Categories
AGENDA NASIONAL

Raja Permaisuri Agong zahir ucapan terima kasih kepada petugas hadapan wanita

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas kerja keras yang ditunjukkan pekerja wanita di negara ini, terutamanya petugas barisan hadapan dalam menangani pandemik Covid-19.

Tunku Azizah bertitah petugas barisan hadapan seperti jururawat, doktor dan polis merupakan benteng negara dalam memutuskan rantaian wabak Covid-19 dengan menabur khidmat secara penuh ikhlas, amanah, berkesungguhan dan bersemangat juang.

“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Wanita buat semua rakyat dan wanita seluruh negara Malaysia.

“Semoga Hari Wanita tahun ini memberi keinsafan buat kita semua untuk terus berusaha menangani segala cabaran terutama musibah wabak Covid-19,” titah Tunku Azizah sempena Majlis Pelancaran Sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-59 secara maya, hari ini.

Majlis sambutan bertemakan ‘Wanita Berjuang Menghapus Covid-19’ itu adalah anjuran bersama Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO).

Dalam titah ucapan itu, Tunku Azizah berharap masalah pendapatan, kesihatan fizikal dan mental, keselamatan serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan wanita diberi perhatian.

“Saya memandang berat tajuk forum yang dianjurkan NCWO sempena Hari Wanita tahun ini setelah kita melalui kesulitan wabak Covid-19, amat tepatlah masanya untuk kita bersama-sama mencari jalan untuk memulihkan negara dengan segera.

“Khususnya bagi meningkatkan kualiti hidup kaum wanita dan keluarga mereka dengan segera, seterusnya masyarakat sekeliling. Carilah jalan terbaik termasuk penggunaan teknologi untuk tingkatkan mutu kehidupan,” titah baginda.

Tunku Azizah turut berharap wanita diberi kemudahan dalam menjalankan tugas untuk memajukan kedudukan kaum wanita di negara ini.

Seri Paduka turut menzahirkan ucapan syabas kepada semua wanita yang telah memberi sumbangan sukarela semasa musibah Covid-19 melanda negara termasuk menyalurkan barang makanan, keperluan harian, khidmat kaunseling dan bantuan kepada warga emas, Orang Kurang Upaya serta kanak-kanak.

“Telah sampai ke pengetahuan saya bahawa sejak Perintah Kawalan Pergerakan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) wanita telah banyak beri sumbangan dalam membanteras wabak Covid-19.

“NCWO pula telah mengutip derma untuk membekalkan pakai pelindung diri bagi wad Covid-19 Pediatrik termasuk pakaian, sarung tangan dan kaki serta penutup muka. NCWO juga telah menyumbang alat bantuan pernafasan termasuk monitor, pelitup wajah dan kotak intubasi kepada beberapa hospital kita,” titahnya.

Dalam pada itu, semasa sesi webinar, Ahli Jawatankuasa Pengurusan NCWO Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berkata kajian mendapati satu daripada 100 wanita hamil dijangkiti virus Covid-19 di negara ini.

Katanya angka itu membimbangkan berikutan kebanyakan ibu mengandung yang meninggal dunia didapati tidak mengambil vaskin atau lengkapkan vaksinasi mereka.

“Individu yang meninggal dunia akibat Covid-19 adalah mereka yang ambil vaksin tidak lengkap, dua orang telah meninggal dunia. Ini bermakna individu yang meninggal dunia adalah mereka yang tidak mengambil vaksin.

“Ini kadang kala bukan kerana mereka tidak mahu divaksin sebaliknya pengaruh orang sekeliling seperti suami dan ibu,” katanya.

Justeru kesedaran mengenai kepentingan pengambilan vaksin Covid-19 perlu dipergiatkan dalam kalangan wanita terutama mereka yang sedang hamil.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah atas kemangkatan Putera Philip

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada Ratu Elizabeth II dan kerabat diraja Britain atas kemangkatan suami tercinta, Putera Philip, Duke of Edinburgh.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua bertitah Putera Philip akan sentiasa dikenang oleh baginda berdua, kerajaan dan rakyat Malaysia atas sokongan teguh baginda terhadap Ratu Elizabeth II, komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada Komanwel yang Malaysia adalah anggotanya dan usaha baginda untuk menggalakkan hubungan yang lebih erat antara United Kingdom dan Malaysia.

