Categories
NASIONAL

Tun M: Kerajaan sedia ukur sempadan perairan Malaysia-Singapura

SHAH ALAM, 5 DIS: Kerajaan bersedia mengukur sempadan perairan Malaysia dan Singapura bagi melihat sama ada benar kapal Malaysia menceroboh perairan republik itu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita boleh ukur ia betul ke atau pun tidak, garisan mereka tu tak kena dan kita masih ada dalam kita punya own waters,” kata Perdana Menteri secara ringkas ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Kesatuan Pekerja-Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Bhd (UPUS) kali ke-21 di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan mengatakan Singapura membantah rancangan Malaysia memperluaskan had pelabuhan di Johor Bharu dan menyifatkannya sebagai menceroboh perairan wilayah berkenaan.

Kementerian Pengangkutan Singapura berkata, pihaknya meminta Malaysia menarik semula cadangan untuk meluaskan pelabuhan sebagai mencerminkan kedaulatan Singapura berhubung perairan, sementara Malaysia mempertahankan diri daripada mengambil sebarang tindakan lanjut sebelah pihak.

Ia juga mendakwa kapal Malaysia turut melakukan pencerobohan ke dalam perairan wilayah republik itu sejak 2 minggu lepas di luar Pantai Tuas, terletak di barat negaranya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kuasa diberi bukan untuk kepentingan diri- Tun M

PUTRAJAYA, 3 DIS: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan pemerintah dan anggota pentadbiran bahawa kuasa diberi untuk mereka melaksanakan tugas, bukan untuk kepentingan diri sendiri.

Berucap pada perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini, beliau berkata jika kuasa disalahgunakan, negara tidak akan maju dan menyebabkan kemerosotan dalam kalangan masyarakat.

“Sebab itu kita perlu berhati-hati apabila kita melaksanakan sesuatu mengikut kuasa yang diberi kepada kita.

“Kalau kita sedar atau berasa was-was bahawa kuasa itu mungkin akan menyebabkan sesuatu tidak baik bagi negara kita adalah lebih baik kita tidak laksanakan kuasa itu dan lebih baik kita runding dan mendapat nasihat tentang bagaimana kuasa itu hendak dilaksanakan,” katanya.

Perdana Menteri mahu anggota pentadbiran faham dan jelas bahawa maksud kerajaan ditubuhkan adalah untuk menentukan negara menjadi lebih maju.

Dr Mahathir berkata, walaupun pada permulaannya nikmat tidak dapat dilihat namun apabila sebuah negara yang aman dan maju berjaya ditubuhkan, hasilnya akan dinikmati oleh seluruh rakyat termasuk anggota pentadbiran.

Beliau menegaskan Malaysia perlu aman dan damai agar kekayaan negara dapat diagihkan secara sama rata bagi mengurangkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar.

Menurutnya, ia boleh dicapai kalau negara ditadbir dengan baik, tanpa rasuah dan acara yang disengajakan bagi mencetus huru-hara dan permusuhan kaum.

“Apabila kita menghadapi masalah rusuhan dan sebagainya, hendaklah kita tangani perkara ini dengan cara bijak sebagai satu pemerintah yang berprihatin dan berpengalaman serta faham tujuan pemerintahan,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, kerajaan mahu melihat seluruh penduduk Malaysia menikmati kekayaan dan kemerdekaan serta pemerintahan negara yang prihatin.

“Bukan niat kita untuk menghalang perkembangan dan kekayaan bandar tetapi kalau jarak antara yang kaya dan miskin terlalu jauh, maka akan timbul perasaan iri hati dan benci.

“Disebabkan itu, negara akan menghadapi permusuhan antara bandar dan luar bandar, antara miskin dan kaya bahkan antara satu kaum dan kaum lain,” katanya.

Justeru, Dr Mahathir berkata beliau yakin semua warga Jabatan Perdana Menteri bukan hanya faham cara bekerja tetapi juga berhubung keperluan negara.

SUMBER: BERNAMA

Categories
AGAMA NASIONAL

Islam cara hidup lengkap

KUALA LUMPUR 20 NOV: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW bukan sahaja satu agama tetapi juga merupakan cara hidup yang lengkap untuk umatnya.

Beliau berkata sememangnya umat Islam harus bersyukur kerana berpeluang menghayati kesyumulan atau sifat menyeluruh agama itu.

