Categories
AGENDA NASIONAL

287,500 saman trafik dibayar, jumlah kutipan RM13.6 juta

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan kutipan kompaun berjumlah RM13.67 juta daripada 287,500 saman yang dilunaskan orang ramai hingga semalam menerusi tawaran diskaun saman trafik sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata kaunter diskaun yang dibuka di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) merekodkan kutipan RM431,330 daripada 8,943 saman dan portal MyBayar mencatatkan RM3.4 juta daripada 74,312 saman dijelaskan orang ramai.

“Kami terpaksa menutup kaunter PDRM di KLCC pada 4.30 petang tadi dan orang ramai jangan risau kerana mereka boleh terus membayar saman di Ibu Pejabat Polis Daerah dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen yang mempunyai kaunter trafik serta melalui portal MyBayar yang dibuka 24 jam,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kaunter PDRM yang dibuka sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di KLCC hari ini.

PDRM menawarkan diskaun kompaun saman trafik sebanyak 80 peratus bermula 9 hingga 12 Dis ini dengan tawaran pengurangan saman itu tidak melibatkan kes saman dalam sebutan mahkamah, kesalahan-kesalahan utama dilakukan, kesalahan kenderaan berat serta pengubahsuaian ekzos.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Trafik lancar walaupun cuti hujung minggu, cuti umum

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Keadaan trafik di beberapa lebuh raya utama menuju keluar dari Lembah Klang terkawal setakat malam ini walaupun cuti hujung minggu yang panjang.

Warga Lembah Klang dijangka pulang ke kampung halaman masing-masing sempena cuti hujung minggu bersambung dengan cuti umum sempena Maulidur Rasul pada Selasa ini.

Tinjauan Bernama di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Duta dan Plaza Tol Sungai Besi, di sini yang merupakan laluan utama warga Lembah Klang untuk ke pantai Timur, utara dan selatan tanah air mendapati aliran trafik sedikit meningkat, bagaimanapun berada dalam keadaan lancar.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Supt Azman Shariat yang ditemui di Plaza Tol Gombak berkata beliau menjangkakan tidak akan berlaku kesesakan di plaza tol berkenaan.

“Selalunya jika cuti panjang, kesesakan akan mula berlaku pada waktu petang tetapi hari ini keadaannya berlainan mungkin kerana ramai pengguna jalan raya telah merancang perjalanan mereka lebih awal untuk mengelak kesesakan,” katanya kepada Bernama di sini malam ini.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Haidatul Nazri, 25, berkata beliau gembira kerana dapat pulang ke kampung halamannya di Kuala Lipis, Pahang selepas dua tahun tidak pulang berikutan pandemik Covid-19.

“Saya sangat seronok dapat pulang ke kampung selepas dua kali raya tidak dapat pulang menziarah mak, kali ini saya bercuti selama lima hari,” katanya yang merupakan seorang pengurus operasi sebuah syarikat swasta di sini.

Bagi mahasiswi yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul Shafiqa, 21, pula berkata perjalanannya untuk pulang ke kampusnya di Muadzam Shah, Pahang berjalan lancar setakat ini.

“Saya bersama ibu bapa memulakan perjalanan dari rumah di Kedah kira-kira 7 pagi tadi dan saya tidak sabar untuk memulakan kehidupan di kampus buat pertama kali selepas diterima masuk pada tahun lepas,” katanya.

– BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

Halang lalu lintas, MBSJ keluar 82 notis tawaran kompaun

SHAH ALAM, 24 SEPT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluarkan 82 notis tawaran kompaun terhadap pemilik kenderaan atas kesalahan menghalang lalu lintas di Jalan Pipit 4, Puchong Jaya pada Rabu.

Timbalan pengarah jabatan korporat dan pengurusan korporatnya berkata notis mengikut Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MPSJ 2007 dikeluarkan semasa operasi bersepadu dijalankan bersama polis Serdang.

Azfarizal Abdul Rashid memaklumkan polis turut mengeluarkan 30 saman POL 170A kepada pesalah trafik atas pelbagai kesalahan dalam operasi jam 10 pagi itu.

“Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan berikutan kesalahan menghalang lalu lintas dilakukan pemilik kenderaan dengan meletak kenderaan mereka di bahu dan selekoh jalan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata pemantauan dan penguatkuasaan terhadap halangan lalu lintas akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mendidik orang awam.

