Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik: Nur Dhabitah ke pusingan akhir, buru pingat pertama

TOKYO, 31 JULAI: Penerjun negara Nur Dhabitah Sabri terus berada pada landasan yang betul dalam usaha memburu pingat Olimpik Tokyo 2020, selepas layak ke akhir acara 3 meter (m) papan anjal wanita individu di Pusat Akuatik Tokyo.

Penerjun berusia 22 tahun, menunjukkan terjunan yang konsisten dalam kelima-lima terjunan, membolehkan beliau yang bermula pada tempat kesembilan pada terjunan pertama melonjak ke tempat keenam selepas lima terjunan, dengan mengumpulkan 312.50 mata keseluruhan pada peringkat separuh akhir hari ini.

Hanya 12 penerjun terbaik daripada 18, layak ke akhir yang dijadualkan pada 3 petang waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia) pada Ahad (1 Ogos).

Juara bertahan Shi Tingmao dari China, sekali lagi menunjukkan keupayaannya untuk mengungguli kedudukan dengan 371.45 mata, diikut rakan senegara Wan Han (346.85 mata) dan Jennifer Abel dari Kanada (341.40 mata).

Tingmao dan Wang Han menjadi pilihan untuk naik ke podium esok, hanya selepas seminggu memenangi pingat emas acara 3m papan anjal seirama Ahad lepas (25 Julai).

Ini merupakan kali kedua penyertaan Nur Dhabitah di Olimpik, selepas menduduki tempat kelima acara 3m papan anjal seirama bersama Cheong Jun Hoong dan tempat kesembilan dalam 10m platform pada Olimpik Rio 2016.

Nun Dhabitah layak ke separuh akhir selepas menempatkan dirinya dalam kalangan 18 penerjun terbaik pada pusingan awal semalam, dengan menduduki tempat ke-10 dengan 291.60 mata.

Namun demikian rakan sepasukan Ng Yan Yee, gagal layak ke hari ini selepas hanya menduduki tempat ke-20 dengan 251.95 mata.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Episod duka terus selubungi kontinjen Malaysia di Tokyo

TOKYO, 31 JULAI: Satu hari lagi episod mengecewakan buat kontinjen Malaysia dalam usaha meraih pingat emas sulung negara pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, yang memasuki hari kelapan semalam.

Selepas perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang diletakkan harapan menyumbangkan pingat emas pertama itu terkandas di pusingan 16 terbaik kelmarin, kini tiba giliran beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik, pula kecundang di peringkat separuh akhir, malam tadi.

Harapan rakyat Malaysia untuk melihat pasangan muda negara itu membuat kejutan mara ke final sekali gus berpeluang meraih pingat emas, tidak kesampaian apabila mereka tumpas kepada pasangan dari China Li Jun Hui-Liu Yu Chen 22-24, 13-21 di Musashino Forest Sport Plaza.

Sebelum ini, beregu lelaki negara itu mengejutkan pilihan utama Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon dari Indonesia 21-14, 21-17 untuk mara ke separuh akhir.

Namun, Aaron-Wooi Yik berpeluang menebus kekecewaan itu sekali gus menyumbangkan pingat pertama buat negara apabila turun berdepan gandingan Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia pada perlawanan penentuan pingat gangsa, petang ini.

Sementara itu, nasib berbeza buat dua penerjun negara di Pusat Akuatik Tokyo semalam apabila Nur Dhabitah Sabri mengesahkan slot ke peringkat separuh akhir manakala Ng Yan Yee terkandas di pusingan kelayakan acara 3 meter papan anjal individu wanita.

Nur Dhabitah, 22, bermula dengan bergaya apabila menduduki ranking ketiga selepas tamat pusingan pertama dengan 67.50 mata, sebelum kedudukan mula merosot namun berjaya menamatkan saingan di tempat ke-10 dengan mengumpul 291.60 mata.

Sementara, Yan Yee terlepas peluang ke separuh akhir apabila menamatkan saingan di tempat ke-20 dengan mengumpul 251.95 mata.

Aksi pelari pecut wanita negara Azreen Nabila Alias dalam saringan keenam pusingan pertama pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada 30 Julai 2021. Foto BERNAMA

Hanya 18 penerjun terbaik daripada 27 peserta di pusingan kelayakan mara ke peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung pada Sabtu, 3 petang waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia). Hanya 12 penerjun terbaik layak beraksi di final pada Ahad.

