Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Mahathir: Dana negara cukup biaya Pakej Rangsangan Ekonomi

PUTRAJAYA, 28 FEB: Malaysia mempunyai tabungan tinggi di pelbagai insitusi yang boleh dikitarkan bagi menjana aktiviti pelaburan, kata Perdana Menteri interim Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dana terkumpul di institusi perbankan, KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), KWAP (Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)) dan lain-lain lebih RM2 trilion”, katanya pada sidang media selepas mengumumkan pakej ransangan ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion di sini, semalam.

Malaysia antara negara mempunyai tabungan tinggi dengan tabungan kasar lebih kurang 26 peratus, yang boleh dikitar untuk menjana aktiviti ekonomi negara,

Pakej bertemakan “Memperkukuh Keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan” diperkenalkan kerajaan dalam usaha menangani ekonomi susulan penularan Covid-19.

Sehubungan itu, Dr Mahathir menegaskan negara mempunyai wang mencukupi pada masa ini dan akan hanya menerbitkan bon sekiranya wujud keperluan untuk berbuat demikian.

Dalam ucapan beliau, jumlah kadar caruman pekerja di KWSP akan diturunkan dari 11 peratus kepada 7 peratus, bermakna lebih kurang RM10 bilion akan terus ke tangan penyimpan di KWSP untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Mengulas aspek atau kaedah pengagihan pakej ekonomi berikutan ketiadaan Kabinet susulan perkembangan politik tanah air ketika ini, Dr Mahathir berkata usaha itu akan dilaksanakan mengikut prosedur birokratik.

Ditanya sama ada kerajaan masih komited terhadap usaha pengukuhan pasca pakej rangsangan ekonomi itu, beliau berkata : “Ya, kita masih komited.”

Terdahulu, Dr Mahathir berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020 diunjurkan dalam julat 3.2 peratus hingga 4.2 peratus berikutan senario ekonomi global serta impak penularan Covid-19.

“Saya yakin pakej rangsangan tersebut membolehkan ekonomi Malaysia mencapai tahap tertinggi dalam julat itu.

“Dalam merangka pakej tersebut, kerajaan turut mengambil kira kedudukan fiskal negara. Susulan pelaksanaan pakej itu, defisit fiskal dianggarkan meningkat sedikit kepada 3.4 peratus daripada KDNK berbanding sasaran awal 3.2 peratus,” katanya.

Pada 2003, kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan RM8.1 bilion bagi melonjakkan ekonomi yang terjejas akibat penularan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (Sars).

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan percepat projek pelaburan RM21 bilion tangani Covid-19

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan bernilai RM21 bilion melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi awam bagi menangai impak penularan penyakit Covid-19.

Perdana Menteri sementara Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion dengan tema “Memperkukuh Keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan” berkata langkah itu diambil bagi meningkatkan lagi keyakinan masyarakat perniagaan.

Beliau berkata, projek pelaburan untuk 2020 yang akan dipercepatkan termasuk oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) yang akan membuka bidaan jana kuasa tenaga solar 1,400MW.

“Ini akan melibatkan pelaburan swasta bernilai RM5 bilion dan menjana pekerjaan untuk 25,000 pekerja.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan melabur sebanyak RM3 bilion untuk kerja berkaitan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara dan Syarikat Berkaitan Kerajaan seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) merancang untuk melabur sebanyak RM13 bilion termasuk mempercepatkan projek seperti lampu jalan LED, grid transmisi dan pemasangan panel solar bumbung,” kata beliau.

Menurut Dr Mahathir, langkah menggalakkan pelaburan berkualiti itu merupakan strategi ketiga pakej berkenaan yang turut menggariskan menangani impak Covid-19 sebagai strategi pertama manakala usaha memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat sebagai strategi kedua.

Beliau berkata, demi meningkatkan daya saing, kerajaan akan mempromosikan pelaburan sektor swasta dengan nilai tambah lebih tinggi melalui beberapa langkah.

