Categories
AGENDA NASIONAL

Pelancongan negeri pantai timur dijangka pulih dalam tempoh singkat

KOTA BHARU, 13 OKT: Sektor pelancongan di negeri-negeri pantai Timur dijangka kembali pulih dalam tempoh singkat berikutan sambutan dan kehadiran pengunjung yang dicatatkan di lokasi tarikan pengunjung sangat memberangsangkan.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur Hafiz Hazin berkata hasil tinjauan yang dilakukan di Kelantan, Terengganu dan Pahang mendapati banyak kawasan pelancongan sudah mula dikunjungi orang ramai.

“Sebagai contoh di Tasik Kenyir, Terengganu dalam tempoh tiga minggu sahaja direkodkan seramai 35,000 pelancong domestik datang selepas beralih dari Fasa Dua ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Tinjauan di Cameron Highlands, Pahang dan pulau-pulau juga menunjukkan sudah ada penerimaan pelancong dan itu satu petanda baik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hafiz berkata pemain industri juga sudah bersedia menerima pelancong dalam kehidupan norma baharu.

“Sebagai contoh, bila pelancong datang dan sekiranya ada kes Covid-19, tempat mereka sudah pasti akan ditutup.

“Saya yakin pemain industri akan sentiasa memastikan segala syarat yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan dipatuhi,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima lapangan golf Malaysia tersenarai 100 terbaik Asia, dua di Selangor

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Lima lapangan golf di Malaysia berjaya tersenarai antara 100 Lapangan Golf Terbaik Asia 2021, menurut Tourism Malaysia.

Kelab golf tersebut ialah Tournament Players Club (TPC) Kuala Lumpur di tempat ke-21, diikuti The Els Club Teluk Datai, Langkawai (51), The Mines Resort & Golf Club, Selangor (73), Forest City Golf Resort, Johor (78) dan Kota Permai Golf & Country Club, Selangor di tempat ke-79.

Antara kriteria penarafan tersebut ialah kesukaran melakukan pukulan, halangan untuk melakukan pukulan, kepelbagaian reka bentuk lapangan dan suasana di lapangan.

Pengarah Pejabat Tourism Malaysia di Guangzhou, Aaron Gan Chai Heng menerima anugerah pengiktirafan ranking bagi Malaysia pada majlis tahunan anjuran Golf Travel Magazine di Bandaraya Wanning, Wilayah Hainan, China, minggu lalu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Industri pelancongan tunjuk tanda pemulihan – Shopee

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Platform e-dagang Shopee menunjukkan isyarat pemulihan dalam industri pelancongan Malaysia susulan sambutan yang menggalakkan bagi kempen Tourism Malaysia di platform itu.

Katanya, sebanyak 22,000 tawaran “Jom Cuti-Cuti Malaysia! Experience Malaysia Like Never Before” direbut sejak larangan sekatan perjalanan antara daerah diumum untuk ditamatkan pada 2 Mac dan status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bagi Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur ditukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Ini amat menggalakkan berbanding 500 transaksi terkumpul yang dibuat antara 11 Jan (apabila PKP 2.0 diumumkan) dan 1 Mac,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shopee bekerjasama buat kali pertama dengan Tourism Malaysia dalam kempen ini pada Disember dan dilancarkan semula baru-baru ini selepas terhenti selama dua bulan.

Menurutnya, permintaan pelancongan telah mendorong aktiviti bercuti inap dalam kalangan penduduk di Lembah Klang, Pulau Pinang, Sabah dan Johor yang menyumbang kepada purata sebanyak 75 peratus daripada keseluruhan permintaan tawaran itu di negeri-negeri berkenaan.

Malah, katanya, rakyat Malaysia juga menzahirkan keyakinan bahawa sempadan negeri akan dibuka semula terutamanya dari Sarawak, Terengganu dan Melaka yang memilih tawaran “Buy Now, Travel Later.”

Shopee berkata destinasi terkenal adalah termasuk Aquaria KLCC di Kuala Lumpur; Sunway Lagoon dan Zoo Negara di Selangor; dan Rainbow SkyWalk di The Top Penang dan Wonderfood Museum di Pulau Pinang.