“Ingatan dan doa dititipkan kepada baginda Ratu, kerabat diraja dan rakyat Britain yang turut merasai pemergian Putera Philip,” menurut kenyataan itu.

Istana Buckingham mengumumkan kemangkatan Putera Philip pada usia 99 tahun di Istana Windsor.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong, Raja Permaisuri ucap selamat menyambut Thaipusam

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengucapkan selamat Hari Thaipusam kepada semua penganut Hindu yang menyambut perayaan itu hari ini.

Kedua-dua Seri Paduka Baginda menyampaikan ucapan tersebut menerusi satu hantaran di akaun Facbook Istana Negara, semalam.

“Pada hari yang bermakna ini, beta berdua mengucapkan selamat menyambut perayaan ini dengan penuh keceriaan dan aman kepada semua penganut Hindu,” menurut hantaran tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Tun Rahah

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Tun Rahah Mohamed Noah yang telah kembali ke rahmatullah petang tadi.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarhamah yang merupakan balu kepada Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein dan berharap seluruh keluarga Rahah sabar dan tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut satu kenyataan menerusi Instagram Istana Negara hari ini.

Allahyarhamah, yang juga ibu kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, meninggal dunia ketika dalam rawatan di sebuah hospital swasta di sini.

Al-Sultan Abdullah berkesempatan berangkat menziarahi Allahyarhamah di hospital tersebut semalam.

Rahah, 87, berkahwin dengan Abduk Razak pada 4 September 1952 dan dikurniakan lima anak lelaki iaitu Najib, Datuk Seri Mohamed Nazir, Datuk Ahmad Johari, Datuk Mohamed Nizam serta Datuk Mohamed Nazim.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Semua persatuan harus ganding bahu perkasa wanita

GEORGE TOWN, 20 DIS: Semua persatuan wanita dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa seharusnya bergandingan bersama dan bersepakat dalam membantu memperkasakan kaum wanita, titah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Baginda bertitah semua persatuan wanita juga perlu bekerjasama menjalankan aktiviti dan mengadakan perjumpaan bersama bagi memperkasakan kaum hawa di persada dunia.

“Kita mesti sepakat untuk perkasakan wanita, jangan jika Puspanita, puspanita sahaja…Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI), WI sahaja. Semua perlu bergabung bekerjasama dalam aktiviti bagi memperkasakan lagi wanita di kalangan masyarakat,” titah baginda pada majlis santapan tengah hari bersama kepimpinan wanita Pulau Pinang di Shangri-la Rasa Sayang Resort & Spa, Batu Ferringhi dekat sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri isteri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Toh Puan Majimor Shariff dan isteri Ketua Menteri Tan Lean Kee.

Dalam titahnya, baginda turut mengimbau kenangan menginap di bilik sama di Shangri-la Rasa Sayang Resort semasa menemani bondanya ke Pulau Pinang 35 tahun yang lepas.

“Hari ini saya datang menginap bilik sama semasa menemani bonda di sini 35 tahun yang lalu dan hari ini saya di hotel yang sama sebagai Permaisuri…kuasa Allah ya…,” titah Tunku Azizah.

Tunku Azizah bertitah Pulau Pinang amat sinonim dengan diri baginda kerana baginda sebenarnya kerap datang ke negeri ini secara tidak rasmi dan menurut baginda, Pulau Pinang merupakan tempat baginda mencari ilham dalam menghasilkan buku resipi masakannya.

“Sebenarnya saya kerap datang ke Pulau Pinang secara senyap-senyap, tak nak beritahu sesiapa kerana saya ke sini mahu menumpukan pada buku resipi. Buku resipi ini ditulis di sini dan dicetak di Pulau Pinang.

“Jika saya ke Pulau Pinang saya suka menginap di G Hotel, Jalan Gurney sebab bila malam saya akan turun makan durian, rojak buah, pasembor. Kalau siang pula setiap hari saya akan makan nasi bungkus, nasi lemak dari Restoran Minah…tiap-tiap hari itulah kerja saya,” kongsi Raja Permaisuri Agong diiringi senyuman ketawa para hadirin.