“Pertama, kerajaan memperuntukkan RM500 juta bagi Dana Pelaburan Bersama dengan pelabur swasta pada padanan sekurang-kurangnya 1 nisbah 3 yang akan menjadikan keseluruhannya RM2 billion untuk pelaburan di peringkat awal dan awal pertumbuhan,” katanya.

Kedua, pihak Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia akan mengecualikan bagi tempoh 12 bulan aspek seperti yuran penyenaraian di papan Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) dan di papan Access, Certainty, Efficiency (ACE) serta syarikat yang bermodal pasaran kurang daripada RM500 juta yang mahu tersenarai dalam papan utama.

Langkah ketiga, kata beliau, Bank Negara Malaysia akan menyediakan Kemudahan Automasi dan Pendigitalan PKS bernilai RM300 juta.

“Keempat, kerajaan akan membenarkan Elaun Modal Dipercepatkan selama tempoh dua tahun untuk perbelanjaan ke atas mesin dan kelengkapan, termasuk ICT.

“(Langkah) kelima, kerajaan akan menyediakan potongan cukai ke atas kos pengubahsuaian premis perniagaan sehingga RM300,000 manakala keenam, mengecualikan duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan dan pembelian peralatan untuk operasi pelabuhan bagi tempoh tiga tahun bermula 1 April, 2020,” kata beliau.

Pakej rangsangan ekonomi kali ini merupakan yang kedua diumumkan oleh Dr Mahathir selepas 2003 sewaktu beliau menjadi perdana menteri keempat Malaysia membentangkan pakej ekonomi RM8.1 bilion untuk menangani krisis berkaitan kesihatan global, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Covid-19 mula menular ke seluruh dunia pada pertengahan Januari dan sehingga kini, kira-kira 80,000 orang di peringkat global telah dijangkiti Covid-19 dan meragut lebih 2,800 maut, terutamanya di China.

Walaupun kesan Covid-19 ketika ini adalah terkawal, namun penularannya telah memberi impak besar kepada ekonomi global termasuk Malaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rangsangan ekonomi 2020 mudahkan aliran tunai

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang diperkenalkan hari ini akan membantu aliran tunai dan mengurangkan kos perniagaan bagi syarikat yang terjejas oleh Covid-19, kata Perdana Menteri sementara Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kerajaan mencadangkan bagi tempoh enam bulan mulai April hingga September 2020, penundaan ansuran bulanan cukai pendapatan dibenarkan bagi perniagaan yang terjejas dalam sektor pelancongan.

Katanya syarikat yang terjejas turut dibenarkan menyemak semula anggaran keuntungan tahun 2020 bagi menentukan ansuran bulanan cukai pendapatan tanpa dikenakan penalti.

Perdana Menteri berkata demikian ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bertemakan, ‘Memperkukuh Keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan’ di Putrajaya.

Pengumuman pakej rangsangan ekonomi tersebut menjadi yang kedua bagi Dr Mahathir selepas 2003 apabila beliau sebagai Perdana Menteri keempat Malaysia membentangkan pakej ekonomi RM8.1 bilion untuk menangani krisis berkaitan kesihatan global, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Tindakan kedua dalam agenda memudahkan aliran tunai ialah menyediakan diskaun sementara selama enam bulan sebanyak 15 peratus daripada bil elektrik secara bulanan bagi hotel, agensi pelancongan, syarikat penerbangan, pusat beli belah, pusat konvensyen dan pameran.

Ketiga, mengecualikan levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia bagi hotel dan syarikat pelancongan.

Tindakan keempat ialah mengecualikan cukai perkhidmatan bagi hotel. Bagaimanapun, inisiatif ini akan bermula lebih awal iaitu pada Mac hingga Ogos 2020.

Dr Mahathir berkata kerajaan juga akan menyediakan tabungan pinjaman kewangan kepada syarikat yang terkesan.

Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyediakan Kemudahan Jaminan Bantuan Istimewa berjumlah RM2 bilion, terutamanya pembiayaan modal kerja untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pada kadar 3.75 peratus.

Manakala Bank Simpanan Nasional (BSN) akan memperuntukkan RM200 juta kemudahan mikro kredit pada kadar 4 peratus. Di samping itu, proses kelulusan dana sedia ada di Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) di bawah Tabung Infrastruktur Pelancongan berjumlah RM1.5 bilion akan dipercepatkan.

“Semua bank dikehendaki mengurangkan beban kewangan dalam bentuk penangguhan bayaran atau penjadualan semula pinjaman. BNM akan memantau pelaksanaan dan memastikan pematuhan dalam kalangan institusi kewangan,” kata Dr Mahathir.

Beliau turut menggalakkan pihak industri seperti perhotelan dan pusat beli-belah untuk memainkan peranan dengan menawarkan diskaun dan mengurangkan kadar sewa premis.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan bertindak mengurangkan kadar sewa premis kepada penyewa di lapangan terbang dan juga akan mengurangkan caj pendaratan dan parkir.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Mahathir umum pakej rangsangan ekonomi RM20 bilion

PUTRAJAYA, 27 FEB: Perdana Menteri sementara Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi RM20 bilion bagi memastikan risiko ekonomi berkaitan penularan wabak Covid-19 dapat ditangani dengan berkesan.

Pakej itu mempunyai tiga strategi utama iaitu menangani impak penyakit tersebut, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti, katanya.

Beliau berkata beberapa strategi dan rancangan juga akan dilaksanakan bagi memastikan ekonomi negara di landasan yang mampan.

Pakej Rangsangan Ekonomi itu diumumkan seperti yang dijadualkan walaupun negara menghadapi kemelut politik susulan cubaan mengatur semula landskap politik negara yang mengakibatkan kerajaan pusat Pakatan Harapan hilang kuasa.

Malaysia mencatatkan 22 kes positif Covid-19 dengan 20 individu telah pulih sepenuhnya setakat ini manakala di seluruh dunia kira-kira 80,000 orang telah dijangkiti penyakit itu dengan lebih 2,800 maut direkodkan terutamanya di China.

Dr Mahathir berkata antara impak serta merta terhadap ekonomi akibat penularan Covid-19 di peringkat serantau adalah penurunan kedatangan pelancong serta turut melibatkan hotel, penerbangan, syarikat pelancongan dan industri peruncitan secara meluas.

Bagi menangani keadaan tersebut, kerajaan akan memudahkan aliran tunai bagi perniagaan yang terkesan, bantuan kepada individu yang terjejas dan merangsang permintaan dalam industri pelancongan, katanya.

Beliau memulakan ucapannya dengan mengucap setinggi-tinggi penghargaan kepada petugas di barisan hadapan seperti doktor, jururawat, kakitangan perkhidmatan kesihatan, pegawai imigresen dan pegawai lain yang bertungkus lumus melindungi Malaysia daripada wabak tersebut.

Dr Mahathir berkata sebagai tanda penghargaan kepada mereka, kerajaan akan memberi elaun khas sebanyak RM400 sebulan kepada doktor dan kakitangan perubatan, dan RM200 kepada Imigresen dan kakitangan lain yang terlibat, berkuat kuasa Februari 2020 hingga wabak tersebut berakhir.

Kerajaan akan menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi memastikan wabak itu dapat diuruskan dengan baik dan terkawal dan setakat ini Kementerian Kesihatan telah membelanjakan sebanyak RM150 juta bagi membeli peralatan, ubat, dan barangan guna pakai, katanya.

Bagi merangsang sektor pelancongan, katanya, kerajaan akan memberikan pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik dan rakyat akan diberi baucar digital sehingga RM100 seorang bagi pelancongan domestik untuk penerbangan, kereta api dan penginapan di hotel berlesen.

