terharu apabila program yang ditawarkan ini mendapat sambutan positif pegawai-pegawai muda TLDM. Sebaik sahaja program MBA ini dibuka, lebih 100 pegawai telah mendaftar untuk program berkenaan dan ia di luar jangkaan kami,” kata Ahmad Kamarulzaman.

Panglima Tentera Laut itu turut menyatakan bahawa program pengajian MBA itu merupakan inisiatif TLDM untuk meningkatkan kualiti modal insan demi mendukung pelan transformasinya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis perlu siasat kematian anggota TLDM secara menyeluruh

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 2 OKT: Pihak polis perlu menjalankan siasatan menyeluruh supaya insiden kematian membabitkan dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak berulang.

Ahli Parlimen Lumut, Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid berkata, prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan TLDM masih lagi releven jika ia dipatuhi.

“Biar polis jalankan siasatan. Namun saya percaya, kalau SOP sedia ada dipatuhi, kejadian ini tidak akan berlaku kerana ini mungkin terjadi akibat pelaksanaannya yang terlalu berlebih-lebih,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, TLDM mengesahkan dua anggotanya yang meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi dekat Sitiawan berada dalam keadaan sihat sebelum dimasukkan ke pusat tahanan itu.

LK 1 Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan LK 1 TLS Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia di bilik tahanan berkenaan dipercayai didera berdasarkan laporan bedah siasat daripada Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Bedah siasat dilakukan ke atas Nik Muhammad Baihaqy mendapati kematiannya disebabkan pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul manakala Muhammad Lailatuliman meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru serta trauma tumpul pada tisu lembut.

Susulan itu, lima anggota TLDM direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Kes ini dianggap sebagai kejadian malang kepada TLDM kerana sepanjang 28 tahun saya berkhidmat, seingat saya ini merupakan kejadian pertama kali berlaku membabitkan anggota TLDM,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Dua lagi anggota TLDM buat laporan polis

IPOH, 2 OKT: Dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuat laporan polis selepas mengalami kecederaan di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata dua anggota tersebut yang masing-masing berumur 30 tahun cedera di bahagian abdomen dan kini dirawat di Hospital Manjung.

“Laporan polis dibuat hari ini dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 325/506 Kanun Keseksaan. Pihak polis sedang menjalankan siasatan sama ada insiden ini berlaku ketika di dalam bilik tahanan, ketika dikurung atau di luar.

“Kita juga akan menyiasat sekiranya ada lagi anggota TLDM terlibat dengan insiden seperti ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau menghadiri Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri di sini hari ini.

Susulan kejadian itu, dua anggota TLDM yang masing-masing berumur 29 dan 37 tahun kini sedang ditahan dan akan direman di Mahkamah Seri Manjung hari ini.

Mengenai kematian dua anggota TLDM di bilik tahanan yang sama sebelum ini, Hasnan berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan forensik terhadap kamera litar tertutup yang telah dirampas.

“Jabatan Siasatan Jenayah Perak kini dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman bagi menyiasat insiden ini,” katanya.

Pada Jumaat lepas dua anggota TLDM iaitu LK 1 Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan LK 1 TLS Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia di bilik tahanan tersebut dipercayai akibat didera, berdasarkan laporan bedah siasat daripada Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Bedah siasat yang dilakukan ke atas Nik Muhammad Baihaqy mendapati kematiannya disebabkan pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul manakala Muhammad Lailatuliman meninggal akibat pendarahan paru-paru serta trauma tumpul pada tisu lembut.

Susulan itu tiga anggota TLDM direman selama tujuh hari mulai semalam bagi membantu siasatan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

2 lagi anggota TLDM ditahan siasat kes bunuh

IPOH 2 OKT: Dua lagi anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditahan hari ini bagi membantu siasatan kematian dua anggota TLDM di bilik tahanan Unit Sungai Wangi dekat Sitiawan, Jumaat lepas.

Penahanan itu menjadikan lima anggota ditahan setakat ini ekoran kematian Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Muhammad Lailal Tuiman Mohd Sukri, 26, dipercayai didera, lapor ASTRO AWANI.

Ketua Polis Perak, Datuk Pahlawan Hasnan Hassan mengesahkan, seorang lagi mangsa berumur 30-an, turut dirawat di Hospital Manjung kerana mengalami kecederaan yang hampir sama dengan dua anggota yang meninggal dunia.

“Kita sedang membuat siasatan forensik pada hari ini dan kita akan membuat juga siasatan forensik terhadap kamera CCTV yang kita rampas.

“Pasukan daripada Bukit Aman bersama-sama sedang membantu dan menjalankan siasatan bersama-sama dengan JSJ Perak,” katanya ketika ditemui selepas majlis sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di di sini pada Isnin.

Pada Ahad, Mahkamah Majistret Manjung mengenakan tahanan reman selama tujuh hari terhadap tiga anggota TLDM bagi membantu siasatan kematian dua anggota TLDM di bilik tahanan Unit Sungai Wangi dekat Sitiawan di sini, Jumaat lepas.

Hasnan memberi jaminan bahawa polis akan menjalankan siasatan dengan rapi dan teliti untuk mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku dan siapakah pelaku tersebut.

=EZY=