Categories
SELANGOR

Kekalahan Mukhriz bukti ahli Umno tolak Tun Dr Mahathir

mukhriz umnoSHAH ALAM 22 OKT : Kekalahan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir, merebut jawatan Naib Presiden Umno disifatkan bukti jelas penolakan ahli parti itu terhadap pengaruh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Koordinator Jingga 13, Fariz Musa, berkata kegagalan Mukhriz memenangi jawatan di peringkat tertinggi Umno itu memberi isyarat bahawa wujud di kalangan ahli parti tidak senang dengan pengaruh bapanya.

Katanya, kredibiliti Mukhriz masih diragui ahli Umno kerana beliau tidak merasai ujian seperti yang dihadapi Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, yang pernah cuba diusir Mahathir ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.

“Kita lihat majoriti ahli Umno menolak Mukhriz dan secara tidak langsung menolak Tun Mahathir. Hal ini memperlihatkan pengaruh Tun Mahathir sudah tidak mendapat tempat di kalangan ahli walaupun jasa beliau cukup besar untuk Umno.

“Mukhriz masih belum teruji dengan sebarang bentuk situasi dan membuktikan beliau masih diragui oleh ahli Umno. Selain itu, kita nampak kekuatan Tun Mahathir sebelum ini tidak lagi mampu memberi keyakinan kepada ahli untuk memilih anaknya memegang jawatan di peringkat tertinggi parti,” katanya ketika dihubungi Tv Selangor, di sini, hari ini.

Pada pemilihan tertinggi Umno baru-baru ini, ahli Umno sebulat suara mengekalkan penyandang  jawatan Naib Presiden iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Sementara itu, Fariz berpandangan pertembungan ‘battle of proxy’ di antara dua pemimpin muda Umno itu akan berterusan untuk tempoh yang panjang kerana sudah pasti Mukhriz tidak mahu ketinggalan bersaing dengan Menteri Belia dan Sukan itu.

Katanya, pertembungan antara dua pemimpin muda itu akan menyebabkan perpecahan yang berlaku dalam Umno menjadi semakin besar dan parah.

“Pertembungan ini akan terus berlaku dan akan menjadi bibit perpecahan di dalam Umno. Tidak ada tokoh hebat yang mampu membawa parti itu ke arah yang lebih baik daripada senarai pimpinan yang dipilih dalam keseluruhan pemilihan Umno kali ini,” katanya lagi.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL SELANGOR

Minyak : Najib ulangi sejarah kejatuhan Pak Lah

najib minyakSHAH ALAM, 4 Sept: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di lihat sedang menyusuri kejatuhan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang tidak peka dengan penderitaan rakyat berikutan kenaikan harga minyak semalam.

SAMM Kelantan berharap pakatan rakyat menggunakan sepenuhnya kesempatan bagi memastikan penderitaan rakyat dibawah rejim BN untuk menghidupkan kesedaran rakyat secara bersepadu.

Ikuti kenyatan penuh tersebut.

Minyak dan Minyak Naik

Antara sebab utama kejatuhan kerajaan Pak Lah ialah menaikkan harga minyak. Pak Lah dilihat lemah bila beliau yang sering digambarkan selalu tidur tidak dapat berbuat sesuatu dalam membendung kenaikan harga minyak ini. Rakyat bangkit dan membenamkannya dengan menafikan majoriti 2/3.

Sejarah ini haruslah menjadi ikhtibar yang berguna kepada Najib atau Najib memang mahu ke lubang yang sama dengan Pak Lah. Dari segi politiknya Muhyiddin sudah boleh mula membayangkan memakai baju melayu hitam untuk mengangkat sumpah sebagai PM yang baru. Namun Muhyiddin perlu lebih efisien mengorak langkahnya agar tidak tersunggkur sebelum Najib benar benar rebah.