Beliau berkata kerajaan juga akan menyediakan geran padanan sebanyak RM500 juta untuk mempromosi pelancongan serta melonggarkan arahan untuk mengehadkan penggunaan hotel oleh agensi kerajaan.

Kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikurangkan sebanyak empat peratus iaitu daripada 11 peratus kepada tujuh peratus, bermakna RM10 bilion akan kekal di tangan pencarum berkuat kuasa sehingga akhir tahun ini bagi merangsang permintaan domestik.

Dr Mahathir berkata pembayaran Bantuan Sara Hidup bulan Mei sebanyak RM200 akan diawalkan ke Mac dan setiap penerima akan mendapat tambahan RM100 dikreditkan ke dalam akaun bulan Mei dan seterusnya tambahan RM50 akan disalurkan secara e-tunai.

Untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan mengurangkan kos sara hidup, beliau berkata inisiatif diambil termasuk Bank Negara akan menyediakan RM1 bilion untuk Tabung AgroFood bagi menggalakkan aktiviti pengeluaran makanan bagi memenuhi permintaan domestik dan eksport.

Beliau berkata peruntukan RM10 juta akan diberikan kepada FAMA untuk menyediakan kemudahan simpanan makanan supaya harga makanan dapat dikurangkan.

Pakej itu juga memberi tumpuan terhadap kawasan luar bandar.

Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM2 bilion bagi menyelenggara dan membaiki infrastruktur kecil seluruh negara, terutamanya di luar bandar.

“Kerajaan berharap rakyat terus cekal, berani dan tekun bagi menghadapi cabaran yang dihadapi sekarang dan menjadi lebih mampan dalam melalui episod ini,” katanya.

Ini merupakan kali kedua bagi Dr Mahathir membentangkan pakej rangsangan ekonomi dengan sebelum ini pada 2003 semasa beliau sebagai Perdana Menteri keempat membentangkan pakej ekonomi RM8.1 bilion untuk menangani krisis berkaitan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Mahathir tiba di Istana Negara menghadap Agong

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Perdana Menteri Sementara Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Istana Negara hari ini untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kenderaan rasmi Dr Mahathir dilihat memasuki perkarangan Istana Negara pada 10.57 pagi.

Bernama masih cuba mendapatkan pengesahan berhubung tujuan kehadiran Dr Mahathir di Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong selesai menemu bual ahli-ahli Parlimen secara individu pada Isnin dan Selasa susulan kemelut politik negara berikutan kerajaan Pakatan Harapan (Pakatan) hilang kuasa.

Seri Paduka mahu mendengar sendiri pandangan setiap Ahli Parlimen dalam mencari penyelesaian terhadap kemelut tersebut.

Ini menyaksikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen subur di negara ini apabila Al-Sultan Abdullah menjalankan peranan dalam mendapatkan fakta bagi membantu baginda membuat keputusan lanjut berhubung masalah tersebut.

Dr Mahathir pada Isnin, meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh serta pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan beberapa jam kemudian Seri Paduka melantiknya sebagai Perdana Menteri sementara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit ditutup mengukuh 4.2230/2280 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Ringgit mengakhiri penyusutan nilainya berbanding dolar Amerika Syarikat selama tujuh hari berturut-turut apabila ditutup lebih tinggi hari ini, dipacu oleh peningkatan minat pelabur menjelang pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi 2020, esok.

Pada jam 6 petang, ringgit mengukuh kepada 4.2230/2280 berbanding dolar AS daripada 4.2310/2350 pada Selasa.

Terdahulu, Perdana Menteri Sementara Tun Dr Mahathir Mohamad menulis dalam laman twitternya bahawa beliau telah menghadiri mesyuarat dengan pegawai kanan Kementerian Kewangan berhubung pembentangan pakej tersebut.

Inisiatif itu bertujuan merangsang ekonomi negara dan menampan sebarang kesan akibat penularan Covid-19 dan ketidaktentuan luaran lain.

