Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor bekerjasama dengan Perak, sasar lima juta pelancong tahun depan

BANTING, 16 OKT: Selangor akan menjalin kerjasama dengan Perak bagi mencapai sasaran lima juta pelancong hadir ke negeri ini tahun depan.

Pengarah kementerian pelancongan, seni dan budaya (Motac) Selangor berkata kolaborasi melibatkan perkongsian data, idea, bahan promosi selain pemasangan papan iklan pelancongan untuk kemudahan rakyat negeri itu.

Syed Mohd Fariz Syed Mansor menjelaskan usahasama berkonsepkan menang-menang mengambil kira Perak yang terletak bersebelahan negeri ini sekali gus memudahkan gerak kerja.

“Kita akan ke negeri terbabit tahun ini mempromosikan pelancongan Selangor dan selepas itu menerima kunjungan balas Perak ke negeri ini. Kita mahu duduk bersama Tourism Perak bagi merealisasikan sasaran itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program Visit MyKampung @ Homestay Kampung Sungai Lang Tengah sempena Hari Makanan Sedunia 2021 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Fariz berkata majoriti pengusaha pelancongan di Selangor mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sejak sektor itu dibenarkan beroperasi awal bulan ini.

“Namun, pemantauan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada pelanggaran SOP.

“Kita juga lebih bersikap mendidik masyarakat supaya mematuhi arahan, pada masa sama meyakinkan mereka untuk hadir ke pusat pelancongan,” katanya yang menjangkakan dua juta individu melancong ke Selangor dalam tempoh berbaki kurang tiga bulan sebelum 2021 melabuhkan tirai.

Bermula 11 Oktober, kerajaan membenarkan rakyat negara ini yang lengkap dos pelalian melakukan pergerakan rentas negeri selepas kadar vaksinasi populasi dewasa mencapai 90 peratus.

Kebenaran itu membolehkan rakyat bebas melakukan pergerakan seperti pulang ke kampung berjumpa ibu bapa, melancong dan sebagainya.