Categories
AGENDA GLOBAL

Presiden AS: Letupan di Beirut umpama ‘serangan bom’

WASHINGTON, 5 OGOS: Presiden Donald Trump berkata beliau dimaklumkan oleh jeneral tentera Amerika Syarikat (AS) letupan kuat yang menggegarkan Beirut seolah-olah sebuah letupan bom.

“Ia seperti satu serangan yang mengerikan,”Trump memberitahu wartawan di Rumah Putih.

“Ia kelihatan seperti itu, berdasarkan letupan tersebut. Saya bertemu dengan beberapa jeneral kita yang hebat dan mereka juga berpendapat sama, ” katanya.

“Ini bukan sejenis kejadian letupan akibat aktiviti pembuatan. Ia kelihatan seperti , menurut mereka – mereka lebih tahu daripada saya – tetapi mereka seolah-olah menganggapnya sebagai satu serangan.

“Seperti serangan bom, ya.”

Pegawai Lubnan tidak menggambarkan letupan yang menggegarkan ibu negara itu sebagai serangan.

Perdana Menteri Hassan Diab berkata 2,750 tan baja amonium nitrat yang disimpan selama bertahun-tahun dalam gudang di tepi pelabuhan Beirut telah meletup, mengakibatkan “bencana yang dahsyat.”

“Apa yang berlaku hari ini tidak akan berlaku tanpa penanggungjawab,” kata Diab.

“Mereka yang bertanggungjawab terhadap bencana ini akan membayar harganya.”

Ketua Pengarah Keselamatan Abbas Ibrahim berkata “bahan yang sangat mudah meletup” yang telah dirampas bertahun-tahun sebelumnya telah disimpan di gudang.

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, sekurang-kurangnya 73 orang terbunuh dan 3,700 cedera di seluruh bahagian bandar terbesar di negara itu.

Ditanya mengenai kenyataan Trump, jurucakap Pentagon berkata “kami tidak mempunyai maklumat untuk anda” dan “anda harus menghubungi Rumah Putih untuk mendapatkan penjelasan.”

Trump menawarkan bantuan AS kepada Lubnan.

Kami berdoa untuk semua mangsa dan keluarga mereka,” katanya. “Amerika Syarikat bersedia untuk membantu Lubnan.”

“Kami mempunyai hubungan yang sangat baik dengan rakyat Lubnan dan kami akan berada di sana untuk membantu.”

Calon presiden demokratik Joe Biden, yang telah menerima taklimat perisikan sejak bulan lalu, juga bertindak balas terhadap letupan Beirut tetapi tidak menggambarkannya sebagai satu serangan.

” Doa kami bersama-sama dengan rakyat Lubnan, dan korban letupan ngeri di Beirut,” kata Biden dalam tweet.

“Saya mendesak Pentadbiran Trump dan masyarakat antarabangsa untuk segera menggerakkan bantuan kepada ribuan yang cedera dalam letupan itu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Trump – Putin bersemuka di sidang kemuncak G20

WASHINGTON, 14 MEI: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump akan bertemu rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin pada sidang kemuncak Kumpulan 20 (G20) Jun nanti.

“Saya akan bertemu Presiden Putin,” kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih semasa mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Hungary Viktor Orban.

Sidang kemuncak G20, akan berlangsung di Osaka, Jepun, akhir Jun, ketika kedua negara masih bertelagah mengenai beberapa isu termasuk kawalan senjata dan konflik di Venezuela, Ukraine serta Iran.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS Mike Pompeo dijangka bertemu Putin dan Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov di bandar Sochi pada Selasa.

Menurut kenyataan Jabatan Negara AS minggu lepas, agenda perbincangan antara lain mengenai “cabaran dua hala dan pelbagai hala”.

Pada awal Mei, Trump menghubungi Putin dan berbincang selama lebih sejam. Trump kemudian dalam Twitternya menulis perbincangan itu disifatkan “sangat produktif.”

