Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Untung bersih TM naik kepada RM274.74 juta pada suku kedua

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Telekom Malaysia Bhd (TM) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM274.74 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2020, naik daripada RM114.18 juta pada suku tahun sama tahun lepas, berikutan kos operasi yang rendah dan tiada kerugian susut nilai kepada aset rangkaian tetap.

Perolehan pada suku tahun itu susut 6.4 peratus kepada RM2.59 bilion daripada RM2.77 bilion sebelum ini, dengan perolehan merosot bagi semua barisan produk kecuali perkhidmatan data mencerminkan impak daripada pelarasan harga Streamyx berkuat kuasa dari September tahun kewangan sebelum ini.

Perolehan turut terjejas daripada kuantiti yang rendah dan aktiviti ekonomi yang terhad semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

Ia mengisytiharkan dividen interim sebanyak 6.8 sen sesaham berjumlah RM256.1 juta.

Pada separuh pertama 2020, syarikat melabur 9.3 peratus daripada perolehan untuk perbelanjaan modal berjumlah RM479.2 juta – sejajar dengan panduan – memberi tumpuan kepada jalur lebar, perkhidmatan data dan mudah alih untuk mengekalkan kualiti dan ketersediaan perkhidmatan di seluruh negara, katanya.

Daripada jumlah yang dilaburkan, sebanyak 59 peratus untuk akses rangkaian, 23 peratus untuk rangkaian teras, dan baki sebanyak 18 peratus untuk sistem sokongan, katanya dalam kenyataan berasingan.

Kumpulan terus memberikan perkhidmatan kepada negara dengan keadaan tidak menentu berikutan pandemik Covid-19. Sejak pertengahan Mei 2020, TM menyambung semula aktiviti jualan serta aktiviti pemasangan dan pemulihan perkhidmatan di premis pelanggan.

Kedai TMpoint dibuka semula di seluruh negara pada waktu normal.

“Kami akan terus memberikan perkhidmatan dan pengalaman yang terbaik kepada pelanggan kami berikutan lebih banyak sektor ekonomi dibuka semula dengan sekatan yang berkurangan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Imri Mokhtar.

Beliau berkata kumpulan akan meneruskan komitmennya untuk mengekalkan keuntungan perniagaan bagi suku tahun 2020 yang akan datang.

Pada separuh pertama tahun ini, keuntungan bersih naik kepada RM427.27 juta daripada RM422.46 juta, manakala perolehan sebanyak RM5.15 bilion berbanding RM5.55 bilion dalam tempoh sama tahun lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL PENDIDIKAN

Telco tawar internet percuma sokong pendidikan, tingkat produktiviti

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Syarikat telekomunikasi (telco), Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Bhd, U Mobile Sdn Bhd, YTL Communications Sdn Bhd dan Telekom Malaysia Bhd (TM) terus menyokong keperluan kerja dan pembelajaran orang ramai dalam bentuk perkhidmatan internet percuma yang baharu.

Pengendali-pengendali talian berkenaan dalam satu kenyataan bersama berkata inisiatif industri secara bersama ini merupakan sebahagian daripada Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (PENJANA) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Menurut kenyataan itu, Celcom, Digi, Maxis, U Mobile dan TM akan menawarkan produktiviti internet percuma 1 gigabait (GB) setiap hari, untuk digunakan antara 8 pagi hingga 6 petang, bagi mengakses pelbagai perkhidmatan pendidikan dan produktiviti yang berkaitan dari 10 Jun hingga 31 Dis 2020.

Ini akan menggantikan internet percuma kelajuan tinggi 1GB yang dibekalkan oleh telco kepada pelanggan dari 1 April sehingga 9 Jun 2020.

“Pelanggan boleh merujuk kepada telco mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai cara menebus tawaran internet percuma ini termasuk senarai perkhidmatan yang disertakan,” kata kenyataan itu.

Telco ini juga akan terus menawarkan akses percuma dan tanpa had kepada pelbagai aplikasi serta perkhidmatan berkaitan maklumat untuk memastikan rakyat Malaysia sentiasa dikemaskini dengan berita terkini mengenai Covid-19.

Sementara itu, YTL Communications akan terus menawarkan inisiatif Belajar Dari Rumah yang merangkumi kad SIM percuma dengan data 40GB kepada semua ibu bapa yang mempunyai anak di sekolah kerajaan, pelajar dan fakulti dari institusi pengajian tinggi yang menjadi rakan kongsi.

Kumpulan itu juga akan menyediakan telefon bimbit percuma dengan data 120GB untuk pelajar yang layak dalam keluarga B40.