Di Stadium Olimpik Tokyo pagi semalam, pelari pecut wanita negara, Azreen Nabila Alias mencuri tumpuan peminat sukan tanah air apabila mara ke pusingan pertama acara 100 meter, selepas menamatkan saingan di tempat kedua dalam saingan kelayakan acara berkenaan.

Lebih membanggakan, pelari kelahiran Terengganu itu yang kali pertama beraksi di pentas Olimpik, turut memperbaharui rekod peribadi terbaiknya apabila mencatat masa 11.77s dalam saringan kedua acara berkenaan.

Catatan peribadi terbaik atlet berusia 21 tahun itu, yang meraih tiket ‘wild card’ di temasya Sukan Olimpik Tokyo adalah 11.91s, yang dicipta semasa Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak.

Pada saringan keenam pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Olimpik Tokyo itu, Azreen Nabila, bagaimanapun menamatkan cabaran di tempat ketujuh dengan masa 11.91s, sekali gus gagal layak ke separuh akhir.

Sementara itu, nasib malang menimpa jaguh lompat tinggi negara Lee Hup Wei pada penampilan ketiganya di pentas Olimpik,

Pada saingan berlangsung pagi semalam, atlet kelahiran Kajang, Selangor itu yang mempunyai catatan peribadi terbaik 2.29 meter (m), gagal melepasi ketinggian pertama 2.17 meter (m) dalam ketiga-tiga percubaannya pada pusingan kelayakan tersebut.

Di Enoshima Yacht Harbour, pengalaman terus memisahkan gandingan pelayar negara Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali dengan jaguh handalan dunia pada hari ketiga acara International 470 Wanita semalam.

Selepas enam perlumbaan, Nuraisyah-Juni Karimah berada di ranking ke-20 daripada 21 peserta dengan mengumpul 91 mata bersih dengan baki dua hari perlumbaan selepas ini yang akan bersambung pada Ahad.

Pelayar wanita negara Nur Shazrin Mohamad Latif pula boleh menarik nafas lega selepas berjaya memperbaiki pencapaiannya dalam acara Laser Radial Wanita pada penampilan keduanya di temasya Olimpik.

Pada aksi semalam, Nur Shazrin menamatkan dua perlumbaan terakhir masing-masing di tempat ke-16 dan ke-15 sekali gus menutup saingan di tempat ke-26 daripada 44 peserta dengan mengumpul 194 mata bersih selepas 10 perlumbaan.

Keputusan itu menyaksikan beliau mengatasi pencapaian tempat ke-33 dengan 274 mata bersih pada penampilan sulung di edisi Rio 2016.

Dalam pada itu, pelayar lelaki negara Khairulnizam Mohd Afendy mengakhiri saingan acara Laser Standard Lelaki di tempat ke-28 daripada 35 peserta dengan 196 mata bersih selepas menamatkan perlumbaan kesembilan dan ke-10, masing-masing di tempat ke-23 dan ke-20.

Namun, keputusan dilakar Khairulnizam yang memenangi pingat perak pada Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang itu lebih baik berbanding pencapaiannya pada edisi London 2012 dan Rio 2016.

Sementara itu, pemain negara Gavin Green terpaksa menunggu untuk menamatkan pusingan kedua acara golf Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas pusingan itu ditangguhkan susulan cuaca buruk di Kasumigaseki Country Club.

Cabaran Gavin terhenti sehingga lubang ke-14 dan beliau dijadual kembali beraksi melengkapkan permainannya pada pagi ini sebelum meneruskan saingan pusingan ketiga yang turut dijadual berlangsung hari ini.

Pada aksi semalam, Gavin melakukan tujuh par selain berjaya membuat empat birdie pada lubang pertama, ketiga, keenam dan ke-11, manakala tidak bernasib baik mencatat tiga bogey pada lubang kedua, kesembilan dan ke-13 sekali gus menduduki tempat ke-55 daripada 60 peserta.

Dalam pada itu, pemanah negara Khairul Anuar Mohamad akan turun beraksi pada pusingan ketiga acara Recurve Individu Lelaki di Lapangan Memanah Yumenoshima.

Khairul Anuar, bagaimanapun berdepan tugas berat apabila dijadual berdepan pemanah Korea Selatan, Kim Woojin yang berada di kedudukan keempat dalam saingan pusingan penentuan ranking, sebelum ini.

