Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Mahathir dibenar keluar IJN hari ini, masih perlu pemeriksaan susulan

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada 8.40 pagi tadi.

IJN dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata Dr Mahathir baru-baru ini dimasukkan ke institut itu untuk rawatan perubatan dan dibenarkan keluar hari ini dan beliau akan menjalani pemulihan di rumah.

“Tun Dr Mahathir akan menjalani pemeriksaan susulan bagi meneruskan rawatan perubatannya apabila diperlukan dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mengucapkan terima kasih kepada semua atas keprihatinan dan doa mereka apabila Dr Mahathir dimasukkan ke IJN.

Semalam, media melaporkan Dr Mahathir masih menjalani proses pemulihan di IJN dan dibenarkan pulang pada 2 Feb, tetapi perlu kembali ke institut itu untuk fisioterapi dan rawatan lanjut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kesihatan Dr Mahathir semakin baik

SHAH ALAM, 25 JAN: Kesihatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) bertambah baik.

Anaknya Datin Paduka Marina Mahathir berkata bapanya sudah berselera menjamah makanan dan boleh berseloroh bersama ahli keluarga.

“Beliau meminta orang ramai supaya tidak terlalu bimbang dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan.

“Dr Mahathir akan terus mendapat rawatan di IJN bawah pengawasan pakar tempatan. Buat masa ini IJN tidak membenarkan pelawat selain dari ahli keluarga,” katanya menerusi kenyataan.

Marina berkata mereka sekeluarga terharu dan menghargai doa dari semua pihak.

Dr Mahathir dirawat di Unit Rawatan Koronari (CCU) IJN sejak Khamis lalu. Sebelum ini pada 7 Januari beliau dimasukkan ke institut berkenaan bagi menjalani prosedur perubatan elektif dan dibenar keluar enam hari kemudian.

Pada 16 Disember tahun lalu beliau turut dimasukkan ke IJN untuk pemeriksaan perubatan menyeluruh dan pemantauan lanjut sebelum dibenarkan keluar pada 23 Disember.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tun M: Tetap kriteria lantikan status menteri, elak jadi sogokan

SHAH ALAM, 20 SEPT: Kerajaan harus menetapkan kriteria untuk melantik individu memegang jawatan bertaraf menteri bagi mengelakkannya menjadi sogokan.

Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad berkata amalan itu mendorong sogokan kerana individu terbabit lebih menumpukan kemudahan dinikmati dan bukan tugas diberi kepadanya.

Walaupun mengakui pernah melakukan perkara sama ketika menjadi perdana menteri, beliau menjelaskan pelantikan seorang personaliti sudah bersara dari politik itu dibuat bagi mendapatkan kepakarannya.

“Sepatutnya kita tetapkan kriteria tertentu sebelum melantik seseorang untuk dapat taraf menteri, jika tidak akan jadi sogokan kepada penyokong kerajaan.

“Ini harus ditamatkan dalam reformasi dilaksanakan,” katanya ketika berbahas pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pada 4 September lalu, kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri yang dipersoal Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Ini kerana bekas perdana menteri itu gagal menguruskan negara ketika wabak Covid-19 dari segi kesihatan, ekonomi mahupun pendidikan ketika memegang tampuk pemerintahan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Mahathir: Kuarantin di rumah jangkit ramai orang, segerakan vaksin semua

SHAH ALAM, 27 JULAI: Kuarantin kendiri di rumah bagi pesakit Covid-19 tidak bersesuaian kerana boleh menjangkiti keluarga atau rakan, kata Ahli Parlimen Langkawi.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hal itu kerana sebilangan besar pesakit tersebut mungkin tidak diasing sekali gus akan merebakkan jangkitan kepada orang lain.

“Tahap jangkitan bagi 17,000 pesakit ini tidak sama. Sudah tentu hanya segelintir sahaja akan dirawat dan dimasukkan ke hospital manakala yang kurang serius pula mencecah ribuan kes dan terpaksa kuarantin di rumah.

“Mereka tidak dapat dikuarantin dengan betul, mungkin ada yang tidak diasingkan dan kesudahannya individu serumah pula akan keluar tanpa sedar sebenarnya menyebarkan wabak itu,” katanya menerusi kenyataan di Facebook semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata kes Covid-19 akan berterusan meningkat, malah daripada 17,000 kes baharu hanya 1,000 sahaja dapat dimasukkan ke hospital.

Justeru, beliau menggesa kerajaan mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

“Semakin besar bilangan pesakit yang dikuarantin di rumah, semakin banyak jumlah kes baharu. Oleh itu, satu-satunya jawapan adalah vaksinasi.

“Dos vaksin 500,000 sehari tidak cukup. Vaksinasi percuma ini harus diberikan kepada semua individu dengan kadar segera,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr M: Sidang khas bukan seperti titah Raja-Raja Melayu, Agong

SHAH ALAM, 26 JULAI: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa sidang khas di Dewan Rakyat hari ini bukan sidang yang dititah Raja-Raja Melayu dan Yang diPertuan Agong.

