Categories
AGENDA NASIONAL

Turki perkukuh kerjasama dengan Malaysia perangi keganasan

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Turki akan meneruskan kerjasama dengan Malaysia dalam usaha negara ini memerangi keganasan, termasuk memperhebat perkongsian risikan mengenai pejuang Daesh rakyat Malaysia di Syria.

Duta Turki ke Malaysia Merve Safa Kavakci berkata, kolaborasi sedemikian adalah penting dan ia akan menjadi usaha yang berterusan.

“Contoh yang baik kerjasama sedemikian berlaku beberapa ketika dahulu apabila pihak-pihak berkaitan berkongsi risikan dan mengambil bahagian dalam operasi bersama bagi menentang Daesh,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Pada Ahad, Bernama melaporkan bahawa polis kini berusaha membawa pulang kira-kira 40 rakyat Malaysia – 11 lelaki dan selebihnya wanita dan kanak-kanak – yang ditahan di Syria kerana disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan di sana.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan Cawangan Khas Bukit Aman (E8) Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dipetik sebagai berkata kesemua lelaki kini ditahan di penjara Al-Hasakah manakala wanita dan kanak-kanak ditempatkan di kem Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Kavakci berkata, ‘Operasi Peace Spring’ yang dilancarkan Turki di bahagian timur laut Syria bagi menghapuskan unsur-unsur keganasan di sepanjang sempadan Turki-Syria akan turut memberi manfaat kepada Malaysia.

“Operasi Peace Spring juga akan menyumbang kepada usaha Malaysia dalam memerangi keganasan Daesh dan kehadiran Turki di rantau ini bakal memperkukuh perkongsian risikan serta kaedah operasi terhadap pengganas Daesh,” katanya.

Beliau berkata Turki juga komited untuk menjalin kerjasama dengan negara lain bagi memudahkan penghantaran pulang kesemua pengganas Daesh yang ditahan di sempadan Syria dan untuk didakwa di negara asal mereka.

-BERNAMA

Categories
AGENDA

Turki buka peluang kerjaya untuk rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR, 9 OGOS : Sebuah firma di Turki, Mental HR Consultancy telah melancarkan projek ‘Work4Malaysia’ yang akan membuka peluang latihan dan kerjaya dalam pelbagai sektor kepada rakyat Malaysia yang berkelayakan.

Pengarah Pengurusan Bakat syarikat itu, Uğur Karaboğa berkata inisiatif itu dilancar berdasarkan persefahaman dan ilmu pengetahuan antara Malaysia dan Turki di samping berkongsi tenaga kerja berkemahiran yang dimiliki kedua-dua negara Islam yang dihormati tersebut.

Mengambil saranan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyarankan rakyat Malaysia patut ke Turki untuk bekerja dan menimba pengalaman agar mereka dapat membantu memajukan Malaysia apabila kembali ke tanah air, Karaboğa berkata beliau nampak potensi kerjasama melalui latihan dan peluang kerjaya kepada belia Malaysia dan Turki.

“Kami akan memilih calon berdasarkan kelayakan pendidikan mengikut program yang dipohon. Mereka kemudiannya perlu menduduki peperiksaan yang akan menilai keupayaan bahasa dan pengetahuan am. Calon yang berjaya melepasi semua proses tapisan akan ditawarkan tempat di syarikat bersesuaian dan memulakan kerjaya mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Mental HR akan bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dan juga pihak berkuasa dalam memastikan kejayaan “Work4Malaysia”.

Karaboğa berkata sebelum ini terdapat beberapa inisiatif yang dilaksanakan Mental HR seperti program Bahasa, Kebudayaan dan Pertukaran diadakan di Malaysia yang telah beberapa kali berjaya dilaksanakan.

Kemudian, sebahagian peserta diserap untuk menyumbang bakat mereka di beberapa syarikat utama di Turki.

Menegaskan hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan Turki boleh ditingkatkan lagi menerusi kerjasama dalam pelbagai bidang stategik seperti perdagangan dan perniagaan, pelancongan, sains dan teknologi, industri dan pendidikan, katanya: “Kini peluang yang sama terbuka kepada remaja Malaysia yang berbakat yang mahu membina kerjaya mereka di Turki.”

Untuk maklumat lanjut mereka yang berminat boleh melayari www.mentalik.com dan https://work4malaysia.com. -BERNAMA