Categories
AGENDA NASIONAL

TPM: 132, 885 anggota, pegawai tentera terima dua dos vaksin Covid-19

KUANTAN, 12 OGOS: Hampir semua anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melibatkan 132,885 orang telah lengkap penerimaan dua dos vaksin Covid-19, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata pemberian vaksin kepada anggota ATM dilihat lebih memudahkan petugas barisan hadapan itu dalam melaksanakan tugas termasuk menjalankan latihan ketenteraan.

“Kesemua tentera kita telah selesai terima dua dos suntikan vaksin kecuali yang berada di luar negara bagi menjalani kursus dan sebagainya. Sekarang kami dalam proses untuk memberi vaksin kepada keluarga tentera pula.

“Mereka ini terlibat dalam operasi pertahankan negara, jadi kami memang beri keutamaan vaksinasi yang mana bimbang sekiranya mereka tidak divaksin jika berlaku apa-apa aset tidak boleh diatur gerak,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Eksesais Taming Sari 20/21 di Markas Wilayah Laut 1, di sini hari ini.

Turut hadir pada program itu adalah Timbalannya Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan dua lagi kapal Littoral Mission Ship (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka tiba pada hujung tahun ini.

“Sebenarnya kita boleh terima lebih awal aset-aset termasuk helikopter yang dibeli dari luar tetapi berlaku kelewatan disebabkan pandemik Covid-19,” katanya.

Mengulas mengenai eksesais yang membabitkan 1,080 warga TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) itu, beliau berkata ia bertujuan menguji keupayaan peralatan untuk mengesan dan menjejak serta sistem pelancar misil bagi kapal dan kapal selam TLDM.

Eksesais terbesar yang dijalankan selama enam hari di Laut China Selatan itu, menurut Ismail Sabri juga bagi mewujudkan suasana peperangan maritim yang sebenar dalam aspek perancangan dan pelaksanaan di samping meningkatkan kesiapsiagaan aset TLDM.

“Aset-aset kita kini bersedia untuk diatur gerak sekiranya diperlukan bagi mempertahankan negara daripada sebarang ancaman,” katanya.

Antara aset yang terlibat dalam eksesais berkenaan ialah Kapal KD Lekiu, KD Lekir, KD Jebat dan KD Mahawangsa, kapal selam KD Tun Razak, helikopter Super LYNX serta pesawat B200T manakala aset APMM melibatkan helikopter AS365 N3 Dauphin dan AW139.

Sempena bulan kemerdekaan, Ismail Sabri turut merakamkan penghargaan kepada warga TLDM dan wira-wira negara yang berkorban berjauhan dengan keluarga berikutan tuntutan tugas demi kedaulatan dan keamanan negara.

Terdahulu, Ismail Sabri turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada warga TLDM Markas Wilayah Laut 1 sempena Hari Kebangsaan yang akan disambut pada 31 Ogos.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Seluruh negara dijangka beralih ke fasa dua PPN awal Ogos

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Seluruh negara dijangka mampu beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada awal Ogos, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata jangkaan itu berdasarkan prestasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang kini memberi petunjuk bahawa kadar individu yang lengkap dua dos vaksin telah melepasi nilai ambang 10 peratus yang ditetapkan untuk negara beralih dari Fasa Satu ke Fasa Dua PPN.

Perkembangan itu juga, katanya memberi gambaran bahawa negara berada di landasan yang betul dalam usaha mencapai imuniti kelompok.

“Indikator ini sejajar dengan perancangan Pelan Pemulihan Negara yang menjangkakan kadar vaksinasi akan mencapai 10 peratus populasi pada akhir bulan Julai ini.

“Sekiranya perkembangan positif ini berterusan, seluruh negara mampu beralih ke Fasa Dua pada awal bulan Ogos seperti negeri-negeri yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PPN dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.

Berdasarkan data PICK, jumlah populasi rakyat di negara ini yang telah melengkapkan dua dos vaksin mencapai 11.8 peratus semalam.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang beralih ke Fasa Dua PPN pada 5 Julai, diikuti Pulau Pinang (7 Julai), Sabah (10 Julai) dan Sarawak hari ini (14 Julai).

