Categories
SELANGOR

Baik pulih bumbung LRT selesai dua minggu

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 5 MAC : Kerja membaik pulih sepenuhnya bumbung di kawasan landasan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya, Petaling Jaya, dijangka selesai dalam tempoh dua minggu lagi.

Ketua Operasi Rel Laluan Kelana Jaya Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), Muhammad Syafiq Abdullah berkata, kerja baik pulih itu tidak akan menggangu operasi rel terbabit kerana ia akan dijalankan dari jam 12.30 tengah malam hingga jam 4 pagi mulai hari ini.

Muhammad Syafiq berkata, pihaknya masih menunggu stok jubin daripada pembekal untuk kerja pemasangan di bumbung berkenaan.

“Kita memerlukan stok jubin sama seperti sebelum ini untuk dipasang pada bumbung landasan berkenaan, justeru ia memerlukan sedikit masa.

“Jubin itu sudah bertahan selama 20 tahun, tiba masanya kita tukar (jubin di bumbung itu).

“Kita akan memastikan ia dipasang dengan rapi. Aspek keselamatan pengguna sentiasa diutamakan.

“Harapan kita semoga yang dirancang (membaiki bumbung) akan berjalan lancar dan cuaca mengizinkan semua kerja membaik pulih,” katanya memetik laporan BH Online, hari ini.

Pada masa sama, Muhammad Syafiq menzahirkan penghargaan kepada pengguna LRT berkenaan atas kesabaran mereka berdepan operasi tren yang dihentikan kelmarin berikutan bumbung stesen itu tercabut.

“Kita bawa khabar gembira kepada pengguna. Sepatutnya stesen terbabit mula operasi pagi ini, namun kita berjaya beroperasi pada jam 9.50 malam tadi.

“Terima kasih atas kesabaran pengguna, kita harap mereka akan terus menggunakan LRT sebagai pengangkutan awam ke lokasi lain,” katanya.

Terdahulu, stesen LRT Kelana Jaya ditutup sementara waktu atas faktor keselamatan susulan hujan lebat dan angin kencang pada tengah hari kelmarin.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan berkata, hujan lebat dan angin kencang menyebabkan beberapa keping atap bumbung stesen diterbangkan angin.

Bagaimanapun katanya, tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Status pembinaan SJKT Ladang Castlefield akan dibincang dalam mesyuarat MTES

MB SUK grey

SHAH ALAM 28 OKT : Kontroversi berhubung status pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Castlefield, Puchong, di lokasi baru akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), selewat-lewatnya minggu depan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata perbincangan melalui MTES bertujuan untuk merekodkan sebarang keputusan dan persetujuan yang akan dilakukan bagi menyelesaikan masalah ini.

“Kami akan bincang dalam mesyuarat MTES sama ada minggu ini atau minggu depan kerana mahu Kementerian Pendidikan dan Syarikat Prasarana Negara Berhad (PRASARANA) untuk mendapat ketetapan mereka.

“Itu sebab kita adakan perjumpaan di MTES supaya ada rekod persetujuan yang kita lakukan,” katanya sebagai respon kepada pendirian Kerajaan Negeri berhubung perkara itu di Dewan Jubli Perak, pagi tadi.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, sebelum ini mendesak Abdul Khalid untuk memberi jawapan segera berhubung pendirian kerajaan negeri sama ada bersetuju atau tidak dengan pembinaan SJKT Ladang Castlefield di lokasi baru.

Difahamkan, tanah di lokasi baru itu diperuntukkan kerajaan negeri selepas timbul bantahan apabila sebahagian padang sekolah di tapak lama diambil bagi memberi laluan kepada kerja pembinaan jajaran transit aliran ringan (LRT).

Gobind berkata, perkara berkenaan perlu segera dipertimbangkan kerana akan timbul masalah lain termasuk menjejaskan kerja pembinaan LRT sekiranya persetujuan kerajaan negeri lewat diperoleh.

Kerajaan Negeri sebelum ini memutuskan memperuntukkan tanah seluas 1.6 hektar di Taman Wawasan untuk memindahkan sekolah berkenaan.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Tuntut Prasarana Bentang Pelan Pejalan Kaki Projek BRT Sunway Line

Hannah Gotong Royong

SUBANG JAYA 15 JUN : Pemaju projek Bas Rapid Transit (BRT) Sunway Line, Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) digesa segera membentangkan pelan laluan pejalan kaki kepada penduduk di PJS 7 dan PJS 9.

