Categories
AGENDA JENAYAH

Polis siasat kenyataan tidak benar senarai kematian guru akibat vaksin

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan terhadap pemilik akaun Twitter khalid@khalids yang didakwa mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai senarai kematian guru disebabkan vaksin Covid-19 susulan laporan polis oleh Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menfitnah, Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.

“Pemilik akaun berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penyalahgunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ciapan yang dimuat naik mengenai kematian 41 guru akibat vaksin Covid-19 semalam telah mengundang pelbagai reaksi dan maklum balas warganet.

“PDRM menasihati orang ramai supaya cakna dan peka terhadap pihak yang cuba mengganggu kelancaran program vaksinasi Covid-19 yang sedang dilaksanakan kerajaan dan orang ramai juga digesa menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah serta tidak menggunakan platform terbabit untuk menyebarkan maklumat yang belum dipastikan kesahihannya,” katanya.

Abdul Jalil juga berkata tindakan tegas bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi hantaran di Twitter berkata beliau telah mengarahkan KKM membuat laporan polis terhadap pengguna laman sosial itu yang didakwa menyebarkan berita palsu berkaitan vaksin Covid-19.

Sebelum ini, tular video berdurasi 31 saat yang memaparkan hantaran dilakukan pengguna Twitter berkaitan senarai kematian guru sekolah akibat divaksinasi.

Bagaimanapun, semakan Bernama terhadap akaun Twitter terbabit mendapati ia gagal diakses.

Bernama difahamkan laporan polis itu dibuat oleh pegawai KKM di Balai Polis Presint 7, Putrajaya pada kira-kira 9.45 malam.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Noor Hisham bimbang kes kematian Covid-19 meningkat

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melahirkan kebimbangan mengenai peningkatan jumlah kes kematian akibat Covid-19 dalam negara sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata setakat sembilan hari dalam tahun baharu ini sebanyak 71 kes kematian akibat pandemik itu direkodkan, berbanding kurang daripada 100 kematian dicatatkan dalam sembilan bulan pertama tahun lepas.

“Kita amat bimbang dengan perkembangan ini dan semoga Allah lindungi kita semua. #Kitajagakita,” katanya menerusi akaun Twitter.

Sembilan jam selepas dimuat naik, hantaran itu menerima 9,334 respon suka dari pengguna Twitter, sebanyak 7,856 kali diulang dan menerima 232 komen.

Seorang pengguna Twitter Ariff Zuber dalam komen maklum balasnya berharap kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan penuh supaya tidak lagi berlaku kes kematian Covid-19.

“Kesian dekat jenazah sebab keluarga tidak boleh hendak bagi mandi untuk kali terakhir dan juga solat jenazah untuk si mati buat kali terakhir,” menurut tulisannya.

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 sebanyak 542 kematian atau 0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes sebanyak 133,559 kes.

Malaysia merekodkan kes kematian harian tertinggi akibat Covid-19 iaitu sebanyak 16 kematian pada Jumaat lepas.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Terima gelaran Tan Sri, KP kesihatan ‘popular’ di Twitter

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Penganugerahan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri kepada Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memenuhi laman media sosial semalam dan ‘trending’ di Twitter.

Perkataan Tan Sri sahaja mendapat lebih 26,500 hantaran hingga 5 petang semalam, susulan penganugerahan yang diterima tokoh yang cukup dikenali rakyat Malaysia berikutan penularan pandemik Covid-19.

Barisan pemimpin negara, ahli Parlimen blok pembangkang, selebriti tanah air dan netizen mengambil peluang mengucapkan tahniah kepada Dr Noor Hisham menerusi laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad antara yang mengucapkan tahniah kepada Dr Noor Hisham yang pernah dinamakan sebagai antara tiga doktor terbaik dunia oleh China Global TV Network (CGTN) berdasarkan kewibawaan menangani krisis Covid-19.

“Tahniah Tan Sri!,” kata Dr Noraini yang mengulang hantaran Dr Noor Hisham.

Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun turut memuat naik sekeping gambar Dr Noor Hisham berserta ungkapan:

“Heartiest congratulations to our Director-General of Health @DGHisham. He is now a Tan Sri. He has been conferred the ‘Panglima Setia Mahkota (PSM)’ award in conjunction with DYMM Yang Dipertuan Agong’s official birthday celebration. Much deserved. Tahniah.”

