Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Wajib pakai topeng muka jika berurusan di premis kerajaan

SHAH ALAM, 4 MEI: Kerajaan Negeri mewajibkan orang ramai memakai topeng muka ketika berurusan di premis kerajaan di seluruh Selangor, kata Dato’ Menteri besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya akan memastikan bekalan alat perlindungan diri mencukupi dan peniaga boleh menyediakannya di bahagian hadapan atau kaunter untuk   kemudahan ramai membeli.

“Pastikan pemakaian topeng muka ini menjadi budaya di kalangan masyarakat terutamanya rakyat Selangor, dengan cara itu kita boleh mengurangkan jangkitan Covid-19,” katanya kepada SelangorKini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan telesidang bersama Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Negeri bermula jam 10 pagi tadi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor terima 200,000 topeng muka, bantu petugas hadapan perangi wabak

SHAH ALAM, 28 APRIL: Kerajaan Negeri hari ini menerima 200,000 topeng muka daripada Tropicana Corporation Berhad untuk petugas hadapan di Selangor bagi memerangi wabak Covid-19.

Sumbangan disampaikan Timbalan Ketua Eksekutif Kumpulan Tropicana Corporation Berhad Tan Sri Tan Chee Sing kepada Dato’ Seri Amirudin Shari di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di sini.

Amirudin berkata sumbangan akan diserahkan kepada bilik gerakan bencana negeri sebelum diagihkan kepada petugas hadapan yang masih memerlukan kelengkapan tersebut.

“Inisiatif ini sebagai tanda keterlibatan mereka di Selangor yang selama ini begitu aktif selain membuktikan keprihatinan terhadap petugas barisan hadapan yang terdedah kepada penyebaran wabak.

“Justeru, saya merakamkan terima kasih kepada pihak yang kerap dan masih berterusan memberikan sumbangan kepada tabung negeri sama ada dalam bentuk barangan mahupun wang ringgit untuk digunakan bagi aktiviti melawan Covid-19,” katanya kepada Media Selangor.

Amirudin berkata syarikat pemaju hartanah itu turut menyumbang kegiatan ekonomi di Selangor kerana memiliki pelbagai projek dan aset yang melonjakkan pendapatan negeri.

Tropicana Corporation Berhad merupakan salah sebuah syarikat yang tersenarai di pasaran utama Bursa Malaysia Securities Berhad sejak 1992.

Selain aktif menjalankan aktiviti pembangunan hartanah dan resort, syarikat yang berpangkalan di Petaling Jaya juga terlibat dalam pelaburan harta dan pegangan pelaburan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Rugi RM4.2 juta penipuan topeng muka, tingkat waspada

SHAH ALAM, 20 APRIL: Kerugian akibat penipuan topeng muka di seluruh negara kini mencecah RM4.2 juta, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan (kluster keselamatan) berkata taktik penipuan itu dilakukan sindiket bukan sahaja melalui media sosial, malah secara bersemuka.

“Polis akan mengambil tindakan tegas dan meminta orang ramai supaya lebih berwaspada.

“Pembeli boleh membuat semakan akaun bank penjual sebelum membuat pembayaran menerusi portal ‘Semakmule’ Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, atau menyemak status penjual melalui laman sesawang www.biztrust.ssm.com.my,” katanya di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga hari ini polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka 229 kertas siasatan berkaitan berita palsu Covid-19.

“Daripada jumlah tersebut sebanyak 161 kes masih dalam siasatan, manakala 24 kes didakwa di mahkamah dan 13 lagi telah mengaku salah,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Kinrara agih 132,500 topeng muka, tumpu kawasan kos rendah

SHAH ALAM, 19 APRIL: Pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menerima 132,500 helai topeng muka daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk diedarkan kepada keluarga yang memerlukan.

Ahli Dewan Negerinya Ng Sze Han berkata setiap keluarga menerima empat topeng muka dengan tumpuan kepada keluarga yang tinggal di kawasan kos rendah dan sederhana.

“Kinrara adalah antara kawasan DUN terbesar di negara ini. Jumlah (topeng muka) diterima tidak mencukupi untuk diagih kepada 50 peratus isi rumah.

“Dalam keadaan sukar ini, saya mohon pengertian dan sokongan rakyat bahawa pusat khidmat saya mengutamakan pengedaran topeng muka kepada keluarga di kawasan kos rendah dan sederhana di DUN Kinrara,” katanya melalui hantaran di Twitter semalam.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan mengagihkan topeng muka secara percuma kepada rakyat yang memerlukan.