Trump sebelum ini membatalkan pertemuan dengan Putin di Buenos Aires yang sepatutnya diadakan Disember tahun lepas, kerana ketegangan hubungan antara Rusia dan Ukraine.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Trump suara sokongan 100 peratus terhadap Israel

WASHINGTON, 6 MEI: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyuarakan sokongannya terhadap Israel di tengah-tengah serangan udara yang berterusan di Semenanjung Gaza, lapor agensi berita Anadolu.

“Sekali lagi, Israel diserang kumpulan pemberontak Hamas. Kami menyokong Israel 100 peratus dalam mempertahankan rakyatnya,” tulis Trump di twitternya.

“Kepada penduduk Gaza – keganasan terhadap Israel hanya akan membawa lebih banyak kesengsaraan, TAMATKAN keganasan dan bekerja untuk ke arah keamanan – ia boleh jadi kenyataan!” katanya.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Trump pertimbang Jim Webb ganti Mattis

WASHINGTON, 4 JAN: Pentadbiran Presiden, Donald Trump sedang mempertimbangkan seorang bekas senator Demokrat, Jim Webb, sebagai setiausaha pertahanan baru, lapor The New York Times, semalam.

Akhbar yang memetik sumber yang enggan didedahkan itu berkata, Naib Presiden Mike Pence dan pemangku ketua kakitangan Rumah Putih, Mick Mulvey sudah bersemuka dengan Webb yang juga bekas setiausaha angkatan Tentera Laut di bawah pentadbiran Presiden Ronald Reagan.

Sumber itu berkata, seorang pegawai kanan Jabatan Pertahanan mengesahkan bahawa Webb kini sedang diperkatakan di Rumah Putih, memetik Berita Harian Online.

Webb, 72, adalah seorang veteran perang Vietnam, penulis 10 buku, wartawan dan pembuat filem, lapor REUTERS.

Terdahulu, Jim Mattis meletak jawatan pada 1 Januari lalu iaitu sehari sebelum Trump mengatakan bahawa beliau memecat bekas setiausaha pertahanannya itu.

Mattis meletak jawatan selepas Trump membuat keputusan mengejut dengan mengundurkan semua tentera AS di Syria dan sebahagian daripada 14,000 anggota yang kini berkhidmat, di Afghanistan.

Bekas eksekutif syarikat Boeing Co, Patrick Shanahan, yang juga timbalan Mattis, memangku tugas itu, ketika ini.

Categories
GLOBAL

Trump benarkan tentera tembak pendatang Amerika Tengah

WASHINGTON 2 NOV: Presiden Donald Trump membenarkan anggota tentera negara ini yang ditempatkan di sempadan Mexico menembak pendatang Amerika Tengah yang membaling batu ke arah mereka semasa mereka cuba menyeberangi sempadan secara haram.

Beliau memberitahu wartawan di White House bahawa terdapat satu kumpulan daripada beberapa ribu pendatang yang berjalan kaki dari Amerika Tengah melalui Mexico telah membanling batu secara `ganas’ ke arah polis Mexico.

“Kami tidak akan bersabar. Mereka baling batu ke arah tentera kami, tentera akan membalas balik. Saya telah memaklumkan kepada pihak tentera, anggaplah satu batu yang dibaling adalah satu raifal.’’

`Ketika mereka membaling batu seperti yang dilakukan terhadap tentera dan polis Mexico maka saya menyifatkannya sebagai satu raifal,’’ katanya. –

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Trump gelar globalisme ketika berucap di UNGA

NEW YORK, 26 SEPT: Meskipun berdepan pelbagai reaksi seperti renungan kosong, gelengan kepala dan dahi yang berkerut, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa menyampaikan ucapan pada sesi ke-73 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), dengan berkempen tentang polisi luarnya “America First” dan pendirian perdagangan negara itu, sambil menyelar globalisme, lapor agensi berita China Xinhua.

Trump menonjolkan komitmen beliau untuk “mendahulukan kedaulatan berbanding pentadbiran global” dan mempertahan beberapa keputusan diplomatiknya yang amat kontroversi.

Beliau menyerang beberapa organisasi dan perjanjian antarabangsa seperti Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan perjanjian nuklear Iran, yang menyaksikan pentadbirannya membuat pengumuman sama ada akan keluar atau dikenakan sekatan.