Seusai majlis santapan tengah hari itu, Tunku Azizah kemudian meluangkan masa beramah mesra bersama Persatuan Chef Pulau Pinang.

Baginda yang sememangnya terkenal dengan kehebatan memasak meluangkan masa hampir dua jam pada majlis itu dan turut berkenan memasak menu Penang asam laksa, nyonya acar awak, dangai dan loyang bersama chef berkenaan.

Sementara itu, Mohd Bakri Mohd Said dari Persatuan Chef Pulau Pinang berkata persatuan itu teruja dengan kesudian Tunku Azizah untuk hadir bertemu dengan persatuan itu.

Menurutnya, mengenali dan bertemu Raja Permaisuri Agong dengan lebih dekat, beliau dapat melihat kemesraan baginda bersama rakyat.

“Baginda juga tidak lokek dengan ilmu masakan. Macam tadi kami masak Penang asam laksa, Raja Permaisuri Agong beritahu tambah nanas ia akan menjadikan menu bertambah sedap. Kami kemudian menambah nanas dalam masakan ternyata amat lazat sekali masakan.

“Selain itu, saya juga sempat meminta resepi sambal belacan permaisuri yang sememangnya enak, Raja Permasuri Agong terus memberikan resipi itu,” katanya kepada Bernama.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Raja Permaisuri Agong berkenan lawat Muzium British

LONDON, 14 DIS: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat Muzium British, muzium awam kebangsaan pertama di dunia, pada Sabtu.

Baginda meluangkan masa kira-kira dua jam, melihat antara lain pameran ‘Inspired by the East: How the Islamic World Influenced Western Art’ yang dianjurkan bersama Muzium Kesenian Islam Malaysia.

Barang pameran dari Eropah, Amerika Utara, Timur Tengah dan Afrika Utara termasuk seramik, fotografi, kaca, barang kemas dan pakaian serta lukisan adalah antara yang dipamerkan pada pameran yang diadakan dari 10 Oktober hingga 26 Januari tahun hadapan.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Muzium, Jonathan Williams.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah and Tunku Azizah sedang dalam rangka lawatan khas di United Kingdom (UK) sehingga 16 Disember ini.

Lawatan khas ke UK adalah lawatan keempat Al-Sultan Abdullah selepas lawatan Seri Paduka ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Jepun masing-masing pada Jun, Julai dan Oktober lepas, selepas mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Januari.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tunku Azizah wanita pertama dimasyhur Ketua Perlembagaan UIAM

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tidak dapat menahan sebak tatkala dimasyhurkan sebagai Ketua Perlembagaan (Canselor) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang kedua.

Perasaan itu terzahir ketika Tunku Azizah bertitah selepas dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pemasyhuran Raja Permaisuri Agong sebagai Ketua Perlembagaan (Canselor) UIAM, hari ini.

Tunku Azizah menjelaskan diri baginda sangat dekat dengan UIAM sejak Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, yang pertama memegang jawatan itu sejak penubuhan universiti tersebut pada 1983.

“Beta amat tersentuh dan bersyukur untuk meneruskan legasi Almarhum Paduka Ayahanda yang, sebagaimana anda semua tahu adalah Ketua Perlembagaan UIAM selama 35 tahun.

“UIAM amat dekat dengan hati beta, sejak Almarhum Paduka Ayahanda memegang jawatan itu, beta telah mengikuti dengan dekat perkembangan dan kemajuan universiti unik dan istimewa ini – Taman Ilmu dan Akhlak,” titah baginda.

Tunku Azizah yang kelihatan terharu turut meminta hadirin membacakan Al-Fatihah buat Almarhum Sultan Ahmad Shah, menjadikan Dewan Utama Pusat Kebudayaan UIAM hening seketika.

Momen indah yang bersejarah itu turut disaksikan anakanda pasangan diraja iaitu Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser, Tengku Puteri Raja Puteri Iman Afzan and Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Pemashyuran bersejarah itu menjadikan Tunku Azizah sebagai wanita pertama yang memegang jawatan tertinggi dalam struktur organisasi pentadbiran UIAM.