Di bawah PPN, peralihan fasa adalah setelah melepasi nilai ambang bagi ketiga-tiga indikator utama yang ditetapkan.

Tiga indikator perlu dipatuhi bagi membolehkan peralihan ke Fasa Dua PPN iaitu purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI

Biodiesel B20 perkukuh permintaan minyak sawit – TPM

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pelaksanaan Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan menyediakan sokongan mampan permintaan minyak sawit seterusnya memastikan harganya kukuh.

Katanya peningkatan kadar adunan biodiesel sawit dapat menggiatkan perkembangan industri biodiesel negara selain kilang biodiesel sawit turut dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan.

“Malaysia juga harus berani menggandakan penggunaan biodiesel sawit bagi mengukuhkan industri sawit dan ekonomi negara.

“Pembangunan mampan dan berterusan industri sawit negara juga membantu 650,000 pekebun kecil sawit yang memerlukan dasar membantu mereka meningkatkan ekonomi,” katanya ketika melancarkan Program Biodiesel B20 di Sektor Pengangkutan Secara Berfasa Seluruh Negara, di sini, hari ini.

Program biodiesel B20 bagi penggunaan di sektor pengangkutan itu mempunyai adunan 20 peratus metil ester sawit (PME) dan 80 peratus diesel petroleum.

Wan Azizah berkata perladangan kelapa sawit di Malaysia merangkumi kawasan seluas enam juta hektar dapat menghasilkan dua puluh juta tan metrik minyak sawit setiap tahun dan dieksport ke lebih 160 negara di seluruh dunia.

Industri berkenaan juga menyediakan pekerjaan kepada lebih tiga juta di sepanjang rantaian bekalannya termasuk kepada lebih daripada setengah juta pekebun kecil di seluruh negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TPM: Rakyat diminta tidak sebar berita palsu koronavirus

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini meminta rakyat tidak menyebarkan berita palsu mengenai penularan koronavirus 2019 di beberapa negara termasuk Malaysia ketika ini.

Beliau berkata penyebaran berita palsu boleh menimbulkan suasana panik dan akan lebih memburukkan keadaan.

“Saya telah pergi melawat petugas barisan hadapan di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), KLIA2, Kementerian Kesihatan dan semua yang terlibat. Kita terhutang budi kepada mereka kerana ambil risiko yang tinggi.

“Jadi janganlah keluarkan berita dan perkara tidak betul. Sama-samalah kita bantu tangani masalah ini kerana kita bukan boleh berseorangan menghadapi wabak ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pertubuhan Bantuan Teknikal Insaf Malaysia (Insaf) di sini, malam ini.

Dr Wan Azizah berkata kerajaan telah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam memastikan setiap langkah yang diambil adalah mengikut Arahan Majlis Keselamatan Negara dan maklumat terkini daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Kementerian Kesihatan.

“Kabinet juga telah melaksanakan beberapa strategi dengan menyekat kemasukan pelancong dan membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan di samping menggerakkan institusi kesihatan negara untuk melakukan yang terbaik dalam menyekat penyebaran wabak ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB rakam takziah pemergian bapa TPM

SHAH ALAM, 10 DIS: Dato’ Menteri Besar Selangor merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atas pemergian bapanya yang telah kembali ke rahmatullah, awal pagi ini.

Amirudin Shari menerusi twitternya turut menyampaikan salam takziah buat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Innalillah, semoga roh Almarhum Dato’ Dr Wan Ismail Wan Mahmud dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga penuh nikmat,” tulisnya, hari ini.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut menyatakan rasa sedihnya apabila menerima berita pemergian ayahanda kepada Ahli Parlimen Pandan itu.

“Takziah kepada keluarga dan semoga allahyarham beroleh husnul khatimah dan rohnya ditempatkan di dalam syurga yang penuh dengan nikmat ALLAH SWT. Al Fatihah,” tulisnya.

