Categories
AGENDA NASIONAL

Kejayaan MAHB urus ISGIA Turki bukti keupayaan syarikat Malaysia

ISTANBUL, 27 JUL: Kejayaan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengurus Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGIA), lapangan terbang kedua terbesar di Turki, membuktikan syarikat dari Malaysia berkeupayaan untuk turut berjaya di negara lain, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, ini juga menunjukkan syarikat dari Malaysia mampu mengembangkan operasi mereka di luar negeri.

Katanya MAHB turut mengurus lapangan terbang di beberapa negara lain, namun ISGIA, yang dimiliki sepenuhnya oleh MAHB, adalah yang terbesar dengan 34 juta trafik penumpang setahun.

“ Ini jauh lebih besar daripada KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) sendiri. Pengurusan lapangan terbang ini sesuatu yang istimewa. Ada orang iktiraf kebolehan kita dalam bidang ini dan banyak beri peluang,” katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan rasminya ke Turki di ISGIA di sini, hari ini.

Pada 26 Julai laliu, Dr Mahathir melawat ISGIA, yang diambil alih sepenuhnya oleh MAHB pada 2014, dan melihat operasinya.

Dibuka pada Januari 2001, lapangan terbang itu juga adalah lapangan terbang kedua tersibuk di Turki selain merupakan lapangan terbang satu landasan dan terminal paling sibuk di dunia.

ISGIA, terletak kira-kira 45 km dari pusat bandar Istanbul, mencatatkan pergerakan trafik penumpang sebanyak 16.7 juta sehingga Jun lepas (separuh pertama 2019), meningkat 3.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Pada 2018, ISGIA mencatatkan pergerakan trafik penumpang 34.1 juta dan pendapatan sebanyak RM1.15 bilion.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Tun M: Malaysia-Turki rancang bina ‘super car’

ISTANBUL, 27 JUL: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau merancang menjalin kerjasama dengan syarikat dari Turki dalam pembuatan ‘super car’​​​​​ ​bagi meningkatkan lagi keupayaan industri automotif negara.

Katanya, beliau telah lama melihat keupayaan yang ada pada syarikat dari Turki itu, namun hanya sekarang perkara itu boleh dilaksanakan.

“ Saya sedar kebolehan mereka. Tetapi tiada tindakan susulan waktu itu kerana semasa saya ada maklumat berkenaannya, saya bukan Perdana Menteri, jadi terganggu sikit nak kemajuannya.

“Dan sekarang, mereka sedia berkerjasama.., bukan sahaja kereta seperti itu (super car) bahkan kereta-kereta lain,” katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan rasmi beliau ke Turki, di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen di sini, hari ini.

Dr Mahathir tiba di Ankara, ibu negara Turki, pada 24 Januari lalu untuk lawatan empat hari, dan berada di sini sejak 26 Julai.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, pertemuan beliau dengan ahli perniagaan Turki di sini pada Jumaat juga menghasilkan peluang yang baik untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan hab peniagaan di Asia Tenggara dan negara-negara lain.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia hargai kesediaan Turki tawar akses pemindahan teknologi

ISTANBUL, 27 JUL: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia menghargai kesediaan Turki untuk menawarkan peluang pemindahan teknologi terutama dalam bidang industri aero angkasa dan pertahanan.

Perdana Menteri menegaskan peluang seperti itu perlu direbut oleh Malaysia memandangkan Turki telah mencapai kejayaan yang luar biasa dalam bidang “aerospace industries”, dalam jangka masa yang pendek dan ia sesuatu yang sangat luar biasa.

“Semasa saya di sini, mereka telah menunjukkan kebolehan mereka dalam teknologi seperti pesawat, helikopter dan UAV (kenderaan aerial tanpa pemandu).

“20 tahun lalu, waktu saya datang ke sini (Turki), mereka hanya boleh assemble (memasang) pesawat F16.

“ Sekarang mereka boleh mereka bentuk, dan menguji produk mereka sendiri. Helikopter mereka nampak begitu canggih. Dalam jangka masa pendek mereka telah berjaya menguasai teknologi canggih,” katanya kepada wartawan Malaysia di akhir lawatan rasmi beliau ke Turki di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen, hari ini.

