Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tiada lagi tol Batu Tiga, Sungai Rasau

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 JAN : Selepas 24 tahun beroperasi, Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau akhirnya menamatkan operasinya bermula 12.00 malam tadi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, ia sekali gus memberikan kegembiraan buat warga Selangor.

Beliau berkata, pemansuhan itu juga dianggap sebagai kejayaan terbesar rakyat dalam menuntut pemansuhan tol terus dilaksanakan, seiring hasrat berkebajikan Kerajaan Pakatan.

“Ini sebagai satu kejayaan dan aspirasi tahun baru buat rakyat yang sejak dari awal menuntut tol ini dihapuskan.

“Kejayaan terbesar kita juga apabila berjaya menghalang konsesi tol ini disambung untuk tempoh sehingga 2038,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan masyarakat tempatan turun padang pada program ‘Tamat Tol, Bebas Rakyat’ di Tol Sungai Rasau meraikan pemansuhan kedua-dua tol berkenaan, lewat tengah malam tadi.

Untuk rekod, Sebanyak 155,000 kenderaan menggunakan laluan bertol (Batu Tiga dan Sungai Rasau) setiap hari.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pengumuman Belanjawan 2018 lalu mengumumkan pemansuhan tol berkenaan dilaksanakan berkuatkuasa 1 Januari 2018.

Pemansuhan berkenaan menyaksikan Kerajaan Persekutuan terpaksa membayar pampasan sebanyak RM102 juta setahun, selepas lanjutan kontrak sehingga 2038 dimansuhkan susulan wujudnya tekanan daripada rakyat agar pemansuhan dibuat.

Meraikan kejayaan itu, penduduk tempatan Mohamad Hakim Zulkafri, 26 berharap pemansuhan tol boleh dilaksanakan di seluruh negara.

Katanya, ia perlu dilaksanakan seiring tangunggjawab Kerajaan Persekutuan memastikan rakyat tidak terbeban dengan kadar kenaikan tol berterusan oleh syarikat konsesi.

“Ada negara-negara maju di luar negara yang tidak mengenakan tol yang banyak kepada rakyat negara mereka.

“Berbeza dengan Malaysia, banyak tol dibina dan memberi pulangan keuntungan untuk tempoh yang panjang kepada syarikat konsesi.

“Ini tentunya akan memberi kesan jangka panjang kepada rakyat yang terpaksa membayar tol secara berterusan,” katanya.

Sementara itu, Aliff Danial, 27 berharap pemansuhan kedua-dua tol berkenaan akan menjadi lembaran baru kepada rakyat tempatan sebelum ini yang terpaksa berdepan dengan kos kenaikan hidup kini.

“Terima kasih kepada semua pihak yang sebelum ini turun padang mendesak supaya tol ini dimansuhkan.

“Saya berharap, langkah ini akan diteruskan di tol-tol dan (Kerajaan Persekutuan) jangan lagi dibina terlalu banyak tol dan memaksa rakyat untuk terus membayar,” katanya.

Categories
SELANGOR

Xavier Bayar Tol Bagi Pihak 35 Kereta

SHAH ALAM, 15 MEI : Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar hari ini menjelaskan bayaran tol bagi 35 buah kereta yang melalui tol Batu Tiga pada demonstrasi mansuh Tol Sungai Rasau dan Batu Tiga Sabtu lalu.

Beliau yang juga Adu Sri Andalas berkata, gantirugi sebanyak RM 38.50 kepada pihak Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) dan  mengharapkan pihak PLUS tidak mengambil tindakan kepada kenderaan-kenderaan yang tidak membayar tol pada hari itu.

“Saya ingin menjaga hubungan baik dengan PLUS tetapi saya tetap mendesak agar tol ini segera dimansuhkan,” katanya ketika ditemui di Pejabat Plaza Tol Batu Tiga hari ini.

Pada Sabtu lalu, hampir 300 rakyat berkumpul di Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di sini bagi menyertai demonstrasi mendesak Kerajaan Pusat menghapuskan kedua-dua tol terbabit.

Demonstrasi aman anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor itu mencuri tumpuan pengguna lebuh raya hari itu apabila mereka membunyikan hon sebagai tanda sokongan dan mengambil pelekat kereta dengan slogan ?Hapuskan Tol Demi Rakyat?.

