Categories
BERITA UTAMA

PM tiba di Turki bagi lawatan rasmi

ANKARA, 25 JULAI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di sini untuk lawatan rasmi empat hari ke Turki.

Pesawat khas yang membawa Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga pada 7.45 malam waktu tempatan (12.45 pagi Khamis waktu Malaysia).

Beliau disambut Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Turki, Datuk Abd Razak Abdul Wahab, Menteri Industri dan Teknologi Turki Mustafa Varank serta Gabenor Ankara Vasip Sahin.

Kira-kira 15 minit kemudian, pesawat khas yang membawa Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan tiba di lapangan terbang sama, dan kedua-kedua pemimpin kemudiannya mengadakan pertemuan singkat di bilik VVIP.

Dr Mahathir mempunyai jadual padat semasa di Turki, dengan pelbagai mesyuarat dan temu bual bersama media di sini dan Istanbul; bermula dengan upacara meletakkan kalungan bunga di makam Mustafa Kamal Ataturk, pengasas dan Presiden pertama Turki, di Anitkabir di sini pada Khamis.

Selepas itu, Dr Mahathir akan melawat Turkish Aerospace Industries (TAI), yang merupakan pusat teknologi Turki dalam aspek reka bentuk, pembangunan, pemodenan, pembuatan, integrasi dan sokongan kitaran hayat sistem aeroangkasa bersepadu; merangkumi platform udara sayap tetap dan sayap berputar; serta UAV dan satelit.

Pada hari sama, Dr Mahathir akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Erdogan di Kompleks Presiden di sini, diikuti mesyuarat delegasi Malaysia-Turki.

Selepas Ankara, Dr Mahathir akan terbang ke Istanbul pada pagi Jumaat.

Pesawat yang membawa beliau akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul, lapangan terbang yang diurus dan ditadbir oleh Malaysia Airports Holdings Berhad, dan Perdana Menteri akan dibawa meninjau lapangan terbang berkenaan.

Pada hari sama juga, Dr Mahathir akan menghadiri perbincangan Meja Bulat Peneraju Industri membabitkan kira-kira 35 syarikat utama Turki, dan kemudian menghadiri majlis jamuan teh dengan diaspora Malaysia di Turki.

Semasa lawatan, Perdana Menteri diiringi tiga menteri iaitu Saifuddin Abdullah, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ignatius Darell Leiking.

Lawatan rasmi Dr Mahathir ke negara itu atas jemputan Presiden Turki bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala yang sedia terjalin sejak 1964.

Turki adalah rakan ekonomi yang penting bagi Malaysia.

Pada 2018, jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencatatkan RM9.79 bilion. Eksport Malaysia ke Turki mencecah RM7.97 bilion sementara import dari Turki berjumlah RM1.82 bilion.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Utusan AS ke Syria berada di Turki untuk berunding

ANKARA, 22 JUL: Utusan khas Amerika Syarikat (AS) ke Syria kini berada di Turki untuk berunding dengan para pegawai berkaitan isu Syria, pencegahan keganasan dan keselamatan, lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan Jabatan Negara AS pada Ahad.

James Jeffrey, yang juga berkhidmat sebagai utusan khas AS bagi Gabungan Global untuk Menewaskan Daesh, akan mengadakan pertemuan pada Isnin dan Selasa dengan para pegawai Turki di Ankara.

Lawatan Jeffrey adalah atas undangan kerajaan Turki, menurut kenyataan bertulis Jabatan Negara AS.

“Duta Jeffrey mengetuai satu delegasi antara agensi untuk meneruskan perbincangan dengan para pegawai kanan Turki untuk memajukan isu kepentingan awam bersama berkaitan Syria bagi memasukkan, langkah-langkah menangani kebimbangan keselamatan Turki yang sah, pelaksanaan Resolusi Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR 2254) dalam konflik Syria, dan usaha berterusan kami bagi memastikan kekalahan ISIS (Daesh),” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Turki bimbang keputusan Moldova pindah kedutaannya di Israel

ANKARA, 14 JUN: Kementerian Luar Turki menyuarakan kebimbangannya berhubung keputusan Moldova untuk memindahkan kedutaannya di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, lapor agensi berita Anadolu.

Baitulmaqdis adalah kunci utama penyelesaian yang adil dan berpanjangan dalam isu Palestin, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Turki menyeru komuniti antarabangsa mematuhi keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Baitulmaqdis, selain menghormati status sejarah dan undang-undang bandar itu.