Selain itu, YTL Communications juga akan terus menyediakan kandungan pendidikan dalam talian percuma yang dibuat dengan kerjasama Teach for Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Katanya lagi, TM dan TIME dotCom Bhd memberikan sokongan kepada telco dengan menyediakan kapasiti serat tambahan bagi memenuhi keperluan trafik yang lebih tinggi sambil meneruskan penawaran mereka yang berkaitan untuk pelanggan sekarang ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SKMM: Kabel dasar laut rosak, gangguan internet minimum

CYBERJAYA, 11 APRIL: Pengguna internet di Malaysia berdepan gangguan minimum susulan kerosakan satu daripada kabel dasar laut Rangkaian Kabel Asia Pasifik 2 (APCN2), demikian menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kenyataan SKMM menyebut bahawa ia dimaklumkan oleh Telekom Malaysia Bhd (TM) berkaitan kerosakan satu daripada segmen kabel APCN2 yang menghubungkan Chongming di China dan Lantau di Hong Kong (segmen 3).

Kabel dasar laut APCN2 itu, yang menghubungkan Malaysia ke Singapura, Hong Kong dan Amerika Syarikat, merupakan antara 14 sistem kabel dasar laut yang disertai oleh TM di seluruh dunia.

Menurut SKMM, TM telah memberi jaminan bahawa segala langkah perlu akan diambil bagi mengurangkan kesan gangguan perkhidmatan kepada pengguna.

“Sementara  konsortium yang menyelenggara APCN2 mengenal pasti lokasi kerosakan untuk kerja baik pulih, TM mengambil tindakan pantas sewajarnya bagi penyuraian aliran trafik yang terjejas melalui rangkaian kabel dasar laut lain miliknya agar impak ke atas pengguna dapat dikurangkan,” katanya.

Selain itu, TM  mengaktifkan kapasiti tambahan melalui sistem kabel dasar laut Cahaya Malaysia yang menghubungkan trafik antarabangsa Malaysia ke Jepun.

“Pengguna internet di Malaysia hanya mengalami gangguan minimum kerana terdapat jaringan kabel dasar laut lain yang boleh digunakan untuk menyalurkan trafik internet, sekiranya diperlukan,” kata SKMM.

Menurut SKMM, gergasi global seperti Akamai Technologies, Amazon.com, Facebook Inc., Google Inc. dan Microsoft MSN serta beberapa lagi penyedia kandungan antarabangsa telah membuat sambungan ‘peering’ di Malaysia Internet Exchange Malaysia (MyIX) dan kebanyakan mereka menyediakan pelayan ‘cache’ di rangkaian penyedia perkhidmatan Internet tempatan.

“Oleh itu, kandungan ini masih lagi boleh dicapai oleh pengguna internet tempatan tanpa gangguan,” katanya.

SKMM berkata ia akan terus memantau situasi ini bagi memastikan perkhidmatan Internet kepada pengguna tidak mengalami sebarang implikasi yang serius khususnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sedang berlangsung.

“Kebergantungan masyarakat terhadap perkhidmatan jalur lebar pada ketika ini adalah amat penting terutamanya kepada sektor perniagaan, perkhidmatan malah pendidikan yang kini turut menggunakan kaedah pembelajaran dalam talian,” menurut SKMM.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

TM nafi sekat pelayan permainan

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Telekom Malaysia Bhd (TM) menafikan bahawa ia menyekat beberapa pelayan permainan seperti EA, Ubisoft dan Rangkaian Playstation (PSN) seperti didakwa beberapa pengguna Internet Malaysia, terutamanya pemain.

Selepas melakukan siasatan menyeluruh, syarikat itu mendapati bahawa masalah itu bukan sahaja memberi kesan kepada pengguna Unifi, tetapi juga pemain pada rangkaian lain di Malaysia dan di seluruh dunia, oleh itu kesukaran yang dihadapi tidak berkaitan dengan rangkaian TM.

“Kami ingin menjelaskan bahawa TM tidak menyekat pelayan permainan kerana kami memahami sepenuhnya bahawa dalam gaya hidup digital semasa, permainan video dan e-sukan memainkan peranan penting bagi kebanyakan orang, termasuk kami,” kata TM dalam satu kenyataan.