Sebelum ini, jawatan tertinggi pernah dipegang wanita dalam pentadbiran UIAM adalah sebagai Rektor yang disandang oleh Profesor Datuk Dr Zaleha Kamaruddin pada 2011.

Prof Zaleha, yang merupakan Rektor kelima, mengambil alih jawatan berkenaan menggantikan Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid yang tamat perkhidmatan pada tahun sama.

Pada istiadat pemasyhuran itu, Tunku Azizah menyarung jubah diperbuat dari kain tenun Pahang Diraja, yang direka khas dengan corak dilakar oleh baginda sendiri.

Berwarna ungu, material tenunan jubah yang dihasilkan sendiri oleh penghuni Penjara Penor, Pahang itu turut mendapat sentuhan magis jahitan pereka fesyen kegemaran Tunku Azizah iaitu Datuk Rizalman Ibrahim.

Tunku Azizah, 59, berkenan menerima watikah pengisytiharan sebagai Ketua Perlembagaan UIAM daripada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di Istana Negara pada Jun lepas.

Tunku Azizah dilantik memegang jawatan itu tempoh lima tahun berkuat kuasa 12 April 2019.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Raja Permaisuri Agong dimasyhur Canselor UIAM

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini dimasyhurkan sebagai Ketua Perlembagaan (Canselor) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Watikah pemasyhuran itu dibacakan dan dipersembahkan kepada baginda oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersempena dengan majlis konvokesyen ke-35 UIAM yang dijadualkan esok.

“Beta dengan ini mengisytiharkan, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Marhum Al-Mutawakil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, sebagai Ketua Perlembagaan UIAM.

“Semoga Allah memberikan Seri Paduka Baginda segala kemudahan, keberanian dan kekuatan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Perkara 23 (1) Perlembagaan UIAM, ketua perlembagaan universiti hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Tunku Azizah, dalam titah ucapan baginda berjanji akan mempertahankan dan melindungi falsafah suci, visi dan misi yang termaktub dalam perlembagaan UIAM.

“Sejak sekian lama, beta mengagumi visi dan misi UIAM dan kisah kejayaannya dan beta yakin kejayaan hebat UIAM adalah tanda Barakah daripada Allah yang telah merahmati universiti ini dengan warisannya dalam menggabungkan ilmu dengan sains manusia,” titah baginda.

Tunku Azizah mahu universiti itu mendukung slogannya ‘Leading the Way’ untuk ummah khususnya dan kemanusiaan amnya untuk terus maju dan menyumbang kepada dunia.

“Mari kita semua saling berganding bahu dalam menjadikan Quran sebagai pegangan untuk menjadikan UIAM terus sejahtera demi Allah dan mendoakan universiti ini berjaya mengharungi pelbagai cabaran dan halangan semasa dan di masa depan,” titah baginda.

Tunku Azizah, 59, merupakan wanita pertama dilantik bagi jawatan itu, menerima watikah pengisytiharan sebagai canselor baharu itu daripada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di Istana Negara pada Jun lepas. Pelantikan itu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 12 April 2019.

Jawatan itu sebelum ini dipegang oleh Sultan Pahang kelima, Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, yang mangkat pada 22 Mei lepas.

Turut hadir pada upacara itu ialah Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser, Tengku Puteri Raja Puteri Iman Afzan dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Presiden UIAM, Prof Datuk Dr Mohd Daud Bakar; Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan beberapa pemimpin tertinggi universiti itu turut hadir pada upacara itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Permaisuri: Jangan tekan anak keterlaluan dalam pelajaran

KUANTAN, 17 NOV: Ibu bapa dan guru disaran untuk tidak menekan anak-anak secara keterlaluan dalam perihal pelajaran kerana dibimbangi boleh memberi kesan psikologi kepada anak tersebut.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, perkara itu dibimbangi akan menyebabkan anak itu mengalami tekanan atau depresi sehingga membawa kepada kejadian lebih buruk.

Seri Paduka bertitah, anak-anak hanya melalui zaman kanak-kanak sekali dan ada masanya perlu diberikan masa untuk bermain dan menikmati masa gembira, dengan pengawasan daripada ibu bapa dan dibantu oleh guru.

