Categories
AGENDA NASIONAL

Video tiba-tiba tular, peniaga risau nasi dagang tidak cukup

SHAH ALAM, 11 JAN: Seorang peniaga nasi dagang ikan aya atau ikan tongkol tidak menyangka video dokumentari berdurasi 10 minit memaparkan kisah perniagaannya yang tular menerusi Facebook beberapa hari lepas menjadikan nasi dagangnya yang dijual menggunakan motosikal roda tiga ‘diserbu’ peminat juadah tradisional negeri Terengganu itu.

Muhammad Khairul Nizam Mamat, 43, berkata hal itu disedarinya sejak Jumaat lepas apabila melihat orang ramai beratur panjang kira-kira 100 meter seawal 6 pagi di kawasan Persiaran Alam Perdana, Bandar Puncak Alam untuk mendapatkan juadah berkenaan walaupun perniagaannya mula beroperasi sekitar 7 pagi.

“Saya terkejut pada pagi itu (Jumaat), tiba-tiba orang ramai datang dan siap beratur tunggu saya yang baru nak pasang payung dan sebagainya. Masuk 7.30 pagi ke atas, orang semakin ramai beratur. Saya memang cemas sebab risau makanan tidak cukup memandangkan orang beratur panjang dan lama untuk dapatkan makanan.

“Bila semak balik, rupanya video dokumentari sebuah produksi yang saya jalani penggambaran sebelum ini tular. Saya terkejut sebab video tersebut asalnya bukan untuk mempromosikan perniagaan saya sebaliknya untuk memaparkan macam mana seseorang yang ‘jatuh’ ketika COVID-19 melanda negara, bangun kembali mulakan kehidupan,” katanya yang ditemui Bernama di sini hari ini.

Muhammad Khairul Nizam yang merupakan anak jati Kampung Tengkawang, Kuala Berang berkata susulan tular, beliau kini perlu menambah sukatan beras basmati untuk menghasilkan nasi dagang tersebut hingga 10 kali ganda sehari berbanding kira-kira lima hingga lapan kilogram sehari ketika mula menceburi perniagaan itu pada November lepas.

“Sekarang kami masak nasi dagang hingga 50 kilogram beras sehari untuk memenuhi permintaan yang tiba-tiba mendadak ini. Disebabkan itu, empat adik lelaki yang menetap di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang serta ibu saya dari kampung datang membantu untuk menghasilkan nasi yang agak banyak sebab saya hanya berniaga seorang diri,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata dalam masa terdekat ini beliau belum menggajikan pekerja kerana masih dibantu adik ketiga, Muhammad Firdaus Mamat, 38, yang turut berniaga nasi dagang di kawasan Seri Kembangan dan adik bongsunya, Muhammad Khairul Aiman, 20.

Menurut Muhammad Khairul Nizam, beliau akan memohon lesen penjaja tepi jalan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam masa terdekat dan jika nasi dagangnya terus mendapat sambutan menggalakkan, beliau bercadang membuka dua lagi gerai di Selangor dengan satu daripadanya di Puchong yang akan diusahakan seorang adiknya.

Ditanya mengapa jualan nasi dagang menjadi pilihannya, Muhammad Khairul Nizam berkata kesukaran untuk mendapatkan juadah yang asli seperti didapati di kampung halamannya antara sebab beliau berniaga selain turut menjual nasi lemak ikan tongkol.

Katanya proses penyediaan dan memasak nasi yang agak kompleks antara sebab nasi dagang Terengganu sukar didapati malah bahan untuk menghasilkan kari ikan tongkol juga kebanyakannya terdapat di negeri itu.

“Itu antara sebab saya pilih juadah ini (nasi dagang) untuk dijual di sini. Memang majoriti pembeli juga dari pantai timur Semenanjung khususnya Terengganu. Ramai yang kata (respons) bila makan teringat pada kampung. Alhamdulillah orang suka.

“Tidak kurang juga kecaman sebab apabila tular, orang meletakkan harapan yang tinggi pada masakan kita tetapi kita boleh belajar daripada teguran dan cuba baiki mana yang kurang,” katanya yang pernah bekerja sebagai cef di sebuah hotel lima bintang di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Muhammad Khairul Nizam berkata hanya ‘bermodalkan’ masakan juadah tradisional kampung halamannya dan sebuah motosikal roda tiga bukan penghalang untuk beliau berniaga.