Perdana Menteri Moldova, Pavel Filip mengumumkan langkah itu pada Selasa dan menyifatkan keputusan berkenaan sebagai “komitmen untuk menyokong sekutunya”.

Kementerian Luar Palestin turut mengutuk keputusan itu.

Israel selama ini, berusaha meyakinkan beberapa negara supaya memindahkan kedutaan mereka dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis. Setakat ini, Amerika Syarikat (AS) dan Guatemala yang telah berbuat demikian.

Presiden Donald Trump secara rasmi mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada 6 Disember 2017 dan memindahkan kedutaannya pada 14 Mei 2018.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Venezuela cadang Turki sebagai ‘kuasa pelindung’

ANKARA, 16 MEI: Venezuela mencadangkan Turki bertindak sebagai negara yang melindungi kedutaannya di Washington, lapor agensi berita Anadolu.

“AS melantik kerajaan Switzerland sebagai kuasa melindunginya di Caracas, dan kami menghormatinya. Tetapi kita juga memerlukan kuasa asing melindungi kita,” kata duta Venezuela bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Samuel Moncada di sidang akhbar pada Rabu.

“Sebagai contoh, kami mencadangkan Turki. Tetapi mereka (AS) tidak memberikan sebarang maklum balas mengenainya,” tambah beliau.

Menurut Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik, jika hubungan antara dua negara tergugat, kedua-dua pihak boleh memilih negara ketiga sebagai kuasa yang menjadi pelindung.

Venezuela dibelenggu protes sejak 10 Januari lalu apabila pembangkang membantah Presiden Nicolas Maduro, mengangkat sumpah sebagai presiden untuk penggal kedua.

Keadaan bertambah meruncing apabila pemimpin pembangkang Juan Guaido, mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara pada 23 Januari lalu, disokong AS dan kebanyakan negara Eropah serta Amerika Latin.

Turki, Rusia, China, Iran, Bolivia dan Mexico menyuarakan sokongan padu mereka terhadap Maduro.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

Jenama barangan bayi Dalin Turki masuki pasaran Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 JAN: DKSH Holding Ltd memeterai perjanjian dengan pengeluar produk kometik dan dandanan diri Turki, Kopas Kozmetik, untuk mengimport jenama penjagaan bayi Dalin bagi memasuki pasaran Malaysia dan Brunei.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Pengurus Besar dan anggota lembaga Kopas Kozmetik, Onur Ozyurt, menzahirkan keyakinan bahawa DKSH akan dapat menyokong pertumbuhan produk penjagaan bayi ekoran rangkaian infrastrukutur dan rantaian pengedarannya yang baik, lapor BERNAMA.

Sementara itu, Naib Presiden (Barangan Pengguna Laris) DKSH Holdings (M) Bhd, Chua Chong Hoon berkata, syarikat itu akan terus menawarkan perkhidmatan terbaik untuk membawa jenama penjagaan bayi terkemuka itu memasuki pasaran tempatan.

 

Categories
GLOBAL

Rakaman pembunuhan Khashoggi mengejutkan perisik Arab Saudi: Erdogan

ISTANBUL 14 NOV: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, rakaman berkaitan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi, yang dikongsi negara itu dengan sekutu Barat ‘mengejutkan’ seorang pegawai perisikan Arab Saudi yang mendengarnya, kata laporan media tempatan semalam.

Khashoggi, pengkritik pemerintah de facto Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, dibunuh di konsulat Riyadh di sini 2 Oktober lalu dalam pembunuhan dikatakan Erdogan diarahkan ‘di peringkat tertinggi’ kerajaan negara itu.

Enam minggu selepas kematian Khashoggi, Turki cuba meningkatkan tekanan ke atas Mohammed dan mengeluarkan rentetan bukti yang menjejaskan penafian awal pembabitan Riyadh.

Mohammed bagaimanapun mendapat sokongan Penasihat Keselamatan Amerika Syarikat (AS) John Bolton, semalam yang mengatakan beliau tidak fikir rakaman pembunuhan dikongsi Turki mengaitkan putera raja itu.

Erdogan memberitahu media dalam pesawat yang kembali dari lawatan ke Perancis hujung minggu lalu, beliau membincangkan pembunuhan wartawan Arab Saudi itu dengan pemimpin AS, Perancis dan Jerman di sana, menambah Turki memainkan rakaman itu kepada sekurang-kurangnya enam negara lain.

