Categories
AGENDA NASIONAL

Tambah baik pengurusan rumah pekerja, cegah wabak merebak

KLANG,10 OKT: Kerajaan Negeri menumpukan projek membina perumahan pekerja yang mempunyai sistem ventilasi lebih baik dalam Belanjawan 2022.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perumahan pekerja yang mempunyai aliran udara dan pengurusan baik dapat mencegah berlaku perebakan pandemik.

“Kita memberi tumpuan bagaimana untuk mengujakan ekonomi dan antara salah satu projek ialah perumahan pekerja. Ini isu penting kerana banyak tempat tidak mempunyai sistem udara baik dan pekerja berkumpul dalam satu premis.

“Di Lembah Klang terdapat hampir satu juta pekerja asing dan jika dapat disediakan 20 peratus atau 200,000 perumahan dengan sistem ventilasi yang teratur,” katanya.

Beliau bercakap pada sesi taklimat Belanjawan Selangor 2022 membabitkan pimpinan komuniti Selangor di Hotel Wyndham di sini semalam.

Amirudin berkata situasi penempatan pekerja yang tidak mempunyai aliran udara baik jelas bertentangan dengan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Kita akan kenal pasti tanah-tanah tertentu dan sediakan penempatan pekerja asing dan tempatan supaya mereka dapat perumahan lebih baik.

“Ini digerakkan Kerajaan Negeri selain memenuhi Akta 446 dan juga memberi ruang dan keadaan sosial lebih baik,”katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kuala Kubu Bharu diangkat sebagai kawasan warisan negara

KLANG, 10 OKT: Kuala Kubu Bharu bakal didaftar sebagai kawasan warisan negara sekali gus menjadi tarikan baharu di Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata proses pendaftaran sedang dilakukan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa

“Usaha ini sesuai dengan kapasiti dan imej bandar Kuala Kubu Bharu sebagai bandar terancang pertama di Malaysia. Aspek grid dan penyusunannya menjadi pemula kepada bandar-bandar moden di seluruh negara.

“Hal ini wajar dipertahankan dan dijaga untuk diperkenalkan kepada masyarakat sejarah kemodenan di Malaysia sebahagian besarnya diilhamkan pembentukan Kuala Kubu Bharu,” katanya.

Beliau bercakap pada sesi taklimat Belanjawan Selangor 2022 membabitkan pimpinan komuniti Selangor di Hotel Wyndham di sini semalam.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri akan membuat rancangan khas di Kuala Kubu Bharu dan sedang menunggu prosesnya.

“Dijangka kawasan warisan Kuala Kubu Bharu ini mengambil masa setahun untuk dilengkapkan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Wakil rakyat cadang tambah baik inisiatif untuk rakyat

SHAH ALAM, 9 OKT: Ahli Dewan Negeri Seri Setia berharap Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang menawarkan 33 kemudahan kepada penduduk ditambah baik supaya lebih ramai memperoleh manfaat.

Halimey Abu Bakar juga meminta Kerajaan Negeri mempertimbang untuk menambah peruntukan sedia ada untuk sesebuah inisiatif berkenaan jika tidak mencukupi.

“Kalau peruntukan habis untuk sesebuah skim, kerajaan perlu pertimbang tambah sedikit hingga hujung tahun,” katanya dalam Sesi Townhall Belanjawan 2022 di sini semalam.

Sesi itu membabitkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin, Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor (BBC) dan pegawai kanan Kerajaan Negeri.

Ahli Dewan Negeri Balakong Wong Siew Ki pula membawa isu pemulihan ekonomi, aktiviti belia melibatkan pengundi baharu dan usaha memperkasa wanita.

“Ketiga-tiga isu tersebut penting. Ini juga peluang untuk memulihkan situasi ekonomi terutama dalam DUN Balakong.

“Biarpun pendapatan Kerajaan Negeri kurang berbanding tahun-tahun lalu tetapi penting untuk beri bantuan dan peruntukan kepada sektor utama,” katanya.

Wakil rakyat DUN Sentosa Dr Gunaraj George pula mencadangkan penganjuran kempen Selangor bersih dan hijau dalam menangani masalah sampah.

“Selangor negeri membangun dengan pesat tetapi ada masalah seperti sampah. Jika tidak ditangani, ia bawa tanggapan kepada masyarakat yang kita tidak mampu tangani,”katanya.

Penyelaras DUN Bukit Antarabangsa Suzana Shaharudin pula mengambil peluang memberi cadangan supaya diwujudkan kursus pensijilan kepada golongan menjaga kanak-kanak hingga berusia empat tahun.

“Kerajaan Negeri diharap dapat pertimbang dan melakukannya di setiap DUN kerana kursus ini bagus untuk perkembangan kanak-kanak sebelum memasuki persekolahan.

“Saya juga berharap belanjawan dapat memfokuskan kepada wanita, belia dan kanak-kanak,”katanya yang pertama kali menyertai sesi itu.