Trump turut menyelar Iran, Venezuela serta Jerman, antara lain, dan bermegah-megah dengan sekatan Amerika Syarikat yang baru diumumkan ke atas Venezuela pada Selasa.

Menyentuh Korea Utara, Trump berkata pertemuannya dengan pemimpin tinggi negara itu, Kim Jong Un, adalah produktif.

Bagaimanapun, Trump berkata sekatan ke atas negara itu akan kekal “sehinggalah pembasmian senjata nuklear berlaku.”

Ucapan itu mendapat reaksi seperti renungan kosong, gelengan kepala dan dahi yang berkerut sepanjang keseluruhan prosesnya, serta berakhir “dengan tepukan sopan dan tidak berbunyi,” menurut laporan beberapa media di lokasi.

Ini merupakan kali kedua Trump berucap di UNGA sejak beliau mengambil alih jawatan pada 2017.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Trump pecat peguam Rumah Putih Don McGahn

WASHINGTON 30 OGOS: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan di Twitter semalam bahawa peguam Rumah Putih, Don McGahn akan meletak jawatan minggu depan.

Ia pemecatan terkini dalam beberapa drama penyingkiran pegawai kanan Rumah Putih selepas hubungan Trump dan McGahn tercalar akibat siasatan membabitkan campur tangan Russia dalam pilihan raya presiden 2016.

Pengumuman itu dibuat selepas senat AS mengesahkan pencalonan Brett Kavanaugh sebagai pengganti McGahn kepada Mahkamah Agung.

Trump mengumumkan pemecatan McGahn kurang dua minggu selepas beliau dilaporkan secara sukarela bekerjasama dengan penyiasatan Peguam Khas, Robert Mueller berhubung dakwaan campur tangan Russia dan kemungkinan berkomplot dengan Moscow untuk kempen Trump.

Russia menafikan sebarang campur tangan dalam pilihan raya presiden 2016 itu.

SUMBER: REUTERS

Categories
EKONOMI GLOBAL

Dolar, saham AS susut kerana komen Trump

SYDNEY 23 JUL: Dolar susut berbanding mata wang utama ke paras terendah dalam lebih dua minggu selepas Presiden Donald Trump mengkritik Rizab Persekutuan berhubung dasar fiskal yang lebih ketat, manakala harga saham susut disebabkan kebimbangan langkah perlindungan perdagangan lanjut akan dikenakan.

Trump, Jumaat lalu, merungut berhubung kekuatan dolar Amerika Syarikat (AS) dan mendakwa Kesatuan Eropah (EU) dan China memanipulasi mata wang masing-masing.

Kenyataan itu, bersama-sama ancaman Trump untuk mengenakan tarif ke atas semua import dari China, mencetuskan penjualan saham di Wall Street dan Eropah pada Jumaat, sungguhpun syarikat mencatat pendapatan korporat yang baik.

Saham Asia menyusulinya hari ini dengan indeks Nikkei di Tokyo susut 0.9 peratus.

Saham Australia turun 0.1 peratus manakala pasaran New Zealand juga turun 0.4 peratus.

Komen Trump itu juga memberi kesan kepada dolar AS, yang susut 0.2 peratus pada 94.25 berbanding enam mata wang utama, dan menjurangkan lagi pulangan jangka panjang bon Perbendaharaan.

“Kenyataan Presiden juga menjelaskan beliau tidak memihak kepada dolar yang kukuh, mengehadkan keupayaan prestasi dolar AS, sekurang-kurangnya dalam jangka pendek,” kata Rodrigo Catril, ahli strategi tukaran asing kanan di National Australia Bank.

Indeks dolar naik 2.4 peratus setakat ini tahun ini.

Pelabur menanti mesyuarat penting yang akan diadakan antara Trump dan Presiden EU Jean-Claude Juncker di Rumah Putih.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Trump desak NATO bayar kos pertahanan

BRUSSELS 11 JUL: Presiden Donald Trump meminta negara sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) supaya membayar kos pembiayaan pertahanan yang dikeluarkan negara itu, sebaik sahaja beliau tiba di sini, bagi menghadapi sidang kemuncak perikatan itu.