“Penguatkuasaan ini bagi memastikan jalan raya selamat daripada sebarang halangan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya,” kata Azfarizal.

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ: Hobi ubai suai kenderaan undang padah jalan raya

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Hanya kerana hobi dan minat, segelintir pemilik kenderaan sanggup tidak mengendahkan undang-undang dan melakukan pengubahsuaian kenderaan secara haram sehingga mengundang bahaya dan kemalangan jalan raya.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail berkata setiap peraturan jalan raya ditetapkan bukan semata-mata untuk mengutip kompaun, malah demi menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

“Sebagai contoh penggunaan lampu High Intensity Discharged (HID) yang dipasang dengan kuasa melebihi standard ditetapkan, boleh mengganggu penglihatan pengguna jalan raya lain dan menyebabkan kemalangan,” katanya pada selepas mengetuai operasi bersepadu di Jalan Cheras berhampiran Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras, di sini malam tadi.

Operasi selama empat jam berakhir 12 tengah malam itu melibatkan seramai 133 pegawai dan anggota daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Mohd Zaki berkata tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah langkah terakhir dalam memastikan semua pengguna jalan raya berada dalam keadaan selamat dengan mematuhi peraturan ditetapkan.

Dalam operasi itu, sebanyak 1,750 kenderaan diperiksa dengan 197 dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, sebanyak 365 notis dikeluarkan dengan kesalahan tertinggi iaitu 170 notis kerana tiada lesen memandu, menggunakan nombor pendaftaran ‘fancy’ (76 notis) dan tiada lesen kenderaan motor (67 notis) dan 52 lain-lain kesalahan.

Sementara itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur memeriksa 245 kenderaan dengan 47 notis dikeluarkan, manakala JAS memeriksa 53 kenderaan dengan 11 daripadanya dikenakan tindakan.

Seramai 28 individu juga diarah menjalani ujian saringan air kencing dengan 10 daripadanya didapati positif dadah jenis methaphetamine dan ganja.

Dua lelaki warga Myanmar ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Aliran trafik lebuh raya ke ibu kota lancar setakat tengah hari

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Aliran trafik dari arah utara dan selatan di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) menghala ke ibu negara dilaporkan bergerak lancar setakat 12 tengah hari ini.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Expressways Bhd berkata jumlah kenderaan dijangka bertambah menjelang lewat petang nanti apabila orang ramai mula kembali ke ibu kota sempena cuti Hari Krismas dan hujung minggu sejak Jumaat lepas.

“Setakat ini, aliran trafik masih lancar termasuk di Jambatan Pulau Pinang dari kedua-dua arah Georgetown-Seberang Prai, Tambak Johor, Pagoh dan Yong Peng,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik di lebuh raya utama lain juga bergerak lancar.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik .

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Aliran trafik perlahan pagi Hari Krismas

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Aliran trafik di lebuh raya utama negara setakat 10 pagi ini, bergerak perlahan berikutan jumlah kenderaan yang meninggalkan ibu kota mula bertambah di beberapa tempat pada pagi Hari Krismas yang juga cuti umum.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Lebuhraya Plus Expressways Sdn Bhd berkata aliran trafik mula perlahan di lebuh raya terutama dari Kuala Lumpur menghala ke utara pada pagi ini.

“Setakat ini, keadaan trafik dari Slim River menghala ke Sungkai dan di Km 444.9 Rawang Selatan menghala ke Rawang bergerak perlahan akibat kemalangan.

“Trafik juga bergerak perlahan di Sungai Buloh menuju ke Rawang, Bukit Beruntung menghala ke Bukit Tagar dan Tapah ke Gopeng,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, dari selatan ke arah utara pula trafik bergerak perlahan dari Senai ke Kulai, Senawang ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Senawang, dan dari utara ke arah selatan trafik juga perlahan dari Putra Mahkota menuju ke Nilai.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia pula berkata trafik turut perlahan sebelum memasuki Terowong Genting Sempah arah timur.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafikm atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik .

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Cuti Krismas, polis jangka aliran trafik naik tengah malam ini

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangka berlaku peningkatan aliran trafik di semua arah iaitu utara, selatan dan timur mulai tengah malam ini dan esok sempena cuti sambutan Hari Natal.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata pihaknya menjangkakan peningkatan aliran trafik sekitar 30 hingga 40 peratus berbanding aliran trafik pada hari-hari biasa.