Mahathir berjaya mengekalkan kerajaannya kerana hampir keseluruhan zamannya minyak hanya naik pada kadar yang sangat minimun. Zaman emas inilah di mana Anwar sebagai menteri kewangan. Mereka berdua sama sama menegakkan yang kebaikan ekonomi waktu itu angkara masing masing. Takpa lah sapa yang bertanggungjawab asalkan rakyat yang memperolehi keuntungan.

Bagi pihak pakatan rakyat pula, inilah waktunya. Anwar yang pada waktu ini sudah agak sejuk perlu memasang kembali enjin PM nya. INILAH masa yang agak sesuai untuk menghentam kerajaan Najib dan menyediakan laluan kepada pemimpin pelapis selepasnya. Anwar sudah tidak releven untuk jawatan PM lagi jika PRU berlaku dalam tempoh empat tahun lagi. Oleh itu Anwar perlu berjiwa besar menyediakan tapak ke arah itu.

Pas sendiri perlu sedikit kuasa untuk menguasai pakatan. Kuasa itu mungkin hanya akan bangkit selepas muktamar ini.

Ngo dan aktivis juga boleh memulakan sesuatu. Mungkin BERSIH ialah antara wadah yang paling berjaya setakat ini dalam menghimpunkan manusia. Namun dalam masa yang dekat ini satu Ngo yang berkaitan kenaikan harga minyak dan barangan perlu di lahirkan dan digagahkan.

Isu kenaikam ini agak menyentuh kesemua pihak. Ianya baru bermula semalam. Kenaikan harga minyak ini mengundang kepada kenaikan barangan, tiket atau tambang dan serba perkara lagi. Kenaikan yang tidak seimbang dengan kenaikan gaji ini bisa menjadikan rakyat lebih payah dan sakit. Hanya manusia yang payah dan sakit mampu melawan.

Ayuh mulakan langkah masing masing ! Perlawanan baru bermula

Haji Joe Osama
Penyelaras SAMM Kelantan

Categories
NASIONAL

Kerajaan Belanja RM 44.07 Juta Tampung Kos Lawatan Najib ke Luar Negara

najib mugshot interview 01

KUALA LUMPUR, 17 JUL : Kerajaan Malaysia dilaporkan telah membelanjakan kira-kira RM 44.07 juta dalam tempoh lima tahun untuk menampung kos lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke luar negara dari Mac 2008 hingga Mei tahun ini.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam jawapan bertulisnya kepada Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas perkara itu, Kor Ming berkata, perbelanjaan itu menunjukkan bahawa Najib membelanjakan lebih RM 8 juta setahun dan RM 734,000 sebulan untuk menampung kos lawatannya ke luar negara.

“Saya ingin tanya kepada Perdana Menteri, apakah yang beliau berjaya capai untuk negara selepas berbelanja sebanyak itu?

“Dengan perbelanjaan melampau begini, Kerajaan akan mengalami defisit sebanyak RM 55.3 bilion tahun ini,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Katanya lagi, perbelanjaan Najib ini jauh berbeza dengan kos lawatan ke luar negara oleh mantan Perdana Menteri sebelum ini iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Jelasnya, sewaktu Abdullah menjadi Perdana Menteri, beliau hanya membelanjakan kurang RM 30 juta dalam tempoh lima tahun.

“Apakah hasil daripada lawatan ke luar negara itu? Perdana Menteri perlu perjelaskan perkara ini,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Pakatan Akan Bawa Usul Penubuhan IPCMC Dalam Parlimen

kitsiang anwar mustafa 01

PETALING JAYA 3 JUN : Pakatan Rakyat (PR) akan mengemukakan usul penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) ketika persidangan Parlimen diadakan pada 24 Jun nanti.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Pakatan berharap usul tersebut akan mendapat sokongan Ahli Parlimen Barisan Nasional, yang sebahagiannya didakwa menyokong cadangan itu.

Ini kerana suruhajaya tersebut yang pernah dicadangkan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, penting menangani kes salahlaku anggota polis seperti kematian di dalam tahanan.

