Categories
AGENDA NASIONAL

Gempa bumi sederhana landa Mindanao, Filipina

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Gempa bumi sederhana berukuran 5.7 pada skala Richter melanda Mindanao, Filipina pada 2.15 petang tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa dengan kedalaman 53 kilometer (km) itu berlaku pada jarak 166 km utara Pulau Talaud, Indonesia.

Bagaimanapun, berdasarkan penilaian awal, gempa berkenaan tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Gempa bumi kali kedua landa Sumatera, tiada ancaman tsunami

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Gempa bumi lemah berukuran 4.9 pada skala Richter melanda utara Sumatera pada 12.02 tengah hari tadi, susulan gempa bumi kuat di wilayah sama pagi tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa dengan kedalaman 10 kilometer (km) itu berlaku pada jarak 87 km barat laut dari Payakumbuh, Indonesia dan 324 km barat daya dari Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Berdasarkan penilaian, gegaran dirasai di Lembah Klang,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, MetMalaysia memaklumkan gempa susulan daripada gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter pada 9.39 pagi tadi dijangka tidak akan memberikan ancaman tsunami terhadap Malaysia.

MetMalaysia bagaimanapun menasihati orang ramai untuk mencari tempat perlindungan dan keluar dari bangunan apabila merasai gegaran.

“Selain itu perlulah sentiasa peka dengan maklumat gempa bumi dan amaran tsunami yang dikeluarkan oleh MetMalaysia,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat gempa atau tsunami terkini melalui laman sesawang MetMalaysia iaitu www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi MetMalaysia serta menerusi talian 1-300-22-1638.

— BERNAMA

 

Categories
GLOBAL

Jepun tarik semula amaran tsunami

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Jepun menarik semula amaran tsunami awal hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.4 magnitud menggegarkan negara itu semalam, lapor AFP.

Agensi Meteorologi negara itu menarik balik amaran tsunami berkenaan pada jam 1.02 pagi ini (waktu tempatan) selepas hanya ombak kecil berukuran 10 sentimeter di kesan di sepanjang pantai Laut Jepun, di utara Tokyo.

Gempa bumi kuat bermagnitud 6.3 pada skala Ritcher berlaku berhampiran pantai barat Honshu, Jepun pada 9.22 malam tadi.

Setakat ini tiada kecederaan serius mahupun kerosakan harta benda dilaporkan.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan semalam berkata pusat gempa bumi itu terletak di 38.7 darjah Utara dan 139.4 darjah Timur, 89km Barat Laut dari Yamagata, Jepun dengan kedalaman 42km.

 

Categories
GLOBAL

Tsunami Indonesia ancam spesies badak sumbu Jawa

JAKARTA 29 DIS: Pihak berkuasa pemuliharaan haiwan liar berkata hari ini, bencana tsunami melanda Indonesia mencetuskan kebimbangan bahawa satu lagi gelombang dahsyat mungkin akan membunuh puluhan badak sumbu Jawa yang masih hidup liar di negara itu.

Dipercayai terdapat kurang dari 70 spesies terancam berada dalam taman negara yang terletak tidak jauh dari gunung berapi sehingga mencetuskan gelombang dahsyat, Sabtu lalu.

Setakat ini, tiada haiwan yang direkodkan terbunuh dalam bencana itu sehingga menyebabkan 400 orang terkorban, tetapi pihak berkuasa memberi amaran satu lagi gelombang dahsyat mungkin membadai di wilayah terjejas baru-baru ini.

Justeru, ia memberi tekanan kepada pakar-pakar pemuliharaan haiwan di Taman Negara Ujung Kulon, bagi mencari pelan jangka panjang untuk mencari habitat kedua badak sumbu itu.

“Adalah menjadi tugas kita untuk bekerja lebih keras untuk mencari habitat kedua kerana bimbang bencana mungkin berlaku bila-bila masa,” kata Ketua Taman Negara, Mamat Rahmat memberitahu AFP.

