OLEH NADIAH ZAMLUS
PUTRAJAYA, 9 MEI: Perdana Menteri hari ini mengumumkan tujuh teras strategik bagi mencapai matlamat ‘Kemakmuran Bersama’ ketika berucap menyampaikan Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, teras pertama ialah penstrukturan dan penambahbaikan ekosistem perniagaan dan industri negara supaya kekal relevan dan memenuhi kehendak ekonomi masa depan.
Katanya, penggunaan teknologi dan Revolusi Industri 4.0, pengurusan yang lebih terkini dan efektif, pemakaian ekonomi digital secara menyeluruh dan peningkatan kemahiran pekerja yang bernilai tinggi adalah penting untuk melonjakkan ekonomi negara ke aras yang lebih tinggi.
“Teras kedua ialah mewujudkan sektor pertumbuhan baru iaitu kita tidak harus menjadi negara pengguna tetapi sebaliknya menjadi negara yang mampu mengeluarkan lebih banyak produk sendiri yang bertaraf antarabangsa.
“Sementara reformasi bakat dan sumber tenaga negara ialah teras ketiga yang difikirkan boleh meningkatkan keupayaan dan kemahiran pekerja yang lebih produktif memberikan nilai pendapatan yang tinggi.
“Tidak ketinggalan ialah teras keempat iaitu Malaysia perlu memperbaiki pasaran buruh dan pendapatan pekerja, pekerja kita harus mempunyai pendapatan yang lebih tinggi bagi memastikan mereka mendapat kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menteri-menteri kabinet, menteri besar negeri serta lebih 2,000 hadirin.
Mengulas lanjut, Tun Mahathir berkata, teras kelima yang diumumkan adalah memperkukuhkan kesejahteraan sosial bagi membangu golongan yang kurang berkemampuan, terpinggir dan berpendapatan rendah.
Katanya, pembangunan wilayah yang inklusif pada teras keenam pula akan dilakukan lebih menyeluruh diseluruh pelusuk negara.
Ia harus diusahakan supaya jurang dalam bandar, antara bandar dan desa, negeri yang maju dan terkebelakang dan antara Semenanjung dan negeri-negeri Borneo harus dikurangkan.
“Teras terakhir iaitu yang ketujuh ialah Kerajaan mahu meningkatkan modal sosial masyarakat bagi menyokong pembangunan ekonomi dan pertumbuhan kita memerlukan masyarakat yang matang, berilmu, bekerja keras dan mementingkan perpaduan dikalangan kita.
“Peningkatan modal sosial dan struktur sokongan sosial yang utuh adalah penting untuk memastikan negara dapat pesat membangun.
“Jati diri dan patriotisma golongan muda juga adalah amat penting bagi memastikan masa depan negara yang cemerlang,” katanya.