“Rakaman itu benar-benar mengejutkan. Malah apabila pegawai perisikan Arab Saudi mendengarnya, beliau sangat terkejut hingga berkata: ‘Sesiapa yang melakukannya sudah pasti mengambil heroin, hanya seseorang yang mengambil heroin sanggup melakukan perbuatan ini,” tambahnya.

Bolton berkata, beliau tidak fikir sesiapa yang mendengar rakaman itu merumuskan putera raja terbabit dikaitkan dengan pembunuhan itu.

“Sudah pasti ia bukan tindakan diambil kerajaan Arab Saudi,” katanya di Singapura.

Sementara itu, akhbar New York Times (NYT), dalam laporan disahkan seorang pegawai Turki berkata, anggota pasukan Arab Saudi yang dihantar ke sini untuk membunuh Khashoggi memaklumkan seorang daripada pegawainya selepas pembunuhan itu untuk ‘memberitahu bos anda’, yang dikatakan akhbar merujuk kepada Mohammed.

Individu itu dikenal pasti sebagai Maher Mutreb, yang melaporkan kepada seorang pembantu putera mahkota, Saud al-Qahtani. Mutreb juga dipetik sebagai berkata ‘pembunuhan sudah selesai.’

Dalam ulasannya kepada media, Erdogan berkata, jelasnya pembunuhan itu dirancang dan arahan datangnya daripada peringkat atasan pihak berkuasa Arab Saudi, namun beliau tidak terfikir mengenai Raja Salman yang amat dihormatinya.

“Putera mahkota berkata, ‘Saya akan menjelaskan perkara itu, saya akan melakukan apa yang wajar.’ Kami menunggu dengan sabar,” kata Erdogan, menambah pembunuh antara 18 suspek ditahan di Arab Saudi.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Pengarah CIA ke Turki siasat kes Khashoggi

WASHINGTON 23 OKT: Pengarah CIA, Gina Haspel, dilaporkan dalam perjalanan ke Turki semalam untuk mengendalikan siasatan susulan kematian wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi di konsulat kerajaan itu di Istanbul, kata sumber kepada Reuters.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, awal semalam, “pegawai perisikan tertinggi AS kini berada di Turki,” tanpa memberikan sebarang maklumat lanjut.

Khashoggi, kolumnis terkenal akhbar Washington Post dibunuh hampir tiga minggu lalu selepas memasuki bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul.

Selepas lebih dua minggu berdiam diri, Arab Saudi kini mengaku Khashoggi dibunuh di dalam bangunan konsulat tetapi penjelasan Riyadh dilihat sekutunya sebagai bercanggah dan tidak memuaskan.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Penyiasat Turki geledah konsulat Arab Saudi susulan kes wartawan hilang

ISTANBUL 16 OKT: Polis Turki semalam menggeledah konsulat Arab Saudi di Istanbul buat pertama kali selepas wartawan Jamal Khashoggi dilaporkan hilang, serentak dengan kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa kematian lelaki itu adalah angkara ‘pembunuh’.

Khashoggi, seorang rakyat Arab Saudi yang menetap di AS dan sering membuat kritikan pedas ke atas Putera Mahkota Mohammed Salman kali akhir dilihat memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul bagi menguruskan dokumen perkahwinan pada 2 Oktober.

Kerajaan Turki berkata mereka percaya lelaki itu telah dibunuh, satu dakwaan dinafikan Arab Saudi yang kini berdepan masalah apabila imej mereka tercemar dengan kontroversi itu, sekali gus menggugat usaha Putera Mahkota dalam melaksanakan pembaharuan di negara berkenaan.

Trump menghantar Setiausaha Negara, Mike Pompeo dalam apa yang digambarkan Jabatan Negara sebagai ‘pertemuan secara langsung dengan kepimpinan Arab Saudi’ untuk mendapatkan maklumat sebenar kes berkenaan.

Sebelum itu Riyadh tidak membenarkan penyiasat Turki menggeledah konsulat yang secara rasminya berada di bawah kuasa Arab Saudi. menyebabkan kedua-dua belah pihak dilanda konflik antara satu sama lain.

Keadaan bagaimanapun berubah lewat malam tadi apabila pihak berkuasa Turki dilihat meletak penghadang besi di hadapan konsulat, manakala enam buah kereta dipandu masuk ke dalam premis terbabit.

Beberapa anggota polis berpakaian seragam juga dilihat memasuki konsulat bersama beberapa pegawai kerajaan dengan membawa mesin cetak dan fail.