Bagi tujuan itu, sebanyak 10 juta bekalan topeng muka dibawa masuk dari China secara berperingkat dengan pengagihan kepada rakyat diuruskan oleh Nadma.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

14,600 keluarga di Kuala Kubu Bharu terima topeng muka

SHAH ALAM, 19 APRIL: Sejumlah 58,400 keping penutup hidung dan mulut sumbangan kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan diagihkan kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Ahli Dewan Negerinya Lee Kee Hiong berkata agihan kepada 14,600 isi rumah dibuat secara berperingkat bermula semalam.

“Sumbangan ini diterima menerusi Nadma pada Isnin lalu, sebelum kerja pengasingan dilakukan untuk diberi kepada setiap isi rumah di DUN ini.

“Surat kebenaran pergerakan dari pihak berkuasa diperoleh semalam, jadi pengagihan dilakukan secara berperingkat dengan 1,689 rumah menerima sumbangan setakat semalam,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Kerajaan mengagihkan empat keping topeng muka kepada setiap isi rumah di seluruh negara bagi membantu aspek penjagaan kesihatan rakyat berikutan Covid-19.

Pengagihan membabitkan 24.6 juta topeng muka dikendalikan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Sementara itu, Kee Hiong berkata pusat khidmatnya turut mengedarkan bantuan makanan asas kepada 1,300 keluarga yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan Covid-19 sejak 18 Mac lalu.

“Minggu depan kami akan edarkan kepada 200 keluarga lagi. Terima kasih kepada 25 orang sukarelawan yang membantu pusat khidmat saya mengedarkan bantuan makanan asas ini,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM nasihat henti ambil alat petugas kesihatan di hospital

SHAH ALAM, 6 APRIL: Orang awam dinasihatkan tidak mengambil alat perlindungan diri petugas kesihatan ketika berkunjung ke hospital, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata topeng muka, sarung tangan dan cecair pembasmi kuman amat diperlukan petugas barisan hadapan untuk merawat pesakit Covid-19.

“Nasihat saya janganlah ambil cecair pembasmi kuman, sarung tangan atau topeng muka di hospital. (Peralatan) itu penting untuk kegunaan barisan hadapan,” kata ketua pengarah kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung tindakan seorang individu yang mendakwa memperoleh topeng muka, sarung tangan dan cecair pembasmi kuman dari Hospital Serdang.

Hospital Serdang dalam kenyataan balas memaklumkan akan memulakan siasatan terperinci mengenai perkara tersebut.

Categories
AGENDA NASIONAL

Topeng muka: KKM tunggu garis panduan WHO

SHAH ALAM, 5 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menunggu garis panduan daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berhubung pemakaian topeng muka di tempat awam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ketika ini KKM hanya menasihatkan petugas barisan hadapan untuk memakai topeng muka, manakala pemakaian untuk orang awam hanya jika mempunyai gejala.

“Persoalan sekarang adakah semua orang perlu memakai topeng muka. Jika berada di tempat awam, mungkin anda perlu (memakai topeng), namun kita perlu lihat bukti dahulu.

“Ketika ini, kementerian tidak mengarahkan atau menghalang sesiapa untuk memakai topeng muka terutama jika berada di tempat awam,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, pakar kesihatan berpendapat tiada keperluan bagi individu sihat memakai topeng muka di tempat awam kerana alat itu hanya digunakan jika sakit.

Bagaimanapun, WHO pada Jumaat lalu memaklumkan pemakaian topeng muka di tempat awam mungkin tidak menghalang individu sihat daripada dijangkiti Covid-19.

Namun, katanya, ia boleh menghentikan individu yang positif daripada menjangkiti orang lain.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 17,012 sampel kluster tabligh yang menyertai himpunan di Sri Petaling sudah diambil, dengan 1,591 daripadanya positif wabak.

Katanya, 10,912 sampel didapati negatif manakala 4,500 lagi masih menunggu keputusan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Topeng muka percuma kepada 8.63 juta isi rumah

PUTRAJAYA, 26 MAC: Kerajaan akan mengagihkan topeng muka percuma kepada 8.63 juta isi rumah di seluruh negara secara berperingkat dalam waktu terdekat ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata topeng muka berkenaan akan diedarkan melalui jawatankuasa bencana negeri dan daerah.

