Categories
AGENDA NASIONAL

Harga RON95, RON 97, diesel turun

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Harga runcit petrol RON95 dan RON97 turun empat sen seliter, masing-masing kepada RM1.65 dan RM1.95 manakala diesel turun dua sen kepada RM1.84 seliter, berkuat kuasa tengah malam ini sehingga 10 Julai ini.

Kementerian Kewangan, dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan penurunan tersebut dipengaruhi oleh perubahan harga minyak yang diproses selari dengan harga minyak mentah dunia pada masa ini.

“ Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Grafik: BERNAMA
Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Harga petrol turun hingga 19 sen

SHAH ALAM, 30 MAC: Harga runcit petrol RON95, RON97 dan diesel turun masing-masing sebanyak 17 sen, 19 sen dan sembilan sen mulai tengah malam tadi.

minyakPenurunan itu, sekali gus memperlihatkan RON95 kini berada pada RM2.13 seliter, RON97 pula turun kepada RM2.41 seliter, manakala diesel (RM2.11) dan harga bahan api itu pertama kali diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin menggunakan sistem harga siling mingguan.

Mengikut sisitem itu, sebarang syarikat dibenarkan menjual bahan bakar itu lebih rendah tetapi perlu mendapatkan kebenaran kementerian dahulu.

Memetik MalaysiaKini, Hamzah mengingatkan semua syarikat minyak dan pengedar petrol mematuhi harga baru ditetapkan itu.

Katanya, tindakan tegas bakal dikenakan ke atas peniaga yang menjual petrol atau diesel selain kadar ditetapkan kerajaan.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Harga petrol turun 35 sen, diesel 30 sen mulai hari ini

SHAH ALAM, 1 JAN: Kerajaan Pusat akhirnya akur dengan desakan yang dibuat PR dan rakyat apabila menurunkan harga bahan api, berkuatkuasa tengah malam ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek dalam satu kenyataan sebentar tadi, mengumumkan harga baru runcit bagi petrol RON95 adalah RM1.91 seliter, manakala RON97 adalah RM2.11 seliter.

Memetik Berita Harian Online, harga baru petrol turun 35 sen berbanding sebelum ini iaitu RM2.26 seliter bagi RON95 dan RM2.46 seliter (RON97).

RON 97Sementara itu, harga baru runcit bagi diesel turut turun 30 sen daripada RM2.23 kepada RM1.93.

Pada 21 November lalu, kabinet memutuskan penetapan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel adalah mengikut kaedah pengapungan terkawal seperti dilakukan untuk penetapan harga RON97, sejak Julai 2010.

Berikutan itu, pada 1 Disember lalu, harga jualan runcit RON95 diturunkan empat sen kepada RM2.26 seliter, manakala diesel dinaikkan kepada RM2.23 seliter.

Terdahulu, beberapa pimpinan PR antaranya Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli lantang mengemukakan fakta kukuh mengapa Kerajaan Pusat perlu meneliti semula harga bahan api itu di saat harga minyak dunia turun.

Rakyat juga turut melahirkan keresahan ekoran sara hidup yang semakin tinggi di tambah pelaksanaan GST, bermula April 2015.

Categories
NASIONAL

Demo turun harga minyak tak ganggu Malam Cinta Rasul

SHAH ALAM, 24 DIS: Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) yakin rancangan untuk berhimpun ketika sambutan malam ambang tahun baru di Dataran Merdeka tidak akan mengganggu majlis berselawat yang bakal dianjurkan di lokasi sama.

Pengerusi TURUN, Azan Safar berkata, perhimpunan bagi menuntut kerajaan menurunkan harga bahan api itu tidak akan mengganggu program Malam Cinta Rasul yang dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“(Kita akan) teruskan di Dataran Merdeka. Dataran bukan hak milik DBKL. Dataran adalah untuk rakyat Malaysia.

Demo Bantah Minyak Naik Depan Parlimen (3)“Kita tak rampas mikrofon orang berselawat. Itu yang penting,” kata Azan yang bertegas dengan rancangan asalnya untuk menghimpunkan 10,000 orang peserta pada malam itu untuk menuntut harga minyak diturunkan.

Beliau menganggap perhimpunan bersama NGO dan Pakatan Rakyat itu juga satu cara untuk menzahirkan rasa cinta kepada Rasulullah.

“Sebahagian daripada rakyat menzahirkan rasa cintanya kepada rasul dengan memperjuangkan keadilan dan melawan kezaliman,” katanya yang dipetik dari Malaysia Kini.

Program Malam Cinta Rasul turut dianjurkan Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menampilkan pendakwah popular Indonesia, antaranya Habib Syech Abdul Qodir As Seggaf dan Habib Ali Zaenal Abidin.