Jelasnya ia dibuktikan oleh Muhammad Firdaus yang terlebih dahulu menggunakan resipi nasi dagang ibunya untuk berniaga di sekitar Seri Kembangan sejak enam tahun lepas dan sehingga kini masih mendapat permintaan pelanggan.

“Adik saya adalah idola dan menguatkan semangat saya untuk berniaga bermula dari bawah. Memang ada yang memperlekeh bila saya putuskan untuk berhenti kerja dan menjual nasi dagang. Alhamdulillah, yang penting keluarga terutama adik-adik sokong apa yang saya buat walaupun kami jauh dari kampung halaman,” katanya yang merupakan anak sulung daripada sembilan beradik.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis kesan sekumpulan lelaki didakwa pukul warga asing

KUALA LUMPUR 4 MEI: Polis sedang mengesan sekumpulan lelaki yang didakwa memukul seorang lelaki warga asing dalam kejadian di kawasan kaki lima Jalan Alam Jaya 19, Taman Alam Jaya, Batu 9 Cheras, Kajang, yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata kejadian itu dipercayai berlaku pada kira-kira 2.30 petang dan dirakam dalam sebuah video yang berdurasi selama seminit 21 saat.

Katanya, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah melihat video yang tular ini dan melakukan siasatan ekoran dipercayai tempat kejadian merupakan kawasan di bawah pentadbiran IPD Kajang.

“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kejadian yang tular ini melibatkan mangsa seorang lelaki dipercayai warga asing yang dipukul sekumpulan lelaki tempatan dikenali dengan nama Yusuf Azmi, Abang Ali dan beberapa orang pengikutnya yang belum dikenal pasti.

“Kejadian yang tular ini jelas merupakan satu kekerasan jenayah yang boleh disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan ia mengganggu-gugat serta mendatangkan kekacauan terhadap ketenteraman awam kerana berlaku di kawasan awam yang terbuka,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Beliau berkata, penelitian ke atas video itu juga mendapati, kumpulan lelaki tempatan berkenaan telah melanggar beberapa tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berkumpul serta tidak menjaga penjarakan fizikal.

“Berdasarkan video yang tular ini, kes telah diklasifikasi di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan, bolehlah dihukum penjara dua tahun atau dikenakan denda ataupun kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau menambah, bagi kesalahan melanggar SOP PKPB, kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seskyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Mohd Zaid berkata mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian ini boleh berhubung dengan mana-mana balai polis terdekat atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes, ASP Mohd Radzee Jamudi, di talian 019-665 5811.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis nafi anggota meninggal kerana komplikasi vaksin

IPOH, 4 APRIL: Polis menafikan maklumat tular yang mendakwa seorang anggota daripada Balai Polis Gerik meninggal dunia selepas dimasukkan ke unit kecemasan hospital daerah itu akibat pengambilan dos kedua vaksin Covid-19.

Sebaliknya kata Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid, anggota berpangkat koperal itu sedang dirawat di Hospital Taiping dan disahkan mengalami masalah jantung tersumbat.

“Anggota terbabit berada dalam keadaan sedar sepenuhnya dan stabil serta akan dirujuk ke Institut Jantung Negara dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun media sosial yang berkenaan kerana menyebarkan berita palsu mengenai kematian warga Polis Diraja Malaysia akibat penerimaan vaksin Covid-19 serta mendatangkan kegusaran kepada masyarakat untuk menerima suntikan tersebut.

“Keluarga mangsa juga menerima kesan akibat sikap yang tidak bertanggungjawab ini. Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan tanpa merujuk kepada pihak yang bertanggungjawab terhadap kesahihan maklumat yang tular,” katanya.

Terdahulu, tular satu maklumat palsu mengenai kematian seorang anggota polis di Gerik akibat pengambilan vaksin Covid-19. Berita palsu itu dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Junaidah June.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

‘Musim Sakura’ warnai Kuala Lumpur bagai di Jepun, Korea Selatan

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Indah dan mempesona, ibarat menikmati musim bunga di Jepun dan Korea Selatan.

