Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah Koroner benarkan prosiding komital terhadap Peguam Negara

SHAH ALAM, 27 OGOS: Mahkamah Koroner di sini hari ini membenarkan prosiding permohonan perintah komital (menghina mahkamah) yang difailkan keluarga anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas dijalankan.

Koroner Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas meneliti semua dokumen serta afidavit dikemukakan oleh kedua-dua pihak iaitu pemohon yang diwakili peguamnya, Mohamed Haniff Khatri Abdulla serta peguam kanan Persekutuan, S Narkunavathy, yang mewakili Tommy dalam prosiding sebelum ini.

Dalam penghakimannya, Rofiah berkata, keputusan itu juga dibuat selepas beliau berpuas hati dengan hujahan kedua-dua pihak berhubung wujudnya prima facie dalam perjalanan prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib.

Beliau berkata, kes kematian anggota bomba itu diketahui sebagai satu kes berprofil tinggi dan berkepentingan umum.

“Dalam prosiding inkues sebelum ini, terdapat perkembangan untuk memberhentikan peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta keluarga Muhammad Adib iaitu Syazlin Mansor yang boleh mencacatkan dan memudaratkan kelancaran inkues.

“(Malah) Afidavit yang dikemukakan (bekas) pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah pada 3 April lepas pula menimbulkan gesaan supaya inkues ini digantikan dengan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Keadaan itu sekaligus mewujudkan persepsi negatif terhadap inkues yang dijalankan oleh saya atas kuasa peguam negara sendiri untuk mengetahui apakah punca dan hal ehwal di mana Muhammad Adib menemui ajalnya.

“Ia (afidavit) meletakkan seolah-olah inkues satu permainan wayang dan integriti (mahkamah) dipertikaikan,” katanya.

Rofiah kemudian menetapkan 23 September ini bagi pendengaran dan pengurusan kes permohonan perintah komital berkenaan.

Mohamed Haniff Khatri yang ditemui pemberita di luar mahkamah sekali lagi menegaskan permohonan perintah komital itu bukan mahu menghukum sesiapa sebaliknya untuk menuntut keadilan dan menjernihkan keadaan bahawa keputusan inkues kelak tidak dianggap sebagai suatu ‘wayang’ kepada rakyat.

Malah katanya, permohonan perintah komital itu juga dibuat atas permintaan keluarga Muhammad Adib yang mahu peguam negara memohon maaf kepada mereka dan mahkamah berhubung kenyataannya sebelum ini.

Dalam permohonan perintah komital yang difailkan keluarga Muhammad Adib pada 16 Julai lepas itu, bapanya, Mohd Kassim Abdul Hamid, 65, mendakwa Tommy telah membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 April lepas berhubung punca kematian anaknya.

Permohonan sebelah pihak (ex-parte) itu dibuat melalui Tetuan Mohd Zubir Embong Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.

Pada Rabu lepas, Tommy menerusi Narkunavathy yang mewakilinya memberitahu mahkamah, dakwaan keluarga anggota bomba itu bahawa afidavit Peguam Negara dikatakan mengganggu inkues serta menghina mahkamah, tidak diberikan secara terperinci.

Bagaimanapun, Mohamad Haniff Khatri pula memberitahu, afidavit peguam negara pada 3 April lepas yang menyatakan Muhammad Adib meninggal dunia bukan disebabkan kecederaan akibat serangan, jelas menggangu prosiding inkues.

Katanya, Tommy selaku Peguam Negara tidak boleh mengeluarkan keputusan berhubung punca kematian Muhammad Adib.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Peguam Negara nafi fail afidavit berhubung punca kematian Adib

SHAH ALAM, 24 JUL: Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan kepada bekas Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah untuk memfailkan afidavit di Mahkamah Rayuan berhubung punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Tommy berkata demikian dalam jawapannya kepada permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang dibuat bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid pada 16 Julai lepas.

Beliau berkata, pihaknya tidak mengarahkan atau memberi arahan berhubung tugas harian kepada 1,200 pegawai undang-undangnya.

“Dalam perkara ini, apa-apa yang diikrarkan dan difailkan oleh Hamdan dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib adalah di bawah bidang tugasnya.

“Tanggapan dan rumusan pemohon terhadap afidavit Hamdan adalah ‘mischievous’, suatu salah tanggapan dan tanpa sebarang asas atau merit, ” katanya di sini.