Turut mengambil kesempatan ialah Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengucapkan tahniah kepada Dr Noor Hisham dan berkata beliau adalah “hero sebenar” Malaysia.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan menganugerahkan darjah kebesaran kepada Dr Noor Hisham pada istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2020 di Istana Melawati

Selain Dr Noor Hisham, seramai 11 lagi individu turut menerima Darjah PSM bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong tahun ini.

Selebriti Neelofa pula menzahirkan ucapan terima kasih kepada Dr Noor Hisham atas sumbangan beliau.

“Heartiest congratulations to Tan Sri @DGHisham on your well deserved award. Thank you for your contribution to the country. Our true Malaysian Hero!” katanya.

Turut berkongsi ucapan tahniah ialah pelatih pakar bedah kelahiran Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri yang bertugas di London.

Dr Noor Hisham dalam hantarannya menerusi Twitter berkata penganugerahan darjah kebesaran itu adalah pengiktirafan terbesar buat petugas barisan hadapan dan warga Kementerian Kesihatan (KKM) yang berjuang memerangi pandemik Covid-19.

“Merafak sembah, menjunjung kasih Ke bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas kurniaan pingat PSM. Darjah kebesaran ini adalah satu penghormatan kepada semua petugas barisan hadapan dan di belakang tabir KKM, lambang kepercayaan dan penghargaan kerajaan kepada penjawat awam,” katanya.

Hantaran itu diulang hantar sebanyak 8,500 kali dengan 15,000 tanda suka.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Jangkitan sifar tempatan kali kedua di Malaysia

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Gambar sebiji telur dimuat naik Kementerian Kesihatan di Facebook dan Twitter mereka bagi menyatakan jangkitan tempatan sifar Covid-19 dicatatkan di Malaysia semalam, telah mencetuskan satu ‘tarikan’ dalam media sosial.

Ramai yang menyatakan rasa syukur mereka dengan berita tersebut, di samping memberikan penghargaan kepada petugas barisan hadapan atas usaha berterusan mereka tanpa mengenal penat lelah, dalam memerangi pandemik Covid-19.

Semalam Malaysia sekali lagi mencatatkan jangkitan tempatan sifar Covid-19 dengan hanya tiga kes baru dilaporkan, kesemuanya kes import melibatkan rakyat Malaysia yang dijangkiti ketika berada di luar negara.

Foto Sumber: KKM

Pada 1 Julai lepas, Malaysia mencatatkan rekod dengan satu kes baru dan jangkitan tempatan sifar, yang merupakan jumlah kes jangkitan baru terendah sejak 18 Mac.

Bagaimanapun, sehingga vaksin untuk virus tersebut ditemukan, adalah penting bagi rakyat Malaysia terus berhati-hati dan mengambil tindakan pencegahan dalam membebaskan negara daripada penyakit merbahaya ini.

Seperti yang pernah dikatakan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Malaysia memerlukan 28 hari jangkitan sifar, sebelum boleh diisytiharkan bebas daripada pandemik tersebut.

Sementara itu, dengan situasi semasa Covid-19, kerajaan telah membenarkan empat lagi katogeri pelajar pusat pengajian tinggi untuk pulang ke kampus secara berperingkat bermula bulan ini dan pengambilan penuh pelajar pada Oktober.

Bagaimanapun, pelajar diminta untuk terus mengamalkan jarakan sosial dan penjagaan kebersihan diri di kampus.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Twitter, Facebook gantung akaun lemahkan protes di Hong Kong

HONG KONG, 20 OGOS: Twitter Inc (Twitter) dan Facebook Inc (Facebook) bertindak menggantung akaun media sosial yang beroperasi dari tanah besar China bagi melemahkan protes di Hong Kong.

Twitter memaklumkan, syarikat itu menggantung 936 akaun dan operasi yang disyaki dikendalikan oleh beberapa pihak di China.

“Kesemua akaun itu dipercayai sebahagian daripada rangkaian lebih besar, iaitu kira-kira 200,000 akaun yang sudah digantung sebelum beroperasi dengan lebih aktif,” katanya lapor AFP.