“Kita sedang menunggunya dari negara yang kita import dan apabila sampai ke negara kita dalam waktu terdekat, kita akan edarkan secara berperingkat,” kata Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Menurutnya topeng muka berkenaan tidak diperoleh secara percuma sebaliknya dibeli oleh kerajaan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Tabung Covid-19 telah menerima sumbangan sebanyak RM8.129 juta setakat ini.

Beliau berkata pada peringkat awal, sebanyak 70 peratus atau RM5.86 juta daripada sumbangan itu digunakan untuk membantu rakyat terutamanya golongan miskin yang terkesan akibat pelaksanaan PKP.

Bantuan dalam bentuk bekalan makanan pula diagihkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kepada mereka yang memenuhi syarat ditetapkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan setuju turun harga topeng muka

PUTRAJAYA, 23 MAC: Kerajaan bersetuju untuk menurunkan harga penutup mulut dan hidung pada satu harga baharu yang akan ditetapkan dalam masa terdekat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan berbincang dengan pihak industri bagi tujuan itu.

“Harga topeng RM2 (sekeping) terlalu mahal, maka Mesyuarat Khas Menteri-Menteri berhubung Perintah Kawalan Pergerakan hari ini bersetuju harga perlu diturunkan.

“Jadi saya jangka dalam waktu terdekat…KPDNHEP perlu segerakan agar kita boleh buat pengumuman dan yang penting mesti di bawah RM2,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata stesen minyak di seluruh negara diwajibkan untuk menyediakan cecair pembasmi kuman bagi kegunaan pemandu yang mengisi minyak.

“Terdapat kerisauan yang pam minyak diguna secara bergilir-gilir, maka dengan adanya cecair pembasmi kuman, pemandu boleh menggunakannya kemudian mencuci tangan mereka dahulu sebelum pam dan selepas pam minyak boleh cuci tangan lagi sebelum teruskan perjalanan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga siling penutup mulut dan hidung RM2

SHAH ALAM, 21 MAC: Harga siling bagi penutup mulut dan hidung dinaikkan kepada RM2 berbanding 80 sen sebelum ini susulan kekurangan bahan memproses serta kenaikan harga bahan asas itu, kata menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna (KPDNHEP).

Datuk Alexander Nanta Linggi berkata kementerian turut membenarkan import penutup mulut dan hidung berkuat kuasa 19 Mac lalu, namun menghentikan eksport bagi memastikan bekalan mencukupi, lapor Harian Metro.

“Dengan langkah ini juga orang ramai boleh mendapatkan penutup mulut dan hidung dalam masa terdekat,” katanya selepas menghadiri Perbincangan Bersama Sektor Peruncitan Berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan di Putrajaya, semalam.

Pada masa sama, KPDNHEP turut menjamin bekalan makanan mencukupi susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi menangani wabak Covid-19 pada 18 hingga 31 Mac ini.

Categories
AGENDA GLOBAL

Indonesia larang eksport topeng muka

OLEH NORRASYIDAH ARSHAD

SHAH ALAM, 13 MAC: Indonesia hari ini melarang pengeskportan topeng muka buat sementara waktu dalam usaha menangani masalah Covid-19, kata menteri perdagangannya.

Agus Suparmanto berkata arahan berkenaan dikuat kuasa demi memenuhi permintaan serta keperluan penduduk negara itu sendiri, lapor Reuters.

Ketika ini, topeng tersebut dijual dengan harga berganda selain penduduk turut membuat simpanan kerana bimbang dengan penularan Covid-19.

“Kita mahu penuhi permintaan produk itu daripada pengguna dan industri domestik,” katanya.

Larangan berkenaan akan dihentikan selepas bekalan tempatan mencukupi.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Padah jual topeng muka mahal, premis didenda RM10,000

SHAH ALAM, 27 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) baru-baru ini mengenakan kompaun sebanyak RM10,000 kepada sebuah premis di Petaling Jaya yang menjual topeng muka melebihi harga kawalan.

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata pemeriksaan ke atas sebuah premis di Bandar Sunway dibuat hasil aduan orang awam, lapor Sinar Harian.

“Siasatan mendapati premis terbabit menjual topeng muka pada harga RM10 sepeket (3 keping) sedangkan harga maksimum yang ditetapkan ialah RM2.40 sepeket (3 keping),” katanya.

Susulan itu, pemilik premis yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun hadir ke pejabat KPDNHEP Petaling Jaya kelmarin untuk membayar kompaun tersebut.

Menjual topeng muka melebihi harga kawalan adalah salah menurut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.