Terdahulu, Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini menetapkan 9 Ogos ini sebagai tarikh untuk menyelesaikan isu membabitkan permohonan perintah komital (hina mahkamah) yang dibuat Mohd Kassim.

Mohd Kassim, 64, sebelum ini memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) melalui Tetuan Mohd Zubir Embong dan Associate di Mahkamah Koroner.

Dalam permohonan itu, beliau mendakwa Tommy telah membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Penguam Negara pada 3 April lepas yang mana menyatakan kematian Muhammad Adib bukanlah dipukul.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Selesai isu permohonan komital terhadap Peguam Negara 9 Ogos

SHAH ALAM, 24 JUL: Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini menetapkan 9 Ogos ini untuk menyelesaikan dua isu membabitkan permohonan perintah komital (hina mahkamah) yang dibuat bapa anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim kepada Peguam Negara, Tommy Thomas.

Koroner Rofiah Mohamad berkata, dua isu itu ialah sama ada peguam negara boleh memberi pandangan atau hujahan terhadap permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang dibuat bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid serta sama ada boleh atau tidak, dua afidavit oleh peguam negara dan pegawai pengendali terdahulu yang difailkan sebelum ini diterima.

Ia susulan, peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Mohamed Hanif Khatri Abdulla mempersoalkan sejauh mana penglibatan pejabat peguam negara kerana permohonan mereka adalah ex-parte (sebelah pihak).

Beliau berkata, pihaknya turut dimaklumkan pejabat peguam negara telah memfailkan dua afidavit berhubung kes itu.

Terdahulu, Mohamed Haniff Khatri memaklumkan kepada mahkamah bahawa dua isu itu wujud susulan permohonan perintah komital berkenaan.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy berkata, pihaknya berpendirian peguam negara mempunyai hak untuk mendengar permohonan komital itu.

Pada 16 Julai lepas, Mohd Kassim telah memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding komital terhadap Tommy berhubung punca kematian anaknya.

Mohd Kassim, 64, memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) melalui Tetuan Mohd Zubir Embong dan Associate di Mahkamah Koroner.

Dalam permohonan itu, beliau mendakwa Tommy telah membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 April lepas.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kes Wan Ji: Kaji semula kes hasutan jika ada representasi

KUALA LUMPUR, 12 JUL: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan mengkaji semula setiap kes di bawah Akta Hasutan yang masih berjalan di mahkamah pada bulan Mei 2018 berdasarkan fakta kes tersebut, kata Peguam Negara, Tommy Thomas.

Beliau berkata, jabatan itu hanya boleh bertindak berdasarkan representasi bertulis yang diterima daripada tertuduh atau peguam belanya dan ia sebagai langkah menjamin ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Bagaimanapun, katanya, dalam kes penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin, tertuduh tidak membuat sebarang representasi kepada ACG berhubung kes hasutannya.

”Peningkatan jumlah ucapan berbaur kebencian terutama dalam talian berkaitan perkauman, agama dan insitusi raja dalam masyarakat majmuk bermakna kebebasan bersuara dan ekspresi telah disalahgunakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Cabaran bagi jabatan ini adalah untuk mengimbangi kebebasan bersuara yang semakin meningkat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan peningkatan ucapan berunsur kebencian yang menyakiti perasaan rakyat, katanya.

Apabila pendakwaan dijalankan, jabatan ini akan bertindak berpandukan Kanun Keseksaan namun dalam keadaan tiada alternatif di bawah undang-undang, dalam kes-kes bersesuaian, jabatan ini tidak dapat menolak kemungkinan menggunakan Akta Hasutan sehingga ia dimansuhkan, katanya.

Mengulas kes Wan Ji, Tommy berkata, dia dituduh di bawah Seksyen 4(1) (c) Akta Hasutan 1984 di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 10 September 2014 kerana menerbitkan perkataan menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kenyataan bersifat menghasut itu diterbitkan oleh tertuduh dalam akaun Facebooknya, wanji.attaaduddi pada 5 November 2015 dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dkenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun.

Tommy berkata, tertuduh telah memohon untuk dibicarakan dan pada 9 April 2018, Mahkamah Sesyen mendapati tertuduh bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan.