Dr Mahathir tiba di Ankara, ibu negara Turki, pada 24 Julai lalu untuk memulakan lawatan empat hari dan berada di sini sejak 26 Julai.

Dr Mahathir berkata, kerjasama yang ditawarkan agak menarik. Turki bersedia memberi akses yang baik kepada teknologi, sesuatu yang sukar untuk didapati daripada pihak lain.

“ Mereka menawarkan kerjasama dalam bidang-bidang tertentu, dan kita tidak payah mencarinya di tempat-tempat lain (negara lain).

“ Kita berpendapat peluang yang diberi perlu diambil untuk ‘leapfrog’ (memintas), untuk mencapai teknologi dalam bidang pesawat dan UAV. UAV amat penting sekali, segala-segala gunakan UAV yang dikawal dari darat. Ini telah dipamerkan Turki tentang kebolehan mereka, melakukan banyak perkara tindakan tentera,” katanya.

Perdana Menteri berkata, syarikat-syarikat Turki menunjukkan minat yang tinggi terhadap Malaysia dan ini dibuktikan dalam lawatan empat hari beliau.

“ Biasanya syarikat-syarikat yang ada teknologi canggih tak sanggup dedah kebolehan mereka tetapi di sini mereka menyatakan kesanggupan ambil engineer kita (dari Malaysia) untuk bersama mereka dalam pelbagai bidang – design, manfacturing, testing dan sebagainya.

“Kerjasama dalam bidang pertahanan amat penting bagi kita. Kita boleh menguasai teknologi tetapi ia mengambil masa yang panjang,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Turki adalah sebuah negara yang berbeza daripada kebanyakan negara Islam kerana tidak banyak negara Islam yang mencapai tahap pembangunan seperti Turki.

“Saya berpendapat bahawa mereka sudah mencapai satu tahap yang tak jauh daripada negara maju,” katanya.

Mengenai Turki kini yang tidak lagi dilihat pro-Amerika Syarikat tetapi lebih kepada blok Russia, Perdana Menteri berkata ia tidak memberi kesan kepada Malaysia jika Malaysia berbaik-baik dengan Turki.

“ Kita dulu sikit daripada Turki (berbaik dengan Russia). Kita tak beli pesawat Amerika sahaja..kita beli Sukhoi, MIG lebih awal dan ada kerjasama helikopter dengan Russia

“ Kita neutral, tak terikat. Turki adalah member NATO (North Atlantic Treaty Organisation) dan ada kekangan tertentu. Pada masa sama Eropah tak sanggup terima Turki sebagai ahli EU (Kesatuan Eropah).Nampak ada perasaan salah sangka terhadap Turki,” katanya.

-BERNAMA / Foto: Facebook Dr.Mahathir Mohamed

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Rohingnya perlu dilayan sebagai rakyat atau diberi wilayah sendiri

KUALA LUMPUR, 27 JUL: Etnik Rohingya seharusnya dilayan sebagai rakyat Myanmar atau diberikan wilayah sendiri untuk membentuk negeri, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, meskipun Malaysia secara amnya tidak mahu campur tangan dengan masalah dalaman negara lain, tetapi ia terpaksa berbuat demikian disebabkan pembunuhan beramai-ramai dan penghapusan etnik yang berlaku di Myanmar.

“Myanmar, pada masa dulu terbentuk daripada banyak negeri. Bagaimanapun, British memutuskan untuk memerintah Myanmar sebagai sebuah negara dan disebabkan itu, banyak etnik dimasukkan di dalam negara Burma.

“Dan sudah tentu ketika ini, mereka seharusnya dilayan sebagai warganegara atau dipulangkan wilayah mereka untuk membolehkan mereka membentuk negeri,” katanya dalam temuramah dengan agensi berita Anadolu di Ankara ketika lawatan empat harinya ke Turki.

Pada 2017, lebih 700,000 etnik Rohingya kebanyakannya beragama Islam, diusir dari negeri Rakhine ekoran operasi diterajui tentera, tindakan yang menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk pembunuhan dan wanita menjadi mangsa rogol beramai-ramai.

