Categories
EKONOMI SELANGOR

Jual tudung semurah RM3 demi misi korban di Vietnam

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 30 JUL: Tiga sahabat ini sanggup menjual tudung semurah RM3 bagi menjayakan misi Ibadah Korban di Vietnam tidak lama lagi.

Nurul Farhana Abd Ghani, 36 berkata, ia adalah program kali keempat dia dan sahabatnya melalui Kumpulan Reach Out Squad menjalani ibadah korban di negara asing bersama masyarakat kurang berkemampuan.

“Program ini dinamakan Reach Out Series: Qurban @ Vietnam iaitu misi kemanusiaan yang akan turut kita sumbangkan peralatan seperti daging korban, paket makanan, Solat Kit dan juga Kit Pendidikan.

“Matlamat kami adalah supaya umat Islam di luar sana turut mendapat kemudahan sama seperti kita khususnya dalam beribadah,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Nurul Farhana bersama dua lagi rakannya, Intan Amira Restu, 23 dan Siti Nur Farhana Mohd Ishak, 25 ditemui ketika jualan amal di Car Boot Sale di perkarangan Tesco Seksyen 13.

Selain tudung semurah RM3, tiga sahabat yang juga alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu turut menjual jubah semurah RM10 dan juga pakaian terpakai.

Nurul Farhana berkata, sebelum ini dia dan rakannya telahpun ke Nepal, Thailand dan juga Kemboja bagi kerja amal yang sama.

“Sekiranya orang ramai ingin membeli barangan ataupun membuat sumbangan, bolehlah hubungi kami di talian 0162770758 atau ikuti laman instagram kami di ReachOutSquad,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Raja Kamarul Bahrin nafi sokong cadangan larangan wanita bertudung

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menafikan beliau menyokong cadangan larangan wanita memakai tudung dalam sektor pekerjaan hotel dalam ucapan penggulungan, semalam.

Katanya, beliau hanya mencadangkan supaya Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia menganjurkan pertandingan rekaan uniform yang menepati kehendak Islam dan boleh digunakan di hotel.

Tegasnya, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz selaku menteri bertanggungjawab perlu membaca keseluruhan ucapannya dan tidak beremosi serta tidak mempolitikkan isu itu.

“Saya agak hairan kenapa cadangan itu dikecam ketika sesi jawapan menteri. Saya tidak sesekali bersetuju dengan cadangan melarang wanita Islam memakai tudung.

“Cadangan saya adalah untuk membuat pemakaian tudung dan penutupan aurat uniform hotel lebih menarik sebagai daya tarikan aset pelancongan. Hasil terbaik boleh dicapai melalui satu pertandingan fesyen,” katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen.

Katanya, cadangan beliau adalah langkah mencari titik penyelesaian dalam situasi menang-menang supaya tuntutan Islam dipenuhi dan hotel menerima konsep itu.

Raja Kamarul berkata, beliau sendiri sudah memulakan perniagaan Aryani Resort sejak 1996 dengan memperkenalkan uniform bertudung dan uniform labuh dari ‘front office’ hingga ‘house keeping’.