“Kami sangat bertuah kerana tsunami tidak memberi kesan terhadap badak sumbu Jawa. Tetapi ancaman tetap ada dan kami perlu bertindak sewajarnya,” kata Ketua Yayasan Pemuliharaan Badak Sumbu Indonesia, Widodo Ramono.

SUMBER: AFP

 

Categories
GLOBAL

Tsunami: BMKG Indonesia minta jauhi kawasan pantai

SERANG, 26 DIS: Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) telah mengeluarkan satu amaran pada lewat Selasa malam bahawa fenomena tsunami Selat Sunda masih berlaku susulan gegaran berterusan di cerun Gunung Berapi Anak Krakatau, selain cuaca melampau di sekitar gunung berapi itu ketika ini.

Amaran itu didedahkan oleh Pengerusi BMKG, Dwikorita Karnawati, pada satu sidang akhbar di pejabatnya, lapor agensi berita China Xinhua.

Beliau berkata aktiviti gunung berapi yang kuat di Gunung Berapi Anak Krakatau, cuaca melampau dan ombak tinggi di Selat Sunda boleh menyebabkan satu lagi runtuhan di kawasan gunung berapi itu yang mungkin mengakibatkan satu lagi fenomena tsunami pada bila-bila masa apabila ia terhumban ke dalam laut.

“Adalah dikhuatiri bahawa ia mungkin berpotensi menyebabkan tsunami sama seperti hipotesis kami mengenai tsunami yang berlaku pada 22 Dis,” kata Dwikorita.

“Berdasarkan semua situasi itu, kami menggesa orang ramai sentiasa berjaga-jaga dan menjauhkan diri dari kawasan pantai sekurang-kurangnya dalam jarak 500 meter hingga 1 kilometer,” katanya.

Aplikasi mudah alih akan disediakan oleh BMKG bagi membolehkan orang ramai memantau aktiviti Gunung Berapi Anak Krakatau daripada gajet mereka, kata beliau.

Selain aplikasi yang diberi nama InfoBMKG dan MAGMA Indonesia, BMKG juga akan mengemas kini maklumat terkini berkaitan risiko tsunami yang berpunca daripada gunung berapi itu dalam akaun media sosialnya.

“Kami berharap orang ramai akan terus memantau perkembangan maklumat dalam hal ini. MAGMA Indonesia akan memberi amaran awal berkaitan tahap aktiviti Gunung Berapi Anak Krakatau,” kata beliau.

Penyediaan aplikasi mudah alih itu juga bertujuan memperbetul maklumat berikutan penularan maklumat palsu yang kerap di media sosial berkaitan fenomena tsunami Selat Sunda yang telah menyebabkan panik dalam kalangan orang ramai.

Aplikasi mudah alih itu disediakan terutamanya bagi memantau situasi kecemasan di Selat Sunda serta Gunung Berapi Anak Krakatau, dan tidak tertakluk kepada mana-mana kawasan lain di Indonesia, kata beliau.

Pasukan mencari Indonesia telah menemui sejumlah 429 mayat dari beberapa kawasan terjejas di wilayah Banten, Jawa dan wilayah Lampung di Sumatera setakat ini susulan fenomena tsunami yang disebabkan oleh aktiviti Gunung Berapi Anak Krakatau.

Bencana itu turut menyebabkan lebih 1,400 orang cedera, memusnahkan beratus-ratus rumah dan kapal serta menyebabkan lebih 16,000 orang hilang tempat tinggal.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

MAPIM sertai usaha SAR mangsa tsunami Selat Sunda

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 DIS: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyertai usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tsunami di Selat Sunda, sejak semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Sani Araby Al-Kahery berkata, operasi berkenaan diketuai Mejar Bersekutu Zulhanis Zainol dan Kapten Bersekutu Shukri Othman untuk menyalurkan bantuan awal.