Turut disenaraikan sebagai destinasi popular ialah Port Dickson, Negeri Sembilan untuk aktiviti seperti memancing, snorkeling dan ‘banana boat ’, manakala aktiviti hotel, pelancongan dan rekreasi di Langkawi, Kedah,

“Kami akan terus memainkan peranan kami untuk menghubungkan rakyat Malaysia dengan pemilik hotel dan pengendali pelancongan menerusi teknologi untuk menyumbang kepada kelestarian industri ini.

“Permintaan yang kukuh ini menunjukkan rakyat Malaysia mahu dan perlu berehat selepas pendekatan untuk duduk di rumah dilanjutkan,” kata Pengarah Urusan Serantau Shopee Ian Ho.

Sementara itu, Shopee berkata berikutan peningkatan kunjungan ke pusat beli-belah, kempen 4.4 ‘Mega Shopping Day’ Shopee akan menawarkan e-baucar sehingga 50 peratus daripada penyewa yang turut serta di Mid Valley Megamall KL dan The Mall dan Mid Valley Southkey Johor Bahru.

Katanya, kempen itu menawarkan penghantaran percuma dengan perbelanjaan minimum RM4, tawaran potongan 95 peratus setiap hari, baucar, permainan, persembahan Shopee Live oleh penyanyi tempatan serta pelancaran kerjasama eksklusif antara label fesyen dan selebriti.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Akibat wabak, ketibaan pelancong luar merudum 83.4 peratus

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Jumlah ketibaan pelancong antarabangsa ke dalam negara merudum 83.4 peratus kepada 4,332,722 tahun lepas, berbanding 26,100,784 pada 2019 disebabkan penutupan sempadan negara sejak 18 Mac 2020 bagi menyekat penularan pandemik Covid-19.

Tourism Malaysia berkata perolehan daripada pelancongan tahun lepas juga turun 85.3 peratus daripada RM86.14 bilion pada tahun 2019 kepada RM12.69 bilion tahun lepas.

Menurutnya purata perbelanjaan perkapita bagi tahun 2020 turun 11.3 peratus, daripada RM3,300 pada tahun 2019 kepada RM2,928 pada tahun 2020.

“Pertumbuhan negatif dilihat bagi pelancong dari setiap pasaran, yakni pasaran jarak dekat (-83.5 peratus), pasaran jarak sederhana (-84.7 peratus), dan pasaran jarak jauh (-79.7 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tourism Malaysia berkata menurut Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO), Malaysia tidak bersendirian dalam perkara ini, kerana seluruh rantau Asia Pasifik merekodkan penurunan ketibaan pelancong sebanyak 84 peratus.

Lain-lain negara ASEAN turut menyaksikan penurunan ketara dalam jumlah kehadiran pelancong, termasuk Thailand (-83.2 peratus), Singapura (-85.7 peratus), Vietnam (-78.7 peratus) dan Indonesia (-75 peratus), katanya dengan merujuk kepada data daripada Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) dan Pertubuhan Pelancongan Nasional (NTO).

Sementara itu negara-negara ASEAN, atau pasaran jarak dekat kekal sebagai penyumbang tertinggi kepada Malaysia dengan 68.1 peratus ketibaan pelancong (2,949,363) diikuti oleh pasaran jarak sederhana yang termasuk dari negara Asia Timur dan Asia Selatan (20.1 peratus atau 870,314).

Pasaran jarak jauh mencatatkan kadar 11.8 peratu dengan ketibaan 512,484 pelancong dari Asia Barat, Timur Tengah, Amerika, Oceania, Eropah dan Afrika.

Ketibaan pelancong antarabangsa dari 10 negara tertinggi ke Malaysia pada tahun 2020 adalah dari negara Singapura (1,545,255), Indonesia (711,723), China (405,149), Thailand (394,413), India (155,883), Brunei (136,020), Korea Selatan (119,750), Jepun (74,383), Australia (72,680) dan Vietnam (64,184).

Lima negara penyumbang tertingi dari segi perbelanjaan pelancong secara keseluruhan adalah dari negara Singapura, Indonesia, China, India dan Thailand.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kedatangan pelancong ke Malaysia merosot 78.6 peratus

PUTRAJAYA, 7 DIS: Ketibaan pelancong ke Malaysia dari Januari hingga September tahun ini merosot 78.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas berikutan pandemik Covid-19.