Aksi esok juga melibatkan penembak wanita berpengalaman negara Nur Suryani Mohamed Taibi yang akan memulakan saingan dalam pusingan kelayakan 50m Rifle 3 Posisi Wanita di Lapangan Menembak Asaka.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Beri 100 peratus, Zii Jia serius hadapi saingan Tokyo 2020

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang membuat penampilan pertama di Olimpik semalam, mengakui mengambil serius setiap perlawanan di Tokyo 2020.

Pemain berusia 23 tahun itu, yang mudah menjinakkan pemain Ukraine Artem Pochtarov 21-5, 21-11 dalam hanya 25 minit pada aksi pertama Kumpulan M semalam, tidak mahu memberi ruang kepada lawan untuk bangkit memberi cabaran.

“Saya sememangnya teruja kerana ini Olimpik pertama saya dan setakat ini saya menikmatinya, tetapi banyak juga kesilapan saya lakukan pada perlawanan semalam. Tak kira lawan bagus atau tidak, saya mengambil serius dan beri 100 peratus.

“Hanya satu atau dua shot (pukulan) saya layan, pukulan lain saya terus matikan, saya berusaha untuk cepat habiskan perlawanan sebab ini Olimpik,” kata pemain ranking nombor lapan dunia itu, menerusi sebuah video.

Juara All England 2021 itu, seterusnya akan bertemu pemain Perancis, Brice Leverdez pada Rabu.

Walaupun rekod pertemuan antara dua pemain itu terikat satu kemenangan masing-masing kepada Zii Jia dan Leverdez, namun Zii Jia mengetahui kemampuan pemain Perancis itu, yang pernah mengejutkan Datuk Lee Chong Wei di suku akhir Terbuka Denmark 2016 dan pusingan pertama Kejohanan Dunia 2017.

“Sebelum bertolak ke Jepun, kita ada bincang banyak strategi untuk lawan Leverdez di sini. Untuk dua hari ini, saya akan berehat secukupnya dan membuat latihan ringan untuk bersedia menghadapinya,” katanya.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 itu, perlu mencatatkan kemenangan pada aksi itu untuk mara ke pusingan kalah mati.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Pasukan bola sepak, hoki negara gagal lagi ke Olimpik

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Ternyata bahawa prestasi dua sukan popular negara iaitu bola sepak dan hoki semakin merosot apabila sekali lagi gagal untuk melayakkan diri ke pentas Sukan Olimpik di Tokyo 2020 yang akan bermula pada 23 Julai ini.

Skuad bola sepak negara atau lebih dikenali sebagai Harimau Malaya, telah dua kali berjaya melayakkan ke Sukan Olimpik iaitu di Munich pada 1972 dan edisi Moscow pada 1980. Tetapi mereka memboikot Sukan Olimpik Moscow.

Semasa edisi 1972 di Munich, Malaysia menduduki tempat ke-10 dalam kalangan 16 negara yang mengambil bahagian, setelah tewas 3-0 kepada Jerman Barat dan 6-0 kepada Maghribi, namun berjaya menewaskan Amerika Syarikat (AS) 3-0 untuk menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan A.

Gol jaringan Shaharuddin Abdullah, Allahyarham Wan Zawawi Wan Yusof dan Allahyarham Salleh Ibrahim menentang AS, adalah sesuatu yang dihargai bagi peminat Harimau Malaya.

Bekas ketua pasukan kebangsaan Datuk Soh Chin Aun, yang pernah beraksi di pentas Olimpik 1972 dan merupakan sebahagian daripada pasukan yang layak ke Olimpik 1980, berharap pihak berkepentingan berusaha secara proaktif untuk memastikan Malaysia layak ke sukan berprestij itu dalam masa terdekat.

Tatkala, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyasarkan slot ke Olimpik Paris 2024, bekas pemain pertahanan berusia 71 tahun itu berkata keadaan menjadi semakin sukar bagi Malaysia untuk melayakkan diri kerana negara lain kini didapati semakin hebat.

“Sudah semestinya, beraksi di Olimpik adalah suatu pencapaian tertinggi dalam sukan. Bukan senang untuk ke Olimpik. Semoga mereka semua melakukan yang terbaik (namun mereka akan) dan perlu berusaha untuk layakkan diri.

