Categories
AGENDA NASIONAL

Lima laluan di ibu negara kekal ditutup setakat 1 tengah hari

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Lima laluan di sekitar pusat bandar masih ditutup dan dilencongkan setakat 1 tengah hari ini akibat banjir yang melanda ibu negara sejak semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata laluan berkenaan melibatkan Jalan Tuanku Sultan Abdul Halim, Jalan Rahmat, Jalan Sentul Manis, Jalan Pahang Barat dan Terowong Smart.

Menurutnya, proses pembersihan jalan sedang giat dijalankan dan pengguna dinasihat menggunakan Jalan Tun Razak untuk ke pusat bandar.

“Polis ingin menasihatkan pengguna jalan raya agar mengelak daripada menggunakan atau melalui jalan yang terlibat dengan lencongan dan penutupan serta patuhi arahan anggota bertugas bagi memastikan keadaan lalu lintas sentiasa lancar dan terkawal.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat, boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S.Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keadaan hujan berterusan sejak dua hari lepas menyebabkan sebahagian besar laluan utama di sekitar pusat bandar dinaiki air bermula lewat malam tadi.

Antara kawasan yang ditenggelami air akibat limpahan Sungai Gombak adalah Dataran Merdeka dan sebahagian besar hadapan bangunan Sultan Abdul Samad dan Jalan Raja di sini.

-BERNAMA

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Jalan rosak, laluan Hulu Yam Lama-Hulu Yam Bharu ditutup sementara

SHAH ALAM, 20 SEPT: Laluan B57 yang menghubungkan Hulu Yam Lama dan Hulu Yam Bharu ditutup sementara susulan kerosakan jalan akibat tanah runtuh pada Sabtu.

Penyelaras DUN Batang Kali Saifuddin Shafii berkata ketika ini hanya motosikal dan basikal dibenar menggunakan laluan itu namun dalam jumlah terhad.

“Sabtu lalu hujan lebat. Air Sungai Hulu Kelang deras menyebabkan tebing jalan runtuh hingga memaksa Jabatan Kerja Raya menutup jalan bagi mengelakkan kejadian buruk.

“Jadi orang ramai boleh menggunakan laluan Antara Gapi atau pekan Batang Kali.

Penutupan jalan ini dijangka satu hingga dua bulan namun bergantung kepada situasi semasa” katanya kepada SelangorKini.

Saifuddin berkata ketika ini separuh daripada laluan terbabit mengalami kerosakan teruk dan membahayakan pengguna jalan.

“Ramai ikut jalan ini untuk ke air terjun. Sekarang laluan tidak lagi boleh menampung dan kita tidak mahu keseluruhan rosak hingga terputus hubungan kerana menyukarkan kerja pembaikan,” katanya.

Terdahulu beliau memuat naik video kerosakan jalan terbabit di Twitter selain meminta orang awam menggunakan laluan alternatif.

Categories
AGENDA NASIONAL

Prolintas: Penutupan laluan utama ke kondominium hanya sementara

SHAH ALAM, 3 APRIL: Penutupan laluan utama ke Kondominium Puncak Banyan, Alam Damai bersifat sementara sehingga kerja pengalihan kren gantri projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) selesai.

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) selaku pemegang konsesi berkata kerja pengalihan dijangka siap sepenuhnya dalam masa seminggu dan penutupan laluan bertujuan memastikan keselamatan penduduk.

“SUKE dan kontraktor, Syarikat Muhibbah Perniagaan dan Pembinaan Sdn Bhd telah membuka satu lagi laluan khas dengan membina tangga di belakang blok A bagi kemudahan penduduk.

“Ini adalah laluan tambahan kepada laluan sedia ada yang terletak di blok B, Kondo Puncak Banyan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya, makluman mengenai perkara itu sudah dijelaskan kepada wakil penduduk pada perjumpaan yang diadakan pada 25 Mac lalu.

Semalam, seramai 300 penghuni Kondominium Puncak Banyan membantah penutupan laluan utama ke kediaman mereka sejak 12 hari lepas.

Susulan itu, Ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming yang mewakili penduduk menghantar petisyen kepada pemaju SUKE, Kementerian Kerja Raya dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaafar.

Mengenai desakan supaya aspek keselamatan di tapak pembinaan ditingkatkan, Prolintas berkata SUKE menempatkan pengawal keselamatan di lokasi untuk membantu dan memantau kawasan sekitar 24 jam sehari.

Katanya, laluan pejalan kaki juga dibersihkan dan diperluas serta lampu limpah juga dipasang untuk keselesaan dan keselamatan penduduk.

“SUKE juga menyediakan khidmat van ulang-alik secara percuma dari jam 7 pagi hingga 9.45 malam selain bekerjasama dengan Universiti UCSI Kuala Lumpur untuk menyediakan tempat letak kereta tambahan kepada penduduk secara percuma.”

 

Categories
AGENDA NASIONAL

300 penduduk hantar petisyen bantah pemaju SUKE tutup laluan ke kondo

CHERAS, 2 APRIL: Ahli parlimen Bangi mewakili penduduk menghantar petisyen kepada pihak berkaitan susulan penutupan laluan utama ke kondominium di Persiaran Alam Damai, di sini.

Dr Ong Kian Ming berkata petisyen penghuni Kondominium Puncak Banyan dihantar kepada pemaju Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE), Kementerian Kerja Raya dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaafar.

Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming dan ADN Balakong, Wong Siew Ki mencuba laluan sementara yang digunakan penduduk Kondominium Puncak Banyan pada 2 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya mewakili lebih 300 penduduk mendesak pihak berkaitan meningkatkan aspek keselamatan di tapak pembinaan serta segera membuka laluan keluar masuk kenderaan.

“Keadaan ini menjejaskan kehidupan penduduk yang terpaksa meletak kenderaan di luar kawasan kondominium, kita khuatir akan membahayakan keselamatan,” katanya.

Beliau ditemui selepas turun padang bersama Ahli Dewan Negeri Balakong Wong Siew Ki.

Pada 22 Mac, tiga pekerja warga asing maut manakala seorang pengguna jalan raya cedera parah dalam insiden struktur kren terjatuh di tapak pembinaan Suke, Persiaran Alam Damai.

Susulan kejadian, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengarahkan projek Suke dihentikan sehingga persekitaran pembinaan disahkan selamat.

Pembinaan SUKE sepanjang 24.4 kilometer setakat ini mencapai 88.8 peratus siap dan dijadualkan siap pada akhir tahun ini.