Malaysia hanya menerima 4.29 juta pelancong dalam tempoh berkenaan berbanding 20.1 juta pada 2019, menurut Tourism Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

Penurunan jumlah ketibaan pelancong juga menyaksikan pendapatan pelancongan susut sebanyak 80.9 peratus kepada RM12.6 bilion dalam tempoh itu, berbanding RM66.1 bilion pada tahun lepas dengan perbelanjaan per kapita menunjukkan kemerosotan 10.7 peratus daripada RM3,289.30 pada 2019 kepada RM2,938.40 tahun ini.

“Penurunan jumlah ketibaan pelancong secara berterusan disebabkan oleh penutupan sempadan antarabangsa sejak 18 Mac, yang merupakan tindakan proaktif kerajaan dalam membendung penularan pandemik di Malaysia,” menurut Tourism Malaysia dalam kenyataan itu.

Sepuluh pasaran pelancong utama ke Malaysia masih didominasi negara yang sama iaitu Singapura (1,543,627), Indonesia (710,118), China (403,055), Thailand (372,075), India (155,448), Brunei (135,848), Korea Selatan (119,364), Jepun (73,891), Australia (72,369) dan Filipina (65,601), jelasnya.

Menurut Tourism Malaysia, pertumbuhan negatif dilihat bagi pelancong dari setiap pasaran rantau iaitu pasaran jarak dekat (-78.8 peratus), pasaran jarak pertengahan (-80.0 peratus) dan pasaran jarak jauh (-74.0 peratus).

Dari segi pelawat harian ke negara ini, Malaysia mencatatkan sejumlah 1.73 juta ketibaan dari Januari hingga September 2020 iaitu penurunan sebanyak 74.9 peratus berbanding 6.90 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Prestasi pelancongan negara-negara lain juga tidak terkecuali daripada menerima kesan daripada penularan pandemik masyarakat global,” menurut Tourism Malaysia.

Berdasarkan data Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA), negara-negara jiran termasuk Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia turut mencatat penurunan yang sama iaitu melebihi 70 peratus disebabkan sekatan perjalanan antarabangsa yang dikuatkuasakan di negara masing-masing.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Menjelang, semasa PKP pelancong luar turun mendadak 68.2 peratus

PUTRAJAYA, 8 SEPT: Seramai 4,252,997 pelancong antarabangsa direkodkan tiba ke negara ini pada separuh tahun pertama 2020, iaitu penurunan sebanyak 68.2 peratus, berbanding 13.3 juta pelancong yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lepas, demikian menurut Tourism Malaysia.

Menurutnya, perbelanjaan pelancong dalam tempoh berkenaan (Jan-Jun 2020) direkodkan ialah RM12.5 bilion, turut menunjukkan penurunan sebanyak 69.8 peratus berbanding RM41.6 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Perbelanjaan per kapita turut mencatat penurunan sebanyak 5.3 peratus dari RM3,121.60 pada tahun 2019 ke RM2,956.10 pada tahun ini,” kata agensi penggalakan pelancongan itu dalam kenyataan hari ini.

Tourism Malaysia berkata sepuluh pasaran utama pelancongan antarabangsa ke Malaysia adalah Singapura (1,541,820), Indonesia (702,082), China (401,285), Thailand (348,133), India (153,873), Brunei (135,593), Korea Selatan (118,594), Jepun (73,201), Australia (72,103) dan Filipina (64,311).

Menurutnya, ketibaan pelawat harian di Malaysia pula mencatatkan sejumlah 1,712,140 pelancong dari Januari hingga Jun 2020, menurun 64.2 peratus berbanding 4,782,587 orang yang telah melawat Malaysia bagi tempoh yang sama tahun lepas

“Penurunan yang ketara bagi jumlah ketibaan pelancong dan pelawat harian ini adalah disebabkan faktor penutupan pintu sempadan Malaysia berikutan penularan pandemik Covid-19,” kata Tourism Malaysia.

Selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan virus Covid-19 sebagai pandemik pada 11 Mac, kerajaan Malaysia  menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melarang kemasukan pelancong antarabangsa sejak 18 Mac.

