Categories
NASIONAL

PM pertahan permisahan kuasa eksekutif dan legislatif

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUTRAJAYA, 21 MEI: Pentadbiran Putrajaya kekal mempertahankan prinsip pemisahan kuasa eksekutif, legislatif, dan kehakiman, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, prinsip itu selaras keperluan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi tanpa wujudnya campur tangan kerajaan pentadbir, dalam institusi berkenaan.

“Pemisahan ini amat penting. Jika tiada keseimbangan dalam perkara ini, maka akan berlaku sesuatu tidak baik seperti isu yang tidak boleh dihalang dan dibentang.

“Ini sesuatu yang perlu kita ingat bahawa pentadbir menjadi tangan yang terkuat dalam melaksana urusan untuk membangunkan negara.

“Justeru, pentadbir perlu menjadi pentadbir yang baik dan tidak terpesong. Saya yakin, rakyat amat tahu bahawa penjawat awam perlu akur terhadap sistem demokrasi ini.

“Jika tiada pemisahan kuasa ini, maka akan ada satu pihak menguasai tiga bidang kuasa ini, manakala satu pihak itu tidak lagi boleh ditegur walaupun bertentangan dengan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertemuan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Putra, Bangunan Perdana Putra, pagi ini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Terdahulu, ia adalah pertemuan kali pertama Tun Dr Mahathir dengan kakitangan JPM selepas dilantik semula menerajui kepimpinan tertinggi negara.

Terdahulu, Tun Dr Mahathir yang tiba tepat jam 8.25 pagi disambut tepukan gemuruh lebih 500 kakitangan JPM.

Pada masa sama, Tun Dr Mahathir berkata, pentadbiran Kerajaan Malaysia optimis dapat mengembalikan kegemilangan pentadbiran negara.

“Kita menghadapi masalah penyelesaian hutang yang meningkat sehingga trilion Ringgit Malaysia. Ini tidak pernah berlaku, di Malaysia.

“Bagaimana hendak menyelesaikan hutang ini bergantung kepada usaha dan daya fikir kita untuk mengatasi masalah ini.

“Untuk itu, kita perlukan pembabitan wakil rakyat dan pentadbiran yang tidak melakukan sesuatu perkara bertentangan dengan undang-undang,” katanya.

Categories
NASIONAL

Lagu Patriotik Tun M ‘Keranamu Malaysia’ kembali berkumandang di Putrajaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUTRAJAYA, 21 MEI: Ia bersifat ironi apabila lagu patriotik ‘Keranamu Malaysia’ yang sinonim ketika era kegemilangan Tun Dr Mahathir sebelum ini dimainkan semula selepas beliau kembali mentadbir Putrajaya.

Lagu berkenaan dinyanyikan kumpulan koir Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana Putrajaya pada sesi perjumpaan perdana menteri dan penjawat awam JPM, pagi ini.

Untuk rekod, lagu itu tidak dimainkan ketika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menerajui kepimpinan negara, sebelum ini.

Terdahulu, ia adalah pertemuan kali pertama Tun Dr Mahathir dan kakitangan JPM selepas dilantik semula menerajui kepimpinan tertinggi negara.

Terdahulu, Tun Dr Mahathir yang tiba tepat jam 8.25 pagi disambut tepukan gemuruh lebih 500 kakitangan JPM.

Tun Dr Mahathir dalam ucapannya, menghargai peranan kakitangan awam untuk terus memulihkan imej pentadbiran negara.

Beliau berkata, kerjasama kuat membabitkan semua pentadbir dan kakitangan awam diperlukan bagi meningkatkan imej negara, di mata dunia.

“Menjadi tugas kita untuk pulihkan imej negara supaya ia dipandang tinggi, di seluruh dunia.

“Saya amat kecewa kerana pentadbiran ini dulu yang terbaik, dalam komanwel. Tetapi hari ini, kita tidak lagi dihormati.

“Justeru, menjadi tugas kita semua untuk pulihkan keadaan ini supaya negara akan ditabir dengan baik dan dikenali sebagai sebuah negara membangun,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, imej negara berada pada tahap terendah apabila terus mendapat liputan meluas media antarabangsa berkaitan skandal kewangan, 1Malaysia Development Berhad.

Categories
NASIONAL

Tun Dr Mahathir: Mereka yang salah tetap salah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUTRAJAYA, 21 MEI: Individu yang melakukan kesalahan bertentangan dengan undang-undang tetap dianggap bersalah dan perlu diheret ke muka pengadilan.

Namun, kata Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, kesalahan itu perlu dibicarakan mengikut lunas undang-undang negara.

