Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir kilat: TNB tutup bekalan elektrik di beberapa pencawang

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menutup bekalan di beberapa pencawang elektrik di ibu negara susulan banjir kilat bagi memastikan keselamatan pengguna.

TNB menerusi hantaran di Facebook memaklumkan antara kawasan dan bangunan terjejas adalah Bukit Aman, Bukit Bintang, Jalan Kebun Bunga, Hospital Tang Lin, Pangsapuri Sri Jati serta beberapa hotel terkemuka.

“Usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat bergantung kepada akses dan keadaan setempat,” menurut hantaran itu.

Menurut TNB, penutupan bekalan elektrik akan dilakukan di pencawang yang terlibat bagi memastikan keselamatan pengguna setempat sekiranya situasi banjir semakin buruk, berisiko serta membahayakan pengguna.

Sementara itu dalam hantaran berlainan, TNB meminta orang ramai menghubungi talian 15454 jika melihat tiang elektrik tumbang atau wayar putus.

“Berhati-hati dengan persekitaran anda dan jaga keselamatan ketika berada di dalam kenderaan semasa banjir,” menurut hantaran itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

93 kawasan terjejas banjir kilat alami gangguan bekalan elektrik

SHAH ALAM, 18 DIS: Sebanyak 83 kawasan dalam empat daerah di Selangor mengalami gangguan bekalan elektrik susulan banjir kilat sejak semalam.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan setakat jam 10 pagi tadi pasukan teknikalnya berjaya memulihkan bekalan elektrik di beberapa kawasan terlibat.

TNB Careline menerusi Facebook juga menasihatkan pengguna tidak menyentuh peralatan elektrik atau mendekati pepasangan TNB yang ditelenggami air.

“Pelanggan dinasihatkan supaya kekal selamat dan sentiasa berhati-hati. Kesabaran dan keprihatinan anda amat dihargai,”katanya.

Berikut kawasa terjejas yang masih dapat mendapat bekalan elektrik:

Banting:
1. Taman Banting Mewah
2. DIPSOL

Sepang:
1. Rumah Pam Labu Lanjut
2. Concorde Inn
3. Telekom KLIA

Port Klang:
1. Strata Klang
2. Sakib
3. Food Wood Compact
4. Goh Tiong Chuan
5. Good Lanmark

Klang:
1. Bandar Setia Alam
2. Setia Impian
3. North Hummock Puncak Niaga
4. Bukit Rimau Industrial Park
5. NSK Steel
6. Time IT IN E Pantai Timur
7. HRC Rubber
8. Concrete Industri
9. Textrip
10. Kossan Chemical
11. HDM Industries
12. Fader Autopart
13. Ong Leong Chai
14. Malgames Ind.
15. Ching Shin
16. Aimwood
17. Soon Huat Rubber
18. Lee Chai Tiam
19. Poh & Chen
20. Sparkle Industries
21. Cycle World
22. Taman Sri Wangi
23. Kossan Ind.
24. Sung Jin
25. Lorong Penghulu Rashid Kapar
26. Yeoh Tiong Lay 2
27. Kampung Perepat
28. Sungar Kapar Indah 9
29. Good Performance
30. Lumi Glass
31. Li Hoe 2
32. Lim Chim Sim
33. Wangsa Kiliau
34. Shi Sei Auto Part
35. Taman Juta
36. Chong Seng Hardware
37. Pelan Teknik
38. Latitude Tree
39. Wolex Engineering
40. Hup Tai
41. An Yak Siong 3
42. Jalan Kepayang
43. Chi Liung Complex
44. MAIS
45. DNI Enterprise
46. Karich
47. Akoko
48. Desa Putera Bisnes Park
49. Jalan Rajion
50. Goh Chong Beng
51. Jalan Kebun
52. Shahira
53. Tanjung Agas
54. Taman Wira Damai
55. Masmuran Jalan Kebun
56. Jalan Tanjung Pahang
57. Lorong Mugni
58. Laman Palma
59. Lorong Rabingan
60. Lorong Haji Tahir
61. Jalan Bakri
62. Jalan Tanjung Medan
63. Bandar Putra
64. Taman Setia Jaya
65. Taman Sentosa
66. Taman Desa Idaman
67. Jalan Dato’ Dagang
68. Jalan Hulubalang
69. Lim Kien Hin
70. Ong Kim Hock
71. Hong Bee
72. Magnified Trade
73. Huplex Interior
74. Sparkle Industries
75. Cathay Eng Works
76. Light Ind. Sungai Puloh
77. Bosta Ind.
78. Eng Beng 3
79. Hoeken
80. Yong Sheng
81. Econmart Jalan Meru
82. Extron Manufacture
83. J&A 1