Inilah suasana dialami sekitar ibu kota kini. Landskap di sekitar ibu kota antaranya di Jalan Sentul menghala ke Batu Caves dan susur keluar Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sekelip mata berubah apabila pokok tekoma mula mekar dengan mengeluarkan bunga berwarna merah jambu putih sejak minggu lepas.

Fenomena yang jarang-jarang berlaku itu bukan sahaja mewarnai pemandangan jalan dan kawasan sekitar bahkan menjadi tarikan masyarakat berswafoto dan membidik gambar kenangan untuk dimuatkan dalam media sosial.

Seorang pengunjung yang ditemui Bernama, Kasim Awang, 57, berkata dia dan keluarga mengambil peluang bergambar memandangkan panorama indah seperti itu jarang berlaku dan tidak bertahan lama kerana bunganya akan layu dan luruh.

Mekarnya bunga pokok Tecoma bukan sahaja mewarnai pemandangan jalan raya dan kawasan sekitarnya, malah menjadi tarikan golongan pecinta alam berswafoto dan merakam gambar kenangan untuk dimuatkan ke dalam media sosial. Foto: BERNAMA

“Saya dari Jertih, Terengganu kebetulan ke Kuala Lumpur kerana mahu menghantar anak ke UIAM, jadi kami berhentikan kereta ambil peluang bergambar bersama,” katanya.

Seorang lagi pengunjung Helmi Abd Hamid, 45 dari Sungai Buloh berkata beliau mengambil kesempatan melakukan sesi fotografi dengan menjadikan kawasan itu sebagai latar belakang dalam mempromosikan produknya.

“Tempat menarik seperti ini mejadi lokasi pilihan kepada mana-mana jurugambar atau mereka yang mahu ‘showcase’ produk perniagaan, kerana ia dapat menarik lebih ramai audiens apabila gambar ini dimuat naik dalam media sosial seperti Instagram,” katanya.

Setiap tahun pada musim panas atau kemarau pokok-pokok Tecoma akan mengeluarkan bunga warna putih dan merah muda di beberapa kawasan di Kuala Lumpur. Foto: BERNAMA

Sebelum ini, tular di laman Facebook, Asal Gombak yang memaparkan kecantikan pokok tekoma atau nama saintifiknya Tabebuia Rosea sehingga mendapat hampir 3,000 tanda suka (like) dan dikongsi hampir 2,000 pengguna laman tersebut.

“Bolehlah Kementerian Pelancongan promosi kepada orang luar (pelancong) bila Covid-19 reda nanti. Musim ‘Sakura’ di Malaysia hujung Mac setiap tahun. Pilihan lebih murah dan hangat dari Jepun,” tulis Muhammad Sidqi Muhammad Naim dalam ruangan komen di laman tersebut.

Seorang lagi warga maya Muhamad Zulfika mengesyorkan agar tanaman berkenaan diperluaskan di lebih banyak kawasan.

“Kan cantik tu, aku rasa baik Malaysia tanam pokok ini banyak-banyak, buat satu taman khas, mana tau akan jadi tarikan dunia, memang cantik,” tulisnya.

Bunga “Sakura Malaysia” mekar berkembang. Mekarnya bunga pokok Tecoma memberi suasana seolah-olah kita akan berada di Jepun yang terkenal dengan bunga sakuranya. Foto: BERNAMA

Sementara itu, Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Penyelidikan Hortikultur Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Sakinah Idris berkata lazimnya bunga yang sering dijadikan hiasan landskap tersebut akan mula mekar selepas musim kemarau yang disusuli musim hujan.

“Biasanya bunga ini akan mekar dua kali setahun iaitu sekitar hujung Mac hingga awal April dan hujung Ogos sehingga awal September, namun ia bergantung pada tempoh musim panas dan hujan,” katanya,

Sakinah yang pernah membuat kajian berkaitan tumbuhan berasal dari Amerika Tengah dan benua Amerika Selatan itu turut senada dengan pandangan masyarakat untuk memanfaatkan keindahan musim tersebut sebagai produk pelancongan.