Menurut Tourism Malaysia, kesan pandemik kepada sektor pelancongan turut dilihat di luar sempadan Malaysia, dengan negara Asean lain juga merekodkan penurunan mendadak dari segi pencapaian pelancongan.

Menurut sumber dari Pacific Asia Travel Association (PATA), negara jiran termasuk Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia mencatatkan pertumbuhan negatif disebabkan larangan perjalanan antarabangsa yang dikuatkuasakan dalam usaha membendung penularan pandemik di negara masing-masing, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Tahap patuh SOP pengusaha industri pelancongan baik

PUTRAJAYA, 6 SEPT: Tahap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam kalangan pengusaha industri pelancongan termasuk operator bot di seluruh negara adalah baik, kata Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof.

Beliau berkata pengusaha industri pelancongan turut berperanan mengingatkan pengunjung di premis masing-masing supaya tidak mengabaikan SOP.

“Pematuhan SOP pengusaha industri pelancongan dipantau oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dan pihak berwajib yang lain. Pada masa yang sama Tourism Malaysia sentiasa memberikan peringatan mengenai SOP kepada semua pengusaha pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran MyCar sebagai e-hailing rasmi Langkawi Great Sale 2020 di pusat beli-belah IOI City Mall, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Dr Hezri Adnan berkata tahap pematuhan SOP dalam kalangan pengusaha industri pelancongan di Langkawi adalah baik.

“Pemain industri pelancongan di Langkawi sangat memahami kepentingan SOP. Sebagai contoh untuk kereta kabel sebelum ini enam orang ditetapkan bagi setiap gondola. Namun kini jumlahnya dikurangkan kepada empat orang bagi membolehkan penjarakan fizikal,” katanya lagi.

Kata Hezri, penandaan turut dibuat di banyak tempat bagi mengingatkan pengunjung di Langkawi tentang penjarakan fizikal.

Ditanya mengenai kedatangan pelancong ke pulau bebas cukai itu, Hezri berkata jumlah pelancong meningkat setiap bulan selepas perjalanan rentas negeri dibenarkan bermula Jun lepas.

“Pada Jun, kira-kira 82,000 orang mengunjungi Langkawi sementara pada Julai jumlahnya meningkat kepada 189,000 pengunjung.

“Jumlah ini dijangka meningkat bagi bulan Ogos namun angka tersebut masih belum dimuktamadkan pada waktu ini,” katanya lagi.

Hezri berkata antara faktor peningkatan pengunjung ke Langkawi ialah pertambahan jumlah penerbangan yang kini mencecah 77 penerbangan setiap minggu dan peningkatan kekerapan perkhidmatan feri dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah pada hujung minggu.

Mengenai MyCar sebagai e-hailing rasmi Langkawi Great Sale, beliau berkata pengguna boleh menikmati kadar rata menerusi kod promosi khas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tahap kebersihan, pematuhan SOP penting bina keyakinan pelancong

SHAH ALAM, 17 OGOS: Tourism Malaysia menggesa pemain industri meningkatkan keyakinan pelancong menerusi amalan penjagaan kebersihan yang tinggi dalam usaha menarik pelawat ke destinasi pelancongan di negara ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Musa Yusof berkata pemain industri juga harus menekankan aspek pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengembalikan keyakinan masyarakat untuk mula melancong.

“Orang sudah tidak mahu tengok slogan ‘Malaysia Truly Asia’. Orang nak letak ‘trust on the destination’. Ini bukan lagi soal jenama, tetapi soal keyakinan terhadap destinasi,” katanya semasa berucap pada majlis menandatangani memorandum kerjasama (MoC) di antara Tourism Malaysia dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Hotel UiTM, di sini hari ini.

Katanya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah menetapkan 13 SOP untuk masyarakat dan pemain industri pelancongan patuhi selaras dengan langkah kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bagi menggalakkan pelancongan domestik.

“Selain itu, premis pelancongan juga harus menggunakan aplikasi MySejahtera,” katanya kepada pemberita kemudian.

Terdahulu pada majlis berkenaan, MoC yang ditandatangani Musa bagi pihak Tourism Malaysia dan UiTM oleh Naib Canselornya Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim merupakan kerjasama untuk mewujudkan program pendidikan lanjutan iaitu Program Perdana Secara Projek Pendek (PPSPP).

