Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tun M gamit pelabur di New York

NEW YORK, 27 SEPT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan pendirian mesra perniagaan Malaysia ketika beliau menggamit pelabur Amerika untuk datang melabur ke negara itu semalam.

“Secara amnya, Malaysia masih Malaysia yang sama sepertimana pada satu masa dahulu yang amat mesra dengan golongan perniagaan, negara yang menggalakkan pelaburan langsung asing dan berkembang pada asas pelaburan seumpama itu,” katanya mengenai negara yang beliau pimpin sebagai perdana menteri buat kali kedua, sejak Mei 2018.

“Ia masih sama walaupun saya tidak lagi berada dalam Barisan Nasional (BN) tetapi idea-idea masih banyak datang daripada saya,” katanya pada sesi perjumpaan dengan ahli Majlis Perniagaan Amerika Syarikat (AS)-ASEAN dan Dewan Perdagangan AS di sini.

Di samping mesra perniagaan, beliau berkata pelabur boleh menjangkakan sebuah negara yang akan mendengar keperluan sektor swasta.

Dr Mahathir mengambil perhatian bahawa Malaysia mendapat banyak pelaburan daripada luar negara dan berharap lebih banyak pelabur akan turut berbuat demikian.

Malangnya, beliau berkata setiap khabar angin walau sekecil mana pun, akan menyebabkan pelabur menarik diri dan mengheret turun pasaran saham.

“Dan kami perlu pulihkan keadaan itu, dan untuk itu, sudah tentu, kami perlu memberi jaminan kepada semua pihak bahawa Malaysia berada dalam kedudukan untuk pulih,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata dengan lebih banyak pelaburan langsung asing, Malaysia akan dapat pulih dengan lebih cepat.

Perdana menteri turut berkata, Malaysia telah meletakkan semua intrumen yang perlu dan menguruskan kewangannya dengan agak baik.

“Kami fikir kami akan jatuh bankrap tetapi kami tidak bankrap, kami masih ada wang dan masih berkembang pada 4.5 peratus setahun,” katanya.

Sejak menjatuhkan BN daripada berkuasa pada pilihan raya umum pada Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PAKAYAN) dipimpin Dr Mahathir telah mengambil pelbagai langkah untuk memastikan fiskal negara berada dalam keadaan teratur.

“Sebaik sahaja kami sedar kerosakan yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu adalah lebih teruk daripada apa yang kami jangkakan. Kerosakan itu bukan sahaja dari sudut kewangan di mana mereka meminjam lebih RM1 trilion tetapi juga jentera kerajaan telah dirosakkan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, terdapat banyak pihak dalam kerajaan ketika itu terlibat amalan rasuah dan terpaksa diberhentikan.

Dan kini, katanya, situasi ekonomi semakin baik dan kerajaan telah berjaya mengurangkan jumlah wang yang dihutang kepada semua jenis pemberi hutang.

“Tetapi ia masih membebankan kami dan telah menjejaskan keupayaan kami untuk membawa pembangunan dan membina infrastruktur di negara kami,” kata perdana menteri.

Namun, katanya Malaysia bersedia untuk beralih ke cara baharu dalam menjalankan perniagaan yang membabitkan peralatan baharu khususnya dari segi pendidikan yang memerlukan banyak wang, yang negara tidak mempunyai jumlah yang cukup.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

PM: Multilateralisme lebih bermanfaat

NEW YORK, 26 SEPT: Ancaman terbesar kepada multilateralisme adalah unilateralisme yang berlaku apabila negara-negera berkuasa memilih untuk melakukan perkara mengikut cara mereka sendiri, kata Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata dalam keadaan ini, negara berkenaan tidak akan mempertimbangkan perasaan atau memikirkan tentang negara-negara lain.

“Tetapi, oleh kerana kekuatan mereka, mereka memutuskan untuk membuat keputusan dan melakukan sesuatu perkara sendiri – demi kepentingan mereka tanpa menghiraukan orang lain yang terkesan dengan apa sahaja yang dilakukan mereka,” katanya.

Dr Mahathir yang berada di bandar raya ini untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Sesi ke-74 berkata demikian pada Forum Pemimpin Dunia di Columbia University di sini, semalam.