”Teruduh menfailkan rayuan terhadap sabitan dan pada 9 April, 2018, Pendakwa Raya memfailkan rayuan balas terhadap hukuman,” katanya.

Kedua-dua rayuan dan rayuan balas telah disebut di Mahkamah Tinggi Shah pada 30 April 2019.

Bagaimanapun, katanya, tertuduh dan peguamnya tidak hadir ke mahkamah pada hari tersebut dan susulan itu, Mahkamah Tinggi mengarahkan pihak-pihak terbabit memfailkan hujahan bertulis dan menetapkan 9 Julai 2019 untuk keputusan.

Pada hari penghakiman tersebut, Tommy berkata, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan balas pendakwaan dan menolak rayuan terhadap sabitan dan hukuman Wan Ji serta menambah hukuman penjara sembilan bulan kepada setahun.

“Permohonan penangguhan hukuman penjara secara lisan dilakukan oleh tertuduh tetapi ditolak oleh Mahkamah Tinggi yang mengarahkan supaya permohonan secara bertulis dilakukan.

“Oleh itu tertuduh mula menjalankan hukuman pada 9 Julai namun permohonan rasmi penangguhan hukuman difailkan semalam dan Mahkamah Tinggi membenarkannya hari ini,” katanya.

“Pendakwa Raya tiada bantahan terhadap permohonan penangguhan hukuman tersebut dan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu pendengaran rayuan,” katanya.

Tommy berkata, berdasarkan kronologi kejadian, adalah jelas bahawa rayuan balas oleh pihak pendakwaan telah dibuat sebelum PRU-14.

“Tiada representasi bertulis dikemukakan oleh tertuduh mahupun peguamnya dan secara peribadi tidak sedar tentang kes ini sehingga Mahkamah Tinggi membuat keputusan Selasa lalu dan diketahui umum,” katanya.

Beliau berkata, perkara tersebut adalah tidak menghairankan kerana terdapat ratusan kes jenayah dan sivil di dengar di seluruh negara pada mana-mana hari bekerja.

“Oleh demikian, adalah mustahil untuk sesiapa sahaja mengetahui secara peribadi walaupun sebahagian kecil kes tersebut. Maka, pengagihan dan desentralisasi kuasa adalah penting,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang meneliti pilihan yang ada berhubung rayuan Wan Ji di Mahkamah Rayuan namun dengan mengambil kira sabitan Wan Ji di dua mahkamah sebelum ini, kuasa budi bicara dari pihaknya adalah sangat terhad.

Tommy menegaskan, kes Wan ji sekali lagi memberi tumpuan kepada penggunaan Akta Hasutan 1948 dan salah tanggapan mengenai akta tersebut.

“Faktanya, pertama, Akta Hasutan adalah antara akta Parlimen yang akan dimansuhkan seperti janji dalam manifesto Pakatan Harapan, kedua, Jemaah Menteri belum memaklumkan kepada pihaknya sebarang keputusan untuk memansuhkan atrau memindanya,” katanya.

Menurutnya, di bawah sistem kerajaan sedia ada, Jemaah Menteri yang memutuskan bagi pihak Eksekutif sama ada untuk menggubal, memansuh atau meminda undang-undang untuk dibentangkan di Parlimen.

“Jabatan Peguam Negara berperanan membantu dalam menggubal undang-undang baharu,” katanya.

Selain itu, katanya, fakta ketiga adalah Jabatan Peguam Negara tidak menerima arahan Jemaah Menteri menghalang jabatan itu daripada menggunakan Akta Hasutan.

“Arahan seperti itu dalam apa jua keadaan sekalipun adalah tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah dengan kuasa budi bicara di bawah Perlembagaan Persekutuan kepada Peguam Negara untuk memutuskan perkara berkaitan pendakwaan sesuatu kes bagi pihak kerajaan,” katanya.

Katanya, selepas mula memegang jawatan Peguam Negara pada Jun 2018, beliau telah memutuskan untuk mengambil kira undang-undang alternatif dalam naskah-naskah undang-undang (termasuk peruntukan dalam Kanun Keseksaan) untuk menggunakan Akta Hasutan sebagai jalan terakhir.

Oleh kerana Akta Hasutan adalah undang-undang sah, ia tidak boleh diketepikan secara langsung dan ia hanya boleh berlaku sekiranya Akta Hasutan dimansuhkan oleh Parlimen, katanya.