Bekas Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia PBB, Zeid Ra’ad al-Hussein memberitahu Majlis Hak Asasi Manusia, episod itu adalah ‘contoh buku teks pembersihan etnik’, menurut laman web PBB.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai penderitaan etnik Uyghur di China, Dr Mahathir berkata, Malaysia sentiasa mendokong penyelesaian sebarang konflik menerusi rundingan, timbang tara atau kedaulatan undang-undang.

“Kita seharusnya memberitahu China bahawa tolong layan mereka seperti warganegara. Meskipun berbeza agama, ia tidak seharusnya mempengaruhi layanan terhadap mereka.

“Apabila anda memilih keganasan, maka pasti amat sukar untuk mencari penyelesaian terbaik kerana tidak pernah ada kes di mana keganasan berakhir dengan kejayaan mencapai objektif,” katanya.

Mengulas mengenai perjuangan Turki menentang pengganas Pertubuhan Fetullah (FETO) di dalam dan luar negara itu, Dr Mahathir berkata, Malaysia tidak menyokong sebarang kebangkitan di mana-mana negara.

“Memang dasar kita tidak mahu dijadikan pangkalan untuk sebarang tindakan ke atas negara lain.

“Atas alasan ini, kita menutup sekolah (yang berkaitan dengan FETO) apabila mendapati ada cubaan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan untuk pemberontakan terhadap kerajaan Turki,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Malaysia-Turki perlu kerjasama pastikan isu Palestin diketengah – Tun M

KUALA LUMPUR, 27 JUL: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia dan Turki seharusnya berkerjasama memastikan isu Palestin terus diketengahkan di sebalik usaha pihak tertentu untuk cuba melenyapkan perkara berkenaan.

Dr Mahathir berkata, hanya dengan cara itu, dunia akan menghargai perjuangan berdekad rakyat Palestin menentang ketidakadilan yang dihadapi mereka.

“Ada cubaan untuk melenyapkan sepenuhnya isu ini seolah-olah ianya tidak pernah berlaku. Bagaimanapun hakikatnya, terlalu banyak ketidakadilan dilakukan ke atas penduduk Palestin,” katanya dalam temuramah dengan agensi berita Anadolu sempena lawatan empat harinya ke Turki.

Sambil menegaskan kembali kenyataan yang dibuat beliau di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) 2018, Dr Mahathir berkata punca sebenar keganasan dalam isu Israel-Palestin adalah pembentukan Israel secara haram.

Perdana Menteri berkata, tanah rakyat Palestin dirampas pada masa itu, tanpa memperdulikan penduduk yang tinggal di situ dan tanpa mendapat sebarang pandangan awam berhubung perkara berkenaan.

“Ketika itu, tanah dirampas dan diserahkan kepada Israel tanpa sebarang pertimbangan terhadap perasaan dan pemikiran penduduk yang tinggal di kawasan Palestin,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Israel sekurang-kurangnya perlu membenarkan penduduk Palestin yang menjadi pelarian ketika itu, kembali untuk mendapatkan semula harta benda mereka atau mempunyai dua kerakyatan serta menghentikan pembinaan penempatan di wilayah Palestin.

“Ini yang kita mahu… dan jika kita tahu di sebalik perkara ini, perkara yang mencetuskan keganasan?.

“Jika kita menangani perkara ini dan mengambil tindakan menghentikan ketidakadilan terhadap Palestin, saya fikir pasti tidak akan banyak berlaku keganasan atau mungkin tiada sebarang keganasan langsung di dunia,” katanya.

Dr Mahathir turut berkata, media juga tidak benar-benar mengetengah atau menceritakan bagaimana tanah Palestin dirampas untuk membina negara Israel atau bagaimana Israel berulang-ulang kali mencabuli undang-undang antarabangsa.

“Kelihatan ada perjanjian dengan media supaya tidak menceritakan masalah sebenar rakyat Palestin. Perkara ini amat jarang diketengahkan.