Turut mencadangkan kertas putih dikeluarkan, Ahli parlimen Langkawi menyifatkan sidang itu hanya sesi majlis penerangan kerajaan, bukan perbincangan bagi mengatasi isu pandemik di negara ini.

“Lima hari kita akan dengar menteri jelaskan pelan mereka dan pelan ini sudah tentu tak berkesan. Kita perlu kepada perbahasan berkenaan dengan penderitaan rakyat.

“Penerangan tidak perlu diadakan melainkan dengan cara keluarkan kertas putih,”katanya dalam sidang khas Parlimen hari ini.

Tegas Dr Mahathir, tindakan itu jelas kerajaan tidak hirau titah supaya diadakan sidang Parlimen secepat mungkin sedangkan banyak nyawa telah hilang dan ramai rakyat tertekan akibat pandemik Covid-19.

“Ini yang dihadapi tiap hari, 200 orang akan meninggal. Sampai bila? sampai tunggu 1,000 mati baru kita nak bertindak nak bercakap berkenaan perkara untuk atasi masalah ini?

“Tetapi ini tidak ditumpukan dalam persidangan ini yang bukan sebenarnya sidang dewan Parlimen tapi ia adalah majlis penerangan,”katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr M: Kumpulan Muhyiddin tawar jawatan, wang demi raih sokongan

SHAH ALAM, 16 JUN: Kalangan penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin menawarkan jawatan dan wang bagi menambah sokongan kepada Perikatan Nasional (PN), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga mendakwa mereka yang menolak tawaran berdepan ugutan termasuk digugur dari parti secara tidak sah dan kehilangan pelbagai peruntukan.

“Percayalah mereka yang sanggup menjual diri mereka, mereka yang terima ‘cash is king’ (duit adalah raja), mereka ini akan hancurkan negara bersama orang Melayu,.

“Inilah mereka yang mendirikan kerajaan sekarang,” kata Mahathir dalam catatan bertajuk ‘Kerajaan Muhyiddin’ melalui blognya hari ini. Beliau turut mengucapkan syabas kepada individu yang menolak tawaran sedemikian.

Kebelakangan ini, kerajaan PN pimpinan Muhyiddin melantik ramai pemimpin politik bagi mengisi hampir 40 jawatan pengerusi pelbagai agensi dan syarikat milik kerajaan (GLC), antaranya Kesedar, Majlis Amanah Rakyat, Risda, Felda dan Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Pemimpin politik turut dilantik mengisi jawatan pengerusi Lembaga Pelabuhan Kelang, Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Melaka.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Mahathir: Kerajaan PAKATAN pilihan rakyat yang sah

SHAH ALAM, 2 JUN: Tun Dr Mahathir Mohamad bersama empat lagi pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan kerajaan Pakatan Harapan sebagai pilihan rakyat yang sah.

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka menyeru ahli parti berkenaan supaya tidak tunduk terhadap kerajaan yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kerajaan yang ada sekarang bukan pilihan rakyat. Kerajaan yang sah dan hak adalah Pakatan Harapan. Kembalikanlah mandat rakyat,” kata kenyataan tersebut.

Empat lagi pemimpin yang menandatangani kenyataan ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Rahman, Datuk Amiruddin Hamzah dan Dr Maszlee Malik.

Mereka turut menyeru ahli parti itu supaya tidak membelakangkan sifat mulia semata-mata demi kepentingan diri hingga mengabaikan amanah dan maruah.

“Pegang kuatlah kepada janji kita kepada rakyat dan janganlah salah guna kuasa yang mereka beri kepada kita,” kata mereka menerusi kenyataan tersebut.

Kelima-lima pemimpin juga menegaskan mereka masih ahli dan tidak pernah keluar Bersatu atau menyertai parti lain sekalipun duduk di blok pembangkang pada sidang Parlimen Mei lalu.

Kenyatan itu menyebut mereka memilih berada di blok tersebut kerana tidak menyokong kerajaan pimpinan Muhyiddin yang memungkiri mandat rakyat kepada Pakatan Harapan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan berpolitik ketika Covid-19, ambil alih negeri PAKATAN

SHAH ALAM, 18 MEI: Kerajaan berpolitik ketika wabak Covid-19 melanda tanah air dengan mengambil alih negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PAKATAN), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menukar beberapa kerajaan negeri, terbaru di Kedah.

“Tapi apa yang kita lihat setakat ni, apa yang dilakukan oleh kerajaan lebih merupakan politik daripada pentadbiran menangani masalah Covid-19.

“Kita lihat bahawa kerajaan negeri juga ditukar, walaupun Bersatu masih ada dalam pusat tetapi kerajaan Bersatu di Johor dan Kedah sudah pun ditukar untuk beri kepada satu pihak, bagi pada Umno dan Pas.

“Saya tak tau ini perjuangan Bersatu untuk beri tempat pada parti lain. Di Melaka juga kucar kacir. Setelah itu, Muhyiddin bagi ucapan bahawa dia tak berpolitik,” katanya.

Pada 28 Februari lalu, Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan Johor berikutan pengisytiharan BERSATU keluar PAKATAN, diikuti Melaka pada 9 Mac susulan beberapa wakil rakyat berpaling tadah.