Beliau berkata sungguhpun begitu, aliran trafik ketika ini terkawal kerana dipercayai keghairahan orang ramai untuk pulang ke kampung tidak begitu ketara seperti musim-musim perayaan sebelum ini.

“Ada setengah keluarga telah berada atau telah pulang ke kampung halaman lebih awal memandangkan sekolah-sekolah memang telah diberi cuti lebih awal sehingga ke awal tahun 2021.

Saya menasihatkan orang ramai agar tidak leka bahawa perjuangan menentang pandemik Covid-19 masih belum lagi berakhir dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan masih dilaksanakan,” katanya kepada Bernama.

Azisman menyarankan agar orang ramai duduk di rumah dan tidak keluar sekiranya tiada sebarang urusan rasmi walaupun rentas negeri dan daerah dibenarkan.

“Sekiranya tidak, jalan raya akan sesak dan rantaian pandemik ini tidak dapat diputuskan sepenuhnya,” katanya.

Hari ini, tinjauan Bernama mendapati dua lebuh raya utama iaitu di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Jalan Duta mengalami peningkatan dari segi jumlah kenderaan yang dipercayai menghala ke utara dan timur untuk pulang ke kampung halaman sempena musim perayaan Hari Natal.

Peningkatan lalu lintas itu dilihat sekitar 4 petang tadi berikutan orang ramai mula pulang dari bekerja dan dalam perjalanan untuk keluar dari ibu negara untuk ke destinasi yang dituju.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Trafik dijangka naik 30 peratus semasa Krismas, tahun baharu – PLUS

KUALA LUMPUR, 18 DIS: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengunjurkan aliran trafik meningkat hingga 30 peratus semasa cuti umum bersempena sambutan Krismas dan tahun baharu 2021 minggu depan.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata bagi tempoh itu, dijangkakan jumlah trafik di lebuh raya utama meningkat hingga 1.7 juta kenderaan pada waktu puncak setiap hari berbanding 1.3 juta pada hari biasa.

Sehubungan itu, PLUS mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi pengguna yang melakukan perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan antara 22 Disember hingga 19 Januari 2021 dan menggalakkan pengguna lebuh raya mengikutinya.

“Berdasarkan TTA yang dikeluarkan, pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi yang lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor dinasihatkan memasuki lebuh raya sebelum 9 pagi.

“Pengguna yang menuju ke lain-lain destinasi lebih hampir dengan Lembah Klang atau lain-lain negeri disaran memasuki lebuh raya selepas 12 tengah hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengguna lebuh raya dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, utara Perak, Johor dan lain-lain negeri yang menuju ke Lembah Klang bagi tempoh sama, dinasihatkan memasuki lebuh raya sebelum 9 pagi.

PLUS katanya amat menggalakkan orang ramai mengikuti jadual perjalanan disarankan itu bagi menikmati perjalanan yang lebih lancar, sekali gus mengurangkan kesesakan terutama di laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat dan rawat pada musim perayaan.

PLUS juga menasihati orang ramai untuk terus mematuhi prosedur kesihatan dan keselamatan, memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan kebersihan diri serta memandu dengan selamat dan lebih berhati-hati berikutan musim hujan di seluruh negara ketika ini.

Maklumat terkini boleh diperolehi menerusi aplikasi PLUS, Twitter @PLUSTrafik, interaksi secara digital di Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik lebuh raya atau talian bebas tol PLUSLine di 1800-88-0000.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Aliran trafik lancar, tiada kesesakan luar biasa – polis

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Tiada kesesakan luar biasa di kebanyakan lebuh raya utama negara selepas seminggu kerajaan membenarkan pergerakan rentas daerah dan negeri.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata pemerhatian pihaknya mendapati aliran trafik lancar sejak dua hari lepas dan perkara tersebut dijangka berterusan.

