Categories
AGENDA SUKANKINI

Memori Piala Thomas 1992 terlalu manis

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Biarpun sudah 27 tahun berlalu, memori saingan Piala Thomas 1992 masih segar dalam ingatan dan sentiasa membuatkan beliau bergenangan air mata.

Air mata itu bukan menandakan kesedihan, namun isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mempunyai nostalgia indah bersama skuad badminton negara yang muncul juara piala berprestij itu.

Melalui tayangan video aksi final Piala Thomas 1992, tanggal 16 Mei, ketika Malaysia mencari mata kemenangan ke atas Indonesia, kelibat peminat sukan badminton nombor satu negara itu ‘tidak senang duduk’ di tempat penonton.

Beliau dengan berbaju kurung merah putih, dilihat mengangkat tangan berdoa ketika aksi beregu lelaki Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang mencari mata kemenangan Malaysia yang berjaya menundukkan Indonesia, 3-2 pada aksi final penuh dramatik itu di Stadium Negara.

Dan hari ini, pada majlis pelancaran program Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah, sekali lagi Dr Siti Hasmah yang ibarat seorang ibu kepada pemain, menitiskan air mata apabila sekali lagi dikelilingi legenda Piala Thomas ketika itu.

Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali (lima, kiri) bersama barisan lagenda badminton negara pada majlis pelancaran Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah di Menara OBYU, pada 9 Oktober 2019. – Foto BERNAMA

“Ketika Rashid (Sidek) menjemput saya ke acara ini hari ini, saya mula di genang air mata seperti sekarang apabila melihat anda semua….sahabat dan wira-wira…semua sudah rambut putih tapi masih sihat dan bertenaga.

“Peranan saya sebagai penanung badminton pada masa itu adalah untuk menjadi ibu kepada mereka semua dan perkara utama saya inginkan ialah memastikan apabila saya berada di sana mereka bermain bersama sebagai satu pasukan.

“Ia adalah perkara paling sukar yang boleh dilakukan seorang ibu untuk menjadikan keluarga sebagai satu pasukan terutamanya dalam sukan dan kita harus bangga dengan itu pada tahun 1992….anak-anak muda bangkit dan saya tidak akan melupakan itu,” katanya.

Dr Siti Hasmah berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran program berkenaan yang diilhamkan Kelab Badminton Sports Affairs sebagai tanda penghormatan kepada beliau.

Skuad negara ketika itu dibarisi Rashid Sidek, Foo Kok Keong, Kwan Yoke Meng serta dua pasangan beregu Razif Sidek-Jalani Sidek dan Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang.

Program ini adalah landasan menghimpunkan lapan legenda badminton untuk mencari, melatih dan mengasah bakat 96 bakal juara badminton masa hadapan.

Pada majlis itu juga, Dr Siti Hasmah sempat ‘membawang’ apabila mendedahkan situasi genting yang dihadapi pasangan beregu lelaki Soon Kit-Beng Kiang menjelang aksi final mereka.

“Saya hendak ‘membawang’ (gosip) sikit…situasi ketika Piala Thomas itu. Saya tahu, ketika itu mereka (Soon Kit-Beng Kiang) sedang bergaduh. Saya pergi berjumpa Soon Kit dan cakap pada dia, tiada pasangan lain yang lebih baik untuk digandingkan dengan awak selain Beng Kiang.

“Perkara sama saya cakapkan kepada Beng Kiang selepas berjumpa Soon Kit. Dan kemudian mereka masuk ke dalam gelanggang untuk beraksi, dan paling manis, mereka meraih mata kemenangan buat negara,” katanya.

Legenda badminton yang terlibat dalam program diketuai Rashid itu terdiri daripada bekas pemain skuad Piala Thomas dan Sukan Olimpik Malaysia iaitu Kok Keong, Soon Kit, Rahman Sidek, Ong Ewe Hock, Roslin Hashim, Zakry Latif, Koo Kien Keat dan Woon Khe Wei.