“Kerana itu, kita memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai penyataan kasih dan sanjungan tinggi kita terhadap Baginda atas perjuangannya dalam menyebarkan syiar Islam,” kata Dr Mahathir dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul 1440H.

Klip video perutusan perdana menteri itu dipaparkan di laman YouTube, Chedet Official.

Majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dalam kenyataan sebelum ini berkata Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dijangka berangkat menyempurnakan majlis itu yang dijadual turut dihadiri Dr Mahathir serta isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Tema sambutan tahun ini ialah ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’,

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Malaysia terus perjuangkan perdagangan bebas yang adil

PORT MORSEBY, Papua New Guinea, 18 NOV: Malaysia akan terus memperjuangkan perdagangan bebas yang adil bagi melindungi kepentingan negara-negara membangun, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata tidak menghairankan apabila negara-negara maju mahu “perdagangan bebas” atau “dunia globalisasi” diteruskan kerana idea tersebut datang daripada mereka sendiri dan dipengaruhi oleh syarikat multinasional yang memiliki banyak produk.

“Kalau kita nak masuk dalam bidang pembuatan, kita perlu melindungi industri kita. Kalau kita tidak dapat melindunginya kita tidak akan mungkin bersaing dengan negara maju.

“Tetapi memanglah negara maju tidak mahu supaya kita tidak dapat bersaing dengan mereka. Itulah pendapat yang berbeza kerana idea “perdagangan bebas” ini datang daripada mereka dan memang pun dibentuk untuk keperluan mereka,” katanya kepada media Malaysia di sini malam tadi.

Realitinya, Dr Mahathir berkata kebanyakan syarikat dari negara-negara maju ingin mendapatkan pasaran yang lebih luas termasuk di negara-negara yang kurang maju.

Negara-negara membangun pula terhad kepada pengeluaran bahan mentah untuk dieksport tetapi walau banyak mana sekalipun tidak akan memajukan negara seperti Arab Saudi yang dapat mengeluarkan 11 juta tong minyak mentah sehari.

“Kita dapati negara yang kecil dan tidak membangun berasa takut untuk menyuarakan pandangan kerana takut dilakukan apa-apa kepada mereka. Kita juga takut, tetapi kalau kita tidak bersuara orang lain tidak bersuara. Maka negara maju dapat membuat apa sahaja sampai kita akan jadi miskin,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, semua industri baharu seperti kenderaan bermotor dan peralatan dapur perlu dilindungi.

“Semua ini jika kita mahu memasuki pasaran sekarang kita perlu melindungi diri kita. Jika tidak, kita tidak akan dapat bersaing dengan mereka. Mereka menjadi amat besar. Mereka mempunyai ekonomi skala besar manakala industri baharu tidak boleh mempunyai ekonomi skala besar.”

Dr Mahathir mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-26 di sini dari 17-18 Nov.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Tun M: Rusia berminat jual pesawat kepada Malaysia

SINGAPURA, 14 NOV: Rusia menawarkan kepada Malaysia untuk membeli pesawatnya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tawaran itu dibuat pada mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Rusia Vladimir Putin pada Selasa malam.

“Beliau (Putin) membangkitkan kemungkinan menjual pesawat mereka kepada kita. Ia bergantung kepada kedudukan kewangan kita,” kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Christine Lagarde di sini.

Dr Mahathir berada di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-33 dan sidang kemuncak berkaitan, manakala Lagarde berada di sini sebagai tetamu.

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak mendedahkan sama ada tawaran itu untuk tujuan ketenteraan atau komersial.

Ditanya sama ada Rusia akan membantu menyelenggara pesawat yang dibeli dari Moscow, Dr Mahathir berkata: “Beliau akan membantu kita. Kita mempunyai sejumlah Sukhoi…sebahagiannya tidak dapat melakukan penerbangan.”

Pada mesyuarat dua hala dengan Rusia, Dr Mahathir berkata Malaysia perlu “banyak belajar tentang cara untuk menyelenggara dan membaiki pesawat.”

Kementerian Pertahanan Malaysia yang mengendalikan pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM dan MiG-29.