Mengenai bagaimana multilateralisme berjaya di Malaysia, perdana menteri menegaskan bahawa negara itu sentiasa percaya dengan penyelesaian melalui rundingan, timbang tara atau undang-undang mahkamah.

“Sekiranya kami menyokong unilateralisme, kami akan menyelesaikan masalah melalui konfrontasi dan mungkin perang. Tetapi kami tidak pernah melakukannya. Sebaliknya, kami berunding dengan negara jiran,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata perkongsian kuasa dalam kalangan pelbagai kaum yang memerintah negara juga membentuk multilateralisme bagi Malaysia.

Dr Mahathir juga memerhati bahawa dunia pada masa ini telah menjadi saling berkaitan dan semakin kecil, dengan apa yang dilakukan sesuatu negara akan mempengaruhi negara lain.

“Jadi, multilateralisme adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan sekarang. Mengakui bahawa Malaysia yang merupakan negara perdagangan sejak lama dahulu, memutuskan bahawa dunia yang lebih besar akan menjadi pasaran lebih besar. Sekarang, kami mempunyai seluruh dunia sebagai pasaran.

“Oleh kerana seluruh dunia telah menjadi pasaran, adalah penting bagi semua negara di dunia kekal aman dan stabil serta dapat menjadi rakan dagang kami,” katanya.

Dr Mahathir juga menegaskan bahawa sebarang cubaan untuk menghentikan perdagangan atau melaksanakan sekatan dan sebagainya akan memberi kesan negatif.

Apabila sekatan dikenakan, beliau berkata, ia bermaksud bukan hanya negara yang dipilih untuk dikenakan sekatan itu terjejas kerana ketidakupayaannya berdagang tetapi negara lain juga mengalami kesan kerana mereka tidak dapat melakukan perdagangan dengan negara terlibat.

Perdana Menteri menganggap situasi ini tidak akan menyumbang kepada kesejahteraan atau penciptaan kekayaan di dunia ini.

“Jadi, kita semua lebih kepada multilateralisme tetapi sudah tentu perlu ada peraturan tertentu yang mengawal sebarang tindakan kita, tetapi peraturan itu tidak boleh mengehadkan perdangangan tetapi mempromosikan lebih banyak perdagangan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

“Terima kasih Chong Wei” – Tun M dan isteri

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan rasa terharu dan sedih selepas jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mengumumkan untuk bersara daripada arena badminton, semalam.

“Saya harap dia dapat rehat dan sembuh daripada penyakit yang dihadapi olehnya.

“Saya ucap terima kasih kepada Lee Chong Wei kerana meletakkan Malaysia dalam sukan dunia sebagai ‘champion’ berkali-kali.

“Kami akan merasa kehilangan champion kita kerana Chong Wei terpaksa bersara,” kata perdana menteri menerusi ucapan berbentuk klip video di laman Twitter, Facebook dan Youtube, hari ini.

Klip video berdurasi 1 minit 58 saat itu turut memaparkan isteri perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, yang mengucapkan selamat maju jaya kepada pemain berusia 37 tahun itu.

“Tak apa Chong Wei, anda tidak beroleh peluang untuk meraih pingat emas Olimpik. Tak apa Chong Wei. Bagi saya, kesihatan itu sangat penting,” katanya.

Beliau berkata, Chong Wei membuat keputusan tepat untuk bersara kerana isteri dan dua anak lelakinya akan sentiasa berada di sisinya.

“Seperti yang anda telah nyatakan, anda kini melatih mereka (anak lelaki) untuk bermain badminton. Insya-Allah, anda akan melihat anak lelaki anda bermain badminton dan memenangi pingat emas Olimpik untuk anda apabila mereka berpeluang berbuat demikian.

“Saya ucapkan selamat maju jaya dan usah dikesalkan (walau apa pun), kerana seperti yang anda katakan, anda telah lakukan yang terbaik buat negara, diri sendiri, keluarga anda dan kami semua.

“Jadi, Chong Wei, saya doakan semoga anda dikurniakan kesihatan yang baik, dan kebahagian bersama keluarga dan dua anak lelaki anda. Terima kasih Chong Wei,” kata Dr Siti Hasmah.