Delegasi Arab Saudi memasuki bangunan konsulat sejam sebelum ketibaan pihak berkuasa Turki dan dipercayai masih berada di premis itu ketika proses mencari dijalankan.

Seorang pakar forensik Turki turut dilihat berada di atas bumbung, berhampiran dengan bendera konsulat dan masih berada di dalam bangunan berkenaan bersama ahli pasukan lain selepas tiga jam.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

2 lagi jet pejuang F-35 bakal diterima Turki Mac 2019

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 2 OKT: Amerika Syarikat akan menghantar dua lagi jet pejuang F-35 ke Turki pada 2019, kata ketua tentera program F-35 pada Isnin.

Agensi Berita Turki ANADOLU NEWS AGENCY melaporkan bercakap kepada wartawan di Arlington, Virginia, Naib Laksamana Mat Winter, pegawai eksekutif bagi program F-35, berkata beliau menjangkakan kapal perang itu akan diserahkan pada bulan Mac.

Ankara merancang untuk memperoleh 100 jet pejuang F-35 pada tahun-tahun akan datang.

Mat Winter berkata dia tidak “melihat apa-apa petunjuk perubahan” dalam penghantaran 100 jet Turki.

“Pentagon mesti mengemukakan laporan kepada Kongres dalam masa 90 hari dari Akta Pengesahan Pertahanan 2019 yang diberlakukan,” tambahnya, merujuk kepada pindaan kepada Akta Kebenaran Pertahanan Nasional yang melarang penjualan F-35 ke Turki hingga Pentagon mengeluarkan laporan mengenai Hubungan Turki-Amerika.

Pesawat F-35 adalah jet jenis ‘stealth’ yang dibina oleh Lockheed Martin, dianggap sebagai salah satu peralatan ketenteraan AST yang paling mahal, dengan kos purata sekitar $ 100 juta.

Winter berkata pejabatnya telah menyediakan maklumat teknikal dan program untuk laporan itu dan akan mengemukakannya dalam masa 90 hari.

Turki bakal menerima dua jet pejuang F-35 yang pertama pada penghujung bulan Jun di sebuah majlis di Fort Worth, Texas.

Turki telah berada dalam program F-35 sejak tahun 1999. Industri pertahanan Turki telah mengambil peranan aktif dalam pengeluaran mereka, termasuk Alp Aviation, AYESAS, Kale Aviation, Kale Pratt & Whitney dan Turkish Aerospace Industries membuat bahagian untuk F-35 pertama jet pejuang.

Categories
GLOBAL

Bank Pusat Turki dan Qatar tanda tangan kerjasama kewangan

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 20 OGOS: Bank pusat Qatar dan Turki menandatangani perjanjian kerjasama pertukaran mata wang di ibu negara Qatari Doha.

Agensi Berita Turki ANADOLU NEWS AGENCY melaporkan menurut sumber dari bank pusat Turki, langkah pertama telah diambil setelah Qatar menjanjikan pakej pelaburan $ 15 bilion di Turki pada Rabu lalu.

Perjanjian itu bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dua hala antara dua bank dengan menetapkan garis pertukaran mata wang dua hala.

Ia akan menyediakan kecairan dan sokongan untuk kestabilan kewangan, serta memudahkan pertukaran perdagangan antara Turki dan Qatar. Perjanjian itu juga akan menyumbang kepada pengayaan rizab kedua-dua negara.

Pembiayaan untuk fasa pertama perjanjian dijangka bernilai $ 3 bilion.

Categories
GLOBAL

Masyarakat Pakistan lancar ‘Beli Lira’ tanda solidariti bersama Turki

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 19 OGOS: Sekumpulan ahi politik Pakistan, masyarakat sivil dan aktivis media sosial melancarkan kempen “Beli Lira” selama tiga hari di seluruh Pakistan dalam solidariti perpaduan dengan Turki, yang menghadapi tekanan kewangan

Agensi Berita Turki ANADOLU NEWS AGENCY melaporkan ramai masyarakat Pakistan bergegas ke penukar wang tempatan untuk membeli lira Turki di ibu negara Islamabad, Karachi, Lahore dan bandar-bandar lain.

Di Islamabad, acara utama dianjurkan bersama oleh para ahli politik dan aktivis media sosial di Kelab Media Islamabad.