Bagaimanapun, katanya, sejak PRU14, tiada seorang pun dituduh di bawah Akta Hasutan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Buat keputusan tepat untuk badan kehakiman dipandang tinggi

PUTRAJAYA, 17 MEI: Peguam Negara, Tommy Thomas, berkata para hakim mesti sentiasa berusaha untuk membuat keputusan yang tepat tanpa gentar atau memihak, dan tanpa mengambil kira kepribadian pihak-pihak berkaitan atau tertuduh yang dihadapkan di hadapan mereka.

Beliau berkata ini adalah satu-satunya cara bagi Badan Kehakiman mengembalikan kemuliaan dan kredibiliti dipandang tinggi.

“Jika barisan hakim di Malaysia membuat keputusan yang betul dari semasa ke semasa, keyakinan orang ramai pada umumnya, akan kembali pulih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Meraikan Pelantikan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara di Istana kehakiman di sini hari ini.

Beliau berkata selama 30 tahun selepas Merdeka, badan kehakiman Malaysia mempunyai reputasi tinggi dengan hakim-hakim seperti Ketua Hakim Negara, Tun Muhamed Suffian Muhamed Hashim, Raja Azlan Shah dan Hakim Eusoffee Abdoolcader.

“Saya percaya sebab utama mengapa hakim hakim Malaysia dipandang tinggi dalam tempoh ini adalah kerana mereka sentiasa membuat keputusan yang tepat berdasarkan bukti dan lunas undang-undang,” katanya.

Thomas berkata, keupayaan Tengku Maimun yang tidak dapat ditandingi dapat menerajui badan kehakiman ke landasan sebenar dan lancar.

Beliau berkata, pelantikannya sebagai Ketua Hakim Negara adalah satu pengiktirafan kepada peranan penting yang dimainkan oleh wanita dalam melaksanakan keadilan.

“Wanita mendominasikan fakulti undang-undang dan dan majoriti daripada pengamal undang-undang adalah wanita. Dalam kamar saya, tiga perempat daripada peguam terdiri daripada wanita,” katanya.

Beliau berkata, pelantikan Tengku Maimun yang diangkat sebagai Ketua Hakim Negara tidak ada hubungan dengan jantina, tetapi berdasarkan integriti, kebebasan, kecerdasan, ketekunan dan ketrampilannya. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Percubaan Najib di saat akhir untuk tangguh bicara SRC gagal

KUALA LUMPUR, 3 APR: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi gagal untuk menangguhkan perbicaraannya berhubung SRC International Sdn Bhd selepas Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan ia dimulakan hari ini sebagaimana dijadualkan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Najib supaya notis usul bagi mengisytiharkan tujuh pertuduhan terhadapnya sebagai cacat, didengar dahulu, sebelum perbicaraan bermula.

“Itu (usul berkenaan) boleh didengar pada tarikh kemudian,” kata hakim dan memerintahkan perbicaraan dimulakan.

Pada permulaan prosiding, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihak pembela telah memfail usul itu pagi ini dan telah meng-emel salinan kepada pihak pendakwaan.

“Usul ini perlu didengar dahulu, atau pada sebarang masa sebelum perbicaraan bermula, sebelum kita memanggil saksi. Kami telah juga memfail ‘sijil urgency’ pagi ini,” kata Muhammad Shafee.

Peguam Negara, Tommy Thomas membantah permohonan itu, dan berkata, usul itu tidak disampaikan ke pejabatnya secara sempurna dan difailkan pada saat-saat akhir.

“Hari ini ditetapkan untuk perbicaraan, kita harus memulakan perbicaraan dulu. Kami tidak bersedia untuk ini oleh kerana kami perlu menjawab afidavit kepada usul itu. Tidak ada sebab mengapa sebarang usul mengenai pertuduhan itu perlu dibawa di peringkat ini.

“Jika mereka kata ada yang salah tentang pertuduhan itu, mereka mempunyai banyak masa untuk memfail usul berkenaan oleh kerana kes itu difailkan terhadap tertuduh pada Julai tahun lepas.

“Pastinya bukan pagi ini. Tiada kesimpulan lain yang boleh dibuat daripada perlakuan ini kecuali mereka cuba melambat-lambatkan perbicaraan,” kata beliau.