“Pengumuman (pakej rangsangan) itu akan membantu memulihkan semula keyakinan pelabur terhadap pasaran yang diasak tekanan akibat ketidakpastian yang melanda landskap politik tempatan,” kata seorang penganalisis kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0205/0245 daripada 3.0256/0289 pada Selasa, naik berbanding yen Jepun kepada 3.8280/8335 daripada 3.8324/8371 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4679/4761 daripada 5.4969/5038, semalam.

Ringgit bagaimana pun rendah berbanding euro kepada 4.5980/5047 daripada 4.5902/5962 sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Mahathir mula tugas perdana menteri sementara

PUTRAJAYA, 25 FEB: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memulakan tugas sebagai Perdana Menteri sementara.

Dr Mahathir dilihat memasuki Perdana Putra di sini, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri, pada pukul 9.29 pagi.

Beliau, yang menaiki kenderaan rasmi dengan plat Malaysia 2020, membalas lambaian para wartawan yang membuat liputan di luar bangunan itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri sementara, selepas menerima peletakan jawatannya semalam.

Pejabat Perdana Menteri mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri ketujuh semalam dan surat dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong pada 1.00 tengah hari.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan semalam memaklumkan Seri Paduka berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri sementara, sementara menunggu pelantikan perdana menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Mohd Zuki, dalam tempoh itu, Dr Mahathir akan menguruskan pentadbiran negara sehingga perdana menteri baharu dilantik dan Kabinet dibentuk.

Mohd Zuki turut memaklumkan Al-Sultan Abdullah, atas nasihat Perdana Menteri, turut berkenan membatalkan pelantikan timbalan perdana menteri, semua menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong berkenan lantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim

SHAH ALAM, 24 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri interim.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan berkata pelantikan itu sementara menunggu Perdana Menteri baharu mengangkat sumpah selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Adalah dimaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Bagaimanapun, baginda berkenan untuk melantik beliau sebagai Perdana Menteri interim, sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri baharu,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan Dr Mahathir akan menguruskan pentadbiran negara sehingga lantikan baharu dibuat dan Kabinet dibentuk.

Terdahulu, Dr Mahathir mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan pengerusi Bersatu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Mahathir letak jawatan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri hari ini.

Perkara itu diumumkan Pejabat Perdana Menteri melalui satu kenyataan.

“Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh hari ini.

“Surat itu dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong pada 1 tengah hari,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pemain automotif Bumiputera akan dibantu tingkat kemahiran pemasaran

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Kerajaan bersedia untuk membantu pemain industri automotif terutamanya usahawan Bumiputera untuk meningkatkan kemahiran pemasaran bagi mempromosikan produk mereka dengan lebih efektif, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata pemain automotif Bumiputera banyak terlibat terutamanya dalam bahagian pengeluaran tetapi masih jauh ketinggalan dalam bahagian pemasaran.

“Ketidakseimbangan ini perlu diperbetulkan kerana dasar baharu kita adalah tentang kesaksamaan dalam berkongsi kekayaan di negara ini.

“Sudah tentunya ini akan memerlukan wang dan pelaburan dan kita akan melihat bagaimana kita boleh menyokong mereka dalam bidang ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020), di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata Bumiputera perlu diberikan latihan dan pendedahan bagi membolehkan mereka belajar semua aspek pemasaran serta kaedah untuk mempromosikan produk mereka.

NAP 2020 akan menggabungkan tiga elemen teknologi canggih baharu iaitu Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV), Mobiliti sebagai satu Perkhidmatan (MaaS) dan Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0).

Terdahulu dalam ucapannya Dr Mahathir berkata teknologi kenderaan adalah fokus pembangunan kritikal bagi pengeluar kereta global pada hari ini untuk meningkatkan keselamatan kenderaan serta menjadikan mobiliti lebih pintar dan mesra alam sekitar.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pinda hukuman mati, kerajaan cadang penjara seumur hidup

PUTRAJAYA, 18 FEB: Hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah mungkin dipinda kepada hukuman penjara seumur hidup, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kerajaan akan mengkaji undang-undang berhubung kesalahan berkaitan dadah kerana ada pihak berpendapat hukuman dikenakan sekarang terlalu keras.

