Categories
AGENDA GLOBAL

Masjid Hagia Sophia di Turki dibuka semula selepas 86 tahun

ISTANBUL, 25 JULAI: Masjid Hagia Sophia yang terkenal di Turki dibuka semula untuk ibadah buat pertama kalinya selepas 86 tahun dengan solat Jumaat, lapor agensi Anadolu.

Monumen ikonik itu berfungsi sebagai gereja selama 916 tahun sehingga penaklukan Istanbul, dan sebuah masjid dari tahun 1453 hingga 1934 – hampir 500 tahun – dan terakhir sebagai muzium selama 86 tahun.

Salah satu bangunan bersejarah di Turki paling banyak dikunjungi pelancong tempatan dan antarbangsa, pada 1985, semasa dijadikan muzium, Hagia Sophia dimasukkan dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO.

Pada 10 Julai, sebuah mahkamah Turki membatalkan keputusan Kabinet 1934 yang menjadikan Hagia Sophia sebagai muzium, membuka jalan untuk ia digunakan kembali sebagai masjid selepas 86 tahun.

Di era baru Hagia Sophia, Pengarah Hal Ehwal Agama Turki  memantau perkhidmatan keagamaan di masjid, sementara Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan pula mengawasi kerja-kerja pemulihan serta pemuliharaan.

Khazanah seni bina itu juga  dibuka untuk pelancong domestik dan luar secara percuma.

Pada Khamis, pihak berkuasa tertinggi agama Turki melantik tiga imam dan lima muazin untuk Masjid Hagia Sophia.

Ketua Hal Ehwal Agama Turki (Diyanet) Ali Erbas berkata Mehmet Boynukalin, Ferruh Mustuer, dan Bunyamin Topcuoglu dilantik sebagai imam masjid.

Boynukalin adalah seorang profesor di Jabatan Sains Agama Universiti Marmara.

Menurut Erbas, mereka melantik ulama terkenal sebagai imam sesuai dengan tradisi Uthmaniyyah.

Selain itu Mustuer dan Topcuoglu telah memenangi pertandingan membaca al-Quran antarabangsa.

Ketika solat berlangsung, lukisan, gambar, dan mozek ditutup dengan tirai dan dibuka semula selepas selesai.

Pada Khamis, Presiden Turki melancarkan plat nama baharu Masjid Hagia Sophia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Skuad B-18 pertimbang jemputan beraksi di Turki

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Skuad Bawah 18 Tahun (B-18) negara sedang mempertimbangkan jemputan untuk menyertai Kejohanan Empat Negara di Antalya, Turki, menjelang pusingan akhir Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan, Oktober depan.

Pengurus pasukan Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata, sebarang keputusan masih belum dibuat, memandangkan pihaknya sedang meniliti potensi beberapa negara lain, sebagai destinasi terakhir untuk melakukan persiapan sebelum berlepas ke Tashkent.

Menurut beliau, keputusan sama ada skuad kendalian Brad Maloney itu boleh melakukan persiapan di luar negara, juga tertakluk kepada nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan dasar kerajaan ketika ini tidak membenarkan rakyat Malaysia ke luar negara, kecuali atas sebab-sebab tertentu.

“Kami belum dapat mengesahkan untuk menyertai kejohanan jemputan di Turki dari 2 hingga 9 Oktober ini, kerana perkara itu masih dalam perbincangan. Kami juga sedang menunggu maklum balas daripada MKN sama ada dibenar untuk ke luar negara atau tidak.

“Semua kini bergantung kepada tatacara operasi piawai (SOP) daripada MKN. Jadi perancangan masih lagi berjalan dan soal lokasi belum boleh dimuktamadkan,” katanya kepada Bernama, semalam.

Mengulas lanjut Kamarul Arffin berkata, barisan pemain dijangka dikumpulkan pada penghujung bulan ini, untuk menyertai kem latihan secara kuarantin yang menggunakan pendekatan sama seperti program Road To Tokyo (RTT), kelolaan Majlis Sukan Negara (MSN).