Demo Bantah Minyak Naik Depan Parlimen (13)Program itu dijangka berakhir kira-kira pukul 11.45 malam bagi membolehkan orang ramai menanti detik 12 tengah malam bagi menyertai bacaan doa sempena tahun baru.

Perhimpunan TURUN pula bagi menuntut harga minyak RON95 diturunkan ke tahap RM1.90 seliter berbanding RM2.26 sen sekarang.

TURUN sebelum ini turut menafikan sekeras-kerasnya mengedarkan risalah promosi yang memperkecil majlis selawat terhadap Nabi Muhammad di laman sesawang.

Kumpulan itu menyifatkan penyebaran risalah seperti itu sebagai tindakan terdesak pihak yang mula tergugat dengan reaksi masyarakat ke atas tuntutan mereka.

Ia bakal menjadi perhimpunan kedua selepas pertama kali diadakan pada malam sambutan ambang tahun baru, 31 Disember 2013.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Turun 7 Nov untuk Malaysia yang lebih baik

Oleh: Muhamad Azan Safar

Saya menonton perlawanan bola sepak UEFA Champions League awal pagi tadi menyaksikan Arsenal hanya sekadar mampu mengutip 1 mata apabila seri 1-1 dengan Anderlact.

Saya memang peminat Arsenal tapi yang lebih penting, saya gemar memerhati pola dan corak yang digunakan dalam setiap perlawanan yang dimain Arsenal.

Turun_logoKadang-kadang gelagat pengadil dan penjaga garisan juga mencuri tumpuan. Contohnya apabila berlaku sesuatu foul atau kesalahan yang disalah hukum oleh pengadil, pasti semua pemain akan mengerumuni pengadil membantah keputusan tersebut walaupun hakikatnya keputusan pengadil tak pernah akan berubah, itu pasti.

Namun sebagai pemain yang tahu keputusan itu salah mereka tetap protes dan bantah kerana mereka tahu itu kebenaran, walaupun mereka juga tahu keputusan pengadil adalah muktamad.

Hasilnya, kadang-kadang pengadil akan lebih berhati-hati dalam memutuskan sebarang hukuman selepas itu bahkan kadang-kadang juga ada pengadil yang buat tak nampak apabila berlaku kesalahan lain kerana dia tahu dia tersalah menghukum tadi.

Itulah juga realiti di Malaysia. Setiap kali berlaku sesuatu isu yang melibatkan kezaliman dan penindasan pemerintah, rakyat akan turun ke jalanraya untuk protes.

Sesetengah orang yang agak skeptik dengan demonstrasi mempersoalkan adakah kerajaan akan mendengar protes rakyat? Adakah harga minyak akan turun?

Adakah akta hasutan akan dimansuhkan? Lebih malang mereka juga tidak memberi sebarang usaha dan alternatif untuk mengeluarkan rakyat daripada penindasan.

Rakyat yang prihatin dengan penindasan yang berlaku dan terang di matanya akan kebenaran pasti tak akan mempu berdiam diri apabila kezaliman berleluasa dan pemerintah bermaharajalela.

Mereka yang hanya kabur dengan kebenaran akan memilih untuk tidak berbuat apa-apa kerana tidak pasti dengan tidakan yang patut di ambil.

Penindasan ke atas rakyat oleh pemerintah di Malaysia bukannya hal yang baru. Sehingga selepas Pembentangan Bajet 2015 oleh YAB Perdana Menteri, kita tidak merasa apatah lagi berjumpa dengan apakah sebenarnya titik penyelesaian untuk rakyat merasa ringan dengan beban kos sara hidup yang mereka hadapi pada hari ini.

Laporan daripada Perbendaharaan Negara menunjukkan isi rumah yang berpendapatan RM4000 dan ke bawah akan menerima kenaikan daripada RM140 hingga RM700 dalam perbelanjaan tahunan mereka bahkan yang berpendapatan RM4000 ke atas akan menerima kesan kenaikan belanja sekurangnya RM1550 setahun.

Lebih parah ialah jurang di antara orang kaya dan miskin yang semakin ketara. Sebagaimana perbahasan Bajet 2015 oleh Ketua Pembangkang di parlimen, data yang dipetik daripada sebuah buku tulisan Muhammad Abdul Khalid yang bertajuk “The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia” antaranya menyebut hanya 10% golongan terkaya yang memegang daripada 77% aset kewangan negara bahkan jumlah tersebut adalah 14,211% lebih tinggi daripada purata rakyat keseluruhannya.

Dari skop hartanah pula, 32% rakyat yang tinggal di Bandar tidak mempunyai hartanah, dan begitu juga 17% di desa.

Manakala 10% kumpulan terkaya memiliki 294% aset hartanah lebih tinggi daripada purata rakyat. Kegilaan apakah ini? Apakah negara ini hanya dipunyai oleh orang kaya dan yang miskin menjadi hamba di bumi sendiri.