“Kita harus ingat, yang salah masih salah. Sebarang perbuatan salah perlu diuruskan mengikut undang-undang negara.

“Hanya dengan cara itu sahaja dapat dibersihkan pentadbiran negara. Apabila ia menjadi bersih, maka negara akan dikenali, efisien dan lebih maju.

“Ketika itu, akan pulih imej negara kita,” katanya ketika berucap pada pertemuan perdana menteri dan penjawat awam Jabatan Perdana Menteri, di Dataran Perdana Putrajaya, pagi ini.

Tun Dr Mahathir tidak menamakan individu terbabit yang dikaitkan dengan kes salah laku dan penyelewengan itu.

Bagaimanapun, kenyataan itu dipercayai merujuk kepada siasatan dan serbuan pihak berkuasa terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang digulingkan rakyat, pada pilihan raya lalu.

Najib sebelum ini dikaitkan dengan kes salah laku penyelewengan kewangan syarikat milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad.

Kes berkenaan mendapat liputan meluas media berpengaruh seluruh dunia Najib dilapor bakal berdepan pendakwaan membabitkan kes salah laku berkenaan.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Perdana Menteri umum senarai menteri kabinet

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 18 MEI: Teka teki menteri kabinet akhirnya terjawab apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengadap Yang DiPertuan Agong, Sultan Muhammad V, di Istana Negara, petang tadi.

 

Pada pertemuan itu, Tun Dr Mahathir menyerahkan senarai nama Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Menteri Persekutuan yang baru.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan, pelantikan itu adalah mengikut “Perenggan (b) Fasal (2) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.”

“Tun Dr Mahathir diterima mengadap oleh Yang DiPertuan Agong, pada jam 5 petang tadi.

“Yang DiPertuan Agong sudah memberi perkenan kepada nama yang dicadangkan.

“Istiadat mengangkat sumpah jawatan juga setia serta sumpah rahsia sebagai Menteri Persekutuan akan diadakan pada 21 Mei ini, jam 11.30 pagi, di Istana Negara,” katanya.

Senarai nama yang diserahkan kepada Yang diPertuan Agong :-

Perdana Menteri:
Tun Dr Mahathir Mohamad

Timbalan Perdana Menteri:
Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail

Menteri Dalam Negeri:
Tan Sri Muhyiddin Yassin

Menteri Pendidikan:
Dr Maszlee Malik

Menteri Pembangunan Luar Bandar:
Rina Harun

Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga:
Datuk Seri Dr Wan Azizah binti Wan Ismail

Menteri Hal Ehwal Ekonomi:
Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan:
Zuraida Kamaruddin

Menteri Kewangan:
Lim Guan Eng

Menteri Pengangkutan:
Anthony Loke Siew Fook

Menteri Komunikasi dan Multimedia:
Gobind Singh Deo

Menteri Tenaga Manusia:
Kulasegaran s/o V. Murugeson

Menteri Pertahanan:
Mohamad Sabu

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani:
Salahuddin Ayub

Menteri Kesihatan:
Dr Dzulkefly Ahmad

Categories
NASIONAL

PAKATAN akan bawa perubahan kepada pentadbiran Islam

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 MEI: Pakatan Harapan (HARAPAN) akan membawa perubahan kepada pentadbiran agama Islam di Malaysia seperti terkandung dalam Al-Quran dan hadis sahih.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tekanan itu akan diberi oleh HARAPAN yang kini berjaya membentuk kerajaan, selepas pilihan raya umum lalu.

“Al-Quran adalah panduan utama bagi umat Islam. Panduan yang tidak difahami pula tidak mungkin menjadikan kita umat Islam yang berjaya.

“Umat Islam bukan sahaja akan memanfaatkan bulan puasa dengan melakukan ibadah seperti terawih dan pengajian Al-Quran tetapi perlu berusaha untuk memahami isi bukan sahaja menghafal ayatnya.

“Sementara kita menghafal, maka perlu faham ajaran sebenar agama Islam,” katanya dalam perutusan khas sempena bulan Ramadan menerusi catatan blognya.

Dalam perutusan itu juga, Tun Dr Mahathir menzahirkan rasa syukur kerana keputusan pilihan raya tidak membawa kepada kekacauan seperti di sesetengah negara lain.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan.

“Alhamdulillah. Semua rakyat Malaysia sedar akan tanggungjawab mereka untuk mengekalkan keharmonian serta kestabilan dalam negara.

” Polis dan tentera juga memainkan peranan utama di dalam mengekalkan keselamatan serta ketenteraman ini,” katanya.