Categories
AGENDA NASIONAL

Hati-hati pihak tawar visa urus sendiri tunai haji

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Orang ramai diingatkan untuk berhati-hati dan tidak sesekali berurusan dengan pihak yang menawarkan visa diurus sendiri untuk menunaikan haji berikutan kerajaan menangguhkan penghantaran jemaah haji Malaysia untuk menunaikan ibadah itu pada tahun ini.

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan hari ini menyatakan penangguhan itu turut melibatkan semua bakal haji termasuk yang bercadang menggunakan visa yang diuruskan sendiri iaitu visa furada.

“Pada masa ini, kerajaan telah mengawal perjalanan ke luar negara kepada semua rakyat Malaysia ekoran wabak Covid-19 yang melanda dunia …wabak ini telah menyebabkan banyak sektor ekonomi dan perniagaan terkesan, bukan hanya kepada mereka yang mengendalikan haji dan umrah.

“Kerajaan telah menangguhkan (penghantaran jemaah haji Malaysia untuk menunaikan) ibadat haji tahun ini kerana mementingkan keselamatan dan kesihatan bakal jemaah khususnya dan rakyat Malaysia amnya,” menurut kenyataan itu yang merujuk kepada dakwaan 51 agensi pengelola haji swasta yang mengalami kerugian besar akibat keputusan penangguhan itu.

Kenyataan itu menyebut untuk musim haji 1441 Hijrah (2020), TH telah meluluskan lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) kepada 24 syarikat agensi pelancongan sahaja dan sehingga kini, seramai 2,200 bakal haji telah memilih untuk menunaikan haji menggunakan perkhidmatan pakej PJH yang dilesenkan oleh TH dan anak syarikatnya iaitu TH Travel & Services (THTS).

Menurut TH, tiada sebarang kuota khas diperuntukkan kepada mana-mana PJH atau mana-mana agensi pelancongan swasta.

“Berikutan nasihat Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada 6 Mac 2020 untuk menangguhkan sebarang komitmen kewangan bagi musim haji tahun ini, TH turut memaklumkan perkara yang sama kepada semua 24 syarikat PJH untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Maklum balas yang diterima daripada PJH, mereka semua telah membuat perancangan sewajarnya berkaitan sewaan hotel penginapan manakala urusan penerbangan belum dimuktamadkan,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Keputusan tunai haji diumum selepas raya – Dr Zulkifli

PUTRAJAYA, 21 MEI: Keputusan sama ada rakyat Malaysia boleh menunaikan ibadat haji pada tahun ini akan diumumkan selepas Aidilfitri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata Malaysia masih menunggu pengumuman rasmi Arab Saudi sebelum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.

“Jawapan kita bergantung kepada bagaimana kenyataan daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

“Kita juga akan berbincang secara khusus dalam melaksanakan yang itu (haji) sekiranya dibenarkan… keputusan itu akan diumumkan selepas mendapat satu jawapan yang rasmi daripada pihak Arab Saudi,” katanya kepada media selepas menyaksikan penyerahan sumbangan CIMB Islamic Bank kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank Ahmad Shahriman Mohd Shariff menyampaikan sumbangan wang tunai RM150,000 kepada Yang Dipertua YADIM Nik Omar Nik Abd Aziz.

Nik Omar berkata sumbangan CIMB Islamic Bank adalah untuk program YADIM Peduli: Musa’adah Covid-19 dan ia bakal diagih kepada kumpulan asnaf, B40, petugas barisan hadapan dan golongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19, termasuk kumpulan khas iaitu kluster tabligh dan mahasiswa.

Program Musa’adah Covid-19 bermula pada Mac lepas dan sehingga kini, sebanyak 9,732 orang telah menerima bantuan berbentuk wang tunai serta barangan keperluan asas yang membabitkan peruntukan sebanyak RM480,280.

– BERNAMA