Pusingan akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 yang dijadual berlangsung dari 14 hingga 31 Oktober depan, menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama bekas juara, Qatar, selain negara yang sedang meningkat, Tajikistan dan Yaman.

Sementara itu, Kamarul Ariffin mengesahkan pemain tengah berusia 18 tahun yang berpangkalan di Amerika Syarikat Wan Kuzri Wan Kamal, akan menyertai kem latihan skuad B-18 kebangsaan tidak lama lagi.

“Pasti, kami sedang menunggu dan dalam proses terakhir untuk membawa pulang beliau, yang amat bersedia untuk mewakili Malaysia,” jelasnya.

Kehadiran Wan Kuzri, adik kepada bintang muda Wan Kuzain yang beraksi bersama kelab Liga Bola Sepak Utama (Major League Soccer) Sporting Kansas City, mampu memberi kelebihan kepada misi skuad B-18 negara yang menyasarkan beraksi pada Piala Dunia B-20 2021 di Indonesia.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Malaysia kongsi rasa sedih korban gempa bumi kuat di Turki

KUALA LUMPUR 25 JAN: Malaysia berkongsi kesedihan dengan rakyat Turki yang dikejutkan dengan kejadian gempa bumi kuat pada awal pagi hari ini sehingga mengorbankan nyawa, termasuk ramai yang cedera, kata timbalan perdana menteri.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Malaysia sedia menawarkan bantuan kepada negara itu jika diperlukan.

“Rakyat Malaysia bersama dengan rakyat Turki dalam tempoh sukar ini dan bersedia menawarkan bantuan disebabkan malapetaka ini.

“Doa saya bersama dengan mereka yang cedera dan keluarga mereka yang kehilangan nyawa,” katanya dalam satu kenyataan.

Gempa bumi kuat dengan magnitud 6.8 skala Richter itu berlaku di Timur Turki pada 1.55 pagi tadi (waktu Malaysia).

Gempa berpusat di bandar kecil Sivrice di wilayah timur Elazig itu sekurang-kurangnya mengorbankan 18 mangsa dan lebih 500 cedera serta menyebabkan runtuhan bangunan dan mencetuskan keadaan panik penduduk.

Categories
GLOBAL

18 maut gempa bumi kuat magnitud 6.8 landa Turki

TURKI, 25 JAN: Sekurang-kurangnya 18 maut dan lebih 500 cedera apabila gempa bumi kuat melanda Timur Turki pada jam 1.55 pagi waktu Malaysia.

RT NEWS melaporkan gegaran dilaporkan pada kekuatan 6.8 skala richter menyebabkan bangunan runtuh dan memaksa orang ramai melarikan diri.

Gegaran itu turut dirasai sejauh sempadan Syria, Lebanon, Armenia dan Iran.

Kira-kira 60 gegaran susulan berlaku selepas gempa bumi kuat itu yang berpusat 77 kilometer (km) timur dari Malatya, Turki pada kedalaman 10 km.

Pihak berkuasa Turki menghantar bantuan kecemasan ke kawasan terjejas pada masa sama suhu jatuh bawah 0 darjah celsius.

Categories
AGENDA NASIONAL

Turki sambut baik Sidang Kemuncak KL bincang isu dunia Islam

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 pada bulan depan di sini yang bakal membincangkan serta menghurai semula tamadun Islam selain mencari penyelesaian baharu bagi merungkai permasalahan dunia Islam, amat dialu-alukan Duta Turki ke Malaysia Dr Merve Safa Kavakci.

Beliau yang gembira kerana menjadi sebahagian inisiatif itu berkata, Turki akan diwakili Presiden Recep Tayyip Erdogan. Sidang kemuncak julung kali itu akan berlangsung mulai 18 hingga 21 Disember di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

“Kami, mewakili Turki, menyambut baik inisiatif yang diambil oleh Malaysia untuk membawa pemimpin dan intelektual dari dunia Islam merungkai pelbagai isu dan mengemukakan hala tuju yang akan dilaksanakan,” katanya.