Orang miskin dan susah, rakyat marhein jauh sekali untuk berfikir soal aset kewangan mahupun aset hartanah, sedangkan tanah yang mereka miliki dan terokai juga diceroboh dan dirampas oleh orang kaya dalam negara ini. Kerajaan hanya diam seribu bahasa sedang air mata rakyat membanjiri tanah air sendiri.

Kerajaan menggunakan alasan rasionalisasi subsidi untuk mengurangkan subsidi petrol, kononnya untuk menampung perbelanjaan negara yang lain. Minyak naik maka harga gula, tepung, telur, susu dan barang-barang lain semuanya naik. Tambang bas juga naik sehingga 30%.

Ceritanya ialah duit yang dikutip hasil rasionalisasi subsidi menunjukkan duit negara tak pernah cukup namun pemerintah tak pernah menjawab laporan Global Finance Integrity yang mendakwa sejak 2002 sehingga 2011 Malaysia kehilangan dana terkumpul sebanyak RM1.2 Trillion. Duit tiris lesap keluar negara, akhirnya diperah poket duit rakyat untuk menanggung kegagalan urus tadbir mereka.

Lalu adakah rakyat yang baik ialah dengan memendam sahaja kebenaran yang jelas terang benderang di siang hari atau kita memilih untuk bangun dan lawan. Saya jangka kalau rakyat konsisiten dan bersatu hati bukan sahaja kerajaan takut untuk terus menindas bahkan Dato Seri Najib yang memerintah hari ini juga boleh tumbang.

Justeru, saya mewakili NGO yang terlibat dan rakyat marhein menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk berpimpin tangan sama-sama kita turun 7 November ini untuk Malaysia yang lebih baik.

Salam reformasi.

*Penulis adalah Pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN)

Categories
BERITA UTAMA

Tiga masalah pelaksanaan GST di Malaysia

Oleh Mohd Iqbal Abdul Wahab

IBNU KHALDUN dalam Mukaddimah telah menyebut berkenaan dengan pengenalan cukai terhadap barang-barang di kota yang dikenakan oleh pemerintah sebagai sumber pendapatan dalam negara.

Dengan mengaitkan pernyataan ini, sesungguhnya terdapat persamaan peristiwa yang ditulis oleh ilmuwan terkemuka ini yang berlaku secara lumrahnya dalam sejarah peradaban dengan konteks semasa hari ini.

Usaha kerajaan untuk memperkenalkan Good and Service Tax (GST) atau Value Added Tax (VAT) merupakan salah satu usaha untuk menjana pendapatan negara dengan lebih teratur dan efektif.

Konsep ini telah diperkenalkan oleh Dr Wilhem von Siemens, seorang ahli industri Jerman pada tahun 1918. Perancis merupakan negara yang pertama melaksanakan GST pada  1954. Sehingga kini, sebanyak 146 negara telah melaksanakan GST.

Turun10Selain itu, semua negara di Asean telah melaksanakan GST kecuali Malaysia, Brunei dan Myanmar . Menariknya, Indonesia dan Filipina lebih awal memperkenalkan GST pada tahun 80-an, lebih awal berbanding Singapura pada 1994.

Pengenalan GST melalui pengurusan yang baik akan memberi impak besar kepada pendapatan negara melalui peningkatan kadar pematuhan cukai. Namun, dalam konteks semasa, apakah GST relevan untuk dilaksanakan sekarang?

Menjawab persoalan ini, terdapat tiga penyataan masalah yang harus diteliti.

Pertama, adakah ekonomi Malaysia dan pengguna bersedia untuk menerima pelaksanaan GST? Kedua, bilakah masa yang sesuai untuk kerajaan melaksanakan GST? Ketiga, adakah GST akan menyebabkan kenaikan harga barang dan inflasi: antara persepsi dan realiti.

Ketiga-tiga masalah ini harus diperhalusi dalam usaha untuk mengimplimentasi GST secara menyeluruh, malah kajian terperinci harus dilakukan supaya pelaksanaannya mencapai objektif.

Merujuk kepada masalah pertama, adakah ekonomi Malaysia dan pengguna bersedia untuk menerima pelaksanaan GST, Emran dan Stiglitz (2005) mencadangkan bahawa menggantikan VAT bagi cukai yang lebih luas mungkin untuk mengurangkan dan bukannya memperbaiki kebajikan kerana negara membangun seperti Malaysia mempunyai sektor tidak formal yang besar.