Beliau menjelaskan Pakatan telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi tujuan itu yang dianggotai dua Ahli Parlimen dari setiap parti gagasan itu.

“Kita memerlukan sokongan majoriti mudah di Parlimen iaitu 112 bagi kelulusan suruhanjaya bebas ini. Kita sudah ada 89 Ahli Parlimen dari PR maka kita perlukan sekurang-kurangnya 23 lagi untuk tujuan ini.

“Kita harap enam Ahli Parlimen PR dalam jawatankuasa akan berusaha mendapatkan sokongan Ahli Parlimen BN bagi penubuhan IPCMC,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Lim berkata, maklumat diperoleh menyatakan parti komponen BN seperti MIC dan MCA turut menyokong cadangan penubuhan IPCMC itu.

Menurutnya, Ahli Parlimen BN yang prihatin dalam perkara itu perlu menyatakan sokongan supaya insiden kematian dalam lokap tidak berulang lagi.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melahirkan rasa kesal dengan kematian yang berlaku dalam lokap dengan yang terakhir melibatkan mangsa, N Dharmendran, 32.

“Ini kita bantah sekeras-kerasnya kerana berulang kali berlaku sudah dibantah sejak kes Kugan tetapi masih berterusan berlaku.

“Oleh demikian gesaan kita mengenai IPCMC diteruskan … Pada masa sama kita mahu Menteri Dalam Negeri jangan bagi alasan … Tetapi siasatan yang telus dan tindakan segera untuk menghentikan segala bentuk jenayah terhadap orang yang dituduh,” ujarnya.

Dharmendran ditahan di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur apabila beliau hadir membuat laporan tetang kejadian tembak-menembak di Bandar Tun Razak pada 11 Mei lalu.

Peguam keluarga mangsa, N Surendran mendakwa laporan bedah siasat pakar perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur, merumuskan bahawa Dharmendran mati selepas dipukul objek tumpul secara berterusan.

Categories
SELANGOR

Segerakan Tubuh IPCMC Tangani Salahlaku Polis

SHAH ALAM,17 NOV : Kerajaan Pusat terus didesak untuk menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi menangani masalah salahlaku anggota polis.

Ianya perlu ditubuhkan kerana kepercayaan terhadap pasukan polis semakin terhakis ekoran beberapa insiden yang mencemar imej professionalisme anggota polis.

Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke berkata, Suruhanjaya itu perlu untuk mendisiplinkan anggota polis kerana ada anggotanya yang menyalahgunakan kuasa yang memerlukan tindakan khusus bagi menangani masalah itu.

“Jadi perlu ada satu badan yang bebas untuk mengawal tindak tanduk anggota polis supaya tidak membatasi undang-undang dan juga perkara yang memalukan,” ujar Anthony ketika dihubungi TVSelangor.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian tiga anggota polis yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas seorang wanita warga Indonesia di Berek Balai Polis Perai baru-baru ini.

Jelas beliau, akibat tiada sistem untuk memantau tingkahlaku polis itu maka kejadian sedemikian dikhuatiri akan terus menjejaskan imej pasukan polis di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Maka perlu ada kehendak politik yang tinggi bagi memastikan wujudnya IPCMC itu,” katanya.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat (PR) komited untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas berkenaan jika berjaya dalam Pilihanraya Umum Ke-13 ini.

“Jika kita berjaya ke Putrajaya, kita akan menyiasat bagaimana agensi-agensi kerajaan dapat dipertingkatkan dan professionalisme badan-badan penguatkuasa dapat ditentukan,” katanya.

Sebelum ini,Penubuhan IPCMC dicadangkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi (bekas Perdana Menteri kelima) pada 29 Disember 2004 ketika merasmikan Persidangan Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis, Komander Briged Pasukan Gerakan Am dan Komandan di Putrajaya.

Bagaimanapun, ketika majoriti pendapat menyokong cadangan penubuhan IPCMC oleh suruhanjaya itu, polis dan ahli-ahli Parlimen Umno menentang penubuhan IPCMC.