Dilaporkan terdapat isu berhubung penyelenggaraan dan servisnya.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu telah menyatakan bahawa hanya empat daripada 18 pesawat Sukhoi dapat melakukan penerbangan dengan baik, manakala yang lain sedang dibaiki.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tun M: Wang dicuri dari 1MDB akan dibawa balik ke Malaysia

SINGAPURA, 14 NOV: Wang yang dicuri dari dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebanyak US$4.3 bilion akan dibawa balik ke Malaysia walaupun mungkin tidak kesemuannya, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“DOJ (Jabatan Keadilan Amerika Syarikat) kata jumlahnya kira-kira US$4.3 bilion. Kita berharap untuk mendapat balik jumlah itu tetapi mungkin sebahagian besar daripada jumlah itu telah hilang sebelum ini,” katanya.
Bagaimanapun, wang itu mungkin tidak dapat dibawa balik dalam masa yang cepat kerana terdapat pelbagai proses yang terlibat, kata beliau.

“Mula-mulanya anda perlu membuktikan bahawa wang itu adalah milik anda. Setelah anda dapat membuktikannya sudah tentulah ada proses-proses yang harus dilalui. Mereka bukan boleh sekadar mengutipnya lalu menyerahkannya kepada anda di depan kaunter.

“Jadi, sudah tentu ia akan mengambil masa. DOJ telah berjanji akan memulangkan wang itu kepada kita,” katanya pada sidang media, semasa ditanya sama ada Malaysia sudah mengemukakan permohonan rasmi untuk membawa balik wang itu.

Ditanya sama ada Malaysia akan mengenakan tindakan-tindakan menghukum terhadap bank pelaburan Amerika, Goldman Sachs Group, yang terlibat dalam skandal 1MDB dan sedang disiasat oleh DOJ, Dr Mahathir berkata: “Kami yakin kepada kedaulatan undang-undang.”

Goldman Sachs memperoleh bayaran kira-kira US$600 bagi urusan dengan 1MDB itu, termasuk tiga penawaran bon pada 2012 dan 2013 yang telah mengumpul dana sebanyak US$6.5 bilion.

Menurut laporan, pihak pendakwa Amerika Syarikat telah memfailkan pertuduhan jenayah terhadap dua bekas jurubank Goldman Sachs awal bulan ini.

Seorang daripadanya, Tim Leissner, mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan konspirasi pengubahan wang dan berkonspirasi untuk melanggar undang-undang di bawah Akta Amalan Rasuah Luar Negara.

“Jika seseorang didapati telah melakukan jenayah mengikut undang-undang, maka dia akan dihukum dengan hukuman setimpal mengikut proses undang-undang. Tidak kiralah siapa dia. Dia mungkin Goldman Sachs atau mungkin sesiapa jua.”

Justeru, jika mereka didapati telah melanggar undang-undang dan terdapat bukti yang mencukupi maka kerajaan Malaysia akan mengambil tindakan mengikut undang-undang, kata beliau.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tun M: Dapatkan ilmu pengetahuan, kecerdasan buatan

SINGAPURA, 13 NOV: Sekiranya terdapat satu perkara penting yang boleh didapati daripada sesi soal jawab antara diaspora di sini dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, ia adalah perlunya untuk terus memperoleh ilmu pengetahuan.

Daripada sejarah perkataan “ledakan kelahiran bayi” kepada menghidupkan semula sasarannya sebanyak 70 juta penduduk di Malaysia, pemimpin berusia 93 tahun itu membuatkan mereka yang menghadiri acara tersebut terpaku di tempat duduk mereka dan mahu mendengar lebih banyak lagi.

“Saya berpeluang melihat banyak perkara selama hampir 80 tahun dan itu adalah masa yang lama. Saya mengenali Malaysia, bagaimana ia berkembang dalam tempoh 80 tahun lalu dan saya faham pelbagai masalah Malaysia.

“Saya fikir saya faham, anda tidak akan bersetuju dengan saya. Tetapi saya fikir saya tahu sesuatu, jika tidak, saya tidak fikir mereka akan memilih saya sebagai Perdana Menteri sekali lagi,” katanya yang mengundang sorakan dan dan ketawa daripada orang ramai.

Dr Mahathir berada di Singapura untuk lawatan rasmi pertamanya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh. Lawatan itu akan diikuti dengan kehadirannya pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-33 dan mesyuarat berkaitan.
Sesi soal jawab tersebut berlangsung di majlis minum petang dengan rakyat Malaysia di Singapura.

Bagi mereka yang mengambil perhatian mengenai apa yang pemimpin tertua di dunia ingin kongsi pada majlis berkenaan, mereka akan tahu bahawa ia dipenuhi perkara penting yang perlu diterapkan untuk kebaikan negara.