Mereka juga berhujah bahawa masalah utama dengan kesusasteraan yang menyokong penggunaan VAT di negara membangun adalah ia mengabaikan bahawa negara-negara ini mempunyai sektor tidak formal yang besar.

rasuahBagi masalah kedua pula, menyentuh mengenai masa sesuai untuk kerajaan melaksanakan GST, perkara asas yang perlu diselesaikan terlebih dahulu termasuklah penyediaan sistem terancang serta reformasi sikap dalam pengurusan ekonomi dan politik dalam usaha mengurangkan kadar penyelewengan dan rasuah dalam negara yang akan membawa kepada kegagalan pelaksanaan.

Begitu juga, dalam tempoh sekarang, tahap ketersampaian maklumat yang lemah menyebabkan kegagalan masyarakat untuk memahami GST secara komprehensif dan membawa kepada kegagalan pelaksanaan kerana ketidakfahaman.

Masalah ketiga pula mengenai adakah GST akan menyebabkan kenaikan harga barang dan inflasi, secara realitinya – menurut Singh (2007), pengenalan GST boleh membawa peningkatan satu masa dalam kos sara hidup,kebarangkalian membawa kepada inflasi yang tidak tinggi.

GST boleh membawa kepada peningkatan dalam harga pengguna pada peringkat awal pelaksanaan tetapi GST tidak akan mempunyai kesan besar ke atas inflasi.

James danZheshi (2004) menegaskan bahawa apabila VAT diperkenalkan di China pada 1994, ia tidak menyebabkan inflasi apa-apa berbanding pembaharuan cukai pada 1994, perubahan yang dicadangkan VAT jauh kurang kompleks.

Adakah Cukai Perkhidmatan dan Barangan akan menjejaskan golongan miskin dan sederhana? Implementasi Cukai Perkhidmatan dan Barangan akan memberikan kesan kepada golongan miskin dan sederhana di Malaysia.

Negara yang lebih membangun seperti Singapura mampu menyerap cukai ini kerana pendapatan yang lebih tinggi. Cukai Perkhidmatan sudah diguna pakai di Britain, India, Hong Kong, Jepun dan Singapura, namun, ia bukan sebab untuk penguatkuasaannya di Malaysia.

Status ekonomi dan cara bagaimana negara tersebut memperoleh pendapatan berbeza dari Malaysia.

gstTiga masalah ini merupakan suatu perkara yang memerlukan tindakan penyelesaian dalam merealisasi GST sebagai instrumen yang merangsang pendapatan negara.

Antara penyelesaian yang harus difikir dan digerakkan ialah meningkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat berkenaan kepentingan dan pelaksanaan GST, menubuhkan badan bebas dan berkecuali untuk mengkaji kesan menyeluruh terhadap rakyat apabila GST dilaksanakan dan mengkaji tahap penerimaan rakyat pelaksanaan GST dari sudut kesediaan dan kebolehpercayaan.

Tahap penyampaian maklumat seiring dengan pembebasan unsur-unsur negatif dalam pentadbiran dengan penghasilan pengurusan yang telus dan efektif akan mewujudkan kerjasama erat antara kerajaan dengan rakyat.

Ini kerana rakyat selaku pendukung suara demokrasi yang meletak kepercayaan penuh terhadap kerajaan untuk menguruskan wang yang disalur melalui cukai kepada kerajaan melalui pengurusan telus dan efektif.

Sekurang-kurangnya mereka dapat menilai wang yang disalur itu membawa kehidupan yang lebih baik.

Secara keseluruhan, sistem GST dianggap berkesan kerana ia boleh meningkatkan jumlah hasil kerajaan. Bagaimanapun, pelaksanaannya memerlukan satu sistem yang dirancang memandangkan – tanpanya sistem GST yang komprehensif tidak akan tercapai.

Malaysia mestilah terlebih dahulu mencapai status “berpendapatan tinggi” atau high income seperti yang diuar-uar Perdana Menteri. Meningkatkan kadar cukai tanpa meningkatkan pendapatan rakyat hanya membebankan rakyat.

Oleh demikian, kerajaan perlu menangguh pelaksanaan dan mengkaji semula kadar permulaan GST kerana ia pasti akan membebankan pengguna.

Kerajaan harus memfokus isu kenaikan kos sara hidup dan memperkenal langkah khas untuk membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah bagi mengurangkan kesan buruk GST ke atas mereka.

* Mohd Iqbal Abdul Wahab ialah Ketua Bahagian Penyelidikan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN)

Categories
BERITA UTAMA

Fahamilah derita rakyat kenaikan harga barang

Oleh: Abdul Malik Abdul Razak

KENYATAAN Dr. Amini Amir menyebelahi parti pemerintah dan bersifat mengampu. Sangkaan saya benar walaupun bertaraf professor, tidak mustahil jika mereka tidak memahami kesengsaraan rakyat.

Mungkin dengan kehidupan yang mewah dan tenggalam dalam dunia buku menjadikan mereka golongan yang teori dan tidak memahami nadi jerit perih rakyat.