Kavakci berkata, Sidang Kemuncak Kuala Lumpur bakal menjadi saluran utama kepada umat Islam untuk membincangkan agenda penting yang mempengaruhi dunia.

Selain Erdogan, Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al-Thani dan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan telah mengesahkan kehadiran.

Bertemakan “Peranan Pembangunan Dalam Mencapai Kedaulatan Negara” sidang kemuncak itu akan dihadiri oleh 450 pemimpin Islam, pemikir intelektual dan cendiakawan dari seluruh dunia.

Majlis prapelancaran sidang kemuncak itu disempurnakan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya pada Khamis.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Nahas bas di Turki: Wisma Putra tekad bantu keluarga terlibat

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Wisma Putra akan terus berhubung dan membantu keluarga seorang rakyat Malaysia yang maut dalam kemalangan di Afyonkarahisar, Turki, malam tadi, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Katanya, wakil Wisma Putra di Turki juga akan turut membantu menguruskan 10 lagi rakyat Malaysia yang cedera dalam kemalangan sama.

“Bagi yang seorang rakyat Malaysia yang meninggal kita akan tunggu dulu apa permintaan keluarga (untuk langkah seterusnya),” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Seorang rakyat Malaysia maut, manakala 10 lagi cedera setelah bas yang mereka naiki ketika mengikuti satu rombongan terlibat dengan kemalangan di Afyonkarahisar, Turki.

Kemalangan itu berlaku ketika rombongan 35 rakyat Malaysia berkenaan dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappodokya.

Bahagian Komunikasi Korporat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengesahkan bas yang terlibat dalam kemalangan itu membawa rombongan 35 kakitangannya yang sedang melancong ke negara berkenaan.

Sementara itu, seorang ahli keluarga yang tidak mahu dikenali memberitahu Bernama, pihak kedutaan sedang menguruskan proses untuk membawa balik jenazah yang dijangka memerlukan masa sekurang-kurangnya dua hari sebelum tiba di Kuala Lumpur.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Nahas bas di Turki: MB zahir ucapan takziah

SHAH ALAM, 17 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan ucapan takziah kepada kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Allahyarham Azalan Miswan yang meninggal dunia di Turki, semalam.

Katanya, beliau turut mengikuti dengan dekat perkembangan rawatan kesemua mangsa di Hospital Afyonkaranhisar.

“Allahyarham bersama 24 lagi anggota Persatuan Kebajikan Pekerja PKNS dan pasangan terbabit dengan kemalangan berdarah sewaktu dalam perjalanan bas dari Pamukkale ke Capadoccia.

“Mereka dijadualkan berada di Turki sehingga 21 Oktober ini dalam rangka lawatan tahunan mereka. Bagaimanapun, bas yang dinaiki kemalangan menyebabkan 10 penumpang tercedera,” katanya dalam kenyataan.

Amirudin turut mendoakan semua yang terbabit diberikan kesembuhan segera.

“Saya berharap jenazah yang akan diterbangkan ke Malaysia selamat dalam perjalanannya ke sini. Terima kasih diucapkan kepada semua yang membantu, terutamanya Kedutaan Besar Malaysia di Ankara. Semoga kita semua sentiasa berada dalam perlindungan,” katanya.

Dalam kenyataan lain, PKNS dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Turki dan Wisma Putra sedang berusaha membawa pulang segera semua mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Afyonkarahisar.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKNS berusaha bawa pulang mangsa kemalangan di Turki

SHAH ALAM, 17 OKT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Turki dan Wisma Putra sedang berusaha membawa pulang segera semua mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Afyonkarahisar, Turki.

Pihaknya dalam kenyataan turut mengesahkan sudah menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan sebuah bas dinaiki 35 rakyat Malaysia yang terdiri daripada kakitangan PKNS yang sedang mengikuti aktiviti percutian.

Bas yang dinaiki rombongan itu dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappadocia ketika kemalangan berlaku di Afyonkarahisar lebih kurang jam 11 pagi waktu Turki, semalam.