“Bagi saya, kini menjadi semakin sukar untuk kita melayakkan diri, kerana pasukan dari Asia seperti Korea Selatan, Jepun dan negara-negara Arab, jauh lebih baik berbanding kita,” kata Chin Aun, yang mesra digelar sebagai ‘Tauke’ dan terkenal dengan sikap kepimpinan yang bijak dan tegas sama ada di atas atau luar padang, kepada Bernama.

Legenda bola sepak kebangsaan yang berasal dari Melaka itu, mewakili Malaysia dari tahun 1969 hingga 1984 dan membimbing pasukan kebangsaan meraih pingat gangsa pada Sukan Asia 1974 di Tehran, Iran.

Pada Sukan Olimpik 1972, Chin Aun sebaris dengan beberapa pemain bola sepak terbaik Malaysia antaranya Allahyarham Namat Abdullah, M. Chandran, V. Krishnasamy, Wong Kam Fook, Wong Choon Wah, Harun Jusoh, Ali Bakar, Looi Loon Teik, Lim Fung Kee, dan Bahwandi Hiralal.

Walaupun bola sepak, iaitu sukan paling popular di Malaysia, hanya berjaya layak sebanyak dua kali ke Sukan Olimpik, namun sukan berpasukan kedua paling popular, iaitu hoki berjaya layak sebanyak sembilan  kali ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Malah, pasukan hoki lelaki kebangsaan berjaya tampil dalam empat edisi berturut-turut dari 1964 hingga 1976, dengan pencapaian terbaik mereka berada dua kali pada kedudukan kelapan iaitu di Munich 1972, membabitkan pertandingan 11 negara dan berjaya melayakkan di Montreal empat tahun kemudian, dalam 16 pasukan yang mengambil bahagian.

Namun, bintang mereka telah merosot setelah kali terakhir layak ke Olimpik Sydney 2000. The Speedy Tigers, gelaran buat skuad hoki lelaki kebangsaan, sejak itu telah ketinggalan lima kali berturut-turut untuk menyertai edisi Sukan Olimpik.

Ketua Pasukan Speedy Tigers di Sukan Sydney 2000, Datuk Mirnawan Nawawi mengakui bahawa beliau sedih melihat pelapisnya dalam pasukan kebangsaan sekali lagi gagal layak ke Olimpik,  namun optimis bahawa pemain kebangsaan mempunyai semua kualiti untuk dipamerkan.

Datuk Mirnawan Nawawi, yang merupakan kapten Speedy Tigersm ketika skuad kebangsaan itu tampil kali terakhir di Olimpik Sydney, optimis bahawa barisan pemain yang ada kini mempunyai kemampuan untuk menamatkan kemarau penantian yang berpanjangan sekali gus layak ke Olimpik Paris pada 2024.

Bagi, Mirnawan, yang digelar sebagai ‘Bos’, usaha keras perlu bermula dari sekarang.

“Tak guna kita kenang balik atau menangis mengenai peluang terlepas, tetapi harus belajar daripada pengalaman supaya kita layak ke edisi seterusnya. Selain perancangan yang rapi dan teliti, serta program yang baik, kita memerlukan pemain dengan mentaliti menjadi juara, yang laparkan kejayaan di kejohanan-kejohanan kelayakan dan pertandingan berperingkat tinggi.

“Dengan adanya sokongan daripada semua pihak dan kerja keras daripada pemain, kita mampu layak ke Olimpik Paris 2024. Anda bukan seorang pemain bertaraf antarabangsa yang sempurna sehingga anda beraksi di Olimpik,” kata pembawa bendera kontinjen negara Sukan Olimpik Sydney 2000 itu.

Mirnawan, yang bermain untuk pasukan kebangsaan selama 14 tahun dari 1989 dan tampil dalam tiga Sukan Olimpik (1992, 1996, 2000) sebelum dilantik sebagai pengurus pasukan kebangsaan tahun lalu, mengakui bahawa impiannya adalah untuk melihat generasi pemain Malaysia yang lain layak ke Sukan Olimpik.

— BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Pegawai kesihatan Jepun cadang Olimpik tanpa penonton

ANKARA, 19 JUN: Lembaga Penasihat Covid-19 Jepun pada Jumaat menyatakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 perlu diadakan tanpa kehadiran penonton, menurut Anadolu Agensi Kyodo.

Ketua Pertubuhan Penjagaan Kesihatan Komuniti Jepun Shigeru Omi berkata demikian pada sidang media di Tokyo.

Beliau berkata langkah itu adalah kaedah terbaik dan berkesan untuk mengurangkan risiko penularan virus.