Selain itu, Facebook berkata, mereka juga sudah mengeluarkan akaun dan laman daripada rangkaian operasi lebih kecil, selepas menerima maklumat daripada Twitter.

Katanya, hasil siasatan mendapati akaun itu mempunyai kaitan dengan beberapa individu yang dikaitkan dengan Kerajaan China.

Tunjuk perasaan yang sedang berlaku di Hong Kong adalah salah satu cabaran besar yang terpaksa dihadapi Presiden Xi Jinping, sejak mengambil alih kuasa pada 2012.

Pada masa sama, China turut mengecam tindakan Taiwan menawarkan perlindungan suaka kepada penduduk Hong Kong yang menghadapi pertuduhan susulan pembabitan dalam protes antikerajaan.

Jurucakap Kabinet China bagi Jabatan Hal Ehwal Taiwan, Ma Xiaoguang memberi amaran kepada parti pemerintah Taiwan supaya tidak mencampuri urusan Hong Kong dan berhenti menggalakkan penjenayah.

“Pihak berkuasa Taiwan bukan sahaja melindungi jenayah segelintir penunjuk perasaan Hong Kong malah menyemarakkan kesombongan mereka kerana memusnahkan Hong Kong,” kata Xiaoguang.

Categories
GLOBAL

Twitter akui gagal tangani isu buli siber

BENGALURU, 13 FEB: Twitter mengakui syarikat di Lembah Silikon, termasuk miliknya tidak mengambil pendekatan cukup dalam melindungi mangsa buli internet dan menganggap ia satu kegagalan besar.

Ketua Eksekutif Twitter Inc, Jack Dorsey turut memberi gred C untuk situasi itu ketika diwawancara
pengasas bersama laman berita teknologi Recode, Kara Swisher.

“Kita ada perkembangan tetapi ia berselerak dan tidak mencukupi. Ia tidak begitu bermakna dan kita meletakkan sebahagian besar beban itu ke atas mangsa (ia satu kegagalan besar).” katanya melalui Twitter.

Twitter bersama rangkaian sosial media internet, Facebook Inc berdepan kritikan kerana hantaran berbentuk penghinaan, pengguna palsu dan penyiaran berita tidak tepat.

Syarikat berkenaan turut membuat pelaburan besar untuk meningkatkan aspek ‘kesihatan keseluruhan’ Twitter.

Dorsey semalam berkata, beliau kurang gemar melihat bagaimana Twitter cenderung mengamalkan fikiran jangka pendek dan kurang memiliki kepelbagaian untuk memerangi masalah seumpama itu.

Katanya, Twitter melalui kerjasama pelbagai agensi kerajaan berada dalam kedudukan lebih baik untuk memerangi penyebaran maklumat palsu, pada pilihan raya presiden Amerika Syarikat 2020.

*Sumber: Reuters

Categories
SELANGOR

MB tweet Speaker minta izin pantau banjir

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 14 NOV: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali kini sedang berada di Sungai Serai, Kajang untuk memantau kemungkinan banjir, di sana.

Terdahulu, seawal jam 10 pagi, beliau menghadiri sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) dan sempat menjawab soalan lisan berhubung rizab Kerajaan Negeri.

Sekitar jam 11.30 pagi, beliau bergegas ke Kajang, namun sempat meminta izin Speaker DNS menerusi laman makro, Twitter.

“Pohon izin YB Speaker untuk bergegas ke Batu 12 Sungai Serai, Hulu Langat kerana paras air semakin kritikal. Unit Bencana sudah bersiap siaga,” katanya.

Pada 10 November lalu, Kampung Sungai Serai, Hulu Langat dilapor dilanda banjir kilat dengan air naik hingga paras pinggang.

Hujan lebat dikatakan mulai turun sejak jam 3.30 petang menyebabkan banjir kilat dan terus turun sehingga tengah malam.

Pada hari sama, 82 mangsa banjir sekitar Hulu langat turut ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai.