“Kalau di negeri utara seperti Kedah memang suasananya lagi cantik memandangkan cuaca kemarau yang lebih nyata dan lama, tapi di negeri lain seperti Kuala Lumpur juga kalau boleh diperbanyakkan bagi menarik minat pelancong,” katanya.

– BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Ketahui hak anda jika berlaku gangguan seksual

Oleh Jeiilnyly Masal

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Apa hak anda sebagai orang awam sekiranya polis menghentikan kenderaan anda ketika sekatan jalan raya?

“Jika seseorang itu tiada lesen tetapi mempunyai kad pengenalan, saman boleh dikeluarkan tetapi bukan untuk ditahan kerana ia bukan kesalahan yang membolehkan kita ditangkap atau diminta nombor telefon peribadi,” jelas Pensyarah Fakulti Undang- Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian yang sedang tular di media sosial apabila seorang pengguna Twitter mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang anggota polis ketika sekatan jalan raya di Jalan Duta pada 12 Februari.

Berdasarkan bebenang di akaun Twitter pengguna tersebut, beliau mendakwa polis bertugas menuduhnya tidak memakai pakaian dalam serta mengancam akan mengeluarkan saman kecuali jika beliau membuktikan sebaliknya.

“Selepas itu dia berkeras untuk bertukar nombor telefon dengan saya walaupun saya telah memberitahu yang saya tidak selesa,” jelas pengguna Twitter itu lagi.

Berhadapan Situasi Gangguan Seksual

Lebih daripada 300 sekatan jalan raya dilaksanakan di seluruh negara ketika pusingan kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini, namun ramai yang masih belum jelas mengenai hak mereka ketika berdepan situasi seperti ini.

Sekatan jalan raya dilakukan oleh anggota polis dan tentera di laluan keluar masuk Plaza Tol Bukit Jelutong, Shah Alam pada 16 Januari 2021, hari keempat Perintah Kawalan Pergerakan. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Ingat di mana ia berlaku, nama atau nombor di uniform dan segera buat laporan polis. Dalam apa juga keadaan kaum wanita mesti sentiasa berhati-hati dan beringat bahawa gangguan seksual boleh berlaku di mana-mana tanpa mengira jawatan atau kerja,” kata Noor Aziah yang juga Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Jika polis mengugut untuk menangkap dan meminta “bayaran” dalam bentuk seksual (raba, sentuh, pandang), ia adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 509 atau Seksyen 354 dan boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Tampil Buat Laporan Polis

Noor Aziah juga menggesa mangsa tampil membuat laporan polis sekiranya berlaku sebarang salah laku termasuk yang melibatkan gangguan seksual oleh agensi penguatkuasaan ketika melaksanakan sekatan jalan raya semasa PKP.

Jelas beliau lagi, polis mempunyai tatacara operasi prosedur (SOP) apabila melakukan sekatan jalan raya ketika PKP.

“Polis diberi kuasa untuk menahan pemandu, mereka boleh bertanyakan destinasi (ketika tempoh PKP) dan sama ada merentas daerah atau negeri. Mereka juga dibenarkan untuk meminta lesen dan kad pengenalan untuk pemeriksaan.

Anggota polis dan tentera memeriksa penunggang motosikal yang melalui sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di Jalan Kuching pada 14 Oktober 2020. Foto BERNAMA

“Sekiranya merentas daerah, perlu ada surat kebenaran polis balai berdekatan rumah dan mereka boleh arahkan untuk berpatah-balik sekiranya kita tiada surat tersebut,” katanya.

Noor Aziah juga mengingatkan agar semua agar sentiasa cakna hak dan keselamatan diri.

“Sebagai manusia dan rakyat Malaysia, kita ada hak asasi untuk hidup selamat. Pihak berkuasa seperti polis perlu menghormati hak itu,” katanya.

Walaubagaimana pun, tindakan pengguna Twitter tersebut menularkan kejadian ini di media sosial kurang wajar serta tidak melalui saluran yang betul.

“Berdasarkan undang-undang, sesiapa yang membuat aduan perlu diberi peluang didengar bagi mempertahankan diri dan jika tidak benar mereka boleh didakwa kerana membuat berita palsu.

“Tiada suatu kuasa yang tanpa had. Semuanya jelas diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 5 – hak untuk hidup dan kebebasan diri ) dan dalam menjalankan tugas perlu berlandaskan undang-undang dan etika kerja serta SOP yang ada,” tambahnya lagi.

– BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis nafi jalan masuk ke Petaling Jaya ditutup

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Polis menafikan laluan keluar dan masuk ke Petaling Jaya, Selangor di beberapa lokasi ditutup kepada lalu lintas seperti yang tular di laman sosial Facebook sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata polis hanya melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) di tiga lokasi di daerah berkenaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 14 hingga 27 Oktober ini.

“SJR didirikan di plaza tol Subang, plaza tol Sungai Buloh dan plaza tol Damansara membabitkan laluan keluar dan masuk, dari dan ke Petaling Jaya.

“Gambar yang dimuat naik ke laman Facebook berkenaan diambil dari akaun Facebook kami namun ia tidak memuat naik status menyatakan ia adalah SJR dan bukan penutupan jalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Status yang tular dan mendapat lebih 1,000 perkongsian itu mendakwa semua laluan masuk dan keluar ke Petaling Jaya melalui Damansara, Ara Damansara, Subang, Sungai Buloh, Kota Damansara dan Lebuh Raya Pantai Baru (NPE) ditutup kecuali bagi yang mempunyai permit polis atau surat majikan.

Nik Ezanee berkata orang ramai dinasihatkan terus mematuhi PKPB agar rantaian wabak Covid-19 yang belum menunjukkan penurunan jumlah kes dapat diputuskan dan memperlahankan kenderaan di SJR demi keselamatan petugas dan pengguna jalan raya lain.

“Orang ramai juga diminta mematuhi jumlah individu di dalam kenderaan seperti yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis nafi isu tular isteri anggota positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Polis menafikan mesej tular di media sosial berkenaan laporan isteri kepada seorang anggota dari Balai Polis Selayang, positif Covid-19, sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata laporan keputusan saringan awal wanita itu adalah tidak tepat dan belum disahkan.

“Disahkan bahawa keputusan saringan keduanya telah diperolehi pada kira-kira pukul empat petang ini dan didapati negatif,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut beliau, pihaknya ingin menasihatkan orang ramai agar tidak berkongsi fakta laporan yang tidak benar yang diterima dalam media sosial.

“Ini boleh menimbulkan kegusaran orang ramai dan tekanan kepada pesakit serta keluarga mangsa yang terlibat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis: Insiden pukul penyokong bukan di stadium

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Siasatan awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan video tular yang menunjukkan beberapa warga Indonesia dipukul dipercayai tidak berlaku di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, lokasi perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Indonesia baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata setakat ini, PDRM menerima satu laporan polis yang menggesa kesahihan video berkenaan disiasat dan siasatan sedang dibuat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Penyebaran video berkenaan dipercayai dibuat dengan niat untuk memburukkan reputasi Malaysia serta menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia.

“Penyebaran video itu juga dilihat mempunyai agenda untuk memudaratkan keselamatan rakyat negara ini yang berada di Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, satu video berdurasi kira-kira 48 saat tular di media sosial memaparkan beberapa individu dipercayai warga Indonesia dicederakan oleh beberapa warga Malaysia, yang didakwa ada kaitan dengan perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa lalu.

Semalam, Pejabat Menteri Belia dan Sukan membuat laporan polis bagi menyiasat kesahihan video terbabit.

Mengulas lanjut, Huzir berkata PDRM dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sedang membuat siasatan terperinci berkenaan video itu.

“Bagi memastikan siasatan kes ini dapat dilakukan dengan secara menyeluruh, PDRM menggesa individu yang menjadi mangsa sebagaimana dipaparkan dalam video itu untuk tampil membuat laporan polis.

“Mana-mana individu yang menjadi saksi atau mempunyai maklumat berkenaan insiden itu juga diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

Huzir menasihatkan orang ramai untuk tidak menyebarkan video itu kerana dikhuatiri mampu mencetuskan kemarahan masyarakat di negara ini mahupun masyarakat Indonesia.

“Keamanan dan hubungan baik antara kedua-dua negara tidak sewajarnya dicalarkan dengan penyebaran video yang tidak diketahui kesahihannya ini,” katanya.

-BERNAMA