Turun10Saya kira rakyat jelas bahawa kedatangan mereka ke himpunan bukan untuk menyertai konsert di Dataran Merdeka tapi berhimpun untuk menyatakan bantahan terhadap kenaikan kos sara hidup.

Tidak timbul isu Gerakan Turun Kos Sara Hidup – TURUN mengambil peluang dan menjadi oportunis untuk menumpang kehadiran orang ramai ke Dataran Merdeka bagi meraikan kehadiran tahun baharu.

Beliau menyatakan perhimpunan haram itu bertukar ganas dan merencatkan konsert Ambang Merdeka. Saya kira pensyarah tidak membaca kenyataan Saudara Azan Safar yang telah menafikan bahawa Gerakan Turun Kos Sara Hidup tidak terlibat dalam rempuhan polis dan membuat kekacauan di Dataran Merdeka.

Majoriti rakyat bersama dengan TURUN di luar Dataran Merdeka untuk menunggu detik menjelangnya tahun 2014, tahun sengsara rakyat.

Beliau menyatakan bahawa orang muda tidak terkesan dengan kenaikan kos sara hidup, bagi saya ianya satu pandangan yang cukup dangkal.

bantah1Walaupun anak muda yang masih berada dikampus, mereka juga terkesan. Mereka juga pakai motor atau kereta, kedua-duanya guna minyak, minyak juga akan naik.

Mereka juga membeli makanan di cafe, makanan juga naik. Mereka juga menetap di kolej kediaman yang menggunakan eletrik dan tarif eletrik naik dan yuran kolej juga naik.

Anak muda yang saya kira ‘fresh graduated’ lagi terkesan jika hidup dibandaraya Kuala Lumpur, dengan gaji permulaan yang masih cukup-cukup makan dan ditambah bebanan tanggungan anak, isteri, kereta dan rumah akan memberi tekanan kepada mereka dengan kenaikan ini.

Mungkin Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia ini dengan pendapatan puluhan ribu tidak terkesan tapi rakyat marhaen cukup terkesan.

Beliau mendakwa bahawa himpunan ini tiada aktiviti atau agenda jelas yang dihidangkan kepada pengikut yang hadir. Beliau harus memahami bahawa konsep himpunan ini ialah himpunan aman. Konsepnya juga ‘Duduk dan Bantah’.

ambang2o14Ucapan-ucapan dari wakil NGO, parti politik dan anak muda mengisi ruangan masa bagi menanti detik-detik jam 12 malam. Himpunan ini juga diakhiri dengan bacaan doa dan laungan ‘Merdeka Rakyat’.

Beliau juga mencadangkan supaya skim kawalan harga barang perlu diperluaskan kepada lebih banyak barang dan tidak hanya terhad kepada barang sedia ada atau ketika musim perayaan sahaja.

Pendapat saya, skim kawalan barang wajar diperketatkan sekiranya peniaga menaikkan tanpa had. Namun persoalan utama yang harus difahami ialah, kerajaan mencuri duit rakyat dengan korupsi bermaharajalela.

Maka hutang negara meningkat, rakyat ditarik subsidi dan berlakunya kenaikan kos sara hidup. Pelik kerajaan menyalahkan rakyat menaikkan harga atas kesalahan kerajaan mencuri duit rakyat dan berbelanja boros. Satu sikap tidak adil jika mahu mengawal harga.

Selesaikan ‘root problem’ dahulu, bukannya ‘presented problem’.

Himpunan Turun Kos Sara Hidup digerakkan oleh mahasiswa. Mereka tiada kepentingan, bahkan mereka bersama dengan pejuang keadilan dalam membanteras kezaliman.

Himpunan ini adalah himpunan rakyat dan didominasi oleh anak muda. TURUN juga telah melarang bendera parti politik dikibarkan dan menjemput semua NGO dan parti politik untuk bersama. Tidak kira dari PR atau UMNO kerana UMNO juga adalah rakyat.

Tidak timbul isu himpunan TURUN mengambil kesempatan atas kebersamaan rakyat dan bersifat oportunis untuk kepentingan pihak tertentu.

* Abdul Malik Abdul Razak adalah Pengarah Mobilisasi Gerakan Turun Kos Sara Hidup

Categories
SELANGOR

Tiga DUN bergabung bantah kenaikan harga barang

KUALA SELANGOR 4 JAN: Lebih 100 penduduk di Dun Sungai Burong, Bukit Melawati dan Jeram bergabung mengadakan flashmob bantahan kenaikan harga barang  secara serentak sebagai kesinambungan daripada Perhimpunan Turun Kos Sara Hidup (Turun) di Dataran Merdeka, 31 Disember lalu.