Menurut maklumat yang dipetik daripada laman Facebook Dr Wan Azizah, jenazah allahyarham akan dibawa ke Masjid al Mustaqim di Taman Nirwana, Ampang pada 9 pagi sebelum di kebumikan di Tanah Perkuburan Ukay Perdana.

Al-Fatihah

Categories
NASIONAL

TPM ucap takziah pemergian A. Rahman Hassan

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga penyanyi era 1960-an Datuk A. Rahman Hassan, yang meninggal dunia tengah malam tadi, akibat komplikasi paru-paru berair.

“Salam takziah buat keluarga Allahyarham Datuk A. Rahman Hassan. Semoga tabah atas berita duka ini.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” kata timbalan perdana menteri di laman Twitternya, hari ini.

Allahyarham, 73, merupakan vokalis kumpulan Orkes Nirwana yang popular dengan lagu antaranya ‘Tak Mengapa’, ‘Hanya Untukmu’ dan ‘Perpaduan Hidup’.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat di sini, selepas solat Zuhur, hari ini.

Pada Isnin lalu, Allahyarham yang terkenal dengan dendangan lagu berentak pop yeh yeh, dikejarkan ke hospital selepas pitam di sebuah stesen minyak di Ampang sebelum dihantar ke Hospital Ampang menaiki ambulans.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiada perbincangan hapus sekolah vernakular – TPM

BUKIT MERTAJAM, 24 Mei: Tidak ada sebarang perbincangan oleh kerajaan berhubung cadangan menghapuskan sekolah vernakular, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata cadangan berhubung perkara berkenaan yang dibangkitkan oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu juga tidak pernah dibawa atau diusulkan dalam mesyuarat mingguan Kabinet.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, berkata beliau sudah lama telah menyedari desakan dan cadangan perkara berkenaan, bagaimanapun sehingga kini masih belum dibincangakan dengan lebih terperinci.

“Sebenarnya kepelbagaian kaum yang terdapat di Malaysia sebenarnya memberi kelebihan kepada masyarakat di negara ini untuk belajar pelbagai bahasa. Apa salahnya kita belajar bahasa Mandarin, Tamil, Inggeris, malah ini sebagai aset negara.

“Sewaktu kunjungan saya ke Geneva baru-baru ini, mereka di sana boleh bercakap sehingga lima bahasa, jadi apa salahnya kita belajar bahasa Tamil dan Mandarin, Inggeris ” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Yayasan Aman di Penanti, dekat sini, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata demikian mengulas desakan NGO menerusi satu memorandum, yang mencadangkan kepada kerajaan supaya menghapuskan sekolah vernakular di negara ini.

Memorandum itu diserahkan kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, di pejabatnya di Putrajaya, kelmarin.

Memorandum itu adalah susulan daripada kenyataan Maszlee mengenai kuota matrikulasi dan keperluan fasih berbahasa Mandarin bagi mendapat pekerjaan, baru-baru ini.

Sementara itu, Dr Wan Azizah turut menyambut baik kritikan yang dilemparkan oleh Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin supaya mana-mana menteri, menteri besar dan anggota exco kerajaan negeri yang kurang menyerlah meletak jawatan mereka secara sukarela.

“Saya menyambut baik kritikan itu dan kita akan cuba baiki sebaiknya,” katanya. -BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PM, TPM meriahkan rumah terbuka Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluangkan masa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina, di Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), di sini.

Beliau yang tiba kira-kira jam 10.40 pagi dengan diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, segak berkemeja bmerah, disambut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri Kabinet lain serta Duta China ke Malaysia, Bai Tian juga Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia, Vicki Treadell.

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah bersama tetamu kehormat lain turut menggaul ‘yee sang’, acara tradisi masyarakat Tionghua yang melambangkan nasib baik, kemakmuran dan segala perkara yang menguntungkan.

Sementara itu, Guan Eng dalam ucapannya berkata, rumah terbuka itu berlangsung dengan suasana sangat muhibbah kerana dianjurkan secara bersama dewan perniagaan yang mewakili kaum Cina, India dan Melayu.