Peguam bersama Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, bertindak bagi Najib, juga berhujah mahkamah harus mendengar usul itu dulu oleh kerana perbicaraan akan jadi sia-sia jika mahkamah memihak kepada pembelaan dan meminda pertuduhan.

Mohd Yusof, bekas Peguam Cara Negara II dan pendakwa utama dalam kes Sodomi II Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tuduhan pengubahan wang haram dan kesalahan rasuah tidak wajar dan tidak boleh langsung dikenakan terhadap anak guamnya.

DPP Datuk V Sithambaram membalas hujah bahawa tujuan memfail usul itu oleh pihak pembela adalah untuk menangguhkan perbicaraan.

“Mereka berkata pertuduhan itu lemah. Kami kata pertuduhan itu tidak lemah. Kami menghadapi risiko jika pertuduhan lemah.

“Langkah ini semata-mata untuk melambatkan perbicaraan, dan mahukan perbicaraan itu, sebagaimana mereka nyatakan dalam usul mereka, ditangguh, dibatal atau ditunda,” kata beliau.

Najib, 66, yang duduk dalam kandang orang salah, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu menyalah gunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan mengubah wang haram atas dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Pendakwaan akan buktikan kes terhadap Najib – Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 3 APR: Pihak pendakwaan akan membuktikan Datuk Seri Najib Tun Razak telah menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk mendapatkan bagi dirinya suapan sebanyak RM42 juta.

Dalam pernyataan pembukaan, Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, pendakwaan akan membuktikan bahawa Najib terlibat secara langsung dalam keputusan pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman berjumlah RM4 bilion yang diterima oleh SRC International Sdn Bhd daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

“Oleh itu, adalah menjadi tugas dan keistimewaan saya untuk memulakan perbicaraan di mahkamah terhadap bekas seorang perdana menteri yang selama hampir sedekad, menduduki jawatan yang paling berkuasa di negara ini dan mempunyai hampir kuasa mutlak.

“Keistimewaan seperti itu memikul tanggungjawab yang besar, yang pejabat saya berhasrat untuk melaksanakannya bagi membuktikan bahawa tertuduh bersalah atas tujuh pertuduhan yang dihadapinya seperti yang telah dibacakan di hadapan Yang Arif.

“Tertuduh sepanjang tempoh menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri yang kesalahan itu dilakukan juga serentak ketika memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan, dengan itu menggabungkan kuasa politik maksimum dan mengawal kewangan negara,” katanya di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini, lapor BERNAMA.

Thomas berkata, selaku memegang jawatan Perdana Menteri dan sebagai pegawai awam tertinggi yang dipilih dan ketua kerajaan, rakyat meletakkan kepercayaan tertinggi kepada tertuduh.

Dalam keadaan sedemikian, undang-undang itu memperuntukkan standard penjagaan bagi tertuduh melaksanakan tugas dan kewajipannya sebagai pemegang amanah perjawatan awam, katanya.

“Tidak cukup dengan memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, tertuduh juga dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan Penasihat Emeritus dalam anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd, ” kata beliau.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Anggota Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan di sini dan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Feb 2015

Najib yang merupakan perdana menteri Malaysia keenam, adalah perdana menteri pertama berada dalami kandang tertuduh selepas dia diheret ke mahkamah.

Thomas berkata, perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali adalah yang pertama daripada banyak lagi pendakwaan berkaitan kleptokrasi 1MDB yang akan dijalankan.

Beliau berkata, ciri bersama kedua-dua syarikat (1MDB dan SRC International) adalah bahawa kuasa sebenar untuk mengarah dan mengurus hal ehwal kedua-dua syarikat tidak terletak pada Lembaga Pengarah, sebagaimana dikehendaki oleh undang-undang dan menjadi amalan universal apabila syarikat menjalankan perniagaan, tetapi dalam kes ini, kuasa tersebut terletak pada Najib memandangkan beliau memegang kedua-dua jawatan itu.

“Pelaksanaan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan bahawa ‘semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang’ jelas dibuktikan melalui perbicaraan ini. Seorang bekas perdana menteri didakwa di bawah proses sewajarnya di mahkamah di negara ini seperti mana-mana tertuduh yang lain.

“Tertuduh tidak terkecuali daripada undang-undang dan pendakwaan dan perbicaraan ini harus dijadikan duluan bagi semua pemegang jawatan tersebut pada masa depan,” kata beliau.