Namun, seorang individu tidak dikenali mengangkat palang di satu lorong plaza tol Batu Tiga menyebabkan beberapa kenderaan melepasinya tanpa membuat bayaran.

Sementara itu, Dr Xavier mengandaikan jika lima minit direkodkan untuk 35 buah kenderaan melalui satu laluan tol, maka sebanyak 420 buah kenderaan dalam masa sejam serta hampir 10,000 buah kenderaan sepanjang hari dan mencatatkan kutipan tol mencecah RM400,000 sehari.

“Tidak mungkin PLUS mengalami kerugian serta tidak mampu menanggung kos membaikpulih lebuhraya itu kerana Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau sudah beroperasi melebihi 25 tahun,” katanya yang juga Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor.

Malah, semua pihak termasuk Umno-BN sendiri menyokong pemansuhan tol Sungai Rasau dan Batu Tiga ini kerana ia jelas membebankan penggunanya selain kesesakan teruk setiap hari.

Bagaimanapun, pihak PLUS hanya bertindak menambah laluan tol tetap ia tidak mengurangkan kesesakan selain hanya mengaut keuntungan setiap hari.

Categories
NASIONAL

300 Orang Desak Tol Batu Tiga-Sungai Rasau Dihapuskan

SHAH ALAM 13 MEI : Hampir 300 rakyat berkumpul di Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di sini bagi menyertai demonstrasi mendesak Kerajaan Pusat menghapuskan kedua-dua tol terbabit.

Demonstrasi aman anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor itu mencuri tumpuan pengguna lebuh raya itu apabila mereka membunyikan hon sebagai tanda sokongan dan mengambil pelekat kereta dengan slogan ‘Hapuskan Tol Demi Rakyat’.

Peserta demonstrasi juga membawa kain rentang bertulis ‘Hapuskan Tol Baru Betul’, ‘Hapuskan Tol Demi Rakyat’ selain laungan ‘Hidup Rakyat’, ‘Hapuskan tol’, ‘Undi Pakatan Rakyat Tak Bayar Tol’, dan ‘Undi BN Bayar Tol’. 

“Kami dapat simpulkan kehadiran rakyat berbilang kaum pada hari ini sebagai gerakan rakyat secara bersepadu untuk bersama-sama mendesak Kerajaan Pusat berhenti dari terus membebankan rakyat.

?Sedangkan pulangan modal yang sepatutunya mereka perolehi sudahpun mereka dapatkan lama dulu,” jelas Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Atkin.

Turut hadir Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei dan Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri dan MP Shah Alam Khalid Samad di Tol Batu Tiga di sini.

Sementara di plaza tol Sg Rasau, pemimpin Pakatan Selangor dan kira-kira 100 individu turut mengadakan sebuah lagi demonstrasi bagi tujuan yang sama.

Kumpulan itu turut dipimpin Exco Selangor Ronnie Liu dan Dr. Yaakob Sapari, Kapar MP S. Manikavasagam dan ADUN Kota Alam Shah M. Manoharan.

Khalid berkata kedua-dua tol tersebut sepatutnya sudah lama dihapuskan.

 “Laluan ini memang sudah lama wujud dan mereka (syarikat konsesi) sekadar melebarkannya daripada dua ke enam lorong.

?Pengguna pula terus dikenakan bayaran sehingga ke hari ini selepas kira-kira dua puluh tahun kutipan tol dimulakan.

“Mengambil kira kenderaan yang semakin banyak, sehari sahaja PLUS (Projek Lebuhraya Usahasama Berhad) mampu mengutip ratusan ribu. Bayangkanlah untuk beberapa tahun ini, memang inilah paling mengarut sekali,” jelasnya sewaktu ditemubual TVSelangor.

Salah seorang peserta demonstrasi mencuri tumpuan apabila beliau mengangkat palang di satu lorong plaza tol Batu Tiga menyebabkan beberapa kenderaan melepasinya tanpa perlu membuat bayaran.

Bagaimanapun, Dr Xavier yang berada di situ segera mengarahkan palang tersebut diturunkan dan beliau berjanji untuk membayar ganti rugi yang ditanggung pihak PLUS.