Bekas pemain nombor satu dunia itu mengumumkan persaraannya selepas 19 tahun mencurah keringat sebagai pemain badminton negara.

Antara pencapaian terbaik Chong Wei adalah memenangi pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali, pada edisi Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Kali terakhir beliau merangkul kejuaraan adalah pada saingan Terbuka Malaysia 2018 yang menjadi gelaran ke-12 dalam kerjayanya.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

“Semoga ibu-ibu semua sihat, selamat hari ibu” – Tun M

 

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) — Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menzahirkan ucapan Selamat Hari Ibu kepada kaum wanita di seluruh negara.

“Selamat menyambut Hari Ibu. Saya harap ibu-ibu semua berada dalam keadaan sihat dan mendidik anak-anak dengan cara yang terbaik,” kata Dr Mahathir menerusi catatan dalam laman Twitter rasmi beliau @chedetofficial.

Turut dilampirkan bersama catatan itu ialah klip video berdurasi 32 saat yang memaparkan Dr Mahathir, 93, bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, 92, yang juga ibu kepada tujuh anak mereka.

Hari Ibu di Malaysia disambut setiap Ahad minggu kedua dalam bulan Mei setiap tahun.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Ketiadaan Tun M di Rantau, tidak perlu cetus spekulasi – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

BESTARI JAYA, 15 APR: Ketiadaan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sepanjang proses Pilihan Raya Kecil Rantau tidak perlu diperbesarkan dan dijadikan spekulasi, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, perkara terbabit tidak menjadi masalah berikutan sebelum ini Tun juga tidak hadir ke PRK Sungai Kandis.

“Namun ia langsung tidak menimbulkan sebarang masalah, tetapi sebaliknya Tun hadir ke PRK Semenyih dan PRK Cameron Highlands.

“Kehadiran Tun sebenarnya bergantung kepada keperluan semasa, saya yakin beliau sedang bekerja keras untuk memulihkan negara,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pertanyaan media ekoran spekulasi ketiadaan Tun Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu itu sepanjang proses berlangsungnya PRK Rantau.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, beliau yakin kekuatan Pakatan Harapan (PAKATAN) masih lagi padu.

“Sekarang sudah ada bibit-bibit kejayaan apabila kertas kerja FELDA sudah dibentangkan, dan banyak lagi masih dalam proses baikpulih.

“Memang keputusan atau kejayaan masih belum nampak, ini kerana kesemua pemimpin ada keutamaan pada negara,” katanya.

Categories
SELANGOR

Warkah Tun M rayu pengundi pilih calon PAKATAN

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Mandat dan kepercayaan yang diberikan rakyat kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) akan digalas sebaiknya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, malah kerajaan tidak akan mensia-siakan usaha memastikan tadbir urus negara dan kebajikan rakyat kekal terjamin.

“ Ya, saya akui memang terdapat banyak kelemahan dalam pentadbiran kerajaan. Banyak yang perlu diperbaiki dan diperbetul,” katanya dalam warkah beliau untuk pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Warkah tersebut dimuat naik dalam laman Facebooknya, hari ini.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi PAKATAN, merayu pengundi Semenyih memilih calon PAKATAN, Muhammad Aiman Zainali pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih, esok.

Beliau berkata dengan memilih calon PAKATAN iaitu parti yang membentuk kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri, penduduk Semenyih bakal mempunyai seorang wakil rakyat yang dapat menjalankan peranan dengan lebih berkesan.

“Ini termasuklah menyuarakan hasrat penduduk Semenyih mengenai keperluan pembangunan infrastruktur, pendidikan, perkhidmatan kesihatan, kebajikan, pekerjaan, pertanian dan kemajuan ekonomi setempat untuk perhatian serta tindakan lanjut oleh kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, walaupun PRK DUN Semenyih itu tidak membawa perubahan kepada kerajaan, tetapi beliau percaya pengundi telah matang dan akan memilih wakil rakyat yang bersih, cekap, amanah serta berintegriti untuk memberikan khidmat terbaik khususnya kepada penduduk Semenyih.