Semalam, Kedah pula jatuh ke tangan PN berikutan dua wakil rakyat KEADILAN lompat parti.

Pada sidang media selepas sidang Dewan Rakyat hari ini, Mahathir juga mengulangi kritikan berikutan tempoh persidangan hanya berlangsung beberapa jam.

Hanya sesi Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijalankan pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen ke-14 tanpa sebarang perbahasan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Perintah kawalan: Aktifkan minda, Tun M ajak rakyat membaca

SHAH ALAM, 26 MAC: Rakyat digalak menghabiskan masa dengan membaca sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan hingga 14 April ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri berusia 94 tahun turut menyarankan rakyat bersenam untuk memastikan anggota badan tidak lemah.

“Gunakan akal fikiran kita sebaiknya, saya juga bersenam tetapi pada masa sama tidak lupa aktifkan akal fikiran melalui pembacaan.

“Saya tidak boleh duduk sahaja tanpa buat apa-apa, sekurang-kurangnya kena ada surat khabar, majalah atau novel. Apabila membaca barulah kita rasa tempoh kawalan pergerakan ini tidak begitu lama,” katanya melalui bual bicara langsung di Instagram, hari ini.

Dalam segmen kendalian selebriti terkenal Neelofa mendapat tontonan lebih 11,000 pengguna, Dr Mahathir juga berkongsi minat terbaharunya membaca buku sejarah Mongolia, yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Malaysia dan mengajak rakyat bersama-sama menghayatinya.

“Jika di sekolah dahulu saya lebih banyak belajar sejarah Eropah, jadi sekarang adalah masa terbaik untuk belajar sejarah negara berkenaan,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tun M jalani kuarantin selepas bertemu ahli parlimen positif Covid-19

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menjalani kuarantin secara bersendirian selepas dilaporkan didampingi seorang anggota parlimen Sarawak yang positif Covid-19.

“Dia berada di bawah kawalan kuarantin sendiri,” kata jurucakapnya hari ini, lapor The Star.

Dipercayai bekas perdana menteri berusia 95 tahun itu bertemu dan mengambil gambar bersama Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen, yang kini dikuarantin di Hospital Umum Sarawak (SGH) selepas disahkan dijangkiti virus tersebut.

Menerusi hantaran di Facebook pada Selasa lalu, Dr Yii berkata perkara itu dialaminya selepas bertemu Ahli Parlimen Sarikei MP Andrew Wong Ling Biu, yang diuji positif Covid-19 pada 2 Mac.

Dalam wawancara eksklusif bersama Buletin Utama TV3, Dr Mahathir berkongsi pengalamannya mengenai tempoh dilalui selama 14 hari dengan penuh disiplin supaya tidak merebak kepada orang lain.

“Sekarang saya berada di rumah sahaja, tidak boleh keluar dan bertemu dengan orang lain, tidak boleh berjabat tangan dan yang lain.

“Bagaimanapun, Alhamdullilah, tidak begitu sukar bagi saya,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tun M harap Muhyiddin teruskan dasar Pakatan

SHAH ALAM, 11 MAC: Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meneruskan dasar-dasar kerajaan Pakatan Harapan (Pakatan) termasuk Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Saya minta kalau boleh Kabinet jangan gugurkan dasar-dasar baik yang telah kita adakan. Umpamanya Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

“Itu dasar yang baik dan orang yang mencipta dasar itu juga ada dalam Kabinet. Jangan gugurkan,” kata perdana menteri ketujuh yang menerajui negara selama 22 bulan, seperti dilapor Sinar Harian.

Pada 9 Mac, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan kerajaan Perikatan Nasional berazam meneruskan WKB2030.

Bekas menteri hal ehwal ekonomi juga menyifatkan wawasan tersebut penting bagi meletakkan negara di landasan pembangunan yang mampan dan inklusif.

WKB 2030 yang dilancarkan pada Oktober lalu menetapkan hala tuju ekonomi negara bagi tempoh 10 tahun bermula 2021 melalui tiga objektif utama iaitu:

– Pembangunan untuk semua.
– Menangani jurang kekayaan dan pendapatan.
– Negara bersatu, makmur dan bermaruah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Mahathir jumpa ahli Parlimen Bersatu di Yayasan Al-Bukhary

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berada di Bangunan Yayasan Al-Bukhary di sini, dipercayai untuk bertemu dengan anggota Parlimen parti berkenaan.

Perdana Menteri interim tiba di pejabatnya pada 9.12 pagi dengan menaiki Mercedes bernombor pendaftaran Rimau 1925, yang dilihat memasuki perkarangan bangunan itu diikuti beberapa kenderaan lain.

Mesyuarat yang difahamkan bermula 10 pagi, antara lain akan membincangkan perkembangan terkini politik negara serta parti termasuk kedudukan Bersatu sama ada akan kembali menyertai semula Pakatan Harapan (Pakatan).

Pada Isnin, Bersatu yang mempunyai 26 wakil rakyat daripada 222 kerusi Parlimen mengumumkan keluar daripada gabungan Pakatan.

Turut menjadi perhatian mengenai Bersatu kemungkinan parti itu menamakan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri baharu.

-BERNAMA