Seorang kakitangan PKNS, Azalan Miswan disahkan meninggal dunia manakala empat orang lagi dilaporkan mengalami kecederaan parah dan sedang mendapatkan rawatan di hospital Afyonkarahisar sementara selebihnya hanya mengalami kecederaan ringan serta berada dalam keadaan stabil.

Dalam perkembangan lain, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Azalan yang terkorban dalam kemalangan itu.

“Saya dukacita dengan laporan awal bahawa seorang rakyat Malaysia yang juga kakitangan PKNS telah meninggal dunia dalam kemalangan tersebut sementara 10 lagi mengalami kecederaan.

“Saya mengucapkan takziah buat keluarga mangsa kemalangan dan keluarga besar PKNS atas kehilangan tersebut. Semoga mereka dikurniakan kesabaran dan ketabahan untuk menerima ketentuan Allah SWT. Saya juga mendoakan supaya mangsa lain segera sembuh dan selamat.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kedutaan Malaysia di Turki serta pihak berkuasa tempatan atas bantuan segera yang disampaikan kepada rakyat Malaysia dan keluarga yang terlibat,” katanya.

Categories
AGENDA GLOBAL

Tentera Turki mara ke utara Syria

ANKARA, 10 OKT: Tentera Turki kini mara ke utara Syria dengan melancarkan serangan darat sebagai sebahagian Operasi Peace Spring, lapor agensi berita Anadolu memetik Kementerian Pertahanan pada Khamis.

“Anggota komando kami yang mengambil bahagian dalam operasi itu kini mara (ke rantau ini) di timur Sungai Euphrates di utara Syria,” kata kementerian menerusi ciapannya.

Turki melancarkan operasi itu pada Rabu untuk memastikan keselamatan di sempadan dengan menghapuskan pengganas, selain memastikan integriti wilayah Syria dan pelarian dapat kembali ke negara asal mereka.

Menurut Turki Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dan Unit Perlindungan Rakyat (YPG) adalah ancaman terbesar terhadap masa depan Syria, yang menjejaskan integriti wilayah dan struktur kesatuan negara.

Negara Turki mempunyai sempadan sepanjang 911 kilometer dengan Syria, sekian lama diancam aktiviti pengganas di timur Euphrates yang membentuk “koridor pengganas” di kawasan itu.

Turki merancang menempatkan dua juta orang Syria di Zon Keselamatan seluas 30 kilometer yang akan diwujudkan di Syria, bermula dari Sungai Euphrates ke sempadan Iraq, termasuk Manbij.

Bagaimanapun, kehadiran kumpulan pengganas seperti PKK, Parti Kesatuan Demokratik (PYD) dan YPG menghalang rancangan itu.

Turki telah membebaskan kawasan seluas 4,000 kilometer persegi di Syria daripada cengkaman kumpulan pengganas dalam dua operasi rentas sempadan berasingan sejak 2016 iaitu Operasi Euphrates Shield and Operasi Olive Branch.

Kedua-dua operasi itu selaras dengan hak negara untuk membela diri di bawah undang-undang antarabangsa.

Semasa Operasi Euphrates Shield, pasukan Turki sudah meneutralkan 3,060 pengganas Daesh.

Sejak 2016, operasi Perisai Euphrates dan Olive Branch di barat laut Syria berjaya membebaskan wilayah itu daripada cengkaman keganasan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dan Unit Perlindungan Rakyat (YPG) serta Daesh, membolehkan 400,000 rakyat Syria yang melarikan diri dapat pulang semula ke rumah mereka.

Dalam kempen keganasan lebih 30 tahun terhadap Turki, PKK – disenaraikan sebagai organisasi pengganas oleh Turki, AS dan Kesatuan Eropah – bertanggungjawab menyebabkan kematian 40,000 orang termasuk wanita, kanak-kanak dan bayi.

YPG pula di bawah organisasi PKK, cawangan Syria.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Tun M: Malaysia-Turki rancang bina ‘super car’

ISTANBUL, 27 JUL: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau merancang menjalin kerjasama dengan syarikat dari Turki dalam pembuatan ‘super car’​​​​​ ​bagi meningkatkan lagi keupayaan industri automotif negara.