Beliau berkata dalam Pilihan Raya Umum ke-14, pada 9 Mei tahun lalu, pengundi Semenyih membuat pilihan yang tepat dengan mengundi PAKATAN dan hasilnya, pemerintahan kleptokrat Barisan Nasional (BN) berjaya ditumbangkan.

“Sepanjang tempoh sembilan bulan PAKATAN membentuk kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri, pelbagai usaha dilaksanakan untuk memulihkan keadaan negara serta kebajikan rakyat.

“Ini termasuk melaksanakan inisiatif-inisiatif mengurangkan kos sara hidup serta memperbetul tadbir urus negara dan menghapuskan rasuah,” katanya.

Dr Mahathir turut meminta seluruh pengundi DUN Semenyih supaya menunaikan tanggungjawab mengundi esok dan memilih calon PH.

“Sama-sama kita teruskan untuk pulihkan negara dan memelihara kebajikan rakyat,” beliau akhiri warkah tersebut.

PRK DUN Semenyih esok menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Muhammad Aiman, Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Wang Tabung Harapan tiada kaitan dengan Belanjawan 2019

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Wang Tabung Harapan tidak ada kaitan dengan Belanjawan 2019, kata Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Sebaliknya beliau berkata, tabung berkenaan tidak mempunyai tujuan tertentu melainkan hanya membantu Kerajaan menyelesaikan masalah hutang negara.

“Kerajaan akan gunakan duit berkenaan sebijak mungkin,” katanya dalam sidang media selepas Sesi Pembentangan Belanjawan 2019, hari ini.

Melalui laman facebook rasmi Kementerian Kewangan, sehingga kini Tabung Harapan berjaya mengumpul sebanyak RM196,604,966.68 sejak mula dilancarkan pada 30 Mei lalu.

Categories
NASIONAL

Letakan jawatan satu tindakan bijak

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 26 JUL: Peletakan jawatan sembilan Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) disifatkan sebagai tindakan bijak, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, tindakan itu memudahkan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad untuk membuat pilihannya.

“Perdana Menteri akan memutuskan siapa yang akan dilantik ke jawatan lembaga pengarah urusan itu.

“Biasanya perdana menteri (Tun M) akan membuat keputusan muktamad dan saya fikir kita patut biarkan hal itu atas kebijaksanaan beliau.

“Perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat kabinet semalam,” katanya.

Terdahulu, Khazanah mengeluarkan kenyataan sah berhubung peletakan jawatan sembilan ahli lembaga pengarah syarikat dana pelaburan terbabit.

Mereka termasuklah Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Nor Md Yusof.

Antara lain ialah Dato’ Seri Nazir Razak, Dato’ Dr Nirmala Menon, Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Dato’ Mohammed Azlan Hashim, Yeo Kar Peng, Tan Sri Andrew Sheng Len Tao dan Tan Sri Raja Arshad Raja Uda

Sebelumnya, Perdana Menteri mendakwa syarikat dana pelaburan terbabit menyimpang daripada objektif asal penubuhannya untuk membantu kaum Bumiputera.

Categories
NASIONAL

Anwar: Tak perlu jawatan, saya ada elaun lain…

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memerlukan sebarang jawatan dan kedudukan sebagai menteri kabinet dalam tempoh terdekat ini.

Beliau secara berseloroh berkata, tanpa gaji dan pendapatan sebagai menteri kabinet pun, sudah mampu menampung kelangsungan perjalanan politik dan kehidupan beliau.

Justeru kata Anwar, masa bersama keluarga dan sokongan di belakang kepimpinan Tun Mahathir Mohamad adalah jalan paling terbaik baginya, kini.

“Saya tak perlu berada dalam kabinet. Cukuplah Wan Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah).

“Tak perlu semua itu. Saya (ada) elaun, ada banyak kes saman saya menang.

“Kes Papa Gomo sudah ada RM1 juta, TV3 juga RM1 juta, dan minta maaf cakap, Utusan (Melayu) pun ada RM250,000 tak silap saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan ratusan penyokongnya pada Majlis Iftar, di kediamannya di Bukit Segambut, malam tadi.