Ketibaan Presiden Amerika Syarikat di sini, dengan menaiki pesawat Air Force One turut disambut dengan amaran keras dari pegawai kanan Kesatuan Eropah yang mahu Washington lebih menghormati sekutunya.

Kesemua pemimpin 28 anggota perikatan NATO berharap dapat mencapai persetujuan mengenai beberapa perkara, di sebalik wujud ketegangan membabitkan isu merentas atlantik, terutama selepas beberapa kritikan yang dikeluarkan oleh Trump berhubung perbelanjaan pertahanan.

“Kebanyakan negara di dalam NATO, yang mengharapkan pertahanan dari kami, bukan sahaja gagal melaksanakan komitmen sebanyak dua peratus (sangat rendah), tetapi juga gagal membayar tunggakan selama beberapa tahun.

“Bila mereka akan membuat pembayaran kepada Amerika Syarikat,” kata Trump di Twitter ketika pesawat Air Force One masih dalam perjalanan ke Brussels.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Trump tubuh tentera angkasa AS

WASHINGTON 19 JUN: Presiden Donald Trump semalam mengarahkan Pentagon supaya menubuhkan ‘tentera angkasa’ baharu Amerika Syarikat (AS) yang bakal menjadi cabang ke-6 tentera Amerika dan memastikan ‘dominasi AS’ di angkasa.

“Saya mengarahkan Jabatan Pertahanan dan Pentagon supaya memulakan proses untuk menubuhkan tentera angkasa sebagai cabang ke-6 angkatan tentera.

“Kita ada tentera udara dan kita juga akan mempunyai tentera angkasa berasingan tetapi sama tahap. Dalam mempertahankan Amerika, kewujudan AS di angkasa sahaja tidak mencukupi, kita mesti mendominasi angkasa,” kata Trump.

Setakat ini, perincian mengenai peranan tentera angkasa AS masih tidak jelas.

Kenyataan Trump itu dikeluarkan ketika permulaan mesyuarat ketiga sebuah badan penasihat yang diketuai Naib Presiden Mike Pence, Majlis Angkasa Nasional.

SUMBER: AFP

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Trump yakin jalin hubungan baik dengan Jong-un

SINGAPURA 12 JUN: Presiden Donald Trump meramalkan beliau akan menjalin ‘hubungan hebat’ dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, hari ini, ketika kedua-duanya bertemu pada pertemuan bersejarah di Singapura.

“Kami akan mempunyai hubungan hebat, saya tidak ragu-ragu lagi,” kata Trump dengan senyuman dan sentuhan di belakang Jong-un yang bertentangan dengan ketegangan dan pertumpahan darah antara kedua-dua musuh Perang Dingin selama beberapa dekad itu.

Sementara itu, Jong-un, berkata Korea Utara dan Amerika Syarikat berjaya mengatasi halangan untuk mengadakan sidang kemuncak itu.

SUMBER/FOTO: AFP

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Pertemuan Trump, Jong Un cipta sejarah

SINGAPURA 12 JUN: Presiden Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, berjabat tangan dan tersenyum ketika memulakan pertemuan bersejarah hari ini, beberapa bulan selepas saling berperang lisan dan ancaman perang nuklear.

Bagi kedua-dua pemimpin, yang pertama antara Jong Un dan Trump, ia berkemungkinan menjadi saat yang jelas dalam kerjaya mereka.

Pertemuan kedua-duanya tidak terfikir boleh dilakukan tahun lalu apabila ketegangan memuncak di rantau berkenaan berhubung program nuklear dan peluru berpandu Korea Utara ketika ia berusaha mencapai matlamat membangunkan peluru berpandu dengan peledak nuklear yang boleh sampai di Amerika Syarikat.

Trump berjanji menghalang ia berlaku dan mengancam Korea Utara dengan perang yang tidak pernah disaksikan dunia.

SUMBER: REUTERS
FOTO: AFP