Katanya, beliau telah lama melihat keupayaan yang ada pada syarikat dari Turki itu, namun hanya sekarang perkara itu boleh dilaksanakan.

“ Saya sedar kebolehan mereka. Tetapi tiada tindakan susulan waktu itu kerana semasa saya ada maklumat berkenaannya, saya bukan Perdana Menteri, jadi terganggu sikit nak kemajuannya.

“Dan sekarang, mereka sedia berkerjasama.., bukan sahaja kereta seperti itu (super car) bahkan kereta-kereta lain,” katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan rasmi beliau ke Turki, di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen di sini, hari ini.

Dr Mahathir tiba di Ankara, ibu negara Turki, pada 24 Januari lalu untuk lawatan empat hari, dan berada di sini sejak 26 Julai.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, pertemuan beliau dengan ahli perniagaan Turki di sini pada Jumaat juga menghasilkan peluang yang baik untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan hab peniagaan di Asia Tenggara dan negara-negara lain.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia hargai kesediaan Turki tawar akses pemindahan teknologi

ISTANBUL, 27 JUL: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia menghargai kesediaan Turki untuk menawarkan peluang pemindahan teknologi terutama dalam bidang industri aero angkasa dan pertahanan.

Perdana Menteri menegaskan peluang seperti itu perlu direbut oleh Malaysia memandangkan Turki telah mencapai kejayaan yang luar biasa dalam bidang “aerospace industries”, dalam jangka masa yang pendek dan ia sesuatu yang sangat luar biasa.

“Semasa saya di sini, mereka telah menunjukkan kebolehan mereka dalam teknologi seperti pesawat, helikopter dan UAV (kenderaan aerial tanpa pemandu).

“20 tahun lalu, waktu saya datang ke sini (Turki), mereka hanya boleh assemble (memasang) pesawat F16.

“ Sekarang mereka boleh mereka bentuk, dan menguji produk mereka sendiri. Helikopter mereka nampak begitu canggih. Dalam jangka masa pendek mereka telah berjaya menguasai teknologi canggih,” katanya kepada wartawan Malaysia di akhir lawatan rasmi beliau ke Turki di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen, hari ini.

Dr Mahathir tiba di Ankara, ibu negara Turki, pada 24 Julai lalu untuk memulakan lawatan empat hari dan berada di sini sejak 26 Julai.

Dr Mahathir berkata, kerjasama yang ditawarkan agak menarik. Turki bersedia memberi akses yang baik kepada teknologi, sesuatu yang sukar untuk didapati daripada pihak lain.

“ Mereka menawarkan kerjasama dalam bidang-bidang tertentu, dan kita tidak payah mencarinya di tempat-tempat lain (negara lain).

“ Kita berpendapat peluang yang diberi perlu diambil untuk ‘leapfrog’ (memintas), untuk mencapai teknologi dalam bidang pesawat dan UAV. UAV amat penting sekali, segala-segala gunakan UAV yang dikawal dari darat. Ini telah dipamerkan Turki tentang kebolehan mereka, melakukan banyak perkara tindakan tentera,” katanya.

Perdana Menteri berkata, syarikat-syarikat Turki menunjukkan minat yang tinggi terhadap Malaysia dan ini dibuktikan dalam lawatan empat hari beliau.

“ Biasanya syarikat-syarikat yang ada teknologi canggih tak sanggup dedah kebolehan mereka tetapi di sini mereka menyatakan kesanggupan ambil engineer kita (dari Malaysia) untuk bersama mereka dalam pelbagai bidang – design, manfacturing, testing dan sebagainya.

“Kerjasama dalam bidang pertahanan amat penting bagi kita. Kita boleh menguasai teknologi tetapi ia mengambil masa yang panjang,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Turki adalah sebuah negara yang berbeza daripada kebanyakan negara Islam kerana tidak banyak negara Islam yang mencapai tahap pembangunan seperti Turki.