Katanya, muhibbah antara kaum itu adalah watak yang dibawa kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Dr Mahathir.

“Saya juga yakin dengan perpaduan rakyat, kita akan mencapai pembangunan ekonomi mampan.

“Marilah kita tunjuk yang rakyat Malaysia boleh bangkit semula supaya negara boleh dikenali sebagai harimau ekonomi Asia,” katanya.

Pada majlis itu, hadirin dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional pelbagai kaum.

*Sumber: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Sultan Ibrahim terima menghadap TPM

JOHOR BAHRU, 26 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Istana Bukit Serene, di sini hari ini.

Menurut catatan di laman Facebook rasmi Sultan Johor, ketibaan Dr Wan Azizah di perkarangan istana berkenaan pada jam 3 petang, disambut Sultan Ibrahim bersama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.

Ia adalah kunjungan rasmi Dr Wan Azizah yang pertama sejak dilantik Timbalan Perdana Menteri.

Pertemuan bersama baginda berdua itu berlangsung lebih sejam yang membincangkan pelbagai perkara dan Dr Wan Azizah turut diraikan dalam satu majlis santapan ringan.

*Sumber: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

TPM: Muafakat dan berganding bahu terajui pembangunan dan kecemerlangan

KOTA KINABALU, 30 DIS: Rakyat digesa menghindari sebarang tindakan menjejaskan perpaduan kaum dan kestabilan negara, selain menolak segala anasir jahat yang suka menghasut, melemparkan tohmahan serta fitnah untuk kepentingan peribadi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata masyarakat Malaysia berbilang bangsa dan agama seharusnya saling muafakat dan berganding bahu dalam menerajui pembangunan serta kecemerlangan negara.

“Sifat iri hati, dengki dengan sesuatu bangsa itu harus dibuang jauh. Kita sebagai rakyat perlu bangkit bersatu membina kemakmuran dan kemajuan negara Malaysia tercinta.

“Selagi kita bersatu hati dan saling menerima, saya yakin masa depan negara akan lebih makmur,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Krismas 2018 di Padang Merdeka di sini, malam tadi,

Majlis itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran tetamu kehormat Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Timbalan Ketua Menteri Datuk Wilfred Madius Tangau; serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Dalam pada itu, Wan Azizah berkata kerajaan juga akan memastikan agenda pembangunan negara dapat direalisasikan dengan memenuhi semua hasrat dan harapan rakyat.

“Dalam perkara ini, ingin saya tekankan bahawa kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum dan agama dalam melaksanakan program pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

“Setiap tahun kerajaan menyalurkan peruntukan besar untuk badan-badan keagamaan termasuk sekolah dan ini membuktikan kesungguhan, keikhlasan dan komitmen kerajaan dalam membela nasib semua kaum tanpa mengira agama,” katanya.

Wan Azizah turut berharap ketibaan tahun baharu 2019 ini rakyat akan menyahut segala cabaran secara positif selain melihat ia sebagai peluang dan bukannya halangan ke arah meningkatkan kejayaan dalam ekonomi serta pembangunan negara.

Mengenai MRTM Krismas 2018, Timbalan Perdana menteri berkata majlis dihadiri masyarakat pelbagai latar belakang kaum dan agama di Sabah itu memperlihat keunikan kerana kesemua rakyat dapat bersama-sama meraikan perayaan tersebut dalam suasana aman, harmoni dan muhibbah.

MRTM Krismas 2018 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu diadakan antara lain bertujuan memupuk perpaduan dan persefahaman masyarakat pelbagai kaum serta menyemarakkan lagi semangat Malaysia baharu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

TPM: Kerajaan sasar 10,000 ‘Lay Kaunselor’ bendung masalah mental

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Kerajaan menyasarkan untuk melahirkan 10,000 lay kaunselor pada tahun hadapan bagi membendung masalah mental yang semakin membimbangkan di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata sehingga tahun 2018 sebanyak 5,500 individu berjaya dilatih sebagai Lay Kaunselor dalam program yang berkonsepkan sukarelawan tersebut.

