Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB santuni warga Sungai Tua, agih bantuan sekolah

GOMBAK, 4 DIS: Kesibukan tugas tidak menghalang Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turun padang bertemu penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua hari ini.

Beliau yang juga wakil rakyat di situ memulakan jelajah dengan menyerahkan bantuan persekolahan kepada ahli Tabung Warisan Anak Selangor di Dewan Rakyat Terbuka Padang Awam Batu Caves.

Dalam majlis itu, seramai 2,157 ahli yang lahir pada 2015 dan bakal memasuki darjah satu menerima beg, alat tulis, bekas makanan, botol minuman, beg tuisyen, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

Amirudin turut melancarkan Kelab Motosikal Helang selain meninjau aktiviti Team Selangor antaranya simulator motosikal, pameran agensi kerajaan, klinik asas bola sepak dan permainan dalam talian.

Beliau kemudian menghadiri mesyuarat agung tahunan kali keenam bersama penduduk Pangsapuri Lakeview, yang antara lain membincangkan penambahbaikan sejak Oktober tahun lalu.

Usai pertemuan itu, Amirudin menghadiri majlis jasamu dikenang anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sungai Tua Baharu di Hotel RHR Selayang.

Dalam majlis tersebut, beliau menyampaikan sijil dan elaun mesyuarat kepada pengerusi MPKK Mejar Bersara Ramli Jamaludin, 78, yang akan bersara akhir bulan ini termasuk 13 ahli jawatankuasa.

Categories
PBT SELANGOR

Ahli Majlis MPK diminta didik masyarakat perangi denggi

KLANG, 30 JULAI: Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) digesa kerap turun ke kawasan masing-masing bagi mendidik orang ramai menjaga persekitaran dalam memerangi kes denggi.

Yang Dipertuanya, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata masyarakat dilihat semakin lupa bahaya penyakit itu kerana mereka lebih tertumpu kepada Covid-19.

“Sebelum ini memang banyak kempen dan program dijalankan kepada komuniti, tetapi kes (denggi) masih tinggi. Ini bermakna didikan kepada masyarakat perlu dipertingkatkan lagi.

“Jadi, kita minta Ahli Majlis untuk berkomunikasi dengan komuniti mereka terutama di kawasan strata yang berisiko tinggi kes denggi berbanding rumah teres,” katanya.

Beliau menambah Ahli Majlis perlu memanfaatkan peruntukan Kerajaan Negeri dengan memperbanyakkan kempen dan program pencegahan seperti semburan kabus di kawasan seliaan masing-masing.

Jabatan Kesihatan Selangor memaklumkan sebanyak 33,382 kes demam denggi direkodkan di negeri ini membabitkan 32 kematian sehingga 25 Julai lalu, menurun 21.8 peratus dalam tempoh sama berbanding tahun lalu.

Lima daerah utama mencatat kes demam denggi tertinggi ialah Petaling (11,869 kes), Hulu Langat (6,279 kes), Klang (6,049 kes), Gombak (4,791 kes) dan Sepang (1,863 kes).

Categories
SELANGOR

ADN, Ahli Majlis dan Ahli Parlimen perlu kerap dekati rakyat

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PETALING JAYA, 18 FEB: Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan, Tuan Syamsul Firdaus Mohamed Supri, turun padang bagi mendengar masalah penduduk setempat, di Seksyen 51A, di sini, baru-baru ini.

Syamsul berkata, beliau akan sedaya upaya membantu dan memberi sumbangan kepada penduduk setempat.

“Saya akan sentiasa memantau kawasan yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri Taman Medan dan ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penduduk Taman Medan kerana memilih saya sebagai ADN,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga ke Pasar Malam Seksyen 51A bagi memantau harga dan turut disertai Ahli Majlis Bandar Raya Petaling Jaya, Mohamad Shakirien Dato’Abd Razak yang juga Ketua Bahagian BERSATU Petaling Jaya.

Beliau berkata, program turun padang itu perlu dilakukan dengan kerap oleh Ahli Majlis, ADN dan Ahli Parlimen supaya dapat mendekati rakyat serta mengetahui masalah yang dihadapi penduduk setempat.

Dalam program itu, penyerahan borang Skim Peduli Sihat dan Mesra Usia Emas juga turut dijalankan.