Mengulas program itu, Musa berkata PPSPP akan memberi peluang kepada pegawai Tourism Malaysia yang layak untuk mengikuti pengajian Sarjana Pengurusan Pelancongan secara separuh masa di Fakulti Pengurusan dan Pelancongan UiTM selama dua tahun.

“Untuk permulaan, PPSPP yang akan dilaksanakan Oktober ini disertai 15 pegawai Tourism Malaysia,” katanya.

Menurutnya MoC itu turut merangkumi hubungan kerjasama pintar, perkongsian ilmu dan bidang penyelidikan di antara kedua-dua organisasi terutama dalam proses pengumpulan data untuk kajian pelancongan.

“Adalah penting bagi organisasi pelancongan nasional seperti Tourism Malaysia menjalinkan kerjasama bersama institusi pengajian tinggi dalam mencari formula baharu bagi menjamin kelestarian sektor pelancongan yang kini turut berdepan dengan cabaran pendigitalan mengikut segmen pelancongan yang disasarkan.

“Kerjasama ini bukan sahaja melahirkan tenaga kerja yang lebih berkemahiran, malah berupaya memanfaatkan perkembangan kedua-dua pihak serta menjadi pemangkin ke arah amalan terbaik organisasi pembelajaran,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelancongan marin dapat sambutan, banyak destinasi menarik – Tourism

GEORGE TOWN, 27 JULAI: Pelancongan marin semakin mendapat sambutan dalam kalangan rakyat terutamanya dalam pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara (TMWU) Ahmad Husni Ahmad Basri berkata pihaknya bersama-sama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Jabatan Perikanan giat menganjurkan pelbagai program dan kursus untuk menyampaikan maklumat berkenaan pelancongan marin kepada pemandu pelancong dan agensi pelancongan.

“Malaysia mempunyai banyak destinasi untuk pelancong melakukan aktiviti menyelam atau snorkelling dan permintaannya semakin meningkat terutama selepas rentas negeri dibenarkan,” katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui pada program ‘Tourism Knowledge Enhancement’ bertajuk ‘Symbiosis Between Tourism and Marine Environment’ anjuran Zou Divers School dan Northern Dive Shop yang dihadiri pegawai MOTAC dan TMWU, agensi-agensi pelancongan tempatan, pemandu pelancong dan pemain industri dalam sektor sama.

Program itu diadakan untuk menerangkan syarat dan undang-undang pelancongan marin di Malaysia, menyampaikan maklumat berkenaan destinasi pelancongan marin, berkongsi kaedah dan kemudahsampaian ke destinasi tersebut serta menerangkan syarat-syarat terkini perlu dipatuhi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ahmad Husni berkata pihaknya mengenal pasti Pulau Songsong yang terletak di daerah Yan, Kedah sebagai destinasi pelancongan marin khususnya aktiviti bawah air, wajar diberikan perhatian berikutan kekayaan terumbu karang dan kehidupan marin di kawasan itu.

Sementara itu, penganjur program merangkap jurulatih menyelam skuba di Zou Divers, Zulhairie Zulkiflee berkata beliau program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada pemain industri supaya sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) apabila membawa pelancong bercuti.

“Setelah rentas negeri dibenarkan, saya dapati kurang pematuhan SOP di jeti-jeti pulau pelancongan terkenal. Orang ramai padat di sesebuah jeti, saya percaya itu adalah kerana masing-masing ingin membawa keluarga pergi bercuti setelah berbulan berkurung di rumah.

“Jadi, saya berharap kerjasama dapat dipupuk antara pemain industri supaya mengelakkan perkara sebegini daripada terjadi,” katanya.

Menurutnya, pendaftaran untuk menyertai kelas selam skuba juga semakin meningkat dalam kalangan rakyat kerana mereka sudah mempunyai kesedaran bahawa sukan bawah air boleh dilakukan bersama keluarga dengan selamat.

Katanya, skop aktiviti pelancongan tidak lagi terhad di atas daratan sahaja sebaliknya rakyat mahukan aktiviti yang boleh dilakukan di laut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pasca PKP: Pelancongan domestik dijangka berkembang

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Aktiviti pelancongan domestik negara dijangka berkembang 30 peratus bagi tempoh enam bulan hingga setahun, pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Kanan Domestik dan Acara Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata berdasarkan dapatan kajian agensi itu, pelancong tempatan dilihat lebih berani untuk melancong dalam negara semasa tempoh itu.