Bantahan itu dilakukan dengan pelbagai jenis kain rentang menarik perhatian pengguna jalan raya terutamanya di persimpangan Assam Jawa.

bantah1Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Bukit Melawati, S Manikavasagam berkata, penduduk bangkit menyatakan bantahan kerana tidak tahan menanggung kesengsaraan akibat kenaikan harga barang.

Menurutnya, penduduk yang tinggal di kawasan ini kebanyakannya tidak berkemampuan namun mereka terus dihimpit dengan kenaikan harga barang yang terus meningkat pada tahun ini termasuk tarif elektrik dan perkhidmatan siaran televisyen berbayar.

“Pengguna jalan raya tak rugi pun beri sokongan dengan bunyikan hon kereta kerana tak mustahil mereka juga tak terlepas berdepan dengan kenaikan kos sara hidup yang mendadak kali ini.

bantah2“Mereka bukannya orang kaya yang tak terjejas dengan kenaikan harga barang. Dari awal lagi kita buat bantahan terhadap kenaikan harga minyak petrol kerana ia akan jadi punca utama kenaikan harga.

“Kita akan terus adakan bantahan dan merancang untuk mengadakan satu perhimpunan besar di Kuala Selangor melibatkan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat (PR), mungkin tahun ini, tahun bantahan dan perhimpunan,” katanya dipetik Sinar Harian.

EZY

Categories
NASIONAL

Jingga 13 buat laporan polis, selar kenyataan Harussani

Oleh : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR 3 DIS: Jingga 13 membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi menyelar kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang melabelkan peserta Himpunan TURUN sebagai ‘Penderhaka kepada kerajaan, dihalalkan darah dan bughah (pemberontak)’.

Koordinatornya, Fariz Musa, berkata Harussani perlu bertanggungjawab dan bersifat matang dalam mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga bertindak melakukan jenayah iaitu menghasut serta mendorong melakukan keganasan, kecederaan termasuk pembunuhan terhadap mereka yang hadir ke perhimpunan aman itu.

fariz musa pic 3“Jingga 13 mendokong Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan iaitu rakyat dibenarkan untuk berhimpun dan terbukti perhimpunan 31 Disember itu berlangsung secara aman dan tidak berlaku kejadian yang menjurus kepada tindakan menggulingkan kerajaan seperti yang didakwa polis dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat laporan polis berkenaan kepada pegawai IPD Dang Wangi, Inspektor Khairul Rizuan.

Tegasnya, Mufti Perak itu sewajarnya meletakkan jawatan kerana bukan sahaja menjadi ‘boneka’ dan telunjuk BN tetapi memalukan institusi mufti yang seharusnya dihormati sertadisegani rakyat.

Tambahnya, Harussani perlu sedar bahawa protes bekenaan adalah suara rakyat yang membantah kenaikan harga barang dan kenaikan kos sara hidup.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Dakwaan Himpunan Turun cemari demokrasi hanya ‘imaginasi nakal’ polis

Oleh: Afeeqa Afeera

SHAH ALAM, 2 JAN : Himpunan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) yang didakwa mencemari sistem demokrasi negara disifatkan sebagai ‘imaginasi nakal’  polis apabila bertindak menyamakannya dengan Thailand dan Mesir.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata himpunan di ibu kota itu tidak bertujuan untuk menggulingkan kerajaan seperti yang didakwa, sebaliknya memfokuskan kepada gesaan menurunkan harga barang.

ambang2o14Beliau berkata rakyat umumnya menghormati sistem demokrasi di negara ini terutama dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu meskipun prosesnya tidak telus.

“Kita semua sedia maklum proses demokrasi Malaysia terutama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) telah dilalui walaupun terdapat penipuan dan sebagainya.

“Tetapi selepas daripada pilihan raya, tiada pihak yang cuba melakukan perubahan kerajaan melalui sistem selain proses demokrasi.

“Justeru dakwaan pihak polis itu adalah tersasar, meleset dan menunjukkan mereka hilang tumpuan kerana yang hadir semasa perhimpunan itu 50 peratus daripadanya adalah orang muda yang marah dengan tindakan tidak munasabah kerajaan terhadap rakyat,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata pihak polis seharusnya lebih memberi tumpuan kepada usaha membanteras jenayah dan tidak melabel kumpulan demonstrasi ini sebagai penjenayah kerana ia dibenarkan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

shamsul-iskandar-pkr(1)Katanya, polis juga tidak mempunyai sebarang bukti mahupun alasan untuk mendakwa himpunan itu adalah bagi menjatuhkan Barisan Nasional (BN) sebagai pemerintah di negara ini.

“Kita adalah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen yang mengunakan pilihan raya untuk mengubah kerajaan, justeru tidak munasabah kata kita mengguna pendekatan ala Thailand untuk mengguling kerajaan.