Semalam, TNB memaklumkan beberapa pencawang elektrik di Pelabuhan Klang, Klang mengalami gangguan bekalan susulan hujan serta banjir kilat.

Bekalan akan disalur secara berperingkat bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

Categories
AGENSI SELANGOR

TNB giat pulih bekalan elektrik di kawasan terjejas akibat banjir

SHAH ALAM, 18 DIS: Beberapa pencawang elektrik di Pelabuhan Klang, Klang mengalami gangguan bekalan susulan hujan serta banjir kilat malam tadi.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan usaha membaiki giat dilakukan bagi memastikan bekalan dapat disalur semula.

“Bekalan akan disalur secara berperingkat bergantung kepada akses dan keadaan setempat. Orang ramai diminta berwaspada dengan persekitara serta patuh sekiranya diarah pindah ke pusat pemindahan sementara.

“Mohon jaga keselamatan dan hubungi 15454 untuk melaporkan pepasangan TNB yang berada dalam keadaan bahaya,” katanya.

TNB turut menasihatkan pelanggan mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga untuk memeriksa peralatan elektrik di rumah supaya selamat digunakan.

Hujan lebat sejak jam 6 petang pada Jumaat, menyebabkan beberapa kawasan termasuk laluan utama di Pelabuhan Klang dilanda banjir kilat.

Categories
NASIONAL

Tiga empangan hidroelektrik sedia tampung kapasiti air musim tengkujuh

SHAH ALAM, 11 NOV: Ketiga-tiga empangan hidroelektrik milik Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Tasik Kenyir Terengganu, Cameron Highlands Pahang dan Sungai Perak, Perak bersedia menakung kapasiti air dari hulu sungai yang dijangka meningkat naik sepanjang musim tengkujuh tahun ini.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) Datuk Nor Azman Mufti berkata kapasiti empangan menakung air di huluan dapat mengelakkan bencana lebih besar daripada berlaku di kawasan hilir sungai setiap kali musim tengkujuh.

“Seperti lazimnya, kami membuat persiapan awal dengan mengurangkan paras empangan sebagai persediaan menghadapi hujan lebat pada hujung tahun.

“Air yang ditakung akan dilepaskan semula secara terkawal ke dalam sungai seterusnya membantu mengawal banjir di hilir empangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd Datuk Nor Azman Mufti
Foto TNB

Nor Azman berkata empangan hidroelektrik TNB bukan sahaja untuk menjana elektrik malah berfungsi sebagai tebatan banjir dengan keupayaan menampung jumlah air hujan yang besar semasa musim tengkujuh.

Jelas beliau proses pelepasan air secara terkawal di empangan hidroelektrik dilaksanakan mengikut tatacara pengendalian piawai (SOP) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan.

“TNB juga telah mengadakan beberapa siri taklimat persediaan dan koordinasi kecemasan di stesen-stesen hidroelektrik bagi meningkatkan kecekapan semua pihak berkenaan bertindak pada musim banjir,” katanya.

Tambah Nor Azman orang ramai dinasihatkan agar mengutamakan aspek keselamatan, berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya premis mereka dinaiki air.