Ketika beliau mengenang kembali harapannya untuk melihat penduduk negara meningkat sehingga 70 juta, beliau menyebut bahawa ada beberapa bukti bahawa penduduk Malaysia semakin tua.

“Sekiranya ini tidak ditangani, maka negara akan mempunyai sebilangan kecil golongan muda yang menyokong sejumlah besar golongan tua. Oleh itu, perlu kahwin dan mempunyai ramai anak,” ujarnya.

Perdana Menteri seterusnya berkata beliau berharap apabila Malaysia mencapai 70 juta penduduk, ia akan terdiri daripada penduduk yang sebahagian besarnya lebih muda.

Bagaimanapun, mempunyai penduduk muda dengan sendirinya tidak mencukupi, katanya, sambil menambah bahawa mereka juga mesti menjadi penduduk yang produktif.

“Untuk menjadi produktif, mereka mesti berpendidikan tinggi dan mereka mesti mempunyai kemahiran baru. Mereka mesti memahami teknologi baru,” katanya.

Pada masa ini, Mahathir berkata, terdapat ketidaksesuaian antara pendidikan dan pekerjaan di negara ini.

“Ia tidak sepatutnya berlaku. Kita perlu memahami apa pekerjaan yang menunggu generasi muda dan kita perlu melatih mereka untuk pekerjaan ini,” katanya.

Dr Mahathir juga menegaskan pentingnya kecerdasan buatan.

“Anda tahu Alibaba. Mereka jual dalam masa dua jam, saya tidak tahu berapa bilion barang. Itu berdasarkan kecerdasan buatan. Keupayaan untuk menganalisis sejumlah besar data bukan dengan menggunakan minda anda tetapi oleh mesin (supaya) mengetahui apa yang boleh dipasarkan,” katanya, memetik jualan yang dicatat Jualan Sehari Terbesar oleh gergasi e-dagang China pada 11 November.

Mahathir berkata, hari in perniagaan baru adalah berdasarkan pengetahuan dan kecerdasan buatan dan belia Malaysia mesti memperoleh pengetahuan ini.

“Oleh itu, sistem pendidikan semasa di Malaysia perlu diubah sepenuhnya,” katanya.

Mengenai usaha memulakan perniagaan sebaik sahaja memperoleh ijazah, Mahathir berkata: “Saya tidak fikir ia adalah baik untuk terus terlibat dalam perniagaan”.

Beliau menegaskan tentang pentingnya memperoleh pengetahuan dan untuk menjadi ahli perniagaan yang baik adalah elok untuk bekerja dengan orang lain terlebih dahulu dan belajar mengenai selok-belok menjalankan perniagaan.

“Kemudian, anda boleh memulakan perniagaan sendiri. Sangat jarang sekali jika terus terlibat dalam perniagaan akan memberikan hasil yang baik,” tambah Mahathir.

Perdana Menteri juga menegaskan yang Malaysia sebagai sebuah negara mesra perniagaan yang menyambut baik pelaburan langsung asing serta pentingnya diaspora Malaysia untuk kembali dan menyumbang kepada pembangunan negara.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

Mahathir bangkitkan isu ‘kontroversi’ dalam perbincangan dua hala dengan Singapura

SINGAPURA, 12 NOV: Perjanjian air 1962 adalah satu daripada perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatan beliau dari Singapura, Lee Hsien Loong, hari ini.

“Kami membangkitkan beberapa isu sebelum ini yang dianggap sebagai kontroversi,” kata Dr Mahathir kepada wartawan di luar majlis minum petang bersama diaspora Malaysia di sini.

“Saya berpendapat saya perlu menyatakan pendirian kita tentang perkara itu. Saya rasa dari setiap segi, beliau (Lee) agak mudah berurusan. Beliau mendengar pandangan saya dan saya rasa beliau lebih bersikap terbuka untuk membincangkan perkara ini berbanding sebelum ini… sebelum ini, mereka hanya menolak semua usaha untuk mengadakan perbincangan semula,” katanya.

Ketika diminta mengulas sama ada Singapura bersetuju untuk menyemak semula harga semasa, Dr Mahathir berkata: “Mereka tidak menyatakan bahawa mereka bersetuju, tetapi sekurang-kurangnya mereka kelihatan bersedia untuk menyatakan pandangan mereka dan bagi kami untuk menyatakan pandangan kami.”

