Categories
AGENDA NASIONAL

Permaisuri Agong berangkat ke Istiadat Pengebumian Negara Tun Rahah

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Istiadat Pengebumian Negara Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah di Masjid Negara hari ini.

Keberangkatan tiba baginda pada kira-kira 2 petang disambut isteri Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, sebelum diiring ke bilik menunggu sementara menanti ketibaan jenazah.

Sementara itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat tiba di masjid berkenaan pada 2.10 petang.

Turut kelihatan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim.

Hadir sama beberapa menteri kabinet, antaranya Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Tun Rahah, 87, meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court petang semalam.

Terdahulu, jenazah Allahyarhamah dibawa ke Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi untuk dimandikan dan dikafankan serta diberikan penghormatan terakhir sebelum dibawa ke Masjid Negara.

Tun Rahah Mohamed Noah, isteri kepada Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak meninggal dunia pada 18 Mac 2020. Foto BERNAMA

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan zahir takziah, sifatkan Tun Rahah isteri terbaik

SHAH ALAM, 19 DIS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyifatkan Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah isteri terbaik kepada seorang perdana menteri dan ahli politik.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah keperibadian Allahyarhamah yang dikenali baginda sejak 1968 wajar menjadi contoh kepada semua pihak.

Baginda turut berharap jasa Allahyarhamah dikenang rakyat dan sifat murninya diteladani.

“Baginda mengenang kembali keperibadian Allahyarhamah yang mudah mesra dan sering tersenyum serta menjadi tulang belakang dan pendorong utama karier politik Allahyarham Tun Abdul Razak semasa hayatnya.

“Baginda turut mengagumi ketabahan Allahyarhamah sebagai seorang ibu yang berjaya membesarkan anak-anaknya sejak kehilangan suami tercinta pada 1976,” titah baginda melalui Facebook Selangor Royal Office.

Sultan Selangor turut menzahirkan rasa sukacita apabila perdana menteri bersetuju memberikan penghormatan Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara.

Sebelum itu, baginda bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Tun Rahah di Masjid Ar-Rahah, Kerinchi.

Tun Rahah, 87, yang juga ibu kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court petang semalam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor, Tengku Permaisuri berkenan ziarah jenazah Tun Rahah

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berangkat tiba di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, tiba di masjid berkenaan pada jam 9.20 pagi dan berangkat pulang sejam kemudian.

Turut berangkat tiba ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Menurut Bernama, antara tetamu kenamaan yang hadir ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Tun Rahah, 87, yang juga ibu kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court petang semalam.

Jenazah akan dimandi dan dikafankan di Masjid Ar-Rahah sebelum dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Tun Rahah

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Tun Rahah Mohamed Noah yang telah kembali ke rahmatullah petang tadi.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarhamah yang merupakan balu kepada Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein dan berharap seluruh keluarga Rahah sabar dan tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut satu kenyataan menerusi Instagram Istana Negara hari ini.

Allahyarhamah, yang juga ibu kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, meninggal dunia ketika dalam rawatan di sebuah hospital swasta di sini.

Al-Sultan Abdullah berkesempatan berangkat menziarahi Allahyarhamah di hospital tersebut semalam.

Rahah, 87, berkahwin dengan Abduk Razak pada 4 September 1952 dan dikurniakan lima anak lelaki iaitu Najib, Datuk Seri Mohamed Nazir, Datuk Ahmad Johari, Datuk Mohamed Nizam serta Datuk Mohamed Nazim.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar ucap takziah atas pemergian Tun Rahah

SHAH ALAM, 18 DIS: Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan takziah kepada Datuk Seri Najib Razak dan keluarga atas pemergian Tun Rahah Mohamed Noah, hari ini.

Menerusi Facebook, Presiden KEADILAN melahirkan kesedihan dengan berita kematian ibu mantan perdana menteri itu.

“Innalillahiwainnailaihirojiun. Baru terima berita sayu isteri kepada mantan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussien yakni Tun Rahah Mohamed Noah telah pergi dijemput Ilahi.

“Takziah kepada Najib Razak sekeluarga. Saya turut bersedih dan mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat,” katanya.

Tun Rahah, 87, sebelum ini dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court untuk rawatan.

Berita pemergiannya disahkan Najib menerusi Facebook.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tun Rahah meninggal dunia pada usia 87 tahun

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Tun Rahah Mohamed Noah, isteri kepada Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak meninggal dunia hari ini.

Perkara itu disahkan oleh anaknya yang juga merupakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi laman sosial sebentar tadi, lapor Bernama.

“Innalillahiwainnailaihirojiun, bonda saya sudah tiada. Kami sekeluarga di hospital. Kesedihan dan air mata mengalir, tiada kata-kata untuk kehilangan ini,” tulisnya di Facebook.

Tun Rahah, 87, sebelum ini dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court untuk rawatan.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengucapkan takziah kepada Najib atas pemergian ibu tersayang.

“Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga penuh nikmat. Al Fatihah,” tulisnya di Twitter.