Bagi membuktikan unsur-unsur pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, Thomas berkata, semua bukti iaitu bukti lisan, bukti dokumen dan bukti berdasarkan keadaan akan dikemukakan oleh pihak pendakwaan bagi membuktikan penubuhan SRC International, penubuhan geran RM3 bilion, permintaan SRC International bagi pinjaman kerajaan sebanyak RM3.95 bilion, pelantikan Lembaga Pengarah SRC International, dan pelantikan Nik Faisal Ariff Kamil sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SRC International.

Thomas berkata, pihak pendakwaan juga akan membuktikan perkara yang mendorong kelulusan kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Kewangan, pengeluaran jaminan kerajaan RM2 bilion yang memihak kepada SRC International dan mengeluarkan jaminan kerajaan sebanyak RM2 bilion lagi yang memihak kepada SRC International.

Beliau berkata, bukti juga akan dikemukakan mengenai wang berjumlah RM42 juta, yang diperoleh daripada SRC International, disalurkan menerusi akaun syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd (anak syarikat milik penuh SRC International) dan Ihsan Perdana Sdn Bhd (yang dikatakan dilantik sebagai rakan kongsi tanggungjawab sosial korporat SRC International).

“Tertuduh, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012, seperti disebutkan di atas, telah menerima sebagai suapan wang tersebut berjumlah RM42 juta ke dalam akaun AmPrivate Banking-1MY menggunakan nombor akaun 211-202-201188-0 dan akaun AmPrivate Banking-MY menggunakan nombor akaun 211-202-201190-6,” kata beliau.

Bagi pertuduhan pecah amanah jenayah, Thomas berkata, pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa Najib, sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, dan Penasihat Emeritus SRC International, yang diamanahkan dengan wang milik SRC International, telah melakukan pecah amanah jenayah membabitkan RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta milik SRC International.

Bukti akan dikemukakan oleh pihak pendakwaan untuk membuktikan bahawa usul khas telah dilulukan untuk meminda Tataurusan Persatuan Syarikat SRC International untuk melantik tertuduh sebagai Penasihat Emeritus, katanya.

“Sebagai Penasihat Emeritus, tertuduh akan menasihati Lembaga Pengarah mengenai perkara-perkara penting dan perkara kepentingan strategik melibatkan Malaysia, dan bahawa Lembaga hendaklah memberi pertimbangan sewajarnya dan melaksanakan apa-apa nasihat Penasihat Emeritus demi kepentingan syarikat,” katanya.

Thomas berkata, Najib secara tidak jujur ​​telah menyebabkan dirinya mengaut keuntungan sebanyak RM42 juta secara menyalahi undang-undang dan menyebabkan SRC International kehilangan wang sebanyak RM42 juta secara salah dari segi undang-undang.

Beliau berkata, jumlah wang itu dimasukkan ke dalam akaun AmPrivate Banking Najib melalui akaun syarikat Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana antara 24 dan 29 Disember 2014 dan antara 10 Februari dan 2 Mac 2015.

Beliau berkata, pihak pendakwaan juga akan menampilkan bukti bahawa Najib terbabit dalam pengubahan wang haram dengan menerima RM42 juta sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, ke dalam akaun AmPrivate Banking.

Beliau berkata, bukti juga akan dikemukakan bahawa Najib mengeluarkan sejumlah 15 cek peribadi daripada akaun banknya berjumlah RM10,776,514.00.

“Bukti juga akan menunjukkan bahawa pada Disember 2014, kad kredit tertuduh telah digunakan bagi melunaskan bayaran US$130,625 untuk perbelanjaan di Chanel, butik fesyen eksklusif di Honolulu, Amerika Syarikat” kata Thomas.

Thomas berkata, turut akan dibuktikan bahawa cek peribadi yang digunakan, antara lain, bagi pembayaran kerja pengubahsuaian rumah tertuduh di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, kediaman tertuduh di Pekan, Pahang serta kepada parti komponen Barisan Nasional (BN).

“Tanggungjawab sekarang terletak pada pihak pendakwaan, untuk membuktikan tanpa keraguan yang munasabah, bahawa tertuduh, Mohd Najib bin Hj Abd Razak bersalah atas pertuduhan jenayah yang dihadapinya pada perbicaraan ini,” kata beliau.

FOTO EHSAN: BERNAMA