“Kita kaji undang-undang kerana undang-undang sekarang ini amat keras iaitu kalau didapati sesiapa memiliki sekian banyak dadah, maka hukuman yang boleh dijatuhkan ialah hukuman mati.

“Banyak berpendapat dia (hukuman) tak berkesan sebab itu masih ada mereka yang mencari duit tidak halal dengan mengedar dadah.

“(Kerajaan) akan kaji sama ada dakwaan ini betul atau tidak dan jika kita dapati ada cara lain dalam undang-undang yang boleh mencegah penyalahgunaan dadah atau pengedaran dadah, maka kita akan pinda undang-undang,” katanya kepada media selepas melancarkan Bulan Antidadah Kebangsaan di sini hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara Datuk Mohd Zuki Ali, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman dan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Pada majlis yang sama, Dr Mahathir turut menyampaikan Anugerah Khas Tokoh Antidadah kepada Dr Siti Hasmah.

Dr Mahathir seterusnya mengingatkan bahawa penyalahgunaan dadah adalah satu perkara tidak baik yang akan membawa mudarat bukan sahaja kepada diri, tetapi juga kepada masyarakat dan negara.

Sementara itu dalam ucapannya, katanya beliau percaya sudah sampai masanya kerajaan menilai dan mengkaji semula semua undang-undang berkaitan pengedaran dan penyalahgunaan dadah mengikut kesesuaian perubahan trend semasa dadah.

“Trend penyalahgunaan dadah telah berubah…daripada dadah konvensional berasaskan tumbuhan seperti ganja, morfin dan heroin, ia kini beralih kepada dadah sintetik yang lebih memudaratkan.

“Turut membimbangkan ialah peningkatan permintaan terhadap dadah sintetik seperti methamphetamine serta munculnya dadah psikoaktif jenis baharu, New Psychoactive Substances (NPS) di pasaran Asia. Lebih membimbangkan, kini muncul ratusan bahan psikoaktif baharu di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata statistik salah guna serta penagih dadah dan bahan terlarang di Malaysia pada tahun 2018 mencatat sejumlah 130,788 orang.

Selain itu, Perdana Menteri berkata berdasarkan anggaran penduduk Malaysia berjumlah 32.4 juta orang, didapati bagi setiap 100,000 penduduk, terdapat 404 orang yang menyalah guna dan menjadi penagih dadah serta bahan terlarang pada tahun 2018.

Dr Mahathir seterusnya berkata kerajaan melihat masalah dadah di negara ini terangkum sekali dalam isu keselamatan dan pada masa yang sama, ia turut menyumbang kepada masalah kesihatan mental bagi mereka yang menyalah guna bahan terlarang itu.

“Penyalahgunaan dadah memberi implikasi besar kepada negara. Ini kerana kita akan hilang tenaga kerja yang produktif untuk membina negara masa kini dan akan datang. Langkah penguatkuasaan dan rawatan pemulihan dadah oleh pihak berkuasa pula perlu mengambil kira perubahan semasa yang berlaku supaya usaha menanganinya lebih tersusun dan berkesan,” katanya.

“Pihak yang menawarkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan dadah juga harus memahami keperluan pendekatan rawatan diberikan. Prinsip rawatan dan pemulihan dadah yang berkesan perlu difahami bahawa tiada rawatan tunggal yang sesuai untuk semua orang,” tambahnya.

Selain itu, beliau berkata penyedia perkhidmatan rawatan dan pemulihan dadah, termasuk mereka yang mengendalikan Pusat Pemulihan Dadah Persendirian perlu mengintegrasikan pendekatan rawatan dan pemulihan lebih menyeluruh dengan mengambil kira prinsip rawatan pemulihan dadah yang berkesan.