“Biar mereka bermain supaya bila sudah dewasa, dia (anak) mempunyai kenangan pernah berbuat begini, begitu…tidaklah dia teringat asyik kena belajar atau menghafal sahaja.

“Begitu juga kalau saya asyik bawa pulang homework (kerja sekolah), Bah (ayahanda Seri Paduka, Almarhum Sultan Iskandar) akan bertanya bila saya hendak meluangkan masa berborak dengan Bah kerana asyik belajar sahaja,” titah Seri Paduka.

Raja Permaisuri Agong bertitah demikian semasa berucap pada Majlis Apresiasi Pendidikan Kali ke-16 Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Azizah di Indera Mahkota di sini, hari ini, yang turut dihadiri isteri Menteri Besar Pahang, Datin Seri Burhah Mohammed dan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Datuk Dr Tajuddin Mohd Yunus.

Pada majlis itu, Seri Paduka juga berkenan mencemar duli mengurniakan 149 anugerah kecemerlangan kepada 145 penerima, tujuh anugerah cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2018 dan 11 anugerah Tokoh Murid.

Tunku Azizah sambil tersenyum ke arah Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah Al-Sultan Abdullah yang berada di hadapan baginda, bertitah semasa kecil, anakanda bongsu itu sesekali, ada bertanya jika dibenarkan untuk tidak ke sekolah pada hari tertentu.

Ibu bapa juga walaupun sibuk, tambah Seri Paduka perlu sentiasa memantau pergerakan anak dan mengambil tahu rakan terdekat anak supaya mereka tidak berasa tersisih dan membawa haluan sendiri tanpa bimbingan, selain perlu mengawasi penggunaan media sosial anak.

“Walaupun anak saya bermain Twitter dan Instagram, saya tetap pantau mereka. Mereka pun kadang-kadang beritahu saya ada orang kacau (di laman sosial) dan saya beritahu untuk block (sekat) orang tersebut.

“Anak-anak kena faham supaya jangan mudah terpengaruh dengan orang dalam internet. Itu juga adalah peranan ibu bapa dan guru supaya mereka tahu ada unsur bahaya dalam laman sosial seperti ini,” titah Seri Paduka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Permaisuri Agong tekad perjuang kraftangan tradisi

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini bertitah baginda bertekad mahu memperjuangkan kraftangan tradisi dan tidak menyokong tenunan, songket dan batik yang dihasilkan menggunakan mesin.

“Kita kena mempertahan hasil kerja tangan negara kita yang begitu halus, cantik dan mengambil masa yang lama. Begitu juga dengan tikar, tekat, kelingkam, pasu, rotan dan baju kurung.

“Bukan saja kraf tradisional tetapi juga pakaian tradisional, masakan tradisional, tarian dan muzik tradisional kita….kita kena jaga sebagai warisan kita….tidak kira bangsa atau agama….itu perjuangan saya!,” titah Tunku Azizah yang lebih dikenali sebagai cheminahsayang dalam laman Twitter media sosial.

Baginda turut mengimbau kembali ketika membawa kadi dari daerah Pekan ke penjara untuk melihat tenunan yang dihasilkan oleh banduan.

“Sebelum ini dia kata tenun mahal, selepas dia melihat proses rumit dari membasuh dan mewarna benang, menerai, menganing, menyusuk, menyambung, meloseng, menenun, colek, ikat dan lain-lain…kadi terus cakap lepas ini tak minta discount dah!,” titah baginda.

Tunku Azizah turut bertitah mengenai proses menenun sepasang songket atau tenun melibatkan teknik mengusik, limar, corak-corak, butang dan colek dilakukan begitu rumit dan teliti.

Baginda pada masa sama bertitah masyarakat perlu menghidupkan kembali seni jahitan tradisional selain mengajak ibu bapa untuk mengajar anak-anak mereka mengenai kemahiran seperti mengait, menganyam dan menyulam.

“Ini adalah matlamat yang saya perjuangkan dan mahu tinggalkan sebagai warisan saya. Marilah kita lakukan ini demi Malaysia, tunjukkan kepada jiran tetangga dan banggalah dengan seni warisan kita,” titah baginda.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Tunku Azizah kurnia sumbangan peribadi pada mangsa taufan Habigis

TOKYO, 22 OKT: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan mengurniakan sumbangan peribadi baginda kepada mangsa Taufan Habigis, yang membadai Jepun baru-baru ini.