Mereka akan membentuk lapan pasukan terdiri daripada 12 pemain yang dikenal pasti dalam jerayawara seluruh negara bermula Oktober dan aksi final akan berlangsung pada Disember ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Siti Hasmah keracunan makanan ringan

PETALING JAYA, 26 OGOS: Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, dilaporkan mengunjungi sebuah hospital selepas mengalami keracunan makanan ringan.

“Beliau agak kurang sihat disebabkan keracunan makanan ringan,” kata jurucakap Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini dipetik The Star Online.

Maklumbalas itu diberi merujuk pertanyaan media berhubung kenyataan di Facebook yang menyatakan isteri Tun Dr Mahathir Mohamad berusia 93 tahun itu dikejarkan ke sebuah hospital swasta.

Bagaimanapun, kenyataan terbabit dikeluarkan selepas itu.

Mengulas lanjut, seorang pegawai PMO berkata, “Beliau ke sana. Kini sedang berehat”.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Siti Hasmah dianugerah gelaran ‘Ibu Negara’

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, dianugerah gelaran ‘Ibu Negara’ oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) di majlis Makan Malam Gala sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan di sebuah hotel terkemuka di sini malam tadi.

Pengerusi ASLI dan Pengasas Pemegang Amanah Yayasan Jeffrey Cheah (JCF), Tan Sri Dr Jeffrey Cheah berkata, anugerah itu adalah sebagai pengiktirafan kepada pengorbanan tidak terhingga Dr Siti Hasmah dalam memberi sokongan penuh kepada suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perjuangan Perdana Menteri membina negara.

“Beliau adalah ikon yang memberi inspirasi kepada kita semua untuk meraikan kepelbagaian kita sebagai sebuah negara yang berbilang budaya, berbilang kaum dan berbilang agama.

“Nilai dan karekter Tun Dr Siti Hasmah mencerminkan sikapnya yang baik dan penyayang, yang merupakan ciri-ciri utama kepimpinan sebenar. Beliau bermula dengan memecahkan tradisi dengan menjadi sebagai salah seorang doktor Melayu pertama di negara ini.

“Tun Dr Siti Hasmah turut meraih pengiktirafan global terhadap bantahan kerasnya kepada peperangan, dan juga rayuannya bagi mendapat simpati kemanusian bagi pihak yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam ucapan beliau di majlis itu.

Cheah berkata, Dr Siti Hasmah berjaya memenangi kasih sayang, rasa hormat dan kekaguman semua rakyat Malaysia dengan pesona serta keanggunannya, dan juga kebijaksanaan dan ketenangannya.

Di majlis itu JCF turut melancarkan Biasiswa Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali untuk Seni Kreatif dan Muzik, dan menyumbang RM10 juta kepada dana itu.

Cheah menyampaikan anugerah itu kepada Dr Siti Hasmah dengan disaksikan oleh Dr Mahathir, dan juga Pengarah Bukan Eksekutif Bebas ASLI, Tan Sri Razman Hashim.

Sementara itu Dr Siti Hasmah dalam ucapan ringkasnya merujuk kejayaan yang diraih itu kepada hasil sumbangan ibu bapa, abang serta kakaknya.

“Saya sebenarnya ingin berkongsi detik bermakna ini dengan arwah ibu bapa, abang dan kakak saya, kerana mereka mencorakkan diri saya seperti sekarang, benar-benar berharap mereka dapat melihat saya berdiri di sini menerima anugerah berprestij ini, pastinya ia sesuatu yang amat hebat bagi mereka..,” katanya dalam nada yang penuh emosi.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Cheah yang mewujudkan biasiswa berkenaan.

“Usia bukan penghalang kepada sesiapa jua yang ingin belajar muzik, dan muzik adalah seni yang amat berharga kepada semua. Bagi saya mempelajari muzik adalah salah satu cara untuk anda mengurangkan stress,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tun Hasmah namakan tiga anak harimau di zoo negara

PUTRAJAYA, 28 JUL: Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menamakan tiga ekor anak harimau yang dilahirkan di Zoo Negara pada majlis sambutan Hari Harimau Sedunia, hari ini.