“Jika ada pencawang elektrik yang ditenggelami air dan operasinya terpaksa dihentikan, penyambungan semula hanya akan dibuat TNB selepas keadaan selamat,” ujar beliau.

Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB Careline.

 

 

 

 

Categories
AGENSI SELANGOR

PKNS, TNB teruskan kerjasama bantu asnaf miliki rumah

SHAH ALAM, 9 NOV: Seramai 18 keluarga asnaf kini memiliki rumah yang lebih selesa hasil kerjasama strategik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersama Tenaga Nasional Bhd (TNB) melalui program ‘Better Brighter Home @ Projek Baiti Jannati TNB Peringkat Selangor’.

Program itu dilaksanakan dengan setiap asnaf menerima rumah serta diberikan perabot asas rumah seperti almari pakaian, meja makan dan mesin basuh menggunakan peruntukan wang zakat TNB dan PKNS yang juga mendapat bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi mengenal pasti golongan asnaf yang layak.

Ketua Pegawai Korporat PKNS Idris Ishak berkata 13 penerima dapat melunaskan baki bayaran perumahan mereka manakala lima lagi menerima unit rumah baharu di Pangsapuri Kuang Raya milik PKNS, melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan zakat untuk inisiatif itu sepanjang 2020 dan 2021 sebanyak RM2.5 juta.

“Ini adalah komitmen kami (PKNS dan TNB) selama tiga tahun sejak 2019 dan kami akan teruskan dan jadikan satu program tahunan kami, selagi mampu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan kepada penerima di Dewan Aster, Bangunan Ibu Pejabat PKNS hari ini.

Idris turut berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti itu perlu penglibatan pihak korporat yang lain supaya sama-sama dapat membantu menyediakan perumahan kepada golongan asnaf.

Pengurus Besar State Stakeholders Affairs Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Cyberjaya, Bahagian Regulatory & Stakeholder Management TNB, Ir Ahmad Rezahan Mohammad berkata kerjasama tersebut diteruskan buat tahun ketiga susulan maklum balas yang sangat baik daripada semua pihak khususnya dalam usaha membantu menangani masalah kemiskinan di bandar.

“Program ini juga berjalan sepanjang tahun lepas tetapi akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara, kami terpaksa menangguhkan majlis penyerahan kepada tahun ini dan alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar hasil usaha sama bersama PKNS,” katanya yang turut berharap kerjasama murni itu akan tetap diteruskan untuk tahun-tahun mendatang.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

TNB nasihati pengguna elak guna alatan elektrik semasa banjir

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengeluarkan beberapa panduan keselamatan elektrik kepada orang ramai susulan jangkaan berlaku musim tengkujuh yang membawa hujan lebat di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor bermula bulan ini hingga awal Januari depan.

TNB dalam kenyataan hari ini memaklumkan panduan itu antaranya orang ramai dinasihatkan agar menghindari penggunaan sebarang peralatan elektrik dan memastikan suis utama ditutup sekiranya kediaman mereka dinaiki air berikutan hujan lebat.

“Langkah ini bagi mengurangkan kemungkinan renjatan elektrik berlaku. Selain itu, hubungi TNB CareLine 15454 atau Facebook TNB CareLine sebaik paras air meningkat supaya bekalan elektrik boleh diputuskan segera di kawasan terlibat,” menurut kenyataan itu.

TNB juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menyentuh mana-mana peralatan atau kabel elektrik yang terendam dalam banjir walaupun ia bersalut dengan penebat serta menyimpan kelengkapan elektrik di tempat yang tinggi dan selamat supaya tidak ditenggelami atau terkena banjir.

TNB memaklumkan ketika banjir di tempat awam pula, orang ramai harus menghindari daripada menghampiri atau menyentuh mana-mana tiang besi yang ditenggelami air bagi mengelak risiko terkena renjatan elektrik.

Mereka juga diingatkan supaya mengelakkan kawasan yang mempunyai talian elektrik terutamanya pada waktu malam memandangkan tahap penglihatan adalah kurang baik supaya tidak tersentuh talian serta tidak sesekali menggunakan tangga atau galah berhampiran dengan talian elektrik.