“Saya berpendapat bahawa mereka sudah mencapai satu tahap yang tak jauh daripada negara maju,” katanya.

Mengenai Turki kini yang tidak lagi dilihat pro-Amerika Syarikat tetapi lebih kepada blok Russia, Perdana Menteri berkata ia tidak memberi kesan kepada Malaysia jika Malaysia berbaik-baik dengan Turki.

“ Kita dulu sikit daripada Turki (berbaik dengan Russia). Kita tak beli pesawat Amerika sahaja..kita beli Sukhoi, MIG lebih awal dan ada kerjasama helikopter dengan Russia

“ Kita neutral, tak terikat. Turki adalah member NATO (North Atlantic Treaty Organisation) dan ada kekangan tertentu. Pada masa sama Eropah tak sanggup terima Turki sebagai ahli EU (Kesatuan Eropah).Nampak ada perasaan salah sangka terhadap Turki,” katanya.

-BERNAMA / Foto: Facebook Dr.Mahathir Mohamed

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Malaysia-Turki perlu kerjasama pastikan isu Palestin diketengah – Tun M

KUALA LUMPUR, 27 JUL: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia dan Turki seharusnya berkerjasama memastikan isu Palestin terus diketengahkan di sebalik usaha pihak tertentu untuk cuba melenyapkan perkara berkenaan.

Dr Mahathir berkata, hanya dengan cara itu, dunia akan menghargai perjuangan berdekad rakyat Palestin menentang ketidakadilan yang dihadapi mereka.

“Ada cubaan untuk melenyapkan sepenuhnya isu ini seolah-olah ianya tidak pernah berlaku. Bagaimanapun hakikatnya, terlalu banyak ketidakadilan dilakukan ke atas penduduk Palestin,” katanya dalam temuramah dengan agensi berita Anadolu sempena lawatan empat harinya ke Turki.

Sambil menegaskan kembali kenyataan yang dibuat beliau di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) 2018, Dr Mahathir berkata punca sebenar keganasan dalam isu Israel-Palestin adalah pembentukan Israel secara haram.

Perdana Menteri berkata, tanah rakyat Palestin dirampas pada masa itu, tanpa memperdulikan penduduk yang tinggal di situ dan tanpa mendapat sebarang pandangan awam berhubung perkara berkenaan.

“Ketika itu, tanah dirampas dan diserahkan kepada Israel tanpa sebarang pertimbangan terhadap perasaan dan pemikiran penduduk yang tinggal di kawasan Palestin,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Israel sekurang-kurangnya perlu membenarkan penduduk Palestin yang menjadi pelarian ketika itu, kembali untuk mendapatkan semula harta benda mereka atau mempunyai dua kerakyatan serta menghentikan pembinaan penempatan di wilayah Palestin.

“Ini yang kita mahu… dan jika kita tahu di sebalik perkara ini, perkara yang mencetuskan keganasan?.

“Jika kita menangani perkara ini dan mengambil tindakan menghentikan ketidakadilan terhadap Palestin, saya fikir pasti tidak akan banyak berlaku keganasan atau mungkin tiada sebarang keganasan langsung di dunia,” katanya.

Dr Mahathir turut berkata, media juga tidak benar-benar mengetengah atau menceritakan bagaimana tanah Palestin dirampas untuk membina negara Israel atau bagaimana Israel berulang-ulang kali mencabuli undang-undang antarabangsa.

“Kelihatan ada perjanjian dengan media supaya tidak menceritakan masalah sebenar rakyat Palestin. Perkara ini amat jarang diketengahkan.

“Perkara utama yang kami fikir kami harus sentiasa tekankan adalah punca sebenar keganasan,” katanya.

Diminta mengulas mengenai apa yang dikatakan sebagai ‘perjanjian paling hebat abad ini’ yang diumumkan Amerika Syarikat, Perdana Menteri berkata, idea berkenaan hanya untuk menyerlahkan ‘masalah mereka di satu pihak’ dan ‘mewajarkan apa saja yang mereka lakukan.’

– BERNAMA