Mengenai langkah berikutnya, perdana menteri menegaskan beberapa pegawai akan bertemu dan berbincang.

Isu berkaitan perjanjian itu muncul kembali pada pertengahan tahun ini apabila Dr Mahathir mengkritik harga air mentah yang dijual kepada Singapura sebagai “tidak masuk akal” dan berkata beliau bercadang untuk merundingkan semula terma perjanjian itu.

Perjanjian air itu, yang berakhir pada 2061, memberi hak kepada Singapura untuk mendapatkan sehingga 250 juta gelen sehari (mgd) air mentah dari Sungai Johor.

Singapura membayar 3.0 sen bagi setiap 1,000 gelen air mentah, dan menjual semula air terawat kepada Johor pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Johor sementara itu memperoleh bekalan harian air terawat sehingga 2.0 peratus atau 5.0 mgd air yang dibekalkan kepada republik ini.

Menurut perdana menteri, satu lagi isu yang dibincangkan adalah tentang ‘Central Provident Fund’, bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

Syarikat besar harus bantu yang kecil teroka pasaran global

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mencadangkan bahawa syarikat besar menawarkan bantuan kepada syarikat kecil untuk meneroka pasaran global melalui dagangan dalam talian bagi membolehkan dagangan Malaysia berkembang lebih cepat dan lebih besar.

Katanya, tidak perlu menjadi pengeksport besar untuk meneroka pasaran dunia dengan adanya dagangan dalam talian.

“Banyak bidang sudah berubah sekarang memandangkan dunia adalah pasaran kita. Malah jika kita tidak pergi ke negara tertentu, kita masih boleh berdagang dengan mereka.

“Kita boleh mengenal pasti produk mana-mana negara yang kita ingin berdagang dengan melayari internet untuk melihat apa yang mereka jual

“Mengenal pasti pasaran melalui internet membuka pasaran yang lebih besar daripada sebelumnya. Adalah baik jika kita melawat negara berkenaan, tetapi jika tidak, kita masih boleh mengetahui sesuatu produk untuk kemungkinan dieksport,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-27 Persatuan Selatan-Selatan Malaysia (Malaysia South-South Association) (MASSA), di sini, malam tadi.

Menurut Dr Mahathir, dagangan dalam talian sudah menjadi sangat berkesan dan mudah sehingga ke tahap yang mana jika kita mempunyai produk kecil dari kampung, berkemungkinan boleh dijual di seluruh dunia dengan adanya kemudahan pengangkutan yang baik.

Dr Mahathir memulakan pembentukan MASSA berikutan lawatannya ke Chile, Brazil dan Argentina bersama komuniti perniagaan Malaysia pada 1991.

Untuk mengurangkan risiko memasuki pasaran baru, 84 anggota MASSA mengumpul sumber untuk membentuk sebuah syarikat konsortium, Malaysia South-South Corporation Bhd (MASSCORP), dengan matlamat menjadi pemangkin pelaburan ke negara membangun.

Berkenaan MASSA, Dr Mahathir berharap, ia akan menjadi lebih besar dengan memanfaatkan kaedah baru dagangan (dalam talian).

Presiden MASSA dan MASSCORP, Tan Sri Azman Hashim, berkata negara Selatan-Selatan antara yang masih belum diteroka.

Katanya, MASSA dan pemegang saham MASSCORP akan meneruskan misi untuk mewujudkan hubungan ekonomi, dagangan dan budaya dengan lebih banyak negara Selatan-Selatan di bawah kepemimpinan kerajaan baharu.

“Di bawah kepemimpinan Tun Dr Mahathir, kita yakin bahawa anggota MASSA dan pemegang saham MASSCORP akan memperbaharui semangat untuk mengibarkan bendera Malaysia di negara Selatan-Selatan di mana mereka sedang dan akan menjalankan perniagaan,” tambahnya.

Dengan projek merangkumi hartanah, pembangunan infrastruktur seperti penswastaan air dan taman perindustrian, juga aktiviti perdagangan, pemegang dana MASSCORP sudah berkembang daripada modal permulaan sebanyak RM53.9 juta pada 1992 kepada RM71.5 juta pada masa ini.