“Saya juga harap polis tidak sensitif dengan perkataan guling kerana ia bukan satu perkataan jenayah. Rakyat mempunyai hak untuk mengadakan perhimpunan secara bebas tanpa rasa takut,” katanya lagi.

Sebelum ini, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rashid berkata Himpunan Turun yang dianjurkan adalah topeng pihak tertentu untuk mencemarkan sistem demokrasi negara seperti di Thailand dan Mesir.

Beliau berkata himpunan itu sengaja diadakan sebagai permulaan bagi agenda yang lebih luas dan dikatakan berkait dengan pilihan raya umum yang lalu.

EZY

Categories
BERITA UTAMA

Perhimpunan Haram: Mufti Perak keluar ‘fatwa songsang’

Oleh: Ahmad Fadhli Shaari

SAYA melahirkan rasa terkejut dan kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mufti Perak seperti yang tersiar di dalam akhbar Berita Harian dan laman portal Malaysiakini hari ini.

Beliau di dalam kenyataannya menyatakan bahawa peserta-peserta Himpunan TURUN pada 31 Disember 2013 yang lepas sebagai bughah (penderhaka) bahkan lebih jauh lagi menjatuhkan hukum ‘halal darah’ kepada peserta Himpunan itu.

Turun10Saya menyifatkan kenyataan ini sebagai kenyataan yang sangat tersasar dan tidak syak lagi Mufti Perak telah bertindak sebagai seorang mufti yang sangat pro Barisan Nasional.

Ingin saya tegaskan bahawa perhimpunan aman ialah salah satu hak yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Dalam hal ini, Mufti Perak saya kira sengaja mengabaikan Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut dengan terang dan jelas bahawa rakyat Malaysia boleh berhimpun secara aman tanpa senjata dan ia dianggap sebagai hak asasi yang juga kebebasan fundamental mana mana rakyat negara ini.

Mufti Perak dan kerajaan Barisan Nasional perlu faham Perlembagaan Persekutuan adalah undang undang tertinggi negara ini di mana semua undang undang dan tindakan pihak berkuasa adalah berasal dari Perlembagaan.

Perlembagaanlah yang mengarah hala tuju undang undang dan perilaku pihak eksekutif, legislatif dan kehakiman termasuk pihak polis.

Apabila Mufti Perak mengeluarkan kenyataan bahawa peserta himpunan adalah Bughah dan ‘halal darah’, saya ingin mengetahui dari nas mana hukum ini diambil?

Para imam dari pelbagai mazhab dan para mujtahid majoritinya menyatakan bahawa keluar menentang pemerintah dengan senjata dan atau disebut memiliki kekuatan tempur (syaukah) sahaja boleh dianggap sebagai penderhaka.

Kaedah menangani golongan inipun masih dibincangkan secara panjang lebar di dalam kitab-kitab Fiqh dan bukannya terus dibunuh atas asas ‘halal darah’.

Dari mana sumber nas yang digunakan oleh Mufti Perak yang tiba-tiba mengeluarkan kenyataan ‘halal darah’ ini? Atau dengan ayat yang lebih jelas, berapakah harga yang dibayar oleh Barisan Nasional untuk membeli ‘fatwa murahan’ sang mufti?

Saya tidak bermaksud untuk mengajar Mufti Perak kerana saya maklum ketinggian ilmunya itu. Namun saya ragu-ragu dengan kefahaman beliau terhadap pengertian Bughah.

Saya difahamkan bahawa beliau merupakan seorang yang kuat berpegang dengan Mazhab Syafie yang sangat kontra dengan fahaman kaum muda.

Justeru, tentulah di dalam sulur galur pengajiannya akan terserempak dengan kitab Nihayatul Muntaj karangan Syeikh Syamsuddin Al-Ramli yang menjadi antara rujukan asas Fiqh di dalam Mazhab Syafie.

Definisi Bughah menurut beliau ialah :

هُمْ مُخَالِفُو الْإِمَامِ بِخُرُوجٍ عَلَيْهِ وَتَرْكِ الِانْقِيَادِ أَوْ مَنْعِ حَقٍّ تَوَجَّهَ عَلَيْهِمْ بِشَرْطِ شَوْكَةٍ لَهُمْ وَتَأْوِيلٍ

Yang bermaksud : ‘orang-orang Islam yang menentang pemimpin secara kekerasan dan meninggalkan ketaatan atau enggan menunaikan hak yang wajib ke atas mereka, dengan syarat mereka (al-Bughah) itu memiliki kekuatan senjata, mempunyai alasan penentangan dan mempunyai ketua.’ – Kitab Nihayatul Muntaj Ila Syarhil Manhaj, Jilid 25, halaman 381.

Sedarkah Mufti Perak bahawa rakyat yang keluar ke Himpunan TURUN tidak membawa sebilah senjata pun untuk menjatuhkan pemimpin?