“Selepas banjir, pastikan suis utama pada papan agihan telah ditutup sebelum membersihkan peralatan elektrik atau pendawaian rumah. Pastikan suis elektrik dan perkakas elektrik yang terendam dalam banjir diperiksa dan diuji terlebih dahulu oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga sebelum digunakan semula.

“Selain itu, ibu bapa perlu mengawasi pergerakan anak-anak supaya tidak menghampiri tiang elektrik yang tumbang atau kabel elektrik yang putus semasa banjir,” menurut kenyataan itu.

Menurut TNB, pengguna boleh menghubungi syarikat itu sekiranya ternampak kejanggalan berkaitan pepasangan TNB yang terkesan akibat banjir melalui talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB CareLine.

Isnin lepas, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan dalam tempoh musim tengkujuh ini, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku yang boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir sekiranya berterusan untuk tempoh beberapa hari.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan elektrik tidak dipotong sehingga 30 September

SHAH ALAM, 25 OGOS: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menghentikan aktiviti pemotongan elektrik sehingga 30 September depan bagi pengguna dengan bil tertunggak.

Syarikat utiliti itu berkata pemotongan juga tidak akan dibuat di kediaman dalam negeri fasa satu Pelan Pemulihan Negara.

“Ini bagi membantu pengguna kediaman yang ada tunggakan bil tidak melebihi enam bulan setakat 31 Disember tahun lalu,” katanya di Facebook hari ini.

TNB meminta pengguna menjelaskan bil menerusi aplikasi myTNB atau layari Portal myTNB bagi mengelakkan tunggakan.

Pengguna diminta klik www.tnb.com.my/residential/payment-methods untuk maklumat lanjut.

Pada 31 Januari lalu, TNB mengumumkan tidak akan melakukan pemotongan bekalan elektrik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kabel terbakar, lapan kawasan di Klang terputus bekalan elektrik

SHAH ALAM, 21 APRIL: Sebanyak lapan kawasan sekitar Klang mengalami gangguan bekalan elektrik susulan kebakaran kabel di pencawang pembahagi utama Puncak Alam.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) Careline dalam kenyataan berkata kawasan terlibat meliputi Bandar Puncak Alam, Taman Alam Sutera, Taman Alam Suria dan Kampung Bukit Hijau.

Turut terjejas bekalan ialah Kampung Bukit Cerakah, Bandar Hillpark, Astana Alam 2 dan sebahagian kecil kawasan Kuala Selangor.

“Pasukan teknikal kami sedang berada di lokasi untuk melakukan kerja-kerja membaik pulih bekalan elektrik,” kata syarikat tenaga itu di Facebook.

Sementara itu, Berita Harian melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan berhubung insiden kebakaran pada jam 5 pagi.

Susulan itu, Penolong Pengarah Operasinya Hafisham Mohd Noor berkata sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya dikerah ke lokasi di Jalan Felda 2, Puncak Alam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis Selangor, TNB bongkar kegiatan curi elektrik untuk Bitcoin

SERDANG, 19 APRIL: Polis dan Tenaga Nasional Berhad membongkar kegiatan mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan aktiviti melombong mata wang digital Bitcoin, dalam serbuan di enam premis di Seri Kembangan dan Bandar Kinrara pada 8 dan 17 April lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang Supt Mohd Rosdi Daud berkata, serbuan pertama melibatkan tiga premis di Pusat Perdagangan Bandar Putra Permai, Seri Kembangan pada 8 April, dan pihaknya menahan seorang lelaki dan wanita warga China, dipercayai penjaga premis itu.

Katanya, kedua-dua suspek berumur 32 dan 38 tahun yang tidak mempunyai sebarang rekod perjalanan sah, direman sehingga 28 April untuk siasatan lanjut.