Anwar sebelum ini dilapor sebagai individu terbaik yang mampu menggantikan tampuk kepimpinan negara, selepas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Walaupun begitu, Anwar sebelum ini menegaskan beliau akan berehat dalam tempoh tertentu bagi memberi ruang kepada pentadbiran Putrajaya ketika ini.

Untuk rekod, Anwar pernah berada dalam kabinet Malaysia, sebagai Timbalan Perdana Menteri di era pentadbiran Tun Mahathir, pada 1998.

Categories
NASIONAL

Netizen kecam tindakan SPR potong gambar Tun M

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 30 APR: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan gambar Tun Dr Mahathir Mohamad, pada poster kempen calon Pakatan Harapan (PAKATAN) mengundang kecaman netizen yang menyifatkannya usaha terdesak Barisan Nasional (BN).

Rata-rata komen dilontar mereka menggambarkan ketidakpuasan hati terhadap tindakan dilakukan penguatkuasa SPR memotong gambar Pengerusi PAKATAN itu.

“Mungkin mereka boleh potong gambar Tun M tetapi mereka tidak akan boleh memadam Tun M yang ada dalam hati rakyat yang sayangkan negara,” kata Abdul Samad dalam laman Facebook sebuah portal media.

Richard Sutha pula menyelar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dianggapnya takut berdepan cabaran mantan Perdana Menteri itu yang kini semakin mendapat tempat dan disokong rakyat.

“Kata Tun M dah tua, dah tak popular, apa pasal kecut dengan gambar dia….? ,” soalnya.

Malah netizen menyifatkan tindakan dilakukan SPR itu akan menambah lagi kebencian rakyat kepada BN menjelang hari pengundian pada pilihan raya umum ke 14 (PRU14), 9 Mei nanti.

“Bila dah goyang dengan bayang-bayang pun boleh takut. Ayuh 9 Mei kasi tukar BN jadi pembangkang negara pulak,” kata Nasarudin Abu Omar.

Najib, kata Doovey Charlie Chin, kini ketakutan melihat kebangkitan rakyat untuk menolak BN dalam PRU nanti.

“Terbukti Najib dalam ketakutan. Tsunami rakyat Malaysia akan kuburkan BN diketuai Tun M, gelombang kuat rakyat akan muncul,” coretnya.

Dilaporkan gambar Dr Mahathir dipotong penguatkuasa SPR di kawasan Parlimen Ayer Hitam, Johor selain gambarnya bersama Presiden PAKATAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama calon PAKATAN Negeri Sembilan diturunkan di negeri itu.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Lawanlah Kerajaan Kleptokrasi – Tun Mahathir

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 13 OGOS : Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menyeru masyarakat Malaysia menolak pentadbiran kleptokrasi yang terus menekan kebajikan rakyat.

Beliau berkata, rakyat mempunyai pilihan memilih pentadbiran kerajaan yang telus demi pembentukan negara yang lebih baik pada masa akan datang.

Tun Mahathir berkata, gabungan Pakatan menjadi penanda aras terbaik membolehkan pembentukan kerajaan telus dizahirkan untuk terus membangunkan Malaysia.

“Penganjuran pelbagai program akar umbi melibatkan komponen Pakatan mewujudkan peluang kepada kita untuk menjalinkan hubungan yang lebih rapat sebagai sebuah komponen yang akan bertanding dalam pilihan raya depan.

“Saya yakin, penyatuan ini mampu mengalahkan Barisan Nasional dan menolak kerajaan kleptokrasi, penyangak dan perompak,” katanya.

CP2A0838-1024x683Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berucap pada Pesta Makanan Tradisional Kelantan yang diadakan di Dewan Beringin Taman Seri Gombak, di sini, pagi ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terdahulu, negara kini dilaporkan berada dalam kemelut pentadbiran paling lemah susulan pendedahan media antarabangsa berhubung skandal kewangan membabitkan Kerajaan Persekutuan kini.

Ia termasuklah kelemahan pengurusan syarikat milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhubung kegagalan pembayaran liabiliti syarikat berkenaan.

Pandikar : Mahathir yang saran letak jawatan segera

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mendakwa demi menjatuhkan Najib Razak beliau dipujuk Tun Mahathir Mohamad untuk meletakkan jawatan dengan segera.