 

Categories
NASIONAL

Tindakan tegas perlu terhadap Bung Mokhtar, boleh jejas hubungan Malaysia-Jerman

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) membidas tindakan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin memuji Nazi ketika perlawanan separuh akhir Piala Dunia antara Jerman dan Brazil yang disifatkan ‘menonjolkan kebodohan sendiri’.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata perbuatan itu bukan sahaja memalukan, bahkan boleh mengeruhkan hubungan antara Jerman dan Malaysia.

Tegasnya, tindakan serius perlu diambil terhadap perilaku buruk Bung Mokhtar supaya hubungan antara dua negara tidak terjejas.

bung“Kenyataan Bung Mokhtar itu tidak berapa bijak. Kita boleh nampak pemerintahan Najib Razak ini lemah apabila ahli parlimen atau menteri membuat perkara yang memalukan dan tidak sepatutnya,” katanya yang dipetik dari Keadilan Daily.

Ahli Parlimen Kinabantangan itu, sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila mendoakan pemimpin diktator Jerman, Adolf Hitler ‘panjang umur’ di laman Twitternya suusulan kemenangan 7-1 pasukan Jerman yang membelasah Brazil.

Bung Mokhtar sebelum ini pernah beberapa kali mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan kontorversi termasuk di Dewan Rakyat selain bertikam lidah di Twitter.

Walaubagaimanapun, Bung Mokhtar memohon maaf menerusi akaun Twitterya selepas ditegur perdana menteri dalam satu kenyataan bertulis.

Categories
NASIONAL

Pemergian Sharifah Aini jadi ‘trending’ di Twitter

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 5 JUL: Perginya sebutir bintang yang juga Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini sememangnya meninggalkan kesan mendalam buat rakyat Malaysia terutama kepada industri seni negara.

Sharifah Aini atau lebih mesra disapa Kak Pah, 61, menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Pakar Damansara akibat jangkitan pada bahagian paru-paru, pada jam 1.26 pagi tadi.

Mengambil kesempatan itu, orang ramai menggunakan laman sosial untuk berkongsi rasa sedih dan simpati mereka terhadap kehilangan allahyarhamah sehingga ia menjadi ‘trending’ di Twitter.

Sharifah AiniPensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dalam tweetnya menyampaikan ucapan takziahnya kepada keluarga biduanita negara itu dan meminta semua pihak mendoakan kesejahteraan allahyarhamah.

“Al-Fatihah buat seniwati dan biduanita Datuk Sharifah Aini (2 Julai 1953 hingga 5 Julai 2014) yang telah kembali ke sisi Allah. Semoga Almarhum ditempatkan di sisi para Kekasih-Nya,” katanya.

Tidak terkecuali, beberapa pemimpin dan tokoh politik turut mengambil peluang sama merakamkan ucapan takziah mereka buat keluarga Sharifah Aini.

Antaranya, Ahli Parlimen Gelugor, Ram Karpal Singh yang menulis, “My deepest and heartfelt condolences to the family of Datuk Sharifah Aini,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut menggunakan peluang sama di twitternya untuk berkongsi berita sedih itu.

“Saya sedih atas pemergian biduanita Datuk Sharifah Aini. Semoga ditmpatkan dalam kalangan yang beriman. Al-fatihah.”

ramkarpalsSelain itu, rakan artis seperti Remy Ishak, Faizal Tahir, Yasmin Hani, Yuna, Harith Iskandar dan Arja Lee juga mengambil peluang sama menyampaikan ucapan takziah mereka di laman sosial.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid At Taqwa Taman Tun Dr Ismail pada selepas solat Subuh dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara sebelum solat Zohor.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Twitter Ean Yong digodam papar kenyataan palsu

SHAH ALAM 28 JAN: Exco Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Pembangunan Kampung Baharu serta Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah mendakwa akaun twitternya digodam tanpa pengetahuannya.

ean yong hian wahBeliau yang juga Adun Seri Kembangan berkata perkara itu disedarinya selepas dimaklumkan seorang ahli jawatankuasa parti yang menghantar gambar mempamerkan akaun twitter miliknya dengan satu kenyataan palsu, pagi semalam.

Status bertarikh 9 Januari itu mempamerkan kenyataan beliau menuduh PKR dan Pas tidak mampu menyelesaikan isu berkaitan ahli majlis.