Dalam serbuan kedua di Jalan Damai 3, Taman Damai Utama, Bandar Kinrara pada Ahad lepas pula, tiada tangkapan dilakukan.

“Sejumlah 297 mesin lombong dirampas daripada kedua-dua serbuan, dan nilai rampasan dianggarkan lebih kurang RM100,000,” katanya dalam sidang media Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat, selain Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Sementara itu Mohd Rosdi berkata, seorang lelaki berusia 22 tahun yang dipercayai pengedar dan juga penghantar dadah, ditahan bersama sembilan kilogram syabu dalam serbuan operasi khas di Serdang Raya, Seri Kembangan, pada kira-kira 5.30 petang Khamis lepas.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, pihaknya menemui sembilan bungkusan plastik lutsinar di atas tempat duduk bahagian penumpang dan belakang kereta yang dipandu suspek, dengan anggaran berat 9.28 kilogram.

“Suspek bertindak agresif dan berlaku pergelutan sebelum dia ditahan. Harga pasaran dadah yang dirampas dianggarkan bernilai kira-kira RM380,000. Sebuah kereta jenis Honda City turut disita untuk siasatan lanjut. Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod lampau berhubung kesalahan jenayah dan dadah, yang dilakukan sejak tujuh tahun lepas,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata suspek giat melakukan kegiatan mengedar dan menghantar dadah kepada pengedar lain di sekitar Lembah Klang, sejak sebulan yang lalu.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Elak ubah kedudukan meter elektrik tanpa maklumkan TNB

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Pemilik kediaman yang berhasrat untuk mengalih atau mengusik pepasangan Tenaga Nasional Bhd (TNB) termasuk meter elektrik ketika membuat pengubahsuaian dinasihatkan untuk memaklumkan kepada TNB terlebih dahulu.

Dalam kenyataan di sini, hari ini TNB memaklumkan kebenaran perlu diperoleh daripada syarikat itu sebelum pengalihan pepasangan dilakukan supaya sebarang kerja yang dijalankan mengikut spesifikasi TNB dan tidak menganggu bekalan elektrik.

“Pengalihan pepasangan TNB yang tidak teratur boleh mengakibatkan gangguan bekalan yang kerap, kejadian voltan berlebihan, litar pintas atau kebakaran di kediaman pengguna,” menurut kenyataan itu.

Penglibatan diri dalam sebarang aktiviti berhampiran pepasangan elektrik tanpa kebenaran sah termasuk tindakan mengusik atau mengalihkan kedudukan meter elektrik TNB menjadi kesalahan mengikut Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.

Individu yang disabitkan kesalahan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya.

Bagi sebarang pertanyaan berkaitan akaun dan bil, pelanggan disarankan untuk menghubungi TNB CareLine di talian 1300885454 atau e-mel kepada [email protected] atau kunjungi Kedai Tenaga yang berhampiran.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kombinasi meter pintar bersama aplikasi MyTNB bantu kawal penggunaan elektrik

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Gabungan penggunaan meter pintar bersama aplikasi MyTNB mampu membantu pengguna kediaman mengawal penggunaan elektrik sekali gus dapat mengelakkan pembaziran.

Pengarah Projek Advanced Metering Infrastructure (AMI) Tenaga Nasional Berhad (TNB) Ir Mohamed Ghous Ahmad berkata hasil kajian dijalankan di Melaka pada tahun lepas mendapati, kesemua 24 peratus pengguna meter pintar di negeri itu yang memantau penggunaan elektrik di rumah melalui MyTNB dapat menurunkan kadar bil elektrik berikutan mereka mengubah tabiat penggunaan bagi menjimatkan elektrik.

“Meter pintar berfungsi sebagai jangka yang mengukur aliran tenaga elektrik dan menghantar maklumat penggunaan ke pusat penyimpanan data TNB setiap hari.

“Informasi penggunaan elektrik ini boleh diakses pengguna di MyTNB bagi membantu mereka merancang dan mengawal penggunaan tenaga elektrik dengan cekap serta cermat,” katanya ketika ditemu ramah Bernama baru-baru ini.