Beliau, yang juga penaung Kempen Selamatkan Harimau Malaya, menamakan dua ekor anak harimau jantan dengan nama Wira dan Hebat.

“Sementara anak harimau betina, saya namakan Melur,” katanya dalam ucapannya pada majlis itu hari ini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Dr Siti Hasmah, yang tiba dari Turki pagi ini selepas mengiringi lawatan kerja Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke sana, berkata beliau pernah berhasrat untuk memeluk ketiga-tiga anak harimau yang lahir di Zoo Negara, pada 1 Mei lalu.

“Tapi apabila saya pergi ke Zoo Negara minggu lepas semuanya sudah kaki besar dan berusia tiga bulan. Saya tidak boleh peluk dia, tengok saja saya dia mengaum,” katanya lagi.

Ketiga-tiga anak harimau itu adalah anak kepada harimau jantan bernama Jati dan harimau betina bernama Kaila, yang ditempatkan di Zoo Negara.

Dr Siti Hasmah turut berkongsi pengalaman detik paling dekat beliau bersama harimau.

“I always want to face a tiger. The closest was at The Lost World of Tambun where I managed to get the feel of a young tiger licking my palm when I feed it with a slice of chicken.

(“Saya selalu ingin mendekati seekor harimau. Yang paling hampir berlaku di Lost World of Tambun di mana saya dapat merasai seekor anak harimau menjilat tapak tangan apabila saya memberi dia makan sekeping ayam).

“It was such a thrill. I could feel the tongue,” she further said.

(Ia sungguh menyeronokkan. Saya dapat rasakan lidahnya,” katanya lagi).

Dalam ucapan yang sama Dr Siti Hasmah mahukan semua pihak berganding bahu dalam memastikan populasi Harimau Malaya, yang kini dianggarkan 200 ekor, boleh ditingkatkan kepada 500 ekor pada masa akan datang.

Berdasarkan data Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli pada 1950-an terdapat lebih 3,000 Harimau Malaya di negara ini.

Jelas beliau, Harimau Malaya perlu dipelihara dan tidak boleh dibiarkan pupus kerana haiwan itu menjadi lambang negara kerana terdapat di jata negara yang melambangkan kekuatan.

Pada majlis itu Dr Siti Hasmah turut menerima sumbangan RM1.33 juta daripada syarikat swasta, badan bukan kerajaan, universiti dan sekolah termasuk Yayasan Al-Bukhary dan warga kementerian untuk melaksanakan inisiatif konservasi Harimau Malaya.

Hari Harimau Sedunia disambut pada 29 Julai setiap tahun bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran masyarakat dunia mengenai kepentingan menjaga, memelihara dan memulihara spiesies harimau.

Pada majlis itu, satu video menunjukkan dua kumpulan Harimau Malaya iaitu seekor ibu dan anak dan seekor lagi ibu bersama tiga anak dipertonton kepada para hadirin.

Difahamkan video berkenaan dirakamkan kamera Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitian) di sebuah taman negara di Semenanjung.

Lokasi taman negara itu terpaksa dirahsiakan bagi menyelamatkan kesemua harimau berkenaan daripada pemburu haram.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Dr Siti Hasmah terima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat HRD Asia

CYBERJAYA, 17 JULAI: Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Pembangunan Sumber Manusia Asia (HRD) pada majlis penyampaian Anugerah HRD Asia 2019 di Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, di sini malam tadi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan semasa majlis itu, anugerah berkenaan bagi mengiktiraf sumbangan cemerlang Dr Siti Hasmah kepada pembangunan sektor kesihatan awam di Malaysia.

“Dr Siti Hasmah adalah perintis dalam pelbagai hal dan sering meraih kedudukan pertama dalam beberapa bidang di Kementerian Kesihatan.

“Beliau menerajui pelbagai jawatan kepimpinan termasuk Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Presiden Yayasan Persatuan Perubatan Malaysia dan Presiden Persatuan Pemulihan Orang-Orang Cacat, ” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, usaha dan inisiatif Dr Siti Hasmah secara berterusan tanpa mengenal erti penat dalam pemupukan kesedaran kesihatan awam dan kawalan penyalahgunaan dadah memang tidak dapat ditandingi.