“Akibat angka korban dan cedera yang semakin meningkat, MAPIM juga menyalurkan bantuan asas berupa kotak makanan serta keperluan lain.

“Turut sama menyertai misi kali ini adalah rakan strategik MAPIM, iaitu Aksi Cepat Tanggap (ACT) Indonesia yang lengkap anggotanya,” katanya kepada SelangorKini.

Sani berkata, operasi pencarian yang bermula sejak semalam terpaksa dihentikan seketika akibat amaran tsunami gelombang kedua.

“Saya dimaklumkan ketika anggota sedang menjalankan kerja pencarian mangsa, sukarelawan menerima arahan untuk menghentikan pencarian kerana terdapat amaran air pasang yang berkemungkinan tsunami kali kedua,” katanya.

Pada masa sama, Sani berkata, orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan bolehlah menyumbangkan dana kepada Akaun Maybank 558220605312 (Dana Mapim).

Sebarang maklumat lanjut, bolehlah menghubungi talian hotline 0192890298 atau e-mel kepada [email protected].

Categories
GLOBAL

Seorang rakyat Malaysia cedera dalam kejadian tsunami Selat Sunda

JAKARTA, 26 DIS: Seorang rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam kejadian tsunami di Selat Sunda, Sabtu lepas.

Menurut kenyataan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas), rakyat Malaysia terbabit dikenali sebagai Khairul Umam Masduki ,31, mengalami kecederaan di kaki dalam kejadian tsunami itu.

“Basarnas mendapat maklumat jam 11 pagi tadi berkenaan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Kalianda,” kata kenyataan itu.

Mangsa telah dibawa ke Rumah Sakit Bob Bazar Kalianda untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta ketika dihubungi berkata pihak kedutaaan sedang bekerjasama dengan pihak Basarnas bagi memberikan bantuan sewajarnya termasuk bantuan konsular kepada mangsa.

“Mangsa berasal dari Kuala Lumpur, kami masih mendapatkan maklumat lengkap berkenaan mangsa,” kata jurucakap itu.

Mangsa dilaporkan berada di Kalianda ketika kejadian tsunami dan bertindak melarikan diri ke kawasan tinggi ketika kejadian tsunami itu sebelum mengalami kecederaan di kaki.

Menurut Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG), tsunami yang berlaku jam 9.27 malam, Sabtu lepas itu disebabkan berlakunya gelombang kuat di perairan Selat Sunda dan berlakunya letusan di Gunung Anak Krakatau.

Tsunami itu berlaku akibat pergerakan tanah di bawah dasar laut akibat letusan Gunung Anak Krakatau dan berlaku gombang air pasang serta gelombang kuat dan kombinasi itu menyebabkan berlakunya tsunami secara tiba tiba.

Setakat 5 petang semalam, Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia mencatatkan seramai 429 orang telah terkorban, manakala 1,485 cedera dan lebih 800 rumah musnah. Tsunami itu melibatkan empat kabupaten iaitu Kabupaten Pandeglang, Serang, Lampung Selatan dan Tanggamus.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tsunami Selat Sunda: NGO Malaysia mula salur bantuan

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) sudah menghantar dua sukarelawannya untuk memberi bantuan asas ke kawasan yang terjejas akibat tsunami yang melanda Selat Sunda, Indonesia, 22 Dis lepas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery berkata dua sukarelawan berkenaan yang juga aktivis Angkatan Pertahanan Malaysia tiba di kawasan terbabit semalam.

“… pada asalnya mereka berada di Palu untuk projek di perkampungan berkenaan, jadi lepas kejadian tsunami Selat Sunda berlaku, saya arahkan mereka ke sana untuk salurkan bantuan.