“Saya tidak perasan sehinggalah diberitahu pagi tadi (semalam), saya periksa rekod memang tidak pernah hantar status seperti itu, tak mungkin saya ‘tweet’ kenyataan seperti dipamer,” katanya dipetik Sinar Harian.

Katanya, beliau tidak tahu apa agenda pihak tidak bertanggungjawab menggunakan dan menggodam akaun laman twitternya.

Beliau akui kesal dengan apa yang berlaku dan mengutuk tindakan dipercayai untuk mencipta pertelingkahan antara ahli dalam kalangan parti Pakatan Rakyat (PR).

EZY

Categories
SELANGOR

Pindaan PCA dibimbangi disalahgunakan

jenayah2 pcaSHAH ALAM 3 OKT : Pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) yang membenarkan tahanan tanpa bicara terbuka kepada penyalahgunaan kerajaan Umno-BN seperti yang terjadi kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menurut NGO, Lawyers For Liberty (LFL) berkata, apa yang dibimbangi pindaan PCA itu adalah individu yang tidak bersalah yang akan ke penjara dan kegagalan dalam melaksanakan keadilan.

“Kenapa undang-udang yang menyekat hak asasi manusia dijadikan pilihan untuk mencegah jenayah ?, seluruh masyarakat perlu terlibat dalam mencegah jenayah,” kata LFL dalam twitternya.

Menurut pengguna Facebook, Radin Muhd Imaduddin dalam responnya berkata, penyalahgunaan akta itu boleh berlaku apabila tafsiran undang-undang itu yang longgar dan subjektif kepada kuasa eksekutif.

Katanya, alasan meluluskan penahanan tanpa bicara bagi membolehkan Polis membanteras jenayah berat adalah ganjil sedangkan terdapat tindakan lain yang boleh digunakan seperti operasi cantas khas Polis.

“Teringat filem “Minority Report”, lakonan Tom Cruise dengan berbeza konteks, tapi hampir serupa matlamatnya,” kata beliau.

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim beliau berkata, beliau sentiasa percaya bahawa undang-undang yang adil amat diperlukan untuk mengatur ketertiban hidup manusia.

“Namun saya amat terganggu dengan manusia yang ‘beriman’ dengan undang-undang ciptaan manusia seolah-olah ia sesuatu yang sakral sehinggakan apa yang tersurat dalam Akta dan Peraturan itu wajib diikut buta-buta tanpa budi bicara dan pertimbangan keadilan,” katanya.

Sebelum ini Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah kerajaan meluluskan PCA terbukti satu tindakan angkuh serta mengenepikan prinsip keadilan sejagat.

Katanya pindaan PCA melanggar Perlembagaan Persekutuan dan mencabuli hak asasi manusia.

Categories
SELANGOR

Laporan Audit persoal kementerian belanja RM320,000 untuk FB, Twitter

laporan 1KUALA LUMPUR 1 OKT: Ketua Audit Negara mempersoal bayaran RM320,000 oleh kementerian kesihatan kepada dua syarikat untuk dua kempen dalam talian menerusi Facebook dan Twitter.

Perbelanjaan itu yang dibuat sewaktu kementerian itu diterajui Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Mengikut Malaysia Kini, sebahagiannya ialah bayaran RM199,068 kepada Eficaz Media Sdn Bhd untuk laman Facebook kempen ‘Tak Nak Merokok’.

laporan 2Laman Facebook kedua dan akaun Twitter yang dibangunkan Astonish View Sdn Bhd untuk ‘Kempen intervensi penyakit tidak berjangkit’ pula menelan belanja RM120,500.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 itu mengulas skop dua tugas yang hampir sama itu tetapi menyaksikan Astonish View dibayar RM120,500 untuk membangunkan akaun Facebook dan Twitter itu.

Sementara, Eficaz Media pula dibayar jumlah yang lebih tinggi hanya untuk membangunkan satu laman Facebook.

Laporan itu maklum bahawa Eficaz Media dilantik untuk tempoh Julai sehingga Disember 2011 dan bayaran penuh dibuat berdasarkan jumlah ‘Likes’ yang diperolehi laman itu, yang ditetapkan sebanyak 100,000.

– Malaysia Kini