“Saya ingin sarankan kepada sektor swasta supaya usaha menangani penyalahgunaan dadah dan bahan (terlarang) menjadi sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Kukuh peranan keluarga, sekolah dan komuniti

KOTA KINABALU, 16 FEB: Dalam perjuangan ke arah mencapai status negara maju, peranan keluarga, sekolah dan komuniti harus terus diperkukuh, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau ia perlu diperkukuh dengan menerap nilai-nilai murni dan memupuk budaya kebangsaan khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Ini juga selari dengan Islam sebagai addin. Setiap gerak-geri, perbuatan dan tindakan kita adalah tertakluk kepada nilai agama kita.

“Oleh itu, janganlah kita ikuti perbuatan mahupun perkara-perkara lain yang bertentangan dengan al-Quran dan hadis sahih yang akan membawa kerosakan, seterusnya menghalang kita daripada mencapai kejayaan dan kemajuan,” katanya.

Perdana menteri berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-63, Tahun 1441H/2020M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, malam ini.

Sejumlah 28 qari dan qariah mengambil bahagian dalam tilawah yang bemula hari ini yang bertemakan ‘Negara Rahmah Ummah Sejahtera’. Tilawah itu akan berakhir Jumaat ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata apabila kerajaan bertekad untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju, kerajaan sedar terdapat keraguan akan hala tuju negara pada masa depan.

“Ada yang risau apabila maju ia bermakna kita hilang keinsafan dan meminggirkan nilai dan seruan Islam. Tetapi jelas, kemajuan dan kemakmuran yang kita capai itu saling berkait dan ketika kita meraikan kepelbagaian bangsa dan agama di dalam negara.

“Syiar Islam berkembang pesat dan turut menjadi pemangkin kepada kemajuan yang tercapai. Perseimbangan ini dicapai dan kekalkan jika kita berpegang dan melalui hidup kita seharian dengan berpegang kepada asas Islam iaitu addin, satu cara hidup,” katanya.

Seiring dengan falsafah itu, Dr Mahathir berkata pada 25 Oktober tahun lepas kerajaan bersetuju agar gagasan RAHMAH dijadikan sebagai dasar pentadbiran Islam Model Malaysia, berteraskan Maqasid Syariah dan Rahmatan Lil ’Alamin yang bersifat universal, inklusif, telus dan menyantuni, bertepatan dengan suasana, adat serta budaya bangsa Malaysia sendiri.

Kerajaan percaya dasar ini mampu memberi impak positif kepada rakyat dan negara dalam meningkatkan kesejahteraan sosial, kemakmuran dan perpaduan hidup masyarakat berbilang kaum dan agama.

Ia selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang telah dilancarkan oleh kerajaan, katanya.

Pada ucapan di majlis itu, Dr Mahathir turut menyentuh arus revolusi perindustrian 4.0 di mana semua sedia maklum dunia hari ini menyaksikan arus Revolusi Perindustrian 4.0 yang begitu cepat dan kuat cabarannya.

“Kita mesti bersedia berhadapan dengan cabaran-cabaran itu. Kita mesti lebih berinovatif, kreatif dan terus memperkasa diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran tinggi, daya saing dan jati diri, dalam membangun dan memajukan bangsa Malaysia mengikut acuan kita sendiri.

“Ini adalah negara kita. Kitalah yang akan menentukan nasib kita. Tidak ada orang lain yang boleh mencorakkan masa hadapan kita melainkan diri kita sendiri, dengan izin Allah SWT,” kata perdana menteri.

Beliau berkata negara juga memerlukan rakyat yang matang, berilmu, bekerja keras dan mementing perpaduan.

Oleh itu, beliau mengajak rakyat bersama bersatu padu untuk terus membina negara yang maju lagi makmur, untuk Malaysia yang lebih berdaya saing, bersih dan berintegriti.

– BERNAMA