Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dijangka diniaga sekitar 4.1275-4.1475 minggu depan

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam lingkungan 4.1275 hingga 4.1475 pada minggu depan ketika pasaran terus memantau perkembangan hasil Perbendaharaan AS dan pergerakan harga minyak.

Ketua Strategis Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata laporan terkini mengenai kenaikan inflasi di China pada Mac berikutan lonjakan kos komoditi, juga dijangka mempengaruhi prestasi ringgit.

“Pasaran juga mengharapkan China menangani aspek kreditnya yang berpotensi memberi impak negatif terhadap pengeksport komoditi seperti Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, katanya, pasaran turut menunggu hasil mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pada 6 Mei depan dan berkemungkinan menyaksikan Bank Negara Malaysia menyemak naik Kadar Dasar Semalaman yang akan memberi kesan terhadap minat pelabur asing terhadap bon.

“Peniaga tempatan juga dijangka memberi tumpuan terhadap indeks harga pengguna AS bagi Mac yang dijadual diumumkan pada 13 April depan,” katanya.

Dalam pada itu, setakat jam 8.05 malam waktu Malaysia pada Jumaat, harga minyak mentah Brent susut 0.25 peratus kepada US$63.04 setong.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, ringgit lebih mengukuh berbanding dolar AS kepada 4.1330/1370 daripada 4.1380/1420 pada minggu sebelumnya.

Selain itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0800/0839 daripada 3.0780/0816 minggu sebelum ini serta rendah berbanding yen Jepun kepada 3.7689/7733 daripada 3.7455/7494.

Unit tempatan itu bagaimanapun mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6618/6685 daripada 5.7241/7309 pada Jumaat lepas dan susut berbanding euro kepada 4.9141/9205 daripada 4.8733/8797 sebelum ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dijangka diniaga 4.16-4.23 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Ringgit dijangka diniagakan antara paras 4.16 – 4.23 berbanding dolar AS minggu depan.

Penganalisis pasaran FXTM Han Tan berkata dengan ringgit berbanding dolar dilihat masih berada pada kedudukan terlebih beli (overbought), kejatuhan sementara dalam minggu mendatang melepasi paras psikologi 4.20 boleh mempengaruhi purata pergerakan mudah (SMA) 200 hari dolar AS-ringgit untuk bertindak sebagai tahap halangan sekitar 4.23.

“Sebarang pencapaian di bawah julat 4.18-4.20 setakat bulan ini boleh menjuruskan dolar-ringgit bergerak ke paras sokongan 4.16, yang diuji kali terakhir pada bulan Mac,” kata beliau kepada Bernama.

Sementara itu, Tan berkata indeks Dolar (DXY) masih bertahan pada julat 92.5-94 setakat Ogos, dengan perolehan satu peratus ringgit sehingga bulan ini menjadikannya terbaik di Asia untuk tempoh berkenaan.

DXY ialah ukuran nilai dolar AS berbanding kumpulan mata wang asing.

“Dagangan mata wang dolar lemah kerana jangkaan inflasi AS yang lebih cepat menghakis kuasa membeli dolar AS dengan perolehan sebenar Perbendaharaan 10 tahun AS jatuh kepada negatif satu peratus.

Bergerak ke minggu hadapan, Tan berkata para pelabur sudah pastinya menantikan perkembangan perundingan perdagangan antara AS dan China yang berlangsung pada 15 Ogos, 2020.

“Pasaran juga akan memantau sama ada kebuntuan mengenai pakej rangsangan fiskal AS pusingan selanjutnya dapat diatasi, walaupun pengumuman data ekonomi yang lebih baik sejak kebelakangan ini boleh memberikan lebih banyak masa kepada Kongres,” kata beliau.

Andai kata situasi ini hanya menjuruskan kepada perkembangan negatif untuk dolar, Tan berkata ia boleh mendorong mata wang Asia, termasuk ringgit untuk meninjau peluang peningkatan berbanding dolar AS.

