Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

600 penduduk Pandamaran terima baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 31 JAN: Seramai 600 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran menerima baucar Jom Shopping Tahun Baharu Cina bernilai RM100.

Wakil rakyatnya Tony Leong Tuck Chee berkata penerima merupakan golongan berpendapat rendah (B40), orang kelainan upaya, warga emas serta ibu tunggal.

“Pemberian ini membantu meringankan beban mereka dalam menyediakan keperluan sambutan Tahun Baharu Cina.

“Baucar tersebut boleh dibelanjakan di Giant Bukit Tinggi sejak 2 Januari lalu hingga esok (hari ini). Harap bantuan ini digunakan sebaik mungkin,” katanya kepada SelangorKini.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri yang menyasar kumpulan B40 sebagai inisiatif jangka panjang bagi membela kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Serahan bantuan dibuat melalui pusat khidmat masyarakat di kawasan masing-masing mengikut komponen utama kaum dan sambutan perayaan.

Categories
ADN SELANGOR

Lebih 600 pelajar susah sekitar Pandamaran terima bantuan RM100, beg sekolah

SHAH ALAM, 30 JAN: Seramai 300 pelajar kurang berkemampuan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran menerima bantuan RM100 menerusi Program Kembali ke Sekolah.

Wakil rakyatnya Tony Leong Tuck Chee berkata inisiatif disumbang Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI itu merupakan langkah meringankan beban keluarga untuk menyediakan keperluan persekolahan.

“Saya turun ke 10 sekolah bagi mengagihkan bantuan ini. Dalam masa sama saya dapat melihat sendiri pelajar berkenaan di samping mengetahui bentuk bantuan diperlukan sekolah.

“Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga pelajar terbabit. Kita harap sumbangan ini menaikkan semangat pelajar,” katanya kepada SelangorKini.

Tahun ini MBI memperuntuk RM1.68 juta bagi menjayakan program berkenaan melibatkan seramai 16,800 pelajar di seluruh DUN.

Sementara itu Leong berkata sebanyak 350 beg Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) turut diagih kepada pelajar berkelayakan awal bulan ini sebagai usaha melengkapkan keperluan sekolah pelajar.

Categories
ADN SELANGOR

Program Selvax Booster terima sambutan, harap Kerajaan Negeri pertimbang dos tambahan

SHAH ALAM, 17 JAN : Seramai 928 individu hadir menerima dos penggalak menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Booster peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran, semalam.

Wakil rakyatnya Tony Leong Tuck Chee berkata majoriti penerima hadir secara terus berbanding daftar awal menerusi dalam talian.

“Saya tidak sangka sambutan amat menggalakkan malah ada beberapa individu yang sanggup beratur seawal jam 7.30 pagi untuk mendapatkan dos penggalak ini.

“Ada juga individu yang sudah dapat janji temu di MySejahtera tetapi kerana tarikh itu lambat lagi mereka memilih untuk ambil dengan kita. Kita bantu dengan hubungi talian HelpDesk bagi membatalkan janji temu tersebut,” katanya kepada SelangorKini.

Tony berkata pihaknya berharap Kerajaan Negeri mempertimbang untuk mengadakan siri kedua program Selvax Booster susulan sambutan menggalakkan.

“Jika ada peruntukan dos daripada Kerajaan Selangor kita bersedia untuk anjurkan lagi program ini pada masa akan datang,” katanya.

Suntikan dos penggalak melalui program Selvax Booster diadakan di tujuh DUN mulai 17 Disember tahun lepas.

Bermula di Balakong, program turut diadakan di Bandar Utama pada 18 dan 19 Disember, Rawang (20 Disember), Taman Templer (26 Disember) dan Seri Kembangan (30 Disember), Kuala Kubu Bharu (9 Januari) dan Tanjung Sepat (14 Januari).

Pada 7 Disember lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan sebanyak 157,000 dos penggalak akan diberikan secara percuma kepada rakyat negeri ini melalui program Selvax Booster.

Categories
ADN SELANGOR

Lebih 2,500 mangsa banjir di Pandamaran mohon bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 31 DIS: Lebih 2,500 permohonan bantuan RM1,000 diterima daripada mangsa banjir di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran setakat ini.

Ahli Dewan Negerinya Tony Leong Tuck Chee berkata daripada jumlah itu, kira-kira 2,000 borang bantuan Selangor Bangkit sudah dihantar kepada pejabat tanah dan daerah (PTD) untuk proses selanjutnya.

“Kita meminta bantuan ahli majlis, ketua kampung dan Ketua Komuniti India (KKI) untuk tandatangan serta sahkan borang mangsa bagi mempercepatkan urusan.

“PTD berpuas hati dengan borang dihantar kerana mangsa menyertakan dokumen lengkap. Kita akan pastikan mereka mendapat bantuan ini,” katanya menambah lebih 800 mangsa lagi dijangka mengemukakan permohonan sama dalam masa terdekat.

Tony Leong turut berharap mangsa banjir bersabar dengan musibah itu selain meminta mereka menghubungi pusat khidmat masyarakat jika memerlukan khidmat pembersihan di kediaman masing-masing.

