Categories
AGENDA NASIONAL

Syarikat pakaian bayi rangkul anugerah Malaysia Top E-Commerce Merchant

SHAH ALAM, 5 DIS:  Syarikat Store N Go Sdn Bhd dinobatkan juara Malaysia Top E-Commerce Merchant (Top ECM) 2021 edisi keenam anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dengan sokongan Affin Bank Berhad sebagai penaja utama.

Pemilik jenama pakaian bayi Comel Baby itu memperoleh mata terkumpul tertinggi juri dan bilangan jualan serta pesanan sekali gus membawa pulang wang tunai RM12,000 trofi dan sijil.

Tempat kedua pula dirangkul SLL Machinery Hardware Sdn Bhd yang memenangi RM8,000 dan tempat ketiga SNS Network (M) Sdn Bhd pula menerima RM5,000.

Meraih tempat keempat hingga kesepuluh ialah SPF Home Deco Sdn Bhd, DirectD Retail & Wholesale Sdn Bhd, Pokoktua Pallet Houz, Shellys Marketing Sdn Bhd, PTT Outdoor (My) Sdn Bhd, Illegear Sdn Bhd dan Livinggears Malaysia Sdn Bhd yang masing-masing membawa pulang RM1,500.

Hadiah disampaikan  EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur.

Chang Khim berkata 181 peserta Top ECM tahun ini mencatatkan hasil jualan RM46.7 juta dengan 358,609 pesanan dalam tempoh 14 hari peraduan dalam talian yang berlangsung pada 3 hingga 16 November lalu.

“Angka ini telah memecahkan rekod Top ECM sejak dilancarkan pada 2015 dan meningkat 28 peratus daripada jualan tahun lepas dengan RM36.6 juta dan 264,284 pesanan.

“Ini juga telah melepasi sasaran awal jualan RM40 juta dan pastinya telah menunjukkan pertumbuhan kukuh e-dagang di Malaysia sekitar 30 hingga 40 peratus dalam tempoh setahun yang lalu,” katanya.

Anugerah Malaysia Top E-Commerce Merchant mula diperkenalkan pada 2016 dengan penyertaan hanya seramai 60 peniaga e-dagang. Pada 2019, peserta yang disenarai pendek adalah peserta yang menerima 200 pesanan atau membuat jualan lebih daripada RM50,000 sebulan.

Manakala untuk peserta yang disenarai pendek pada 2020, kriteria mereka direndahkan kepada 100 pesanan atau memperoleh jualan sebanyak RM25,000 sebulan. Penurunan syarat kelayakan ini adalah untuk menggalakkan lebih ramai peniaga kecil untuk sertai pertandingan ini.