TM akan terus memastikan pengalaman permainan yang terbaik untuk pemain dalam talian dengan kesalinghubungan terluas dan infrastruktur rangkaian disokong pelbagai sambungan rangkai padan langsung, 12 pusat data, 20 kabel dasar laut yang meliputi seluruh dunia, lebih daripada 560,000 kilometer kabel gentian optik di dalam dan luar negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TM tawar harga istimewa untuk pelanggan Streamyx

IPOH, 27 JUL: Pelanggan sedia ada Streamyx hanya perlu membayar RM69 sebulan bagi menikmati internet pada kelajuan 8Mbps berbanding RM160 sebelum ini, bermula September ini, kata Pengerusi Kumpulan TM, Rosli Man.

Beliau berkata bagi pelanggan baharu, perlu membayar RM89 sebulan.

“Kami di TM amat prihatin dengan keluhan pelanggan. Jadi, dengan langkah ini, kami harap pelanggan Streamyx yang telah pergi, datanglah balik kepada kami,” katanya dalam sidang media selepas perasmian Kembara Digital Malaysia (KDM) 2019 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru di sini, hari ini.

KDM 2019 dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan Perak Hasnul Zulkarnain Abd Munaim. Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Menurut Rosli, TM telah berjaya menaik taraf 973,000 pelanggan Unifi kepada kelajuan yang lebih tinggi.

Beliau berkata, TM akan menangani kekangan jalur lebar rangkaian tembaga menerusi pelbagai teknologi yang bersesuaian termasuk fiber, wayarles dan GigaWire yang akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga 2021.

— BERNAMA

Categories
SELANGOR

MB gesa pusat tahfiz ambil langkah keselamatan

OLEH NADIAH ZAMLUS

BATU CAVES, 28 MEI: Dato’ Menteri Besar menggesa supaya semua pusat tahfiz di negeri ini mengambil langkah keselamatan sebaiknya.

Amirudin Shari berkata, beliau tidak mahu kes membabitkan kemalangan seperti kebakaran ataupun tanah runtuh kembali berulang.

“Tidak dinafikan kes kebakaran sebelum ini berlaku disebabkan khianat, namun pengurusan pusat maahad tahfiz dinasihatkan supaya membuat pemantauan berterusan.

“Ini kerana kita mahu institusi ini sentiasa bergerak seiring dengan kemajuan negeri serta diberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Serahan Zakat Telekom Malaysia (TM) kepada Dato’ Menteri Besar bertempat di Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Pusat Tahfiz Al Habbah, di sini hari ini.

Hadir sama Naib Presiden TM, Dato’ Zuraidah Mohd Said.

Pada majlis yang sama, TM Selangor turut menyerahkan sumbangan duit raya dan cendemata kepada 82 pelajar tahfiz.

Amirudin berkata, beliau gembira apabila syarikat gergasi negara seperti TM menghulurkan bantuan zakat kepada pusat tahfiz di negeri ini.

“Sumbangan oleh TM ini boleh membantu melengkapkan lagi pembangunan institusi tahfiz ini.

“Usaha mereka untuk berkongsi kekayaan dan hasil pendapatan kepada masyarakat sekali gus dapat menggerakkan kejayaan institusi ini bersama-sama,” katanya.

Categories
EKONOMI

Firma penyelidikan turunkan penarafan ke atas TM

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Tiga firma penyelidikan telah menurunkan cadangan penarafan mereka ke atas Telekom Malaysia Bhd (TM), berikutan keputusan separuh pertama 2018 syarikat itu yang mengecewakan yang diumumkan semalam.

Kenanga Research menyemak semula saranan kepada ‘prestasi pasaran’, dengan penurunan harga sasaran (TP) sebanyak RM3.55 sesaham, dan mengurangkan unjuran pendapatan tahun kewangan (FY) 2018-19 ke atas TM sebanyak tujuh dan sembilan peratus.

Satu lagi firma penyelidikan, Maybank IB Research juga menyemak semula saranan penarafannya kepada ‘pegang’, dengan TP sebanyak RM3.70 sesaham, dan menurunkan ramalan pendapatan FY18/19/20 TM masing-masing sebanyak lapan/lima/ lima peratus untuk mencerminkan kadar unjuran keuntungan baru untuk pendapatan borong dan kadar cukai yang lebih tinggi untuk FY18.

Sementara itu, Public Investment Bank telah mengurangkan ramalan pendapatan FY18-20 sebanyak sembilan hingga 14 peratus untuk mengambil kira hasil data yang lebih rendah, dengan TP berkurangan kepada RM3.83 daripada RM4.65, dengan saranan penarafan ‘beli’ berbanding ‘neutral ‘ sebelum ini.