“Dr Siti Hasmah adalah perintis dan model inspirasi bagi wanita di Malaysia dan di seluruh dunia.

“Dr Siti Hasmah tampil sebagai seorang yang telah memberi impak besar kepada negara dengan keberanian, ketabahan dan kekuatan dalam perwatakan,” katanya.

Beliau yang menitiskan air mata pada akhir ucapan penerimaannya berkata, pencapaiannya adalah disebabkan bapanya, Allahyarham Mohd Ali Taib, yang memaksanya memasuki sekolah perubatan dan meletakkannya berada pada kedudukan hari ini.

“Kalaulah boleh beliau dapat menyaksikan saya menerima anugerah pada malam ini,” kata Dr Siti Hasmah.

Pada acara itu, para tetamu turut menyanyikan lagu selamat hari lahir kepada Dr Siti Hasmah yang menyambut hari lahirnya yang ke-93 tahun pada Jumaat lalu (12 Julai).

Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat diberikan kepada individu yang menggalakkan usaha pembelajaran atau menerajui inisiatif yang memberi impak kepada rakyat dalam cara yang signifikan.

Penerima terdahulu anugerah tersebut termasuk bekas Presiden Republik Filipina, Fidel Ramos dan bekas Perdana Menteri Bosnia Dr Haris Silajdzic.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Agong, Raja Permaisuri berkenan sambut hari jadi PM, isteri

KUALA LUMPUR, 11 JUL: Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali hari ini menerima kejutan daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong yang berkenan menganjurkan sambutan hari jadi “impromptu” (mengejut) buat mereka di Istana Negara di sini.

Detik-detik istimewa itu berlangsung selepas penyampaian Darjah Yang Maha Utama Darjah Kerabat Diraja Malaysia (D.K.M) kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada istiadat yang sama, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menerima Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N).

Istiadat persembahan darjah kebesaran kepada Seri Paduka berdua disampaikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mewakili kerajaan.

Dr Mahathir kelihatan benar-benar terkejut apabila kek khas bersama pulut kuning dibawa masuk ke dalam bilik untuk meraikan hari ulang tahun kelahiran beliau yang ke-94 yang tarikhnya jatuh semalam. Dr Siti Hasmah pula akan menyambut hari ulang tahun kelahiran yang ke-93, esok.

Seri Paduka berdua berkenan berangkat menyertai majlis itu sebaik para hadirin menyanyikan lagu ‘Selamat Hari Jadi’ kepada Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah pada acara memotong kek.

Kek berbentuk piano berwarna hitam dan putih itu dihiasi dengan bunga-bungaan, sebuah biola mini, sekeping nota muzik dan buku-buku — mungkin untuk menggambarkan kegemaran Dr Mahathir membaca dan kecintaan Dr Siti Hasmah kepada muzik.

Perdana Menteri dan isteri yang telah mendirikan rumah tangga sejak 63 tahun lepas, kemudian saling menyuapkan potongan kek dan saat-saat bahagia itu turut berkenan disaksikan oleh Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong.

Yang turut hadir untuk menyaksikan kedua-dua istiadat ialah Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tun M, isteri ucap Selamat Hari Raya Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali hari ini mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam.

“Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin,” kata Perdana Menteri menerusi ucapan berbentuk klip video berdurasi 54 saat bersama isteri beliau di laman Twitter dan Facebook.

Dr Siti Hasmah juga menzahirkan ucapan beliau kepada muslimin dan muslimat yang berada di luar negara serta pasukan keselamatan yang menjaga keamanan negara dan dunia.

“Maaf Zahir dan Batin kepada semua muslimin dan muslimat yang di luar sana khasnya di luar negera dan khasnya juga kepada pasukan keselamatan kita yang bertugas di batasan, di udara, di samudera dan juga di luar negara sebagai pasukan menjaga keamanan di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu,” katanya.

