Categories
AGENDA NASIONAL

AirAsia hasrat ambil semula pekerja diberhentikan

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: AirAsia Group Bhd menyasarkan untuk mengambil semula pekerjanya yang terpaksa diberhentikan pada tahun lepas susulan impak Covid-19, apabila perniagaan syarikat penerbangan itu kembali pulih.

Sambil mengakui keputusan pemberhentian khidmat kira-kira 2,000 pekerja terbabit sebagai satu tragedi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes turut berikrar untuk mengambil khidmat mereka terbabit serta yakin dengan kemampuan syarikat penerbangan tambang rendah tersebut.

“Kehilangan 2,000 pekerja akibat impak Covid-19 merupakan satu tragedi untuk kami. Oleh itu sebelum bersara, saya perlu pastikan kesemua mereka dapat diambil semula.

“Inilah sasaran saya, malah saya yakin ini dapat dilakukan apabila aktiviti penerbangan kembali beroperasi serta disokong oleh perniagaan lain kumpulan ini,” katanya pada acara Reimagining Malaysia Assets (RESET) 2021 pada Selasa.

RESET 2021 yang dihoskan oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas), merupakan persidangan secara maya selama empat hari yang dianjurkan oleh Persatuan Jurutera Petroleum Kuala Lumpur dengan kerjasama Majlis Perkhidmatan Minyak & Gas Malaysia serta Informa Markets Malaysia.

Pada Oktober tahun lepas, AirAsia dan syarikat sekutunya yang juga penerbangan jarak jauh, AirAsia X mengesahkan langkah pemberhentian kira-kira 10 peratus daripada 24,000 tenaga kerjanya berikutan kesukaran sektor penerbangan untuk bangkit semula dalam masa terdekat akibat pandemik tersebut.

Fernandes berkata kewujudan AirAsia juga berteraskan perubahan pengurusan yang memudahkan pekerja berpindah kerja.

Perubahan pengurusan merupakan terma yang merujuk semua pendekatan untuk melakukan persiapan, sokongan, membantu individu, pasukan dan syarikat membuat perubahan di peringkat organisasi.

“Kami adalah syarikat penerbangan pertama (Aseam) dengan barisan juruterbang wanita iaitu sesuatu yang tidak pernah dilakukan dalam sejarah Asean.

“Oleh itu, budaya dalam AirAsia ini menetapkan asas perubahan dan itulah juga kemahiran kami. Sebagai syarikat penerbangan dengan saiz seperti ini, kami mempunyai kesatuan sekerja sendiri — sesuatu yang tidak dimiliki oleh syarikat penerbangan dunia lain dengan saiz serupa,” katanya.

Fernandes juga menyifatkan kelangsungan AirAsia itu disokong oleh strukturnya, amalan meritokrasi serta kemampuan untuk mengurus perubahan.

Namun, baginya, aspek terpenting dalam AirAsia adalah bakat atau tenaga kerjanya.

“Anda boleh lakukan apa saja sekiranya terdapat struktur, persekitaran wajar dan paling penting adalah barisan pekerja yang tepat. Bagi saya, inilah teras kekuatan kami.

“Mungkin kami tidak mempunyai jumlah tunai yang diinginkan, tetapi ini diatasi dengan membentuk barisan bakat, pekerja (yang tepat), bersemangat serta kemampuan untuk yakin bahawa kami mampu melakukan apa sahaja,” katanya.

Menurutnya, AirAsia turut menubuhkan Redbeat Academy hasil kerjasama dengan Google yang menjadi sebahagian daripada aspirasi untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran pekerja berikutan hakikat penerbangan yang tidak terkecuali daripada Revolusi Perindustrian 4.0.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

AirAsia lancar platform e-dagang AirAsia Shop

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia melancarkan AirAsia Shop, platform e-dagang yang membolehkan pelanggan membeli produk tulen bebas cukai dengan kemudahan penghantaran ke rumah pada hari bekerja yang berikutnya.

Perkhidmatan baharu itu adalah dengan sokongan cabang logistik AirAsia, Teleport.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata perkhidmatan itu akan memperkukuh usaha AirAsia sebagai platform gaya hidup sehenti digital sepenuhnya di samping memberikan pelanggan kemudahan dan nilai terbaik untuk perkhidmatan beli-belah bebas cukai.

“Platform e-dagang bebas cukai ini dijangka menjadi satu daripada penyumbang utama pendapatan kumpulan AirAsia, selari dengan usaha berterusan kami untuk menjadi peneraju jenama gaya hidup digital di Asean,” katanya kepada pemberita semasa melancarkan AirAsia Shop hari ini.

Beliau berkata syarikat itu turut berhasrat mengembangkan perniagaan itu ke negara-negara Asean lain bermula dengan Thailand selepas menerima kelulusan untuk memulakan perkhidmatan jualan barangan bebas cukai di negara itu.

Tony berkata AirAsia Shop menawarkan pelbagai pilihan jenama mewah dari serata dunia bagi pelbagai kategori seperti kecantikan, minyak wangi, gajet, kesihatan, aksesori pelancongan dan cenderamata AirAsia.

Beliau berkata selain pra-tempahan untuk penghantaran dalam penerbangan dan pengambilan sendiri di lapangan terbang, syarikat penerbangan itu turut memperkenalkan perkhidmatan penghantaran ke rumah pada bila-bila masa walaupun pelanggan tidak menaiki penerbangan.

Ia turut merancang untuk membuat penghantaran ke luar negara pada masa hadapan.

-BERNAMA