Jika adapun hanya bilah-bilah parang yang ditunjuk tanpa tuan punya sebagaimana himpunan-himpunan sebelum ini. Himpunan TURUN berlangsung dengan aman tanpa gangguan pihak polis dan para peserta kemudiannya bersurai tanpa sebarang insiden ganas.

Saya hairan, tokoh agama seperti Mufti Perak tidak pula terasa kecenderungan untuk menegur konsert yang menampilkan pelbagai aksi melanggar syarak secara jelas dan menelas belanja RM15 juta itu.

Barangkali gula-gula yang sedang dinikmati oleh Mufti Perak dibimbangi jatuh sekiranya mengeluarkan kenyataan begini?

Bertakwalah kepada Allah wahai sang mufti. Ketika kerajaan Perak dirampas daripada jalan pintu belakang dan tidak melalui pintu demokrasi yang menjadi undang-undang negara, tuan mufti sibuk berlindung di dalam jubah.

Hari ini apabila anak muda menggunakan hak yang dijamin di dalam perlembagaan, tuan mufti bangkit mengeluarkan hukum ‘halal darah’.

Saya menganggap kenyataan Mufti Perak ini ialah kenyataan yang bahaya dan bukan satu kenyataan yang waras. Dengan rendah diri, saya suka mencabar Mufti Perak untuk berdialog di dalam mana-mana pentas terbuka di atas tajuk Bughah dan Halal Darah ini.

Debat ini bukan bertujuan untuk menjatuhkan maruah Mufti Perak yang tentunya sangat dihormati dan disegani, tetapi ia lebih bertujuan untuk mencari kebenaran. Jika kebenaran dan nas berpihak di sebelah Mufti Perak, nah halalkanlah darah jika tuan Mufti hauskannya.

Tanpa menafikan adanya para mufti dan ulama yang ikhlas, saya suka ingatkan mufti yang lain juga, tidak perlulah menumpang member kenyataan yang karut dan tidak bersandarkan nas semata-mata kerana ingin mendapatkan habuan sementara.

Kerusi empuk yang anda duduki itu bukan milik anda selama-lamanya. Jika ilmu menjadi ukuran, barangkali bukan di situ kedudukan anda.

Sekian, wassalam : 2 Januari 2013

*Penulis merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Dakwah Islamiah Universiti al-Azhar, Mesir. Di dalam politik, beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan dan juga Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia. Tulisan ini merupakan pandangan peribadinya semata-mata.

 

 

 

 

 

Categories
NASIONAL

Polis salah muat naik gambar, kredibiliti dan integriti terus dipersoal

Oleh: Siraj Zaini

SHAH ALAM 2 JAN: Permohonan maaf polis memuat naik gambar anggotanya cedera semasa Himpunan Turun pada 31 Disember lepas tidak mencukupi tanpa memberikan penjelasan munasabah kepada umum.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata kecuaian itu tidak wajar kerana ia memberi pelbagai persepsi buruk kepada masyarakat mengenai perkara sebenar yang berlaku.

Polis FB“Perkara macam ini perlu diambil serius, polis sebagai badan berkuasa negara ini tidak boleh membenarkan berita yang tidak sahih untuk disebarkan.

“Sebab kalau ia tidak sahih dan tidak disahkan kesahihannya dan disebarkan, ia adalah sama seperti menyebarkan berita palsu,” katanya ketika ditemui Selangor Kini, hari ini.

Fahmi berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan polis di dalam laman sosialnya yang bertajuk Ralat : Kesilapan Memuatnaik Gambar Anggota Polis Cedera.

polis maafLaman sosial Facebook Polis mengeluarkan kenyataan maaf berhubung kesilapan memuat naik gambar anggotanya yang cedera semasa menjalankan tugas semasa malam sambutan berkenaan, kelmarin.

Polis dalam kenyataannya menyatakan tidak mempunyai sebarang niat untuk mengeruhkan keadaan dan mengakui kelemahannya di laman sosial rasmi pasukan keselamatan itu.

Namun, gambar anggota polis yang didakwa dicederakan dipadamkan terlebih dahulu sebelum kenyataan maaf dikeluarkan di media sosial berkenaan.

Katanya, kesilapan sedemikian hanya menampakkan polis sebagai sebuah badan tidak bebas dan dipengaruhi sifat kepartian secara lebih jelas lagi.

“Sebagai sebuah badan neutral, polis tak perlu tunjuk sifat kepartian, jika polis ambil gambar daripada ‘cybertrooper’ Umno, maka kita kena tanya polis.

“Adakah ini Prosedur Operasi Standard (SOP) yang biasa dilakukan polis mengenai media sosial, dan jika ia, adakah ia mengikut piawaian antarabangsa, kerana ia menjejaskan status neutral polis,” katanya lagi.

EZY