“Pada tahun hadapan kita akan memperkasakan lagi program ini (Lay Kaunselor) untuk gandakan jumlah yang ada kini.

“Sesiapa yang ingin menjadi lay kaunselor perlu melalui ujian saringan dan pergi kursus selama tiga hari untuk mendapatkan sijil kelayakan,” katanya selepas menghadiri Karnival Aspek Wanita Pandan dan Program Back To School di Kampung Pandan Dalam di sini.

Program lay kaunselor yang bermula sejak 2015 tersebut merupakan kerjasama antara Lembaga Kaunselor Malaysia dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) yang ia berperanan memberikan khidmat nasihat serta bimbingan kepada ahli komuniti yang memerlukan.

Sementara itu Dr Wan Azizah berkata sehingga November 2018 sebanyak 26,601 orang wanita telah menerima manfaat daripada program Wanita Anti Jenayah (WAJA), Kempen Menangani Keganasan Terhadap Wanita, Meja Bulat Elemination of Violence Against Women (EVAW) dan Klinik Undang-undang.

Katanya program tersebut yang dilaksanakan oleh JPW itu bertujuan memberi pendedahan dalam aspek perundangan, hak-hak wanita dan maklumat saluran bantuan kepada golongan wanita yang memerlukan.

Selain itu katanya kerajaan juga akan meneruskan pelaksanaan program pemerkasaan wanita bagi memastikan golongan itu menikmati kehidupan yang sejahtera dan membolehkan mereka menyumbang secara aktif dan berkesan kepada pembangunan negara.

Antara program tersebut adalah program pengupayaan ekonomi wanita melalui kaedah Community Based Enterprise (CBE) yang dilaksanakan oleh Pejabat Pembangunan Wanita Negeri di bawah JPW.

“Golongan wanita termasuk suri rumah dan ibu tunggal yang berpendapatan rendah juga akan dibimbing oleh pengusaha perniagaan, individu berkemahiran, ataupun usahawan yang telah berjaya dalam bidang masing-masing agar mampu menjana pendapatan melalui bidang keusahawanan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

TPM: Lindungi kebajikan warga emas akta khusus bakal digubal

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata satu akta khusus untuk warga emas akan digubal dalam waktu terdekat bagi melindungi kebajikan dan hak asasi golongan itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata perkara itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara (MPPWEN) yang dipengerusikannya, semalam.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata akta tersebut juga antara lain bagi mewujudkan sistem sokongan yang diperlukan warga emas.

“Menyedari Malaysia akan menjadi negara tua menjelang tahun 2030, di mana 15 peratus daripada penduduk bakal terdiri daripada golongan ini (warga emas), kementerian akan menggubal akta khusus untuk warga emas dalam waktu yang terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Wan Azizah berkata kementerian itu sedang merancang untuk mengadakan satu projek rintis untuk mewujudkan bandar raya mesra warga emas dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

“Projek ini adalah untuk menggalakkan penglibatan penduduk dalam perancangan tempatan dan seterusnya mewujudkan persekitaran mesra warga emas,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata kerajaan akan terus memperkasakan warga emas dalam komuniti melalui penubuhan 29 buah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) baharu.

“Sebanyak RM3 juta telah diperuntukkan pada 2018 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang mana setiap PAWE menerima bantuan berjumlah RM80,000 bagi pembaikan bangunan dan pembelian peralatan serta RM33,333 bagi tujuan pengoperasian.

“Pada 2019, JKM akan memastikan mana-mana kawasan parlimen yang masih belum mempunyai PAWE akan diberi keutamaan untuk pembinaan pusat itu,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata agenda pemerkasaan MPPWEN akan diteruskan bagi memenuhi hasrat untuk memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada semua warga emas.

“Kerjasama yang lebih erat antara semua pihak yang terlibat adalah penting dan diperlukan bagi menggalas tanggungjawab dan komitmen untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan warga emas di Malaysia,” katanya.

SUMBER: BERNAMA