Umat Islam di Malaysia akan menyambut 1 Syawal esok.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Tun M dan isteri ucap selamat menyambut Hari Gawai, Pesta Kaamatan

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali hari ini mengucapkan selamat menyambut Hari Gawai dan Pesta Kaamatan kepada rakyat di Sabah dan Sarawak.

“Saya dan isteri berharap semua orang bergembira menyambut hari yang menandakan berakhirnya musim menuai ini.

“Semoga hubungan rapat antara kaum terus terjalin, keamanan rakyat dan negara sentiasa terjaga,” katanya menerusi catatan di akaun Twitter, @chedetofficial.

Pesta Kaamatan atau perayaan menuai di Sabah adalah satu perayaan selama sebulan khusus bagi masyarakat Kadazandusun, dan kemuncak perayaan disambut pada 30-31 Mei sementara sambutan Hari Gawai pula diraikan pada 1-2 Jun oleh masyarakat Dayak dan Iban di Sarawak.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tun Hasmah enggan terima hadiah, minta sedekah pada anak yatim

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 24 MEI: Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali meminta orang ramai supaya tidak lagi menghantar hadiah kepada beliau dan juga suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anaknya, Datin Paduka Marina Mahathir berkata, pesanan itu disampaikan ibunya dan meminta supaya ia dipanjangkan kepada orang ramai melalui akaun media sosial miliknya.

“Sejak memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Tun Siti Hasmah dan Tun Mahathir menerima banyak ucapan tahniah dan tidak ketinggalan pelbagai hadiah.

“Namun ibu enggan menerimanya kerana kerajaan baru yang ditadbir Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak membenarkan pemimpinnya menerima sebarang bentuk hadiah.

“Tetapi beliau meminta orang ramai berhasrat berbuat demikian supaya menyumbang kepada rumah anak yatim,” katanya melalui akan facebook rasminya, semalam.

Marina berkata, Siti Hasmah berharap supaya orang ramai memahami permintaan berkenaan walaupun Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang tidak lama lagi.

“Lagipun hadiah-hadiah itu akan memakan ruang yang banyak,” katanya.

Dalam masa sama, Marina turut memberitahu kedua ibu-bapanya itu tidak
berpindah ke kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya sebaliknya terus menetap di kediaman sendiri di Seri Kembangan, Selangor.

Categories
NASIONAL

Tun Hasmah terharu sokongan rakyat pada PAKATAN

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 20 APR: Rakyat terus menyokong Pakatan Harapan (PAKATAN) walaupun tiada wang mahupun makanan percuma diberikan sepanjang siri jelajah PAKATAN di seluruh negara.

Isteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali berkata, kegigihan berkenaan dilihat ketika beliau menyertai jelajah PAKATAN di Pagoh, Pasir Gudang, Muar dan Kedah.

“Sokongan rakyat amat kuat, tidak kira hujan ataupun panas, penduduk tempatan mahupun orang luar tetap menanti kehadiran pemimpin PAKATAN serta menunggu ceramah hingga habis.

“Hakikatnya, saya tahu tiada elaun pengangkutan seperti bas, tiada makanan percuma diberikan, saya amat terharu dengan sokongan mereka, dari situlah semangat kami datang dan saya amat memahami bahawa rakyat mahu ubah kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU14) nanti,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya, pagi tadi.

Siti Hasmah turut berkongsi mengenai penjagaan beliau dan suami sepanjang tempoh berkempen menjelang pilihan raya akan datang.

Katanya, beliau dan Tun Mahathir perlu mendapatkan rehat yang cukup kerana faktor usia yang semakin meningkat.

“Saya pernah bertanya kepada Tun, adakah dia baik-baik sahaja sekiranya kembali mentadbir negara, jawapan Tun mudah, itu adalah tugasnya kepada rakyat.

“Prinsipnya itu saya sokong, jadi saya perlu memastikan program Tun tidak terlalu padat dan apa yang penting ahli politik perlu rehat secukupnya sebelum program pada keesokan hari.

“Kami bukan muda lagi jadi perlu memilih program untuk dihadiri, umur saya pun sudah mencecah 92 tahun dan Tun pula 93 tahun,” katanya.