“Semalam, mereka berjaya masuk ke kawasan kritikal dan seperti kita sedia maklum, terdapat beberapa kawasan yang kritikal antaranya di Pantai Carita, Pantai Sumur dan sebagainya… pasukan kita telah berjaya masuk ke tiga-tiga kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Ahmad Sani berkata hari ini pasukan tersebut mula mengedarkan pek makanan, ubat-ubatan dan barangan asas untuk mangsa tsunami selain turut membantu mengeluarkan mayat mangsa tragedi.

Menurutnya, buat masa ini Mapim tidak bercadang untuk menghantar sukarelawan lain berikutan keadaan semasa di sana yang masih diletakkan pada tahap berjaga-jaga.

“Pihak kerajaan Indonesia sendiri telah mengeluarkan kenyataan supaya berhati-hati, cabaran bukan hanya kepada penduduk di sana sahaja tetapi kepada orang yang mahu menyelamatkan mereka, jadi masing-masing sangat berwaspada,” katanya.

Ahmad Sani berkata orang ramai boleh menghulurkan bantuan melalui tabung yang sama untuk tabung bantuan Palu dengan melayari www.rayuansulawesi.com atau terus ke akaun Maybank 5582 2060 5312.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Anwar Shaharul Anwar berkata bantuan awal seperti pek makanan dan kebersihan untuk mangsa tsunami terbabit akan disalurkan dalam waktu terdekat melalui rakan badan bukan kerajaan mereka di Indonesia, Pos Keadilan Peduli Ummat (PKPU) Human Initiative.

“Buat masa ini belum ada perancangan misi untuk ke sana. Bagaimanapun, seperti kebiasaannya, bantuan awal akan disalurkan pada minggu ini melalui PKPU yang sudah berada di lapangan beberapa jam selepas bencana berlaku.

“Bagi mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh ke laman sesawang www.billplz.com/selatsunda atau ke akaun bank Maybank MyCARE 5515 7500 4299, CIMB Islamic Bank Berhad (86 0213559 2) dan Bank Islam (1209 20100 34904),” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Mangsa tsunami kekurangan air bersih, ubat

CARITA, Indonesia 25 DIS: Bantuan untuk mangsa tsunami di pesisir pantai Indonesia mulai diterima hari ini tetapi sukarelawan yang bertugas memberi amaran bekalan air bersih dan ubat semakin berkurangan di pusat pemindahan yang sesak dengan ribuan mangsa.

Petugas kemanusiaan bimbang bakal berlaku krisis kesihatan ketika jumlah kematian yang tercetus akibat bencana gempa bumi itu meningkat hampir 400 orang dengan beribu-ribu lagi yang kehilangan tempat tinggal terpaksa dipindahkan.

“Kebanyakan kanak-kanak demam, sakit kepala dan bekalan air tidak mencukupi,” kata Rizal Alimin, doktor yang bertugas untuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Aksi Cepat Tanggap, di sebuah sekolah yang dijadikan tempat perlindungan sementara.

“Bekalan ubat kami sedikit berbanding biasa, ia tidak sihat untuk mangsa pemindahan. Bekalan air juga tidak mencukupi. Mereka memerlukan makanan dan kebanyakan mangsa tidur di atas lantai,” katanya.

Ombak tsunami mengganas pada waktu malam dan amaran awal tsunami tidak dikeluarkan, memusnahkan hotel dan penempatan di kawasan pantai sekitar selatan Pulau Sumatera dan Jawa.

 

Kebanyakan lebih 5,000 mangsa ombak ganas itu masih takut untuk pulang ke rumah kerana bimbang bencana yang sama berulang.

“Saya sudah berada di sini tiga hari. Saya takut kerana rumah kami terlalu hampir dengan pantai,” kata Neng Sumarni,40, yang terpaksa tidur di lantai sekolah bersama suami dan tiga lagi anak-anak mereka bersama puluhan mangsa yang lain.

Seorang lagi sukarelawan kumpulan Tagana, Abu Salim berkata, petugas bantuan berusaha keras untuk menstabilkan situasi.