“Kami yakin ia akan melepasi paras RM100 juta tidak lama lagi,” kata Azman.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

Dr Mahathir tiba di Singapura, program tanpa henti menanti PM

SINGAPURA, 12 NOV: Tun Dr Mahathir Mohamad selamat tiba di Singapura untuk lawatan rasmi dua hari sebelum menyertai sembilan lagi ketua kerajaan untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-33.

Lawatan beliau ke republik itu adalah atas undangan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong yang mana kedua-duanya akan duduk bersama dalam mesyuarat dua hala buat pertama kalinya, di The Istana.

Pesawat yang membawa Perdana Menteri dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mendarat di Kompleks VIP Lapangan Terbang Changi di sini pada pukul 8.40 pagi.

Lawatan itu adalah sebahagian daripada lawatan pengenalan peringkat tinggi Dr Mahathir ke negara-negara ASEAN selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 pada Mei lepas.

Ketibaan beliau disambut Menteri Pembangunan Negara Singapura Lawrence Wong, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon dan Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah.

Dr Mahathir akan menghadiri majlis sambutan yang diadakan di Ceremonial Plaza, The Istana sebelum mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura Halimah Yacob.

Lee dan isteri Ho Ching kemudian akan menghoskan majlis makan tengah hari bagi meraikan Dr Mahathir dan isteri, selepas Majlis Penamaan Bunga Orkid.

Program lawatan hari pertama tidak terhenti di The Istana buat Perdana Menteri berusia 93 tahun itu kerana beliau akan memperuntukkan masa kira-kira satu jam setengah bertemu diaspora Malaysia di Singapura di Hotel Shangri La.

Beliau seterusnya akan ditemu bual oleh CNBC International sebelum menghadiri majlis makan malam ASEAN Business Awards 2018 di The Ritz Carlton.

Selain Saifuddin, turut mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking serta pegawai kanan daripada Pejabat Perdana Menteri dan Wisma Putra.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dr Mahathir ucap Selamat Hari Deepavali

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua penganut agama Hindu di Malaysia yang akan meraikan perayaan itu.

“Sepertimana apabila perayaan yang diraikan oleh rakyat Malaysia yang lain, ianya dikongsi bersama dalam erti kata kita turut berkongsi kegembiraan yang dirasakan oleh rakan kita yang lain agama ataupun bangsa,” ​katanya dalam perutusan Deepavali yang dimuat naik menerusi video di Twitter dan Facebook beliau.

Katanya Hari Deepavali ini juga tidak berbeza walaupun ia perayaan bagi penganut agama Hindu, rakyat Malaysia yang lain turut merasakan kegembiraan tersebut kerana ia mencermin ketenangan dan rasa selesa yang dapat dikongsi bersama.

“Perasaan sebegini memberi makna kepada ungkapan hormat-menghormati dan perpaduan di dalam perbezaan atau ‘unity in diversity’.

“Atas semangat ini, saya mengucapkan Selamat Hari Deepavali dan berharap sambutan kali ini memberi harapan kepada hari depan yang lebih bermakna,” katanya.

Dr Mahathir berkata Hari Deepavali yang merupakan ‘pesta cahaya’ dan turut diperertikan sebagai perayaan di mana kebaikan mengalahkan kejahatan diharap memberi makna yang besar kepada penganut agama Hindu di Malaysia pada tahun ini.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
GLOBAL

Mahathir dianugerah ijazah kehormat oleh University of Tsukuba

TOKYO 6 NOV: Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dianugerahi ijazah kehormat doktor falsafah oleh University of Tsukuba di sini pada Isnin.

Penganugerahan ijazah kehormat itu, yang merupakan pengiktirafan tertinggi universiti berkenaan terhadap sumbangan Mahathir dalam mempertingkatkan pertukaran dalam bidang penyelidikan dan pendidikan di peringkat antarabangsa, semasa lawatan beliau ke kampus Tokyo universiti itu di sini.

Ijazah kehormat itu disampaikan Presiden universiti berkenaan, Prof. Kyosuke Nagata.

Terdahulu, sebelum majlis penyampaian anugerah itu berlangsung, Mahathir mengadakan pertemuan dengan Nagata.

Perdana Menteri hari ini memulakan lawatan rasmi tiga hari beliau ke Jepun, yang antara kemuncaknya adalah pengurniaan darjah kebesaran tertinggi negara Jepun ‘The Grand Cordon of the Order of the Paulownia Flowers’ oleh Maharaja Jepun di Imperial Palace di sini pada Selasa.

SUMBER: BERNAMA