Dr Asif Luqman Qazi, anak kepada ketua mantan ketua Jamaat-i-Islami Qazi Hussein Ahmed, berkata: “Pakistan dan Turki adalah satu negara. Turki sentiasa menyokong Pakistan … sekarang Turki memerlukan kita dan kami sangat banyak di sana. ”

Beliau berkata perolehan lira dan produk Turki akan diteruskan walaupun selepas kemuncak pemacu yang berterusan.

Abdul Rasheed Turabi, ahli parlimen dari Azad Kashmir, berkata: “Kami telah berkumpul di sini untuk menyatakan perpaduan dengan kerajaan Turki dan rakyat Turki.

“Setiap negara mempunyai hak untuk mentadbir urusannya mengikut undang-undangnya sendiri. Tiada negara mempunyai hak untuk campur tangan dalam hal ehwal negara lain. Turki mempunyai hak untuk mempertahankan kedaulatannya. ”

Di Karachi, peniaga, media sosial dan aktivis masyarakat sivil, termasuk wartawan berkumpul di luar Karachi Press Club untuk menyatakan perpaduan dengan Turki.

Rakyat Turki tidak boleh menganggap mereka sendiri dalam peperangan mereka terhadap hegemoni. Rakyat Pakistan bersama mereka.

Perdana Menteri Imran Khan juga telah menyatakan sokongan untuk Turki melalui tweet awal minggu ini.

Pemacu perpaduan yang berterusan telah mendorong ribuan di seluruh negara untuk membeli lira Turki, memaksa penukar wang untuk mengatur lebih banyak mata wang Turki untuk menampung permintaan yang semakin meningkat.

“Kami mengatur lira Turki secara kecemasan memandangkan permintaan terhadap mata wang telah meningkat dalam beberapa hari yang lalu,” kata Khalid Hussain, seorang pegawai di Piracha Money Exchange Karachi, kepada Anadolu Agency.

“Sebelum ini, lira itu bukan mata wang popular di Pakistan, sebab itulah kami mempunyai stok terhad. Tetapi permintaan untuk lira Turki mencatatkan peningkatan mendadak dalam beberapa hari kebelakangan ini, “katanya.

Minggu lalu, satu lira telah dijual untuk 21 rupee Pakistan di Pakistan. Pada masa ini, satu lira dijual kepada 25 rupee, menurut Hussain, yang menambah bahawa di pasaran gelap, ia lebih tinggi, naik sehingga 28 rupee.

Categories
GLOBAL

Qatar janji buat pelaburan RM61.5 bilion di Turki

ANKARA 17 OGOS: Qatar kelmarin berjanji untuk membuat pelaburan terus sebanyak AS$15 bilion (RM61.5 bilion) di Turki yang terjejas teruk akibat krisis mata wang di tengah-tengah kebuntuan diplomatik yang semakin meruncing dengan Amerika Syarikat (AS), kata beberapa pegawai.

“Qatar telah menjanjikan pelaburan terus sebanyak AS$15 bilion di Turki,” kata jurucakap Presiden, Ibrahim Kalin di laman Twitter.

 

“Hubungan Turki-Qatar adalah berdasarkan asas kukuh perpaduan dan persahabatan sejati,” katanya.

Pengumuman itu dibuat selepas Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani mengadakan rundingan makan tengah hari dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Mata wang lira jatuh teruk dan sehingga semalam didagangkan pada 5.7 lira berbanding satu dolar. Mata wang itu mencatat kedudukan terendah 7.24 minggu lalu.

“Erdogan berterima kasih kepada Emir dan rakyat Qatar kerana menyokong Turki,” lapor agensi berita rasmi Anadolu.

Katanya, hubungan dengan Qatar yang digambarkan sebagai ‘negara mesra dan bersaudara’ akan dirangsang dalam pelbagai bidang.

Menteri Kewangan Turki, Berat Albayrak iaitu menantu Erdogan dan rakan sejawatnya dari Qatar, Ali Sharif Al-Emadi turut hadir dalam rundingan di ibu negara, Ankara itu.

Turki kebelakangan ini telah dikejutkan dengan penurunan mendadak nilai lira selepas Presiden AS, Donald Trump memuat naik tweet di laman Twitter pada Jumaat lalu bahawa Washington akan menggandakan tarif aluminium dan keluli untuk Ankara.

Tindakan Washington itu dibuat ketika pertikaian ke atas Turki yang masih menahan paderi dari AS selama dua tahun.

Sebagai tindak balas, Erdogan telah menggesa rakyatnya memboikot barangan elektrik AS, manakala Ankara juga menaikkan tarif terhadap beberapa barangan dari negara itu.

SUMBER: AFP