Omi turut menasihatkan penganjur memikirkan kaedah terbaik untuk mengurangkan risiko dan membuat keputusan secepat mungkin.

Selain itu, 26 pakar, termasuk Ketua Pengarah Institut Penyakit Berjangkit Takaji Wakita turut menyuarakan kebimbangan mereka bahawa Olimpik mungkin akan mencetuskan gelombang baharu wabak Covid-19.

Menteri Olimpik Seiko Hashimoto berkata pihak penganjur akan meneliti perkara itu dengan lebih terperinci dan mencari cara paling sesuai serta selamat untuk penonton, termasuk berunding dengan pakar.

Sukan Olimpik, yang ditunda tahun lalu bakal diadakan pada 23 Julai hingga 8 Ogos manakala Sukan Paralimpik dari 24 Ogos hingga 5 September.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Atlet olahraga para di landasan terbaik hadapi Paralimpik Tokyo

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Selepas mengharungi beberapa kejohanan simulasi dan menjalani latihan intensif sejak Jun lepas, skuad olahraga para negara kini berada di landasan terbaik untuk beraksi pada Sukan Paralimpik Tokyo yang dijadual pada Ogos tahun depan.

Ketua Jurulatih Skuad Olahraga Para negara R Jaganathan berkata dalam tempoh kira-kira lapan bulan menjelang temasya sukan para terbesar di dunia itu, anak didiknya kini hanya perlu memantapkan ketahanan mental dan diberi pendedahan bertanding di kejohanan luar bagi memastikan mereka cukup bersedia dan tidak gementar menghadapi saingan pada Sukan Paralimpik Tokyo.

“Sekarang mereka boleh dikatakan sudah 85 peratus bersedia untuk bersaing di Tokyo, hanya perlu pastikan ketahanan mental berada dalam keadaan terbaik. Saya harap sangat temasya sukan ini tidak akan ditunda.

Jika ditunda lagi, ia sangat mengganggu prestasi atlet dan mereka tidak boleh fokus. Saya mengaku agak susah mahu pastikan mereka sentiasa positif selepas temasya sukan itu ditunda,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Setakat ini, empat atlet para iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100m T36), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20), Abdul Latif Romly (lompat jauh T20) dan Jonathan Wong Kar Gee (lompat jauh T12) sudah layak ke Paralimpik Tokyo selepas meraih pingat pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Dubai.

Sebelum ini, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 dan Kerajaan Jepun bersetuju meminda tarikh penganjuran Sukan Paralimpik 2020 yang sepatutnya berlangsung dari 25 Ogos hingga 6 September 2020 kepada 24 Ogos hingga 5 September 2021 susulan pandemik Covid-19.

Mengenai kelonggaran diberikan kerajaan berkaitan penganjuran kejohanan di peringkat antarabangsa, Jaganathan berkata inisiatif dilaksanakan itu bertepatan bagi “menghidupkan” semula sektor sukan yang terjejas akibat penularan penyakit itu.

Namun, Jaganathan menegaskan selaku jurulatih, beliau lebih mementingkan keselamatan dan kesihatan anak didiknya yang memerlukan penjagaan kesihatan lebih rapi berbanding atlet normal, sebelum memutuskan menghantar mereka ke luar negara.

“Kalau pergi ke kejohanan luar negara, saya akan pastikan ia berbaloi dan sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) seperti digariskan Majlis Sukan Negara (MSN) dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagi tahun 2021, skuad olahraga para negara akan sertai Kejohanan Grand Prix IPC yang bermula di Dubai, diikuti Brazil dan Itali. Ini adalah kejohanan kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo,” katanya.

Pada 18 Dis lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan mengenai kebenaran menganjurkan kejohanan atau pertandingan peringkat antarabangsa namun ia tertakluk kepada Jabatan Imigresen.

Beliau berkata penyertaan bagi negara-negara berisiko tinggi tidak dibenarkan, kecuali mendapat kebenaran Imigresen, begitu juga dengan penyertaan atlet negara ke kejohanan antarabangsa khususnya ke negara berisiko tinggi juga perlu mendapat kebenaran JIM.

Dalam perkembangan lain, Jaganathan memaklumkan beliau merancang untuk mengadakan empat sirkit kebangsaan bermula pada Mac depan bagi memilih wakil negara ke Sukan Para ASEAN 2021 di Hanoi, Vietnam.

-BERNAMA