Jelasnya, corak pelancongan domestik juga dijangka berubah dengan segmen pelancongan keluarga menjadi pilihan utama.

“Sebaik sahaja Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mengumumkan sektor pelancongan domestik dibenarkan beroperasi mulai 10 Jun, kita lihat rakyat mula melancong di dalam negara selepas tarikh itu.

“Malah kajian mendapati trend melancong selepas ini, orang pilih melancong dengan keluarga. Oleh itu, pemain industri perlu bersedia dengan produk dan tawaran yang sesuai dengan permintaan segmen ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Seminar Pasca PKP Pemulihan Sektor Pelancongan dan pelancaran portal pelancongan domestik ditofa.com, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata) Datuk Mohd Khalid Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif ditofa.com Haffiz Halim.

Mengenai portal ditofa.com, Ammar berkata platform digital yang dibangunkan oleh anak tempatan itu adalah sebagai usaha membantu pemain industri bagi memasarkan serta mempromosi produk dan tawaran pelancongan mereka, khususnya selepas berdepan impak penularan Covid-19.

Beliau berkata portal itu bukan sahaja memudahkan tempahan hotel dan penginapan, malah ia menyediakan tawaran menarik bagi kategori Umrah, lokasi tarikan pelancong dan aktiviti pelancongan lain.

– BERNAMA

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA BERITA UTAMA NASIONAL

Ketengahkan lebih banyak pelancongan pengalaman

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Pemain industri pelancongan perlu mengetengahkan produk berasaskan pelancongan pengalaman atau ‘experiential tourism’ kerana mampu menarik kemasukan pelancong berkualiti, sekali gus menjana pendapatan lumayan jangka panjang kepada negara.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof berkata ramai tidak menyedari pelancongan jenis itu mempunyai permintaan tinggi khususnya bagi Malaysia yang kaya dengan keunikan flora dan fauna serta hutan hujan tropika dijaga  baik.

Sehubungan itu, beliau menggesa lebih ramai pemain industri meneroka dan menceburi cabang pelancongan itu yang semakin popular dalam kalangan pelancong antarabangsa.

“Fokus sektor ini adalah keinginan pelancong. Ada pelancong sanggup berbelanja lebih untuk menikmati dan alami suasana percutian dikelilingi alam sekitar yang nyaman dan bersih serta melihat lebih dekat hidupan yang pelbagai.

“Mereka ini golongan pengembara yang cintakan alam sekitar dan sanggup membayar lebih kerana menganggapnya sebagai ‘conservation fund’ (dana pemuliharaan) bagi memastikan negara terus memelihara kelestarian sesebuah kawasan,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.

Pelancongan pengalaman adalah cabang pelancongan yang tertumpu kepada pengalaman berada di sesuatu negara, bandar atau tempat tertentu dengan mendalami suasana, sejarah, masyarakat tempatan, budaya, makanan dan alam sekitar.

Musa berkata ada pelancong sanggup berbelanja sehingga RM7,000 bagi menikmati pakej menerokai laluan hutan atau lawatan safari bagi melihat hidupan liar seperti orang utan, gajah dan burung.

Beliau berkata walaupun tarikan pelancongan utama seperti melawat kawasan popular tetap penting bagi industri pelancongan Malaysia, namun ‘experiential travels’ (pengembaraan pengalaman) semakin popular dan peluang itu perlu diambil sebaik-baiknya.

Mengulas lanjut, Musa berkata lebih unik ialah kaedah promosi atau publisiti pelancongan jenis itu yang lebih meluas dan menjimatkan kos, iaitu menerusi perkongsian testimoni ‘daripada mulut ke mulut’.

“Selepas mereka merasai pengalaman di sesuatu negara, mereka kongsikan pengalaman itu sebagai testimoni kepada komuniti tempatan di negara asal, malah komuniti antarabangsa.

“Jika tidak secara mulut ke mulut, mereka akan berkongsi kisah mereka menerusi laman media sosial seperti Instagram atau Twitter yang secara langsung memberi promosi lebih luas,” tambahnya.