“Kita menjangkakan tiada kesesakan luar biasa di semua lebuh raya dan pemerhatian sejak dua hari lalu mendapati aliran trafik seperti biasa sama ada menuju ke utara, timur atau selatan tanah air,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, anggotanya tetap berada dalam keadaan bersiap sedia dalam memantau aliran lalu lintas di semua lebuh raya dan juga jalan utama, termasuk jalan persekutuan dan negeri di seluruh negara.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, laluan di kedua-dua arah LPT 1 dan LPT 2 dilaporkan lancar setakat 2.30 petang ini.

Bagaimanapun, aliran trafik perlahan di beberapa laluan seperti KM 42.3 hingga KM 41.0 hala barat (Bukit Tinggi-Genting Sempah) berikutan terdapat kerja-kerja pengalihan kenderaan yang terbabit kemalangan.

“Trafik perlahan dari PGA ke Pusat Bandar dan Puchong Perdana ke Puchong Intan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi berkata aliran trafik ke utara dan selatan adalah lancar.

Pada 5 Dis lepas, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pergerakan merentas daerah dan negeri dibenarkan di seluruh negara, kecuali di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), bermula Isnin lalu.

Polis juga tidak melaksanakan sekatan jalan raya, sebaliknya menguat kuasa pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

PKPB: Laluan masuk ke Shah Alam sesak awal pagi

SHAH ALAM, 14 OKT: Dua laluan masuk ke Shah Alam dari Lebuhraya Shah Alam (Kesas) mengalami kesesakan teruk pagi tadi susulan pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) oleh polis bagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati kesesakan trafik hampir satu kilometer di kedua-dua susur masuk di Persimpangan Hicom dari Kesas menuju Shah Alam itu susulan pelaksanaan SJR di Persiaran Kuala Selangor.

Jurucakap Kesas ketika dihubungi berkata, kesesakan trafik berkenaan bagaimanapun kembali pulih setakat pukul 10.30 pagi tadi.

Pada masa sama, kesesakan trafik turut dilaporkan berlaku di laluan keluar dari Plaza Tol Setia Alam menghala Subang berikutan SJR yang dilaksanakan di kawasan berkenaan namun ia kembali pulih kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Pada Isnin lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selama 14 hari bermula hari ini sehingga 27 Okt, berikutan peningkatan kes Covid-19.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebuhraya Smart dibuka semula petang tadi

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Lebuhraya SMART dibuka semula sepenuhnya kepada lalu lintas bermula 6.37 petang tadi selepas ditutup sejak jam 4 petang Khamis lepas.

Syarikat Mengurus Air Banjir & Terowong Sdn Bhd (SMART) dalam kenyataan hari ini berkata proses pengepaman keluar air dan pencucian terowong yang dijalankan sejak semalam selesai sepenuhnya.

“Proses pemeriksaan dan rektifikasi mekanikal serta elektrikal telah dijalankan bagi memastikan peralatan berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum Terowong SMART dibuka semula kepada pengguna,” menurut kenyataan itu.

Pengguna lebuh raya itu boleh mendapatkan maklumat lanjut atau pertanyaan dengan menghubungi talian SMART 1-300-88-7188 atau layari laman web rasmi di www.smarttunnel.com.my atau laman sosial di twitter @smarttunnel dan “Smart Tunnel” di Facebook.

Lebuhraya SMART ditutup kepada lalu lintas pada petang Khamis lepas bagi membolehkan pengaktifan sistem banjir dan disusuli dengan pelepasan air banjir ke sistem takungan Terowong SMART berikutan hujan lebat di ibu kota.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Aliran trafik beberapa lebuh raya utama perlahan

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Aliran trafik dilaporkan bergerak perlahan di beberapa lebuh raya utama setakat pagi ini, berikutan orang ramai mula pulang ke rumah masing-masing selepas cuti sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata setakat 10.30 pagi ini, trafik di utara perlahan dari Changkat Jering ke Kuala Kangsar (kawasan mendaki Bukit Berapit), kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak ke Terowong Menora dan Simpang Pulai ke Gopeng ekoran pertambahan trafik.

“Trafik menghala ke selatan masih terkawal dan bergerak lancar,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata trafik menuju ke pantai timur bergerak perlahan dari R&R Genting Sempah ke Terowong Genting Sempah arah barat, sebelum Plaza Tol Bentong arah Barat, dan sebelum Plaza Tol Karak arah Barat

Maklumat trafik terkini boleh didapati menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter, www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter, www.twitter.com/llminfotrafik.

-BERNAMA