Ahli Dewan Negeri Pandamaran Tony Leong Tuck Chee menyemak dan menandatangani borang permohonan mangsa banjir untuk bantuan Selangor Bangkit di Pusat Khidmat Masyarakatnya pada 30 Disember 2021. Foto Facebook Tony Leong Tuck Chee

“Bencana ini antara yang terburuk sejak kali terakhir kira-kira 50 tahun lepas. Justeru, saya mengingatkan penduduk agar sentiasa mengambil langkah waspada dan jaga keselamatan,” katanya.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Daftar program Vaksin Selangor jika belum disuntik pelalian

SHAH ALAM, 5 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran menyeru orang ramai yang belum menerima suntikan pelalian segera mendaftar program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

Wakil rakyatnya, Tony Leong Tuck Chee berkata orang ramai boleh memberi nama untuk mendapatkan vaksin menerusi pusat khidmat masyarakat, ketua kampung, persatuan kebajikan serta persatuan penduduk.

“Kita menguar-uarkan program Selvax Komuniti menerusi pertubuhan dan pemimpin setempat termasuk hebahan kepada pengusaha restoran dan penjaja.

“Untuk program hari ini, seramai 800 penduduk hadir menerima dos pertama vaksin di bawah Selvax Komuniti termasuk yang hadir tanpa janji temu,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin Hotel De Palma, Seksyen 19 di sini.

Beliau berkata pihaknya bercadang bekerjasama dengan  penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru dan Sementa untuk memasukkan nama penerima vaksin jika terdapat kekosongan di kawasan tersebut.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Selain itu, sebanyak dua juta dos vaksin disediakan Kerajaan Negeri kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Usaha membabitkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

Categories
ADN SELANGOR

Periksa jangkitan Covid-19 secara pandu lalu di Klang

SHAH ALAM, 16 APRIL: Penduduk Klang kini boleh membuat pemeriksaan jangkitan wabak Covid-19 secara pandu lalu dan percuma di Klinik Kesihatan Pandamaran di Pelabuhan Klang.

Perkhidmatan sedemikian hanya boleh diperoleh di klinik terbabit yang beroperasi dari jam 10 pagi hingga 3 petang namun orang ramai perlu membuat temu janji terlebih dahulu, lapor The Star.

“Temu janji akan disahkan melalui pesanan mesej dari Jabatan Kesihatan negeri atau Kementerian Kesihatan (KKM). Individu harus diperiksa biasanya yang baharu pulang dari luar negara atau mempunyai hubungan dengan pesakit Covid-19,” kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran.

Tony Leong Tuck Chee berkata, sekiranya terdapat simptom sebegitu dan rasa perlu diperiksa maka individu berkaitan boleh mendaftar diri dengan KKM serta diberi temu janji.

Tiada sebarang bayaran dikenakan kepada rakyat tempatan manakala caj RM1 dikenakan kepada warga asing, dengan sasaran 20 pelanggan setiap hari.

Categories
ADN SELANGOR

Hanya 1,400 pemilik ada lesen pelihara anjing

KLANG, 28 DIS: Hanya 1,400 pemilik anjing di sini direkodkan memiliki lesen memelihara haiwan berkenan sepanjang tahun ini, kata Ahli Dewan Negeri Pandamaran, Tony Leong Tuck Chee.

Katanya, jumlah berkenaan adalah terlalu sedikit jika dibandingkan dengan 5,000 anjing yang kini dipercayai sedang dipelihara oleh penduduk Klang.

“Pemilik anjing tidak perlu bimbang kerana bayaran lesen hanyalah RM10 sahaja, namun majoriti mereka gagal mendapatkan lesen kerana tidak mahu memenuhi syarat supaya anjing disuntik vaksin terlebih dahulu.

“Tetapi orang awam perlu tahu bahawa suntikan ini adalah untuk kebaikan haiwan kesayangan mereka, pada masa sama ia melindungi anjing daripada sakit dan mendatangkan bahaya pada orang lain.

“Justeru, saya berharap supaya jumlah lesen pelihara anjing akan meningkat pada 2020,” katanya kepada SelangorKini.

Leong Tuck Chee melawat tapak pameran Program Kesedaran Haiwan Kesayangan, Kucing Angkat Dan Perlesenan Anjing di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Klang pada 28 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kesedaran Haiwan Kesayangan Kucing Angkat dan Lesen Anjing anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK), di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, di sini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kesihatan MPK, Azmie Muji.

Mengulas lanjut mengenai program itu, Tony berkata, program berkenaan memberi kemudahan kepada pemilik anjing peliharaan mendapatkan lesen bagi tahun 2020 yang akan berakhir pada 31 Disember ini.

“Pelesenan anjing peliharaan ini adalah tertakluk kepada Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing dan Rumah.

“Selain itu, program sebegini dapat meningkatkan pendidikan dan kefahaman dalam kalangan orang ramai berkenaan penjagaan haiwan, khususnya anjing dan kucing.

“Usaha ink turut memastikan supaya persekitaran sihat dan selamat untuk didiami orang awam daripada pelbagai kacau ganggu yang timbul daripada haiwan,” katanya.