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan berkata, penduduk terlibat sudah menunggu sejak daripada tahun lalu bagi melihat cadangan pelan laluan pejalan kaki tersebut kerana meragui aspek keselamatan.

Katanya, pada 24 November tahun lalu, Prasarana mengadakan sesi dialog bersama penduduk dan berjanji memberikan pelan laluan kaki tersebut kepada penduduk untuk membuat penilaian sewajarnya.

“Prasarana berjanji untuk memberikan pelan laluan tersebut kepada penduduk untuk dinilai sama ada sesuai atau tidak tetapi sehingga ke hari ini, pelan cadangan tersebut belum dibentangkan kepada para penduduk di PJS 9,” katanya.

Menurut Hannah, penduduk di PJS 9 membantah cadangan laluan tersebut kerana khuatir laluan tersebut melalui belakang kawasan perumahan mereka.

“Saya menggesa Prasarana untuk segera membentangkan pelan berkenaan kepada penduduk, sama ada di buat macam terowong ke, kita tak tahu sebab pelan itu belum dibentangkan,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, penduduk PJS 7 menyatakan persetujuan mengenai cadangan laluan pejalan kaki tersebut.

Dalam pada itu, BRT merupakan sistem rapid transit lengkap yang menggabungkan pengangkutan awam lain seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan Keretapi Tanah Melayu (LRT).

Projek berkenaan akan dimulakan pada suku kedua tahun 2013 dan dijangka siap pada 2015.

Hannah ditemui dalam satu program gotong-royong bersama penduduk USJ6, Subang Jaya anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Bridget Bomba Seksyen 17, Subang Jaya.

Kerajaan Negeri Harus Ambil Tindakan Isu LRT Subang Alam

SHAH ALAM 22 JULAI : Keselamatan penduduk Taman Subang Alam, Seksyen 27, dikuatiri semakin terancam apabila pembinaan jajaran stesen transit aliran ringan (LRT) dilakukan atas tapak berdekatan tasik bekas kuari.

Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafie berkata perkara itu perlu di selesaikan secara tuntas dan bersepadu oleh Kerajaan Negeri bagi menjaga keselamatan penduduk dan mengelak dari bencana.

Shuhaimi menambah sekiranya pembinaan itu dilaksanakan tiga buah rumah akan dipindahkan dan lima buah rumah akan berada dalam keadaan yang terlalu hampir dengan jajaran LRT itu.

Katanya, Kerajaan Negeri juga perlu mempertimbangkan cadangan penduduk agar tapak bagi jajaran LRT dan stesen 11 dan 12 pada laluan penyambungan LRT Subang Jaya dipindahkan ke satu tapak berhampiran yang lebih selamat.

Beliau berkata walaupun pihak Syarikat Prasarana Berhad (Prasarana) telah memberi respons kepada kebimbangan penduduk,
ia tidak mengurangkan ketakutan mereka.

“Saya sudah berulang kali membangkitkan perkara ini untuk meminta Kerajaan Negeri mengatasi masalah ini dan ia harus diteliti dan dipertimbangkan.

?Isu ini bukan perkara baru jadi ia perlu perhatian segera,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Sebelum ini, kira-kira 300 penduduk Taman Subang Alam meminta pihak berkuasa menghentikan pembinaan LRT di kawasan taman perumahan mereka kerana khuatir ia akan menyebabkan tanah runtuh.

Penduduk mendakwa pembinaan di tapak sekarang mengundang bahaya kerana ia melalui kawasan sempit antara tasik bekas kuari dan deretan rumah di Subang Alam dan Putra Heights.

Penduduk bimbang kerja-kerja itu menjejaskan keselamatan mereka kerana Prasarana antaranya, didakwa tidak mendedahkan pelan migrasi struktur dan pelan kontingensi untuk mengukuhkan kuari berdekatan kediaman mereka.

Justeru, mereka menyarankan agar laluan dan tapak kedua-dua stesen tersebut dipindahkan ke satu lagi cadangan tapak yang berhampiran yang difikirkan lebih selamat.

Cadangan tapak itu dikeluarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 2011 sebelum binaan di tapak sekarang, yang dicadangkan Prasarana, dimulakan.

Ini kerana, cadangan laluan LRT MBSA akan dibina melalui jalan raya lebar, kawasan komersial yang dapat menarik lebih ramai pengguna dan berisiko rendah.