Untuk rekod, kerajaan memilih Melaka sebagai negeri pertama melaksanakan pemasangan meter pintar dengan lebih 360,000 telah dipasang sejak 2014 dan pemasangan meter berkenaan kini giat dilaksanakan di Lembah Klang.

Aplikasi MyTNB adalah aplikasi mudah alih percuma untuk menguruskan akaun elektrik pengguna TNB. Ia boleh dimuat turun di Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery manakala portal MyTNB boleh dilayari di www.mytnb.com.my. Sehingga Feb 2021, lebih 4.8 juta akaun pengguna berdaftar telah menggunakan aplikasi MyTNB.

Menurut Mohamed Ghous pengguna yang tidak memiliki meter pintar juga boleh menjejak penggunaan tenaga masing-masing menggunakan aplikasi ini tetapi hanya secara bulanan.

Setakat ini, katanya pemasangan meter pintar telah melebihi 1 juta unit dan ia diteruskan kepada kesemua 9.1 juta pengguna di Semenanjung Malaysia menjelang 2026.

Katanya, pemasangan meter pintar yang lebih meluas ini diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pengguna ke arah mengubah tabiat penggunaan elektrik secara lebih cekap dan berhemah.

TNB adalah ejen pelaksana program pemasangan meter pintar bagi menyokong hasrat kerajaan memperkasa pengguna dan meningkatkan pendigitalan dalam kalangan rakyat. Ia dilaksanakan di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Elak penyamar, hubungi TNB sahkan identiti pemasang meter pintar

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Pemilik rumah boleh menghubungi Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk mendapatkan pengesahan pengenalan diri pemasang meter pintar bagi mengelak penyamaran oleh pihak tertentu bagi tujuan tidak baik.

Pengarah Projek Advanced Metering Infrastructure (AMI) TNB Ir. Mohamed Ghous Ahmad berkata mengikut prosedur, setiap pemilik kediaman yang terlibat dengan pemasangan meter pintar akan menerima notis sebelum pemasangan dilakukan sebagai langkah pemakluman dan temu janji.

“Pengguna boleh menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454 sekiranya mereka ragu-ragu dan ingin mendapatkan pengesahan,“ katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Mohamed Ghous berkata bagi kediaman bertingkat seperti kondominium dan pangsapuri, makluman pemasangan akan dibuat menerusi persatuan penduduk atau badan pengurusan bersama (JMB) bangunan sebelum pemasangan dilakukan.

Justeru, katanya pemilik rumah berhak dan wajib menghalang mana-mana petugas pemasangan meter pintar yang meragukan, tidak memakai pakaian seragam atau menunjukkan kad pengenalan diri.

Beliau berkata setiap petugas pemasangan meter pintar itu juga diwajibkan memakai pakaian seragam berwarna oren dan vest serta perlu menunjukkan kad pengenalan diri yang membuktikan mereka adalah kontraktor pemasangan meter pintar TNB.

“Pemasangan meter pintar yang kini giat dilaksanakan di Lembah Klang adalah percuma dan hanya mengambil masa kira-kira sejam untuk dipasang,” katanya menambah kerja-kerja pemasangan meter pintar ini akan dilakukan sepasukan dua petugas bertauliah dan terlatih.

“Mereka terdiri sama ada dalam kalangan kakitangan TNB sendiri atau kontraktor yang dilantik,” kata Mohamed Ghous.

Menurut beliau bacaan meter pintar juga adalah tepat dengan setiap meter diuji serta ditentukur berdasarkan piawaian oleh SIRIM; mematuhi Akta Timbang dan Sukat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; serta menerima sijil perakuan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga.

Sistem komunikasi meter pintar pula disahkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

TNB merupakan ejen pelaksana program pemasangan meter pintar dalam usaha kerajaan memperkasa pengguna dan meningkatkan pendigitalan dalam kalangan rakyat dan dilaksana di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).

– BERNAMA