Pada suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2018, keuntungan bersih TM turun 51.5 peratus tahun ke tahun kepada RM102 juta.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bersih 2.0 desak TM tarik balik garis panduan PRU

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 APR: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mendesak supaya kumpulan Telekom Malaysia (TM) menarik balik garis panduan menghalang kakitangannya menjadi ejen mengundi dan ajen pengiraan undi (PACA) pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) nanti.

Bersih 2.0 menerusi kenyataan di Twitter berkata, kumpulan TM dan semua majikan lain harus sedar tanggungjawab dan hak seorang rakyat Malaysia bukan sekadar membuang undi sahaja, sebaliknya memiliki kuasa bertindak lebih daripada itu.

“Oleh itu, tiada siapa boleh menghalang penyertaan mana-mana individu dalam proses pilihan raya, termasuklah menjadi agen mengundi atau ejen pengiraan undi.

“Bagaimanapun, pekerja boleh berbuat demikian asalkan ia di luar waktu kerja dan semasa cuti, terpulang kepada kehendak individu masing-masing.

“Lagipun, tiada sebarang undang-undang ditetapkan untuk menghalang penglibatan rakyat bertindak sedemikian.

“Justeru, majikan lain seharusnya mendorong kakitangan mereka untuk PACA supaya integriti pilihan raya sentiasa terpelihara,” katanya sebagai reaksi balas terhadap kenyataan TM yang dilaporkan portal MalaysiaKini, hari ini.

Terdahulu, TM mengeluarkan arahan larangan ‘Garis Panduan Pilihan Raya Umum ke 14’ terhadap semua pekerjanya, termasuk subsidiari supaya tidak menjadi ejen mengundi mahupun ejen pengiraan undi pada PRU14 kian hampir.

Garis panduan itu antara lain melarang semua kakitangan daripada memakai pakai berlogo TM ketika menghadiri ceramah politik, membuat kenyataan sebagai kakitangan TM yang menyebelahi parti politik dan menjadi perayu undi mana-mana calon ketika kempen.

Pada masa sama, ia melarang logo parti politik dipamerkan pada kenderaan dan pakaian ketika memasuki premis TM.

 

Categories
NASIONAL

Curi kabel TM, SPRM tahan 11 individu

SHAH ALAM, 11 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 11 individu termasuk seorang pegawai teknik Telekom Malaysia (TM) ekoran disyaki terbabit rasuah dan salah guna kuasa yang menyebabkan kerugian bernilai antara RM4 juta hingga RM6 juta, bagi tahun 2016 dan Mac 2017.

Sumber berkata, semua suspek disyaki bersubahat dan terbabit mengemukakan 55 dokumen ‘Maintenance Order’ serta surat kebenaran mengambil kabel mengandungi butiran palsu kepada TM, lapor BERNAMA

Sumber itu berkata, pegawai TM berusia 40 tahun itu ditahan di Taman Puncak Utama, manakala semua dokumen itu dipercayai bertujuan untuk mengeluarkan kabel daripada gudang TM.

Turut ditahan tiga pemilik syarikat kontraktor, seorang subkontraktor, seorang bekas pekerja syarikat telekomunikasi, tiga bekas pemandu syarikat kontraktor, seorang ahli perniagaan dan seorang pengarah syarikat.

Sumber itu turut memaklumkan bahawa ahli perniagaan dan pengarah syarikat yang ditahan itu disyaki bersubahat dengan kakitangan TM selain menerima rasuah bagi membawa keluar ‘drop fiber’ milik TM untuk dijual.

Tangkapan dilakukan di beberapa lokasi antaranya di Batu Caves, Damansara Damai dan Seri Kembangan antara jam 2 petang dan 6.30 petang, semalam.

Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani, turut mengesahkan semua tangkapan itu dan suspek akan direman untuk membantu siasatan.

 

Lima Profesional Teliti Projek Kontroversi Kondo Batu Caves – INFO 12


 

Sinopsis

Info 12 Untuk 20122012

Saksikan secara langsung “INFO 12” sebuah rancangan baru yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 20 DESEMBER 2012 :

1. Kerajaan Negeri lantik lima profesional bagi menganggotai jawatankuasa bebas meneliti kelulusan projek pembinaan kondominium di Batu Caves dan kawasan sekitarnya.

2. Rumah Berhala Kecil (Altar) boleh dibina didalam rumah tanpa perlu mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

3. Exco Selangor serah 631 borang permohonan MyKad biru kepada ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya.

4. TNB dan TM digesa segera bertindak terhadap runtuhan jambatan kabel yang menyekat laluan air ke Sungai Kandis, bagi mengatasi masalah banjir di kawasan itu.

Layari http://www.selangorkini.net