“Perkara utama yang kami fikir kami harus sentiasa tekankan adalah punca sebenar keganasan,” katanya.

Diminta mengulas mengenai apa yang dikatakan sebagai ‘perjanjian paling hebat abad ini’ yang diumumkan Amerika Syarikat, Perdana Menteri berkata, idea berkenaan hanya untuk menyerlahkan ‘masalah mereka di satu pihak’ dan ‘mewajarkan apa saja yang mereka lakukan.’

– BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Pasukan bola sepak negara masih berpotensi- Tun M

BANGKOK, 16 DIS: Walaupun pasukan Malaysia gagal menjuarai Piala AFF Suzuki 2018 selepas tewas dengan agregat 2-3 di tangan Vietnam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkeyakinan skuad Harimau Malaya berpotensi untuk menang pada masa akan datang.

Katanya skuad negara mempamerkan permainan yang baik.

“Saya berharap para pemain dan jurulatih kita tidak kecewa dan sebaliknya melihatnya sebagai pengalaman untuk meningkatkan lagi kebolehan mereka.

“Saya yakin dengan sedikit lagi usaha kita mempunyai potensi untuk memenangi perlawanan-perlawanan berikutnya,” kata Dr Mahathir selepas menyaksikan siaran perlawanan final kedua di antara Malaysia dan Vietnam, di sini malam tadi.

Dr Mahathir sebelum itu menghadiri majlis makan malam anjuran Universiti Rangsit (RSU).

Mengulas perlawanan itu, perdana menteri menyifatkan nasib tidak menyebelahi Malaysia.

“Walaupun mereka beberapa kali mencuba di depan gol Vietnam, entah bagaimana bola itu sampai ke pihak Vietnam dan mereka tendang jauh daripada gol mereka… dengan itu peluang untuk kita score (jaringkan gol) pun makin sukar,” katanya lagi.

Dr Mahathir berada di sini untuk menerima ijazah doktor kehormat dalam kepimpinan sosial, perniagaan san politik daripada RSU.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Old Putera sedia berkhidmat bantu kerajaan baru

OLEH SYAZWANI SUFIAN

DAMANSARA, 16 MEI: The Old Putera Association komited memberi sokongan penuh kepada kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) untuk bersama membangunkan Malaysia baru.

Presidennya, Dato’ Baharudin Mahyuddin berkata, pihaknya mengadakan sesi diaolog bersama alumni Royal Military College (RMC) atau kini lebih dikenali sebagai ahli Old Putera (OP) sebagai inisiatif bertukar pandangan serta idea bagi membantu kerajaan melaksanakan segala janji dalam manifestonya.

“Ahli kami terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama maka dari sini kita dapat berkongsi pendapat dan pandangan apa yang boleh ditambah baik kerajaan untuk kepentingan rakyat.

“Ia juga bertujuan untuk melihat segala tindakan susulan yang ingin dilaksanakan kerajaan daripada janji-janji yang dikatakan.

“Kami juga mengucapkan tahniah kepada kejayaan PAKATAN yang berjaya menubuhkan kerajaan dan kita bersedia memberi sokongan penuh dan membantu mereka melaksanakan segala dasar dibuat,” katanya.

Sementara itu, salah seorang ahli OP yang merupakan Pengerusi Sutra Foundation, Datuk Ramli Ibrahim berkata, semua ahli OP mengambil berat segala perubahan pada negara dan mereka mahukan yang terbaik untuk rakyat Malaysia.

Manakala bagi Kapten Air Asia X, Chong Hin Loy, 62 pula melahirkan rasa gembira apabila kerajaan Malaysia kini berada di bawah pimpinan idolanya iaitu Tun Dr Mahathir Mohamed.

“Kemenangan PAKATAN adalah perkara yang amat mengembiranakn kami disamping kami dapat melihat kebangkitan tsunami rakyat yang mahukan perubahan dan kerajaan yang lebih baik.

“Tun Mahathir ibarat ‘superhero’ dan idola yang bagi saya tiada orang lain mampu bergerak aktif mentadbir negara seperti beliau sekarang dengan usianya yang telah mencecah lebih 90 tahun” katanya.