“Tumpuan utama kami hari ini adalah untuk membantu mangsa ditempatkan di pusat perlindungan sementara dengan menyediakan dapur dan mengagihkan bantuan ke setiap tempat serta khemah di tempat yang sesuai,” katanya kepada AFP.

Katanya, kebanyakan mangsa masih belum mendapat bekalan air bersih, kebanyakan mangsa melarikan diri ke kawasan tanah tinggi dan mereka masih gagal menjumpai mereka.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Korban tsunami kini 429, lebih 1400 cedera

JAKARTA 25 DIS: Jumlah korban tsunami di pantai Selat Sunda sehingga petang ini, meningkat kepada sekurang-kurangnya 429 orang manakala lebih 1,485 cedera.

Portal berita Indonesia, termasuk CNBC Indonesia dan Detik News, melaporkan jurucakap agensi pengurusan bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho, berkata 154 lagi masih hilang akibat tsunami yang berlaku hasil aktiviti gunung berapi Anak Krakatau malam Sabtu lalu.

“Sehingga kini, 1,485 orang cedera sementara 128 masih hilang,” kata Sutopo dalam kenyataan kepada media di sini.

Liputan6 melaporkan, Sutopo berkata, maklumat terbaru bencana itu menunjukkan 882 rumah musnah atau rosak teruk, selain 73 hotel, kedai (60 unit), sampan dan kapal (434 unit).

SUMBER: AGENSI

Categories
GLOBAL

Tsunami baharu mungkin landa Indonesia

PARIS 25 DIS: Beberapa pakar bencana kelmarin memberi amaran satu lagi kejadian tsunami mungkin melanda Indonesia, sehari selepas hampir 400 orang terbunuh disebabkan letusan gunung berapi yang menghasilkan ombak besar.

“Tsunami itu nampaknya berpunca daripada tanah runtuh di dasar laut sekitar gunung berapi Anak Krakatau,” kata pensyarah Universiti Terbuka di Britain, David Rothery.

 

Anak Krakatau adalah sebuah pulau yang muncul pada tahun 1928 dalam kawah tinggalan gunung berapi Krakatau yang meragut sekurang-kurangnya 36,000 nyawa dalam letusan besar pada tahun 1883.

Anak Krakatau terletak di antara pulau Jawa dan Sumatera di Selat Sunda, berhampiran beberapa kawasan penduduk berkepadatan tinggi.

“Walaupun tsunami itu agak kecil, ombak sedemikian penuh dengan pelbagai serpihan berbahaya dan boleh meragut nyawa penduduk yang tinggal berhampiran pesisir pandai, lebih-lebih lagi jika tiada amaran awal,” jelas pensyarah Universiti Portsmouth di Britain, Ri­chard Teeuw.

Gunung berapi itu semakin aktif sejak Jun lalu, jelas pensyarah Universiti Paris-South, Jacques-Marie Bardintzeff.

Tsunami terbaru itu adalah yang ketiga melanda Indonesia dalam tempoh enam bulan lalu. Indonesia mempunyai 127 gunung berapi aktif yang terletak di zon Lingkaran Api Pasifik.

“Kebarangkalian satu lagi kejadian tsunami di Selat Sunda masih tinggi selagi gunung berapi Anak Krakatau kekal dalam fasa aktif ke­rana ia mungkin menyebabkan tanah runtuh dasar laut berulang,” dakwa Teeuw.

Bardintzeff turut memberi peri­ngatan supaya semua pihak berwaspada kerana gunung berapi itu sudah tidak stabil.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Angka korban tsunami Selat Sunda meningkat 168 orang

Agensi bencana Indonesia mengesahkan angka kematian tsunami yang melanda kawasan pantai sekitar Selat Sunda di antara pulau Sumatera dan Jawa kini meningkat kepada 168 orang.

Pada masa sama, 745 orang dilaporkan cedera manakala 30 lagi masih hilang.

SUMBER: AFP