Tunku Azizah mengurniakan sumbangan itu pada Majlis Perjumpaan Bersama Sahabat Asia Pasifik Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) Jepun yang berlangsung di sebuah hotel di sini.

Pada majlis itu, Tunku Azizah, Penaung Diraja WAGGGS, juga berkenan meluangkan masa beramah mesra dengan 66 ahli Pandu Puteri Jepun.

Tunku Azizah dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berada di sini, selepas berkenan memenuhi undangan kerajaan Jepun untuk menghadiri Upacara Pertabalan Maharaja ke-126 mereka, Maharaja Naruhito di Istana Imperial hari ini.

Taufan Habigis yang membadai negara matahari terbit itu pada 12 Oktober lalu, dilaporkan mengorbankan lebih 70 mangsa.

Kejadian itu menyebabkan kerajaan Jepun memutuskan untuk menangguhkan acara perarakan Maharaja Naruhito yang sepatutnya berlangsung selepas tamat upacara pertabalan, kepada 10 November ini.

Maharaja Naruhito, 59, dimasyhurkan pada 1 Mei lalu, bagi menggantikan ayahanda baginda Maharaja Akihito, 85, yang melepaskan tahkta atas faktor kesihatan, sekaligus menjadi Maharaja pertama berbuat demikian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Raja Permaisuri Agong lancar buku Ulam-Ulaman Khazanah Negara

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan melancarkan buku ‘Ulam-Ulaman Khazanah Negara dan 1001 Khasiat’ yang menghimpunkan pelbagai maklumat mengenai ulam-ulaman tempatan.

Buku itu diterbitkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) hasil cetusan idea bekas Ketua Pengarah Fama, Datuk Ahmad Ishak ketika majlis pelancaran Kempen Ulam-ulaman Peringkat Kebangsaan pada 2017.

Keberangkatan tiba Tunku Azizah diiringi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, Pengerusi Fama Ishak Ismail dan Ketua Pengarah Fama, Zainal Abidin Yang Razalli.

Dalam titah perasmian, Tunku Azizah turut berkongsi pengalaman mengamalkan pemakanan ulam-ulaman ketika berpantang selepas bersalin.

“Selepas saya melahirkan dan semasa berpantang, memang saya hanya makan ulam-ulam seperti pegaga, kacang botol, pucuk betik dan pucuk ubi… itulah makanan saya dalam pantang.

“Bagaimanapun, dalam semua masakan saya bukan sahaja ada ulam-ulaman tetapi juga sayur-sayuran tempatan,” titah baginda.

Sementara itu, Salahuddin berkata penerbitan buku ini adalah satu usaha kementerian dalam membangunkan industrial pertanian dan asas tani di negara ini khususnya dalam meningkatkan pendapatan petani yang berkaitan ulam-ulaman dan sayur-sayuran.

“Ulam-ulaman tempatan berpotensi menjadi satu sumber kekayaan baharu yang boleh diteroka dan mewujudkan peluang besar untuk usahawan menceburkan diri mengkormersialkan sektor ini,” katanya.

Katanya, ia juga bertujuan untuk menggalakkan dan meningkatkan pengambilan ulam sebagai diet makanan harian dalam kalangan masyarakat selain mengurangkan kebergantungan kepada produk pertanian import.

“Kajian daripada Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 oleh Kementerian Kesihatan mendapati 94 peratus penduduk di negara ini tidak mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran yang mencukupi berdasarkan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut memandang tinggi pandangan Tunku Azizah berkaitan khasiat daun merunggai yang bukan sahaja boleh dijadikan ulam-ulaman tetapi juga sebagai produk penting dalam bidang kesihatan selain turut berpotensi untuk dikomersialkan.

Buka setebal 284 muka murat itu mengumpulkan 657 jenis ulam-ulaman dan dijual dengan harga RM370 bagi jenis kulit nipis dan RM400 bagi jenis kulit tebal.

– BERNAMA