Sejak beberapa minggu lepas, Tan berkata ringgit terus kekal kukuh pada paras 4.20 berbanding dolar AS walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk suku kedua 2020 mencatatkan pertumbuhan terendah, menguncup 17.1 peratus.

“Bagaimanapun, beberapa data ekonomi sejak kebelakangan ini menunjukkan impak pandemik Covid-19 yang menjejaskan ekonomi telah berkurangan dan pemulihan sedang berlaku.

“Ini terbukti apabila Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan Malaysia IHS Markit (PMI) telah kembali mencatatkan peningkatan pada Jun dan Julai manakala eksport dan jualan pembuatan juga, masing-masing menunjukkan peningkatan tahun ke tahun pada Jun,” kata beliau.

Beliau seterusnya melahirkan keyakinan bahawa langkah-langkah monetari dan sokongan fiskal yang telah dilaksanakan akan terus membantu negara memasuki era selepas berakhirnya pandemik meskipun risiko menurun masih lagi menyelubungi ekonomi global.

Berdasarkan perbandingan Jumaat-Jumaat, ringgit merosot 80 mata asas berbanding dolar AS untuk ditutup pada 4.1910/1950 pada hari akhir minggu urus niaga (Jumaat) daripada 4.1830/1900 minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding yen kepada 3.9260/9308 daripada 3.9589/9667 minggu terdahulu, dan tinggi sedikit berbanding euro pada 4.9416/9472 daripada 4.9426/9517 sebelumnya.

Berbanding dolar Singapura, ringgit turun kepada 3.0518/0554 daripada 3.0499/0562 sementara berbanding pound, ia lega kepada 5.4785/4854 daripada 5.4755/4864 sebelumnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dijangka meningkat berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Ringgit dijangka meneruskan aliran kenaikannya berbanding dolar AS pada minggu depan berikutan sentimen terhadap mata wang Asia kekal menarik di tengah-tengah ketidaktentuan mata wang Amerika Syarikat itu.

Pada mesyuarat dua hari yang berakhir pada 29 Julai lepas, Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menegaskan pendiriannya yang cenderung untuk menurunkan kadar faedah dan sebarang turun naik dalam pertumbuhan dan hasil bon akan diimbangi dengan sejumlah besar wang Fed yang dilabur dalam pasaran saham.

Penganalisis Kanan Pasaran OANDA bagi Asia Pasifik Jeffrey Halley berkata paling penting, Pengerusi Fed Jerome Powell mengulangi bahawa mereka akan bertindak sekiranya berlaku sebarang kekurangan dolar AS.

“Ini akan memberi kelegaaan kepada pasaran sedang pesat membangun dan membuka jalan bagi memulakan semula jualan dolar AS,” katanya.

Seorang lagi peniaga berkata sentimen terhadap ringgit akan didorong oleh peningkatan eksport yang dicatatkan pada Jun, 2020.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam sorotan bulanannya pada Selasa mengumumkan bahawa eksport Malaysia meningkat semula dengan pertumbuhan sebanyak 8.8 peratus pada Jun tahun ini selepas menguncup 25.5 peratus pada Mei, 2020.

Menurut bank pusat itu, eksport dijangka beransur-ansur meningkat pada separuh kedua tahun 2020 susulan permintaan luaran yang bertambah baik berikutan pelonggaran langkah-langkah pembendungan yang dilaksanakan di kebanyakan negara.

Bagi asas Khamis hingga Jumaat, ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada 4.2380/2420 daripada 4.2620/2660 pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan rendah berbanding kelompok mata wang utama lainnya.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0806/0849 pada Khamis daripada 3.0764/0797 pada Jumaat minggu lepas dan turun berbanding yen Jepun kepada 4.0350/0400 daripada 4.0068/0117.

Mata wang tempatan susut berbanding pound Britain kepada 5.5102/5176 daripada 5.4268/4336 dan rendah berbanding euro kepada 4.9826/9882 daripada 4.9426/9481 sebelumnya.

Pasaran tempatan ditutup pada Jumaat bersempena cuti umum Aidiladha.

-BERNAMA