Beliau berkata antara cara terbaik bagi pelancong merasai kehidupan autentik Malaysia adalah dengan mendaftar masuk ke kampung yang menyediakan penginapan inap desa.

Jelas Musa, menerusi kaedah itu pelancong dapat pengalaman menyertai aktiviti tradisional dan harian keluarga seperti menanam padi, mencanting batik, bermain alat muzik tradisional, menyertai tarian asli serta menonton wayang kulit.

Selain itu, katanya kepelbagaian bangsa dan budaya di Malaysia menjadi tarikan utama pelancong merasai pengalaman kebudayaan unik seperti menyertai festival perayaan dan makanan tradisonal.

“Pelancong mahukan kenangan yang tidak dapat dilupakan menerusi pengalaman di Malaysia berbanding hanya melawat tempat menarik,” katanya.

Musa optimis pelancongan pengalaman di negara ini akan sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada pelancong asing dan tempatan, sekali gus merancakkan lagi Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tourism Malaysia sasar 92.8 juta pelancong domestik tahun depan

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Tourism Malaysia dengan kerjasama Penerbangan Malaysia (MAS) melancarkan pakej percutian istimewa bagi tahun 2020 dengan sasaran 92.8 juta pelancong tempatan sepanjang tahun hadapan.

Pelancong domestik ini dijangka membelanjakan sejumlah RM76.9 bilion semasa melancong di dalam negara.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata, jumlah sasaran itu menunjukkan peningkatan 8.9 peratus berbanding anggaran 85.2 juta pelancong domestik tahun ini.

“Kerjasama terbaharu dengan MAS akan membantu mengukuhkan lagi usaha mempromosi pelancongan domestik, terutama bagi Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY2020),” katanya semasa berucap di majlis pelancaran Pakej Cuti-cuti Malaysia dengan MHholiday di Sunway Putra Mall, di sini semalam.

“Pelancongan domestik sentiasa menjadi tulang belakang industri pelancongan kita. Jenama Cuti-cuti Malaysia telah berkembang dan menyerap nilai budaya bercuti di kalangan rakyat Malaysia, di samping mengubah pandangan ramai mengenai percutian domestik,” tambahnya.

“Adalah diharapkan bahawa dengan kempen Tahun Melawat Malaysia, bersama dengan sokongan kritikal dari pemain-pemain industri seperti MAS, kita akan berjaya mencapai sasaran kehadiran 30 juta pelancong antarabangsa, dan mendapat perolehan RM100 bilion dengan kehadiran mereka,” tambahnya lagi.

Katanya, pakej-pekej itu juga selaras dengan misi Tourism Malaysia untuk merangsang pertumbuhan pelancongan domestik di Malaysia.

Beliau turut berharap rakyat Malaysia akan mengambil peluang daripada tawaran istimewa MHholidays untuk meneroka dan menikmati alam semulajadi, seni dan budaya negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Malaysia Airlines, Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, mulai semalam sehingga 9 Disember, MHholidays akan menawarkan diskaun sehingga 70 peratus bagi hotel dan penerbangan terpilih, di seluruh destinasi domestik MAS bagi perjalanan segera sehingga 31 Mac 2020.

Ahmad Luqman berkata, pakej-pakej yang ditawarkan membenarkan pelancong menikmati penginapan satu malam dengan pembelian pakej penginapan empat malam di hotel-hotel terpilih.

“Kolaborasi ini jelas mempamerkan komitmen MAS bagi mempromosi Malaysia sebagai destinasi pilihan dan menawarkan tempat tarikan yang menawan serta unik negara. Sempena pelancaran ini, MHholidays akan menawarkan diskaun hebat bagi tempahan hotel dan tiket-tiket penerbangan, di samping penginapan satu malam percuma di lebih 120 hartanah di Malaysia,” katanya.

Destinasi Penerbangan Malaysia yang sedang dipromosi ketika ini termasuk Langkawi, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Johor Bahru, Labuan, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Alor Setar, Kuantan, Sibu, Bintulu, Miri, Sandakan dan Tawau.

Mereka yang